Friday, June 25, 2010

Dan bila mereka mengajar tanpa bicara...

Bicara soal inspirasi,
emak dan abah adalah insan yang banyak memberikan contoh.

Emak baru-baru telah melakukan pengorbanan yang luar biasa,
meskipun sudah berusia 40-an, dia mula menjejakkan kaki
dalam dunia perniagaan 3 bulan lepas.
Memasuki HPA sebagai ahli biasa, dalam tempoh 3 bulan,
emak malam esok dianugerahkan pangkat pengarah jati dalam satu majlis khas di hotel Gunung Ledang,
anak buahnya kini mencecah ratusan,
kalau diawal waktunya, emak pergi ke dari rumah ke rumah mempromosi,
kini bebanan itu berkurang sedikit apabila emak bergelar pembekal dan penyelia kepada anak-anak
buahnya, dan menguruskan kursus dan juga ceramah promosi kepada ahlinya.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas segala nikmat yang tak terjangka.

Alhamdulillah, emak diberikan seorang suami, abah yang sangat menyokong dan mendokong. Kalau ada masa, abah akan menemankan emak ke kursus, rumah-rumah anak buahnya, dan abah juga menjadi pengganti emak menjaga tiga orang permata di rumah sewaktu kesibukan melanda. Dia menjadi seorang guru di sekolah, dan juga guru di rumah, mengajar anak-anaknya erti sebuah pengorbanan dan kesabaran.

Saya bertanya kepada emak, apa matlamatnya menceburkan diri dalam dunia yang tidak pernah terlintas difikirannya sebelum ini,
" Memperjuangkan produk muslim, fardu kifayah . " ujar emak, menghadam misi yang disemat dalam kursus barangkali.
Dan saya tahu emak juga berusaha menaik taraf ekonomi keluarga kami.

Emak dan abah, mengajar anak-anak erti kesabaran, dan nilai sebuah kehidupan .
Dulu di saat abah terlantar di hospital berbulan, emaklah peneman siang dan malam.
Kini di saat emak sibuk dengan urusan, abahlah yang menjadi penguat untuk emak meneruskan perjuangan.

Dan saya di Jordan , menghirup udara ketabahan dan keikhlasan mereka dalam mengharungi kehidupan dalam usaha menjadikan kami adik-adik beradik sebagai insan berguna.

Moga emak terus berjaya,
Moga abah tenang bersama keluarga tercinta,
Moga adik beradikku menghargai titik penuh dan linangan air mata mereka.
Moga aku menjadi insan yang tidak lupa pada mereka meski jauh terdampar di sini.

" Ya Allah, ampunilah dosaku dan kedua ibu bapa, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa kecil ."


Ya Allah, temukan kami di kembali Ramadhan ini andai itu yang terbaik,
dan temukanlah kami di syurga-Mu.

~ rindu yang mencengkam jiwa, hanya doa yang terbang melangit pulang, jasad dan jiwa di sini harus berjuang ~

Wednesday, June 23, 2010

Pilihan

Hidup ini adalah saat dan ketikanya untuk membuat, dan setiap pilihan yang kita lakukan akan ada kesannya.
Berbicara tentang pilihan dan membuat keputusan, banyak perkara perlu dipertimbangkan.
Hidup dan pilihan itu memang berkaitan,
Memilih untuk hidup berTuhan atau bebas tanpa ikatan,
Memilih untuk menjadi Muslim dengan sebenar-benar kefahaman atau sekadar muslim warisan,
Memilih melakukan ketaatan atau mengundang kemurkaan,
Memilih untuk berlari ke destinasi atau menyembunyikan diri , membantutkan potensi diri.
Itulah kehidupan, kita dihidupkan dan diberikan pilihan.

Persoalannya, dalam membuat pilihan apa yang harus diutamakan?
Adakah apabila keperluan dan kehendak diri dijadikan kayu ukur dalam membuat pilihan,
Yang lain diketepikan, ibu bapa ditolak ke tepi, keperluan masyarakat bukan lagi satu fokus yang perlu dipertimbangkan, yang paling malang agama tidak dijadikan asas dalam membuat pilihan.

Dan adakah apabila kita membuat pilihan berasaskan pertimbangan agama, keperluan masyarakat dan ibu bapa, bermaksud keperluan dan kehendak diri sendiri akan dikorbankan?

Mengapakah tidak disatukan semua komponen itu di dalam satu kalimah yang dinamakan Ad-Deen.
Agama sebagai cara hidup, sistem nilai pandangan kita terhadap diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat itu disatukan dalam nafas kehidupan yang dipandu oleh agama Allah yang berdiri berasaskan Syariatullah dan Sunnahtullah. Tiada percanggahan, malah menjamin keselamatan. Bukankah Islam sebagai jaminan.

Andai kata kehendak diri itu bercangggah dengan apa yang agama gariskan, ibu bapa harapkan dan masyarakat perlukan, nilai semua sejauh mana kehendak diri itu benar-benar memberi manfaat atau sebaliknya memudaratkan.
Letakkan penghujungnya apa yang ingin dicapai seawal membuat pilihan.

Dan pilihlah agama, kerana ia satu jaminan permulaan yang baik untuk membaja cinta dari dunia hingga ke syurga.

Thursday, June 17, 2010

Hati

Hati.

Bila ia berbicara, minda tidak perlu runsing untuk menyusun kata.Tanpa kita sedar, bibir mengungkap makna seribu bahasa. Segala-galanya bermula apabila ia menjerit ke seisi dunia ,“ Aku rindu pada jalan benar yang harus jasadku tempuh. “

Aku hanya manusia yang bernafas dalam jiwa hamba. Ya! Tidak lebih dari itu.Hanya peminjam dari Tuan Empunya yang maha kaya. Di atas dunia yang ku pijak ini, banyak lompang yang telah ku lalui, banyak tikungan yang menghias masa ku yang sekelumit ini.Aku percaya setiap manusia itu memiliki jalur hidup yang berbeza. Ada yang bermula dari lembaran putih, dicorakkan dengan warna indah dan anggun oleh ibu dan bapa, lantas menjadi manusia berguna pada bangsa, agama dan negara. Ada juga yang sebaliknya, kelam dari cahaya, hilang ditelan masa. Bagaimana jalur hidupku? Kau pula bagaimana ?

Sewaktu kecil, aku selalu bercita-cita untuk menjadi si dia, sesudah meningkat sedikit dewasa aku mahu pula jadi si dia yang lain. Ah, hidup ini memang aneh, banyak yang mahu kita kejar, banyak yang kita lipatkan dalam impian. Oleh kerana terlalu banyaknya yang kita mahukan, hingga kita lupa apa yang sebenarnya hati kita rindukan. Ya! Rindu.

Kau pula bagaimana agaknya? Sudahkah kau gapai apa yang kau impikan sekian lama? Atau kau tak punya masa untuk menilai apa yang telah berada di dalam genggaman?Atau kau tidak pernah menyimpan sebarang impian yang mahu diubah menjadi kenyataan? Pernahkah kau tanyakan semua itu pada hati kau yang satu ?

Atas dasar rindu pada apa yang aku mahu, aku tuliskan helaian-helaian ini sebagai pengubat rasa yang membungkam jiwa. Semoga di saat aku membacanya, aku bisa nilai kembali setiap langkah yang aku buka, setiap masa yang aku guna. Hidup ini harus dimuhasabahkan senantiasa. Jika tidak, kita akan hanyut dengan arus dunia dan akhirnya lemas tanpa kita sangka.

Buat kau yang membaca, semoga ada ranting-ranting dan dedaun rasa yang boleh kau ambil sebagai bekalan di perjalanan yang panjang. Apa yang berlaku pada aku adalah milik aku, namun kau berhak mengambil pengajaran dari itu.

Semoga helaian-helaian rindu ini akan membuka hati kita agar mencari erti sebuah cinta yang hakiki.

“ Rindu pada damai hembusan Tuhan, membuat kita bernafas dalam jiwa hamba “


~ ni copy paste dari koleksi-koleksi tulisan reject, tak sempat nak menulis.. sori :)

~ esok last paper : etika perubatan

~ esok kembali menjadi presiden untuk sebulan berbaki

~ esok mula cuti dua minggu yang menggembirakan barangkali