Sunday, September 20, 2009

5 unik di hari lebaran





5 unik raya kali ini buat saya :

1) First time raya keseorangan, semua budak lelaki batch saya pulang ke kampung halaman. huhu
2) First time lead takbir raya versi Melayu di Masjid Yarmouk, cuak juga.
3) Beraya dengan junior tahun satu yang baru seminggu tiba, rumah yang sunyi sepi jadi meriah.
4) Ronda-ronda di pagi raya hingga perut hampir nak pecah :)
5) Baru usai solat sunat raya, Arab dah peningkan kepala tentang kerja. Arab memang tak suka raya Aidilfitri kah? hehe



Saya dengan tulus ikhlas mengucapkan SELAMAT HARI RAYA , MAAF ZAHIR DAN BATIN!

Thursday, September 10, 2009

Nostalgia Ramadhan

Ramadhan.

Sudah sampai 10 hari yang terakhir.

Saya ada nostalgia Ramadhan semasa saya kecil dan comel. Saya rindu dengan kenangan lalu yang mengajar saya banyak perkara.

Saya ingat lagi masa mula-mula saya belajar berpuasa, lebih kurang masa di bangku Tadika. Abah berikan saya dan kakak seringgit seorang kalau berjaya puasa penuh.
Semasa di kelas, ramai kawan-kawan yang bawa bekal dan botol air. Gulp.

" Kenapa kau tak bawa ape-ape? " seorang kawan bertanya.

" Aku puasa la. Ni kan bulan puasa. " saya menjawab sambil menjeling bekas makanannya.

Namun setibanya di rumah, dapur jadi destinasi pertama, periuk nasi jadi sasaran di tengh hari :) .Petang sebelum berbuka saya meminta Abah berikan saya 50 sen kerana puasa separuh hari.
Akak saya dapat seringgit kerana puasa penuh.
Lama kelamaan semakin meningkat dewasa saya sudah berpuasa penuh tanpa dapat walau sepuluh sen kerana saya sudah memahami puasa itu bukan kerana mendapat upah yang kita nampak dengan mata, tetapi ada ganjaran yang diberi buat bekalan di hujung sana.

Masa saya di usia lebih kurang darjah dua, di bulan Ramadhan ini saya akan membantu emak saya berniaga kuih di hadapan rumah kami. Ketika itu saya duduk di pekan yang majoritinya kaum Cina. Meniaga kuih sebegini memang menggugat iman, bayangkan ketika perut sedang berkeroncong, kuih-kuih kegemaran yang masih suam-suam dan hangat-hangat ada di depan mata.

Alhamdulillah, berniaga memang menguntungkan. Pembeli terdiri daripada kalangan lapisan kaum, Melayu , Cina dan juga Indonesia. Namun satu hari yang agak menyedihkan ketika berlaku kesilapan dalam pemulangan wang, akak saya tersilap kembalikan wang not 50 yang sepatutnya not 5 sahaja. Orang itu berlalu pergi tanpa kembali. Kami kerugian hari itu. Pernah juga payung tumbang disebabkan angin yang kuat, lalu ada bekas kuih yang jatuh ke tanah tanpa sengaja. Memang rezeki milik Allah, kita manusia harus usaha. Natijahnya, kami adik beradik shopping raya dengan keuntungan jualan kuih sepanjang sebulan Ramadhan. Alhamdulillah.

Pernah juga di bulan puasa saya menolong abang angkat saya menukang rumah.
Letihnya memang tidak terkata. Banyak perkara saya belajar, bagaimana membancuh simen, memotong besi, gergaji kayu, panjat sana sini. Itu kenangan indah dan tinggal kenangan kerana dia sudah pulang ke negara asalnya, Indonesia.

Saya rindukan Ramadhan saya bersama keluarga. Susah senang bersama mereka.
Sahur bersama-sama, berbuka bersama-sama.

Adik-adik saya yang masih kecil sekarang ini melalui pengalaman berbeza.


Minggu lepas saya berbual dengan Afiq,
" Abang Naqeb, Afiq tak puasa, mak tak bagi sebab kalau Afiq puasa Afiq macam nak mati ."

Yang abangnya Najib pula baca niat mandi wajib bila diminta untuk niat berpuasa depan nenek,
mentang-mentang baru belajar di sekolah agama. Habis tergelak nenek dibuatnya. Alahai adik-adikku. Rindu.

Ramadhan di Jordan

Ramadhan kali ini saya berjauhan dengan keluarga.
Beribu-ribu kilometer jauhnya.

Mereka di Malaysia, saya di timur tengah.

Kotak hari raya sudah saya terima, baju raya, sekeping kad besar dengan berlagu irama, kuih raya buatan Emak dan gambar-gambar keluarga.
Semua itu pengubat rindu, membawa bekal semangat untuk terus memburu cita.

Cuti kali ini, jadual saya dipenuhi dengan tugasan untuk sambutan pelajar baru.
Jumlah pelajar yang tidak pulang ke Malaysia lebih kurang 60 orang.
Manakala kehadiran pelajar baru dijangka lebih kurang 200 orang.
Maka, segala tenaga harus dicurahkan sebanyak mungkin demi memastikan segala-galanya berjalan lancar.

Ramadhan kali ini juga banyak jemputan berbuka puasa.
Di rumah pegawai-pegawai dan sahabat handai. Juga jemputan dari masyarakat Arab sekitar.
Merekalah keluarga saya di Jordan, yang memberikan dorongan untuk terus berkelana dalam empat tahun berbaki.

Nostalgia itu memang indah.
Namun bukan untuk dikenang semata-mata.
Tetapi untuk dimuhasabahkan senantiasa, agar tidak bergelar lupa daratan.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Ayuh, gunakan masa Ramadhan yang berbaki dengan sebaiknya, kerana mungkin ini Ramadhan terakhir kita.

Kerja Tuhan siapa tahu?

Monday, September 7, 2009

Selamat Datang



Alhamduillah.

Bilangan pelajar Melayu di Irbid sudah mula bertambah lebih kurang 30 orang.
Masih ada lebih kurang 180 orang pelajar baru masih belum tiba.
Kami di sini sedia menanti kalian semua, saya doakan perjalanan kalian ke bumi Irbid ini selamat.

Begitu juga buat sahabat-sahabat yang sedang bercuti di Malaysia.
Saya rindukan kalian yang mewarnai bumi Irbid ini.
Buat masa kini, sukar untuk melihat wajah Melayu yang biasa memenuhi syari3 jamiah.
Panasnya bersalam tangan di Masjid Jamiah juga tidak sehangat biasa dek kurang bilangan kita.

Namun, sunyi ini hanya sementara sahaja.
Ya, insyaAllah dengan izin-Nya.

Bumi Irbid ini akan dipenuhi semula oleh warga Malaysia.
Jumlah kita bakal mencecah 600 orang.
Kuantiti kita akan bertambah mendadak, moga kualiti juga mampu ditingkatkan.

Barat VS Timur Tengah

Saya yakin masing-masing yang akan menyambung pelajaran ke timur tengah seperti Jordan, Mesir, Syria, Madinah dan lain-lain lagi ada tujuan dan matlamat kita sendiri.

Ada yang memasang cita-cita untuki faqih dalam bidang agama meski bakal bergelar doktor perubatan mahupun pergigian.
Ada yang berniat untuk bertalaqi dengan sheikh-sheikh besar bagi mengisi ruang selepas kuliah wajib.
Masing-masing ada cita-cita, ada harapan yang dibawa.

Saya pernah berbincang denagn kawan saya tentang satu isu.

Isu tentang pandangan tentang graduan dari luar negara.

Lihat sahaja cerita-cerita di kaca televisyen, kalau mahu tunjukan watak yang tidak baik, yang terpengaruh dengan budaya asing, maka nama-nama Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara Eropah lain akan dijadikan contoh.
Pulang dengan pakaian yang tidak cukup kain, bahasa Melayu sudah hilang bunyi aslinya, bahasa Inggeris yang longahtnya mengalahkan pemilik bahasa itu sendiri, kurang kefahaman agama dan hilang jati diri.

Jika ada watak yang cacat celanya bila pulang dari luar negara, pasti ada keperluan untuk tunjukkan watak yang hampir sempurna pula. Begitu bukan pasangannya?

Lalu, munculah watak lelaki yang baik akhlaknya, tinggi budi pekerti dan luas ilmu di dada yang berlatar belakangkan pendidikan dari kuliah di Mesir, Jordan , Madinah dan Syria.
Maka cerita itu hampir sempurna, ada watak yang negatif dari barat dan yang positif dari Timur Tengah.

Sempurnakah?

Benarkah semua itu?

Atau hanya diwar-warkan sahaja, sekadar pemanis cerita atau bual bicara yang tidak ada hujung pangkalnya.

Sudah beberapa drama yang saya telah tonton menunjukkan situasi yang serupa.
Seolah-olah telah menggariskan sempadan pemisah, pulang dari sini menjadi wali,
pulang dari sana menjadi hina.

Saya tidak mahu memberikan jawapan, kerana jawapan kadang-kadang tidak memberi makna kerana sesetengah orang akan berhenti untuk berfikir apabila disuap denagn jawapan yang belum tentu tepat dan benar.

Oleh itu saya lontarkan persoalan.

1) Benarkah yang melata di bumi Timur Tengah itu semuanya menggunakan peluang yang terbentang luas untuk mendalami ilmu agama? Atau ada juga yang sekadar hadir dan berfoya-foya memandangkan wang di tangan sudah bertambah?

2) Semuakah yang berhijrah ke Eropah itu hilang jati dirinya? Benarkah yang di Barat sana tiada ruang untuk mendalami ilmu agama?

Ah.

Jangan bertanya tentang orang lain, tuju sahaja buat diri kita di mana kita berada?

Benarkah apa yang kita cita-citakan itu kita benar-benar mahu laksanakan?
Atau hanya sekadar pembohongan besar dari diri kepada diri sendiri.

Jangan bohong.

Jujur pada diri.

Friday, September 4, 2009

Lagu Rindu

Dalam selimut malam,
Hati merajuk rindu,
Pada terangnya siang,
Yang menunjuk jalan pulang.

Pada jauhnya jasad-jasad,
Jiwa meruntun rindu,
Menggapai memori lalu,
Jauh beribu batu.

Kuatkan aku,
Wahai Pemilik Hati,
Rindukan aku,
Pada cinta-Mu,
Agar rindu lain,
bernilai dalam nafasku.

Wednesday, September 2, 2009

Mentaliti


Ada yang memberi komen di shoutbox mengatakan blog saya sudah banyak menulis hal peribadi, rindu tulisan ilmiah katanya. Maaf saya pinta, sebulan dua ini masa saya agak suntuk dan padat.
Artikel yang berbentuk peribadi dan santai itu hanya sebagai catatan perjalanan saya dan proses untuk saya menghilangkan tekanan, jika ada sedikit manfaat, ambilah. Jika tidak, abaikan sahaja, izinkan saya menulis sebagai diari yang akan saya rujuk kembali sebagai mengenang memori.

Menulis itu memerlukan ruang berfikir. Sama juga untuk melakukan sesuatu perkara.
Ada sesetengah perkara memang mampu kita lakukan tanpa memerlukan kita berfikir secara kreatif dan kritis.

Mahu buat ini, buat sahaja. Memang terjadi, kerana kita sudah terbiasa.

Mahu ke majlis lewat, datang sahaja lewat setengah jam dari masa yang telah ditetapkan.
Tidak perlu berfikir panjang, janji datang.

Mahu buat program itu dan ini, buat sahaja. Rujuk sahaja program-program yang lalu, tukar sedikit itu dan ini. Janji ada, janji jadi. Lepas tanggungjawab. Fuh, lega.
Hasil tetap serupa dari tahun sebelumnya.

Itu baru bicara mahu melakukan sesuatu tanpa berfikir dalam-dalam, tajam-tajam. Bagaimana pula bila tidak mahu melakukan itu dan ini, mesti ramai yang langsung tidak mahu berfikir kenapa perlu untuk berfikir dahulu.

Fikir kenapa perlu berfikir

Bicara soal mentaliti, kita bukan bicara soal cara berfikir seorang dua, ia terangkum dalam kelompok yang ramai. Kerana pengaruh komuniti itu sendiri mampu menyerap ke dalam batang tubuh setiap anggota di dalamnya.

Cuti ini memberi saya ruang untuk menonton Cinta Sempurna, drama sempena Ramadhan. Drama ini berdiri teguh di atas idea asal Ustaz Hasrizal.

Ada perkara yang ingin saya ketengahkan, Shila, watak seorang perempuan yang kurang faham agama dan berniat untuk menyindir Islam dengan soalan-soalan tertentu kepada Ustaz Nazir, seorang pendakwah muda.

" Kenapa perlu pakai tudung ? "
" Kenapa solat lima waktu? Orang solat ada yang tak berjaya dalam hidup "

Soalan di atas tidak ada keperluan mendesak untuk menjawabnya di saat ini. Kerana satu persoalan tidak diketengahkan terlebih dahulu, apakah tujuan hidup?

Jika seseorang itu sudah faham apakah tujuan hidup, maka persoalan tidak menjadi sia-sia untuk dijawab dan diterangkan sejelas-jelasnya.

Begitu juga dengan setiap perkara yang kita cuba ubah.

Saya ingin memberikan contoh yang mudah.

Kita mahu komuniti kita bersifat menepati masa.
Tulislah sebanyak mana artikel tentang masa. Buatlah poster sebanyak mana.
Hukumlah siapa yang lewat ke majlis dan program.

Semua itu tidak akan berguna, jika kita gagal merubah sesuatu.

Apa itu?

Mentaliti.

Jika satu komuniti itu seolah-olah sudah bersetuju, setiap program itu, pasti akan lewat bermula.

Jam 9.00 pagi tertulis di tentatif.
Semua sudah yakin dan percaya, paling awal 9.30 baru bermula.

Siapa datang awal adalah mangsa keadaan.

Siapa yang datang 9.30 adalah bijak menilai keadaan.

Itu adalah mentaliti yang telah disepakati secara diam-diam bahasa, tetapi terang-terang peri lakunya.

Lalu, untuk mengubah keadaan, apa langkah pertama.
Haruskan menghukum mereka yang lewat. Atau membiarkan sahaja ia terus kukuh sebagai budaya.

Maka, bagi saya, langkah pertama adalah untuk mengajak semua yang terlibat untuk " BERFIKIR KENAPA PERLU BERFIKIR ".

Sesetengah orang membuat sesuatu kerana ikut gerak manusia di sekitarnya.
Orang lain lambat, aku lambat.
Orang lain pengkhianat, aku pengkhianat.
Pengkhianat masa!

Menembak akal manusia untuk berfikir tidak semudah menembak batang tubuhnya.
Sesetengah orang egonya tinggi melangit seperti watak Shila dalam Cinta Sempurna.

Namun, untuk mengubah mentaliti orang lain, langkah pertama adalah dengan mengubah mentaliti kita.

Ubah mentaliti agar percaya bahawa, " Tidak mustahil untuk mengubah mentaliti yang tidak membangun diri ! "

Rindu



( Ramadhan lalu. Kenapa ada kegelapan sedikit di wajahku berbanding yang lain, kesan berjemuran di Jordan kah :)