Saturday, February 28, 2009

Lembutkah Kita Mengasli Warisan ??

Sejarah.

Berapa ramai suka sejarah hingga ketagih untuk meneladani kitab dan artikel asing di sebalik timbunan filem dan majalah bermuka putih dan yang mendedahkan segala.

Zaman yang berlalu pergi itu akan meninggalkan manusia yang jiwanya bernafas dalam saat modenisasi masa kini. Lalu zaman itu dibukukan dan diwariskan. Layakkah jika ia hanya disandar sebagian kajian dan akhirnya lapuk apabila bait-baitnya dirasakan sudah tidak relevan sama aku dan kau yang hidup zaman pasca-moden.

Ah, aku ingin bercakap lebih pasal subjek yang dahulu aku selalu tersengguk dalam kelas mendengar timbunan fakta yang menyesakkan dada? Aku tidak layak. Malu..

Lalu harus di mana ingin aku letakkan sejarah yang terkubur andai hanya melihat manusia sibuk mendongak ke langit terbuka hingga segan dan bongkak untuk menoleh hukuman dan ganjaran yang termaktub dalam sejarah yang membalut jenazah pejuang agama dan nasib cucu mereka. yang tidak pernah dihidu oleh kita.

Alhamdulillah, semalam saat hujan rahmat itu masih sudi membasahi tanah dan hati gering manusia, aku turut serta dalam progam Membongkar Warisan, Menjulang Kemasyhuran.
Sehari menghabiskan masa bermadu asmara dengan budaya dan sejarah tanah yang di mana aku mengais di atasnya, langit yang dibawahnya aku menghela udara. Johor, Darul Takzim negeri yang menyimpan seribu sejarah dan budaya.

Banyak aktiviti yang mengisi ruang yang ada, antaranya bengkel zapin, kuiz yang merangkumi pengetahuan am, sejarah Johor, isu semasa, teka-teki dan isu Palestin yang menggegar atma untuk menjadi cakna.

Hampir 10 tahun tak buat layang-layang.. :)

Mencipta kuda kepang dan layang-layang turut mengimbau nostalgia. Sayangnya, layang-layang itu tidak berkesempatan terbang di langit angkasa. Tidak mengapa, sekurang-kurang memori lalu diterbangkan kembali ke lensa kepala.

Persepsi Buta Sejarah

Zapin?

Zapin itu bagaimana? Benarkah ia ditari oleh golongan lembut? Tidak islamik? Lalu bagaimana untuk diterima bagi membentuk biah yang mendamai jiwa. Ada suara yang berkata-kata tanpa usul periksa.

Aku hanya ingin menutur dari apa yang aku pandang dan rasa. Aku suka kembali kepada sejarah biar kita lebih bermaruah, tidak melemparkan kata nista. Zapin itu datangnya dari tanah Arab, awalnya ditarikan oleh sekumpulan lelaki. Titik asas yang diberatkan adalah keseragaman penarinya. Zapin Johor telah mengalami transaksi kerana gerakkan lebih halus sesuai dengan nilai ketimuran yang menjadi jati diri masyarakat kita.

Aku tak nafikan zapin kini kerap dipersembahkan dengan campuran lelaki dan wanita apatah yang mendedahkan auratnya. Ya, aku dan kau tahu ini salah. Budaya dan seni warisan ini telah ternoda dengan fahaman jahiliyah.

Lalu, salahkan jika ada yang kembali mengaslikannya? Menari dalam kalangan lelaki untuk menyelami warisan yang pernah bertapak di bumi sendiri. Jatuh lembutkah mereka apabila mengerakkan seluruh anggota dengan sedaya upaya menyeragamkan pergerakkan ahli lantas membina tautan semasa sendiri. Fikirkan sendiri, aku menulis apa yang terlintas di akal kepala.
Aku bukan pakar sejarawan dan budaya. Hanya anak kampung yang tidak pernah menggerakkan badan mengikut irama kala kecilnya.

Gemilang yang hilang

Moden itu bagaimana kau rasa?

Maju. Dari teratak kayu bertukar menjadi banglo batu.
Atau dari dua tingkat menjolok ruang langit pertama.

Lalu bagaimana untuk mengukur zaman moden yang berkembang sebermula dari zaman gemilang yang semakin menghilang.

Johor menyimpan sejarah khazanah yang sewajarnya direnung bersama.
Sultan Abu Bakar yang menjalin hubungan dengan Sultan Abdul Hamid Khan di Kostantinople dan mengaplikasi pentadbiran Islam dalam kerajaannya wajar dicontohi dan diteladani bersama.


“..hingga pada akhirnya lantaslah Yang Maha Mulia berjumpa dengan Yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid Khan di Kostantinopel . Maka diterimalah oleh baginda dengan sebaik-baik terimaan serta diraikan dengan secukup-cukupnya kerana amatlah gemar Yang Maha Mulia Sultan Turki itu melihatkan seorang raja sebelah Timur begitu baik bawaaan dan aturannya pada hal beragama Islam…”


(Mohd Said Sulaiman , Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar)

Baginda turut mengembara ke benua Eropah dalam usaha mendalami ilmu yang boleh diaplikasi dalam pentadbirannya yang bertunjang Islam. Lalu kemajuan terbina dan musuh tiada punya alasan kenapa Johor perlu penasihat seperti negeri-negeri lain yang menjadi mangsa.

Lalu jatuhnya gemilang itu apabila manusia mula termakan dan menyebar fitnah. Akhirnya musuh berjaya menyusup masuk pentadbiran dengan senyum sinis terpalit di muka usai menyaksikan umpanan mereka mengena.

Lalu sebagaimana manusia ditaklif sebagai khalifah, wajarkah disumbat oleh kita sejarah ini di rak lapuk atau hanya membiarkan anak-anak kita nanti memuntahkannya sekadar untuk meraih ' A ' dan akhirnya terkubur tanpa sesiapa yang mengambil pengajarannya darinya.

Mampukah dijulang semula negeri yang pernah mengamalkan sistem khalifah di Turki ini semula.

Menanti gemilang yang hilang kembali dijulang.

Thursday, February 26, 2009

Patah Tumbuh Hilang Berganti


Alhamdulillah.

Hampir tiga hari berkuliah tanpa kaca mata,
akhirnya patah tumbuh hilang berganti,
umpama beroleh sayap kiri.

Memang kabur pandangan itu merunsingkan,
memenatkan.
Namun apa guna kalau matanya jelas melihat,
namun telus pandangan rasa manusia dan akal jiwa masih liat,
terkial-kial dalam belitan kekusutan ,
yang dicipta oleh kemalasan diri
untuk meneroka ilmu dan kebenaran.

Pandangan ini hanya pinjaman,
celik itu dalam sekelip mata boleh buta,
rabun itu terangnya bisa pudar mewarna,
kenapa perlu bongkak mendabik dada,
walhal hanya manusia si peminjam,
yang bertingkah lupa dan alpa.

Mendengar cerita emak, melihat ayah yang kini dikawal sukatan air minumnya, mengajar aku bahawa apa yang ada ditubuh ini bukan milik hakiki.

Saat di pusat hemodialisis, seorang lelaki Cina yang sudah berusia mendekati ayah lalu memperkenalkan diri.

" Awak jangan bimbangla, kita ni beruntung juga, sudah tua baru kena penyakit ni. Cuba tengok budak tu, umur muda lagi sudah dapat penyakit. Sekarang ni apa yang penting kita teruskan hidup. Tengok saya, lepas ni terus drive hantar barang, mau cari duit untuk anak-anak. " lelaki itu menyuntik kata semangat buat ayah.

Tubuh dan nyawa ini memang pinjaman, tua itu bukan syaratnya itu ia ditarik semula.
Jangan kau tunggu tua baru melutut rayu ampun, sedang kau muda jumlah amal anggota kekal pegun.

Syukurlah.

Tuesday, February 24, 2009

Puisi..

Bila Mereka Berbicara


Kalau mata itu bisa mengucap kata,
rayunya sayup meminta,
cucilah aku dengan saujana,
buang kaburku dari fatamorgana,
biarkan ku membaca gerak dunia.

Kalau telinga ini mula berkhutbah,
jeritan meronta dihias indah,
corongkan seruan mahmudah,
hentikan kau sumbat dengan nanah jahiliyah,
biar ku serap alam berbicara.

Kalau mulut ini diam membisu,
sepinya membisikkan sesuatu,
jangan dipaksa aku terjah melulu,
biarkan lidahku malafaz perlu,
senyapku ralit menghamba atma nan satu.

Saturday, February 21, 2009

Lamakah hujan yang mencurah?


Hujan yang mencurah sehari dua kau kata lama.
Mulalah mulut hendak berungut,hati gusar dan meliar. Menyalahkan hujan atas ketandusan masa kau untuk keluar bebas di tanah. Banyak program kau terencat.

Adakah semakin lama hujan mencurah, tubuh kau semakin basah??

Itu mungkin bagi kau. Merungut.

Tidak kau fikir? Bagi mereka yang ketandusan tanah basah, yang selama ini gersang buminya, menunggu hujan selama lapan purnama. Ah! Pasti syukur melimpah dalam hati mulus mereka.

"Lama"

Ada kayu ukur?

Sejam itu sudah boleh kau kata lama?
Atau setahun baru dikitabkan sebagai senggang masa yang menyeksa jiwa?

Kalau kau bukan pembaca hipokrasi, cuba kau sedut udara. Tahan seberapa lama.
Cuba.

........................... ........... ..... ..... .. .

Ada seminit sudah mengalah.
Yang gagah sedikit, dua tiga minit no hal lah.

Lalu lama itu bagaimana boleh ditafsirkan dalam jalan cerita kita?
Adakah masa itu sifatnya analitis, bisa membuat orang jadi pesimis, atau terus optimis?

Ada bilang setahun itu terlalu lama untuk menanti jawapan risikan?
Ada yang sabar menanti jawapan.


Kau bayangkan kalau kau diberi tugasan, menjadi pelawak, alan-alan atau badut di atas pentas hiburan.
Ratusan manusia memerhati sosok tubuh kau di hadapan dan jutaan menyaksikan sejarah kau di siaran langsung dengan penuh debaran.

Kau sudah melawak dengan seribu satu lawak antarabangsa.
Lawak bodoh kau dah cuba.
Loyar buruk pun dah disogok.
Malah, lawak lucah yang jijik pun kau gadaikan demi mendapat gelak berjuta.

Lima belas minit berlalu.

Hangus.

Penonton kau masih membisu. Membatu, seolah di hadapan mereka hanyalah kayu dan bangku. Lalu kau undur diri, akhirnya kau gelakkan kedunguan kau sendiri dengan air mata menebal muka.

Lalu datang peserta seterusnya hanya berucap sepatah dua, penonton sudah berguling-guling di atas tanah. Senak perut mendengar lawak seminit cuma.

Ah, jadi bagaimana untuk dikisahkan istilah lama yang diperlukan untuk memerah hasilnya?

Nyatanya bagi kau, aku dan mereka, lama itu nyata berbeza. Dari sudut nilai harga yang kita letakkan pada masa.

Bagi manusia yang gila jawatan, pangkat dan darjat, habis penggal pentadbiran dirasakan sekejap bagi mereka. Walhal amanah dan tugasan terbengkalai masih berjela. Hati masih ingin memagut rasa untuk kembali berkuasa hingga ke tua.

Bagi yang futur di tengah jalan, " Ah, lamanya masa berjalan. Tak sabar nak lepas jawatan. "

Buat yang mencontohi sunnah dan khalifah, di hatinya bimbang masih adah amanah yang belum terlaksana.

Dalam satu fatrah masa, berjuta manusia akan melahir pelbagai nilai harga. Itulah jalur warna.

Masa itu pasti berlalu.
Jangan kau tunggu kiamat itu bila berlakunya?
Gerakkan akal, tubuh dan atma mu untuk bersedia menghadapinya.

Lalu mahu jadi pelawak dungu tadi?
Atau khalifah di muka bumi??

Friday, February 20, 2009

Rindu Melangit





Hujan petang tadi memang sejuk.

Kalau di Malaysia, pasti mulut mak cik-mak cik kampung atau datin-datin metropolitan akan menggelar gila atau tiada kerja bagi sekawan manusia yang bermain sukaneka ketika hujan mencurah-mencurah.

Namun, aku rasa ia satu kepuasan melihat rakan-rakan yang jarang tertawa tidak malu menguntum senyum, yang tidak berlaga bahu mampu untuk bersatu. Hujan itu rahmat.

Galah panjang.

Aku yakin tidak semua pernah mendengar nama itu, apatah cara perilaku permainannya. Meski kalah petang tadi, permainan yang membariskan penyerang dan pertahanan itu mengingatkan aku letak duduknya zaman kanak-kanak aku. Aku kanak-kanak desa, membesar dengan kotoran tanah.

Rindu melangit aku pada zaman sekolah, saat kawan-kawan perempuan ralit menngunyah bekal dan beratur merebut makanan, kami berlari ke gelanggang badminton beradu kesepakatan pasukan dalam arena galah panjang.

Sementara menunggu cikgu masuk membimbit buku latihan yang sudah ditanda, ada yang sempat bertarung cepe di lantai belakang bilk darjah.

Tidak cukup dengan itu, balik dari sekolah agama petang, gasing pangkah pula jadi penghubung sesama taulan. Bagi yang perempuan, batu seremban dan ting ting lebih menjadi pilihan. Lelaki juga turut tidak ketinggalan.

Saat angin kian menghembus kuat, langit desa pasti dibintangi dengan layang-layang yang menari di ruang angkasa. Indah.

Rindu.

Itu zaman yang sudah berlalu. Zaman itu kini diwarisi oleh adik-adik aku meski kian berkurang dek penangan modenisasi yang semakin menghidang alternatif yang tidak memerlukan anak-anak milineum untuk berkaki ayam, calar di badan, berkumpul ramai-ramai di bangsal kayu, yang perlu hanya duduk berteleku di skrin maya, berfantasi dengan sejuta selesa. Aduh! Bertuah !

Kalau aku sudah bergelar bapa ( calon isteri pun masih tercari-cari :) , aku rela mewasiatkan mereka agar berguling di tanah, sapulah lumpur di muka sebanyak mana, asalkan tidak menconteng arang ke muka orang tua kelak.

Pergilah kalian berkejar-kejaran, kumpullah kalian wang saku sekolah untuk membeli sebiji gasing di kedai Ah Seng, asal kalian mampu belajar dari warisan yang datuk moyang kalian berikan.

Aku tahu kanak-kanak yang bermain itu jujur persis geraknya, jika ada yang cuba berbohong, pasti ada yang membantah. Mereka belajar disiplin biar tiada kertas kerja yang terbentang dalam arena mereka. Tiada rasuah, dendam mendalam hingga tujuh keturunan, perebuatan kuasa. Itu adalah haram bagi kanak-kanak ini. Mereka mencari suka dan gembira, pada masa yang sama sedang meniti arus belajar di luar silibus bilik darjah. Jika bersengketa, itu hanya fitrah yang harus disusuli dengan rindu untuk beradu tenaga semua bila matahari menjelma semula.

Permainan ini mengingatkan aku pernah berpijak di bumi mana, agar aku tak lupa bau tanah yang pernah ku tumpah keringat mencari bahagia di usia muda, agar aku tidak lupa udara desa yang pernah mengeringkan peluh saat mentahari mengundurkan dirinya. Warisan ini ada nilai jati diri.

10 tahun.
20 tahun.
100 tahun.

Jika bumi ini masih bersisa nyawa, aku bimbang permainan ini bakal terabadi dalam buku koleksi sejarah. Menjadi monumen untuk anak-anak kau dan aku sebagai bahan kalian gulungan ijazah mereka.

Kita hanya memerhati di hari tua, mana mungkin kau mahu melompat dengan batuk-batuk lelah kau sambil berkata.." Ha cu, macam ni main ting ting. "

Tak kan nak berlari termegah-megah sedangkan kau tersadai di kerusi roda untuk berkata .. " Ni baru betul cara nak main galah panjang cu ".

Malu.

Barangkali, mereka pula yang mengajar kau bermain permainan maya yang tidak terjangkau akal budi manusia.

Mahu?

Ah, biarlah hujan ini mencurah, asalkan manusia di bawahnya tahu apa yang dicari dalam sekelumit masa.

Jangan jadi kurang akal, manusia ini bukan robot buatan yang perlu diberi arahan dan penjelasan, kenapa perlu berkumpul, kenapa ia boleh mengeratkan hubungan, kenapa? bagaimana? pastikah?

Kalau sudah pasti aku dan kau itu manusia, tanya saja hati adakah gembira jika berdamping dengan teman di sisi, atau lebih rasa hidup nikmat meggunung gila andai terperap di ceruk gua yang dibina dengan tangan sendiri??

Bak kata Nabil " Lu pikirlah sendiri ! ".

Thursday, February 19, 2009

Aku cari bahasa dan jiwa

Isu bahasa belum selesai, perjuangan agar bahasa kita tidak dirobek oleh bahasa penjajah masih mendapat tempat di media bahasa, meski kini disudut sisi, kerana hal politik yang semakin kucar-kacir dan mual lebih mendapat liputan lantas menjadi litupan isu bahasa .

Aku cuba jadi pencinta bahasa. Hati aku berkata untuk mencintai alat pengantara antara aku dan semesta sepanjang darah merah yang mengalir di tubuh pinjaman ini. Bahasa itu yang mendidik, yang menyuntik, untuk melahirkan manusia cerdik, namun ia bukanlah jurus bahasa yang mengherdik. Aku cintai bahasa yang molek.

Saat aku melihat Sasterawan Negara, A.Samad Said di kaca televisyen dalam sidang akhbar mempertahankan hak bahasa Melayu, aku kagum dengan patah dan bilah bicaranya, dia hanya manusia yang berdiri dengan kaki bahasa yang berjati, lalu bicaranya berisi. Tokoh tersohor itu bimbang akan bahasa kita yang akan tenggelam seperti karamnya tulisan jawi dalam ceracakan media dewasa kini.

Aku lebih gemar tokoh seperti ini, dari mereka yang berlumba memegang tampuk kuasa, namun pidatonya entah ke mana, isi bersepah-sepah, diksi yang tidak bercamb
ah dan disalah guna, akal-akal dalam berbicara, dan paling dangkal dan mengjengkelkan, bahasa kotor yang tersohor juga yang terpalit dibibirnya. Apa yang penting bagi mereka, penyokong bersorak ria sambil melaung tanda sokongan tanpa sempadan.

Bahasa itu indah.

Bahasa itu bagi aku bukan untuk telinga semata-mata. Kita manusia,
bukan haiwan dan ternakan yang bila dibunyikan hon, baru terhegeh-hegeh melintas jalan, jangan sama diri kita seperti itik pulang petang.

Pada persepsi aku, bahasa itu tepatnya untuk akal. Akal itu untuk berfikir agar kita sentiasa berzikir. Biar otak ini penat untuk memahami susanan bahasa yang bermakna daripada berlenggang membaca atau mendengar sekadar halwa tel
inga, kemudian hilang entah ke mana.

Bila alam berbicara

Cuba kau bayangkan, kalau bumi ini dipinjamkan bahasa. Adakah telinga-telinga capang manusia akan mendengar..

"Wahai manusia, jutaan terima kasih tidak terhingga kerana kebaikan dan ihsan kau terhadap aku. Kau memang makhluk bersyukur."

Jika pepohon kecil di rimba memiliki kemampuan bicara , ada
mungkin kita bisa mendengar seperti ini ?

"Aku gembira, aku tidak berduka, kerana manusia banya
k berjasa kepada nenek moyangku selama ini."

Jangan kau bermimpi mendengar pujian ini. Kalau manusia sendiri yang meluah, belum tentu yang sejenis sudi menadah telinga, ini pula mahkluk bisu yang sering kita mangsakan mereka.

Kini, aku cuba mencari bahasa, agar aku bisa mendengar rintihan bumi, tangisan udara dan esakan tanah. Aku juga mahu menangkap bait tangisan
jiwa si jutawan haloba dan kidung girang si fakir di sudut dunia.

Aku cari jiwa yang hilang .

akhirnya ia bermusafir juga ke bumi Irbid

Terima kasih Rasydan atas pemberianmu,
kalau kau lakarkan pelangi, aku tulis keindahannya.

Wednesday, February 18, 2009

Kembali

Hela.

Lega.

Syukur, aku masih berumur.

Bangunkan aku kala dengkur.

Semester baru sudah ku jejak, meninggalkan liku lepas yang masih membekas.

Cuti di Malaysia aku?



Destinasi pertama sejurus tiba di Malaysia

Aku kagum dengan mereka, tabah dan cekal. Aku belum tentu setabah mereka..

Alhamdulillah. Ini sahaja yang aku rakamkan terpateri di lensa kamera, yang bakinya aku simpan dalam memori yang hanya sekelumit ini, agar aku rujuk kembali dalam rajuk dari benar yang aku lepasi.

Ini pula?


Terima kasih kalian yang memberi, akan ku kenang hingga nyawa bertukar mati.

Aku tidak membawa sebarang figura, maaf, harap salam terima kasih aku jadi galang ganti kenangmu atas ku.

Namun, aku masih meminta lagi dari kau yang ku gelar kawan. Aku mohon kau terus memberi sesuatu yang tidak dapat disentuh dan dipandang dengan pancaindera, namun bisa menyentuh pandangan mata hati. Acap kalilah memberi teguran, nasihat, biar keras asal aku bisa merubah diri khilaf kepada manusia insaf, yang tahu ajal bakal menjemput meski usia baru sejemput.

Jangan kau kedekut untuk melemparkan sepatah dua pandangan dan teguran kau biar kita berbeza. Aku tamak, kerana aku enggan rugi kala sudah digelar si mati. Biar kita saling memberi, jangan jadi si bakhil yang gila si pencinta materi.


-terima kasih atas kunjungan meski laman ini kian sepi. Akan ku cuba hidupkannya dengan bilah bahasa yang sedang dikaji.





Monday, February 16, 2009

Lakaran Dua Benua

“ Tengah hari nanti Mama yang jemput Awi ye. Papa ada meeting tengah hari ni. Jangan nakal-nakal kat kelas.”

BMW biru meluncur laju, meninggalkan tampang kerdil berkemeja putih bersih di bahu jalan. Mentari masih malu-malu menjengah bumi, embun masih menitik dari dedaun hijau di saat bayang rembulan sudah berlalu pergi, segala-galanya menyempurnakan kitaran yang saling melengkapi demi menghidupkan suasana permai di tanah pertiwi. Malangnya semua fitrah indah itu terpalit dengan segala macam noda pencemaran yang menghiasi langit dunia dan hamparan tanah.

Awi melangkah kecil memasuki pintu pagar sekolah, jemarinya sekuat upaya menarik beg troli berlambangkan Spiderman, hero sanjungannya. Ketangkasan dan kelincahan makhluk aneh itu mengikat tali minatnya. Peti hati kosong dan lopong miliknya diwarnai cahaya ceria tatkala menyaksikan idolanya berpahut dan bergayutan di celahan bangunan pencakar langit. Kagum.

Pagi itu adalah pagi yang sama seperti pagi yang telah berlalu, tiada beza bagi anak kecil itu. Datang kelas adalah satu rutin agar dia tidak sunyi di rumah, supaya batang tubuhnya tidak bertemankan dinding bisu dan sepi pagi yang terlalu memeritkan jiwa kanak-kanak mentah seusianya. Papa dan Mama sudah terbang ke dunia mereka , masing-masing berlumba-lumba menerjah ke alam kerjaya bagi melakar pelangi indah . Lewat petang baru mereka pulang, namun salah seorang pasti ada yang menghilang.

Kaki comelnya melangkah masuk ke kelas yang dihiasi pelbagai warna.

Mata bundarnya memerhati rakan-rakan sekelasnya, ada yang gemuk gedempol sedang ralit mengunyah sandwich berintikan ikan tuna, ada juga yang tekun menekan alat permainan eletronik yang semakin digilai kanak-kanak pascamoden , semuanya bermacam ragam dan bersifat sempurna material serta fizikal, hakikatnya ada yang menderita jiwa dan akal.

“Assalamualaikum. ” suara seorang gadis memecah suasana.

Salam itu disambut oleh kegirangan murid-murid Tahun 1 Laksamana . Cikgu Kartini meletakkan buku dan tas tangan di atas meja lalu memandang anak didiknya . Sebaris senyuman manis dihadiahkan , disambut dengan senyuman lebar yang menampakkan barisan gigi rongak sesetengah kanak-kanak comel di hadapannya. Guru Pendidikan Seni itu cukup disenangi kerana watak ramahnya dan senyuman manis yang mencairkan hati nakal murid-muridnya.

“Baiklah murid-murid. Pagi ni Cikgu nak kamu semua keluarkan kertas lukisan dan letak atas meja. Kemudian, semua kena pejamkan mata dan bayangkan apa yang kamu semua impikan dalam hidup. Sesuatu yang istimewa untuk dilukiskan.” terang dan pinta Cikgu Kartini.

“Kalau saya nak lukis puteri cantik macam Sharmila dekat istana boleh Cikgu?” Nubhan yang selalu menyakat murid-murid perempuan menyoal sambil memandang kepada Sharmila yang duduk di jihat kirinya. Kawan-kawan lain tertawa lalu memecah kesunyian pagi.

“ Saya nak lukis Ultraman, tak pun Power Rangers. Eh..tak jadilah, saya nak lukis Batman”. Kamil pula bersuara.

“ Cikgu tak kisah kamu semua nak lukis apa sahaja. Yang penting, sebelum habis kelas, Cikgu nak tengok. Paham semua?”

“ Paham Cikgu!” teriak murid-murid sambil memejamkan mata masing-masing.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Kornea matanya masih tertancap pada kertas putih , pada jemarinya terselit sebatang pensil kontot. Saat itu. tubuhnya ibarat tidak bernyawa, kaku membisu buat seketika waktu. Rona mukanya berubah tatkala diminta oleh gurunya untuk melakar apa yang sering terngiang-ngiang di halaman mindanya. Matanya dipejam erat, raut mukanya mencengkam atma sesiapa yang melihat, seolah-olah membayangkan terlalu banyak liku yang bersarang di benak igaunya, atau yang tepatnya terlalu banyak peristiwa yang berperang dengan kelembutan jiwa anak kecil sebarisnya.

Beberapa jeda kemudian, jari comel itu mula melakar sesuatu meski penuh berat bak dihempap bebanan perasaan. Hamparan putih itu mula dihiasi coretan dan garisan yang akhirnya bercantum membentuk satu lukisan yang sudah pasti mewakili biasan potret lensa jiwanya.

Langit luas dihiasi dengan pesawat udara, di bawahnya berpuluh runtuhan bangunan dan rumah melengkapkan saujana. Ada ketulan-ketulan kecil yang bersepah di tanah. Barangkali ketulan-ketulan itu adalah tubuh-tubuh merah syuhada’. Itulah rakaman yang terpancar dari corong luahan hati kecilnya.

Tiba-tiba, lakaran itu merebak, dibasahi oleh titik-titik jernih yang mengalir deras. Bahu kanak-kanak itu terhenjut-henjut menahan hiba. Tiba-tiba dia berlari meninggalkan gurunya yang setia menemani sedari awal tadi. Itulah badai yang semakin melanda kanak-kanak seusianya. Trauma!

Qayyim, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu baru melepasi satu ujian dan tarbiyah air mata. Abi dan Umi masih belum pulang lagi walau puas dia menanti. Realitinya, mereka sudah pulang ke pangkuan Ilahi. Serangan berpadu dan melulu oleh tentera syaitan selama dua puluh hari di langit angkasa, tanah dunia dan lautan benua menghancurkan tanah airnya dan telah meragut hampir 1,300 saudaranya termasuk Abi dan Umi. Hampir 300 rakan-rakan sepermainannya turut dijemput ke firdausi dalam acara yang dinanti-nanti oleh rejim Zionis .

Peperangan yang disaksikan oleh ramai penonton bisu di segenap ceruk benua memberi impak kepada kanak-kanak seusia Qayyim. Program Kesihatan Mental Gaza dilancarkan bagi mengesan dan membantu kanak-kanak yang mengalami trauma kesan melalui ujian getir tatkala bergelut dengan hujan peluru dan udara gas fosforus yang bisa menghiris litupan epidermis manusia.

Melukis.

Lakaran yang sering menggambarkan apa yang terbuku di hati mereka bagi membantu petugas menilai perilaku mangsa kekejaman tentera tanpa perimanusia. Kanak-kanak yang mencoret lakaran bunga dan rama-rama tidak bermakna mereka gembira, lukisan itu boleh menggambarkan apa yang mereka impikan, keindahan dan kedamaian yang diragut dalam padang hidup mereka.

Qayyim dan rakan-rakannya bukan kanak-kanak luar biasa dan ajaib yang mampu tersenyum dan ketawa girang tatkala letupan bom singgah di taman permainan mereka. Mereka bukannya manusia yang tiada seketul darah yang bernama hati yang mampu gembira tatkala melihat tubuh Abi mereka ditembak bertalu-talu hingga tubuh terjelupuk menyembah bumi, roh kembali ke alam suci. Mereka hanya kanak-kanak biasa, insan kerdil yang ditarbiyah dengan limpahan darah.

* * * * * * * * * * * * * * * * *

“Mama, cantik tak lukisan ni? Awi yang lukis pagi tadi. Mama, cantik tak?”

“ Cantik.”

“ Ala, Mama tak tengok pun. Mama, tengoklah..”

“ Kan Mama dah cakap cantik, Mama tengah drive ni, jangan ganggu boleh.”

Awi hampa. Nafsu untuk bercerita tentang lukisan itu kepada ibunya termati serta-merta. Hanya deruan penyaman udara yang berpadu dengan gema suara juruhebah radio yang asyik berceloteh tentang gosip artis tanah air menemani perjalanan mereka ke rumah.

Proton Perdana hitam membelok masuk ke sebuah banglo agam, sekitar halamannya dihiasi pelbagai jenis orkid seperti Phalaenopsis Timothy Christopher, Bulbophyllum Meen Garuda, Phalaenopsis bellina, yang memukau saujana mata yang memandang. Pintu kereta di buka, lalu kelihatan langkahan kecewa anak kecil menuju ke dalam banglo berkenaan lalu ditelan kesunyian. Puan Zahrah membiarkan sahaja perilaku anaknya, di mindanya tertepu dengan urusan kerja yang berselirat di selaput pemikirannya.

Lewat petang, deruman enjin kereta mematahkan kesepian banglo mewah itu. Puan Zahrah menyambut suaminya pulang meski jarang dilakukannya. Maklumlah, banglo berkenaan ibarat rumah nombor dua bagi suaminya.

Segelas jus oren dihidang di atas meja kecil yang diperbuat dari kayu jati. Suaminya meneguk sedikit jus lalu mencapai akhbar, Puan Zahrah masih menemani di sisi.

"Mana Awi?"

"Ada kat atas, dia merajuk tadi?"

"Why?"

"Entahlah, budak-budak bang."jawabnya Puan Zahrah sambil membelek-belek sisipan akhbar yang berbaki di atas meja.

" Banyak sangat kes bunuh sekarang ni kan bang. Takut I dibuatnya. "

" You nak takut apa? Tu bukan kat Malaysia, jauh sangat dari sini ."

" Eh, macam pernah nampak je ni! "

Dia terkesima.

Puan Zahrah bergegas mencapai kunci kereta lalu menuju ke keretanya. Suaminya hanya memerhati lalu menyambung pembacaannya. Sejurus kemudian, dia kembali ke posisi asal, membelek-belek akhbar tadi.

Bang, sama!

Memang lukisan Awi yang diambilnya tadi menyerupai apa yang terpampang di dada akhbar. Runtuhan bangunan dan mayat yang bergelimpangan dihalaman kolum luar negara saling tidak tumpah dengan apa yang dilukis oleh anak tunggalnya. Bezanya, ada dua lukisan mayat yang bersaiz besar mencuti pandangan mata. Satu lukisan mayat terputus kepala manakala satu lagi terbelah dua!

Mata Puan Zahrah tertangkap pada tulisan kecil beranak panah yang tertuju pada dua tubuh kecil mayat yang dilukis anaknya.

Mama!

Papa!

Puan Zahrah terkesima. Jernihan panas mengalir deras. Suaminya hanya membulatkan mata dengan penuh tanda tanya.