Thursday, April 30, 2009

Buah Tangan Untuk Kalian


Satu jam lagi saya akan menyertai kontijen Irbid akan bertolak ke Mu'tah.

" Kami Datang Bukan Sekadar Tetamu " akan melengkapkan lagi " Kami Datang Kerana Ukhuwah".

Sudah 3 hari berlatih di padang JUST bersama ahli-ahli skuad team A dan team B Irbid, esok adalah harinya, Bola Sepak Piala Duta akan berlangsung.

Sama-sama doakan kejohanan kali ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Memandangkan blog ini akan saya tinggalkan buat tempoh 2 hari, saya ada buah tangan buat pengunjung halaman MRP ini. :)

1. Mungkin Nanti
( sempena kunjungan sahabat saya Apai yang baru lepas operate lututnya )



2. Kasih Muna
( Cerpen ni saya cubaan pertama saya untuk projek cerita kanak-kanak. Tapi selepas dirujuk Hilal, dia kata cerpen tak sesuai untuk kanak-kanak. Tema agak tinggi. Dari aspek bahasa pun saya adalah masalah untuk menyesuaikannya. Maklumlah, saya tak rajin membaca semasa zaman kanak-kanak, tengok Sin Chan dan Doraemon tu adalah..:) Kalau kalian berkesempatan, kongsilah padangan tentang cerpen ni atau apa-apa berkaitan aspek kecenderungan membaca bagi kanak-kanak, walaupun kalian sudah dewasa dan boleh bergelar ibu bapa. :) )

Kasih Muna

Kringgggg !!!!


Loceng kelas berbunyi, menggegarkan seluruh kawasan sekolah. Bunyi derapan tapak kasut sekolah pelbagai jenama kedengaran menggamatkan kaki lima. Ada yang berlari-lari sambil memegang punjut air sirap merah di tangan kiri, ada yang masih menyuap karipap ke mulut mulus sambil berjalan lenggang menuju ke bilik darjah.


" Berdiri semua " laung seorang murid lelaki yang bertali leher merah.


Murid-murid yang lain menuruti sambil serentak mengalun " Selamat Pagi Cikgu ".


" Selamat pagi ." sambut Cikgu Murni, guru kelas 1 Tawakal dan juga guru yang bertanggungjawab mengajar subjek bahasa ibunda tercinta, Bahasa Malaysia.


" Ok, hari ini cikgu nak kamu semua keluarkan buku karangan. Kita akan tulis satu karangan. "


" Nak tulis pasal apa cikgu? " Mukhlis , murid yang begitu aktif dalam bertanya sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran sudah ghairah untuk memulakan tugasan yang diberikan.


" Tulis pasal makwe saya boleh tak Cikgu ? " celah Dani, si cilik yang memang terkenal dengan kenakalan mengusik murid-murid perempuan.


" Wah, kecil-kecil dah bermakwe kamu Dani. Siapa ? "


" Tembam la cikgu, siapa lagi kalau bukan dia." sampuk Ajis, rakan sekepala Dani.

Hahaha.


Kelas 1 Tawakal bergema dengan suara-suara anak-anak murid Cikgu Murni yang mentertawakan Muna, yang digelar " Tembam " oleh rakan-rakan sekelasnya.


Tona warna muka Muna yang agak berisi itu berubah merah, bercampur perasaan malu, marah dan sedih.

Ada manik jernih yang mengalir dari hujung mata redupnya


" Kalau Ayah ada, mesti diorang dah lama kena marah. " bisik hati kecilnya.


Ayah adalah satu-satunya tempat dia bergantung setelah kematian ibunya. Meski Ayah bukan seperti ayah Lina yang sering membawa anaknya ke Genting Higland, daddy Fika yang tidak pernah menghampakan apabila diminta membelikan anak patung yang sama saiz dengan badannya, Muna tetap menyayangi Ayah meski sikap panas baran Ayah sering menjadikan batang tubuhnya sebagai mangsa.


" Sudah. Hari ini Cikgu nak kamu semua tulis pasal keluarga. Kemudian, Cikgu akan pilih beberapa orang untuk baca di hadapan. Ok, boleh mula menulis. "


* * * * * * * * * * * * * * * *


" Saya Muna. Saya tinggal dengan Ayah. Saya sayang Ayah saya. Ayah saya kerja sebagai buruh. Hobi Ayah pada masa lapang ialah merokok.."


" Cikgu, merokok kan merbahaya. Boleh mati. " Dani mematikan bacaan Muna.


" Betul Cikgu, ayah kawan saya mati sebab merokok. " Ajis mengiakan.


" Kalau macam tu, Ayah Tembam nanti matilah kan. " Mukhlis membuat kesimpulan.


Haha. Kelas 1 Tawakal gamat lagi. Sekujur tubuh yang dihadapan itu sepi, ditahannya air mata tetapi masih mengalir juga.


" Muna... " jerit Cikgu Murni usai melihat anak muridnya yang sering dijadikan bahan usikan berlari menuju ke pintu keluar.

* * * * * * * * * * * * * * *


" Cuba Muna beritahu Cikgu, kenapa rokok ini ada dalam beg Muna? " soal Cikgu Zamri, guru disiplin yang terkenal dengan ketegasannya dalam soal masalah-masalah murid.


Diam.


" Muna, Cikgu nak tau macam mana ada kotak rokok ni dalam beg Muna. Jangan takut, cikgu tak marah. " pujuk Cikgu Murni.


Muna masih membisu seribu bahasa. Anak matanya dikatup kerana takut melihat wajah Cikgu Zamri yang mula memerah kemarahan.


" Kita call ayah dia. " putus Cikgu Zamri.


Setengah jam kemudian, kelihatan kelibat lelaki menunggang motosikal Honda memasuki perkarangan sekolah. Ayah memasuki bilik disiplin dan terus mendekati Muna. Dia sudah dimaklumkan atas perilaku anaknya, membawa rokok ke sekolah.


Pang.


Satu penampar singgah di pipi gebu anak itu.

Cikgu Murni tergamam dengan tindakan spontan Ayah. Cikgu Zamri tidak berbuat apa-apa.

Muna berlari keluar dari bilik disiplin meninggalkan mereka bertiga dengan tangisan dari lubuk jiwa. Segumpal kertas yang digenggamnya sejak awal tadi tercicir di muka pintu.

Cikgu Murni mengambilnya lalu membaca.


" Kawan-kawan kata orang yang hisap rokok akan mati. Mereka kata Ayah akan mati sebab hisap rokok. Muna tak mahu Ayah mati. Muna akan ambil semua rokok ayah sampai bila-bila sebab Muna mahu Ayah jaga Muna sampai bila-bila. Muna sayang Ayah selama-lamanya. "


Air mata Cikgu Murni tumpah mengalir bersama naluri keibuannya.


Ayah serba salah, terus melangkah keluar mencari Muna

Matanya tertumpu dihadapan pagar sekolah, sekumpulan manusia sedang berkumpul menyaksikan sekujur tubuh yang bermandikan darah.


Muna!!!



- esok kene jadi MC majlis bersama pegawai KPT..fobia masih ada dengan majlis-majlis formal sebegini
- doakan perjalanan kami pergi dan pulang selamat ya. :)

Wednesday, April 29, 2009

Kalau nak kahwin

"Kalau nak kahwin, banyak benda nak kena fikir. " saya mengusik.

"Kahwin awal sekarang ni bukan satu trend, tapi keperluan." sahabat saya pula mengutarakan pandangan.

Seorang sahabat tersenyum sambil otaknya ligat berfikir.

Kami bertiga bersembang santai, meluangkan masa bersama selepas selesai menghadapi final exam bagi semester kedua kami.

Saya tidak berniat untuk mengulas lanjut tentang perbualan di atas, cuma perbualan sebegini meskipun tidak bernoktah, tetapi sekurang-kurangnya mencerah.

Sedar atau tidak, kita tidak dapat lari dari berkomunikasi dengan insan yang melengkapi erti sebuah kehidupan di sekeliling kita. Kita sering bersembang dengan rakan-rakan tidak kira di mana jua kita berada, ditambah pula dengan kecanggihan teknologi yang mampu menghubungkan dua jiwa yang terpisah antara dua benua.

Berbincang untuk mencerah

Pernahkah anda menghadiri seminar ataupun forum yang pengisiannya dipenuhi dengan fakta-fakta dan teori-teori sehinggakan membuatkan diri anda dibuai ke alam mimpi? Atau..

Pernahkah fikiran anda terbuka dan keyakinan diri untuk mencuba sesuatu bertambah setelah menghadiri program atau ceramah yang bersifat mencerah dan membuka jalan.

Kita akui setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza tentang sesuatu perkara. Ada yang mengatakan warna hitam itu tidak cantik, ada pula yang mengatakan ianya cantik. Memang ramai yang berbeza..

Jika dipertemukan si A ( berpendirian hitam itu cantik ) dan si B ( berpendirian hitam itu tidak cantik ), mereka pasti mengeluarkan pendapat dan hujah masing-masing. Ada banyak kemungkinan akan berlaku, sama ada salah seorang akan berubah pendirian atau kedua-duanya tetap dengan pandangan masing-masing tetapi menghormati pandangan orang lain, atau timbul perseteruan antara kedua-dua pihak.

Sedar atau tidak, banyak medium yang bertindak sebagai agen perbincangan kita dari aspek seharian hingga kepada tahunan. Bersembang dengan ahli rumah, rakan-rakan, diskusi di dalam usrah, mesyuarat bulanan dan tahunan. Pasti akan wujud percanggahan.

Debat

Dunia perdebatan memang sesuatu yang menarik, dan kadang-kadang kala boleh jadi terbalik.

Saya berpeluang menceburi arena perdebatan setelah menjejakkan kaki di Bumi Waqafan. Pandangan orang lain terhadap debat juga berbeza, ada yang mengatakannya bagus dan ada pula yang melabelkan sebagai membuang masa. Jika di dalam pertandingan debat, usul akan disokong oleh pihak kerajaan dan dibantah oleh pembangkang. Natijahnya, ada yang menang,ada yang kecundang. Resolusi tiada! Memang membuang masa. Tapi tunggu dulu, bagi saya ia akan jadi sia-sia jika kita tidak cuba menjadikan perdebatan itu sebagai agen pencerahan tentang sesuatu isu.

Teringat saya tentang perdebatan yang bertajuk Perkahwinan Sejenis Hanya Peluh ( sia-sia ) sewaktu debat 100jam tanpa henti dalam usaha mecipta rekod dunia.

Tajuk ini agak kontroversi bagi saya apatah lagi hujah akal digunakan semata-semata. Antara hujah akal yang dangkal mengatakan perkahwinan sejenis bukanlah sia-sia ialah lebih baik lelaki "lembut" berkahwin dengan lelaki berbanding dengan perempuan kerana ia akan menyusahkan kehidupannya dan perempuan tersebut.

Hati saya tidak tenteram mendengar sesi perdebatan ini kerana ia melibatkan prinsip agama. Namun, apa yang saya cuba ambil dari sesi debat ini ialah pencerahan pemikiran tentang isu ini. Memang ada perkara yang bertentangan dengan prinsip kita, namun tidak bermakna kita perlu mengabaikan perkara tersebut. Tidak mengabaikan bukan bermaksud menerima, tetapi berusaha memahami dan mengkaji bersumberkan yang hak. Apa yang penting kita perlu berpegang teguh dengan ayat Allah yang bermaksud:

Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
Surah An-Nisa’ [4:59],



Gajah..oh.gajah

Teringat saya tentang cerita 7 orang buta dan seekor gajah tatkala membaca blog seorang sahabat saya. Masing-masing mahu menafsir bentuk gajah, lantas meraba bahagian anggota gajah.


" Wah, gajah ni macam tali la..". kata si buta yang memegang belalai gajah.
" Mane ade, aku yakin gajah ni macam talam. Lebar betul.. ". seorang lagi buta begitu optimis dengan pandangannya, diikuti oleh pandangan 5 orang lagi yang meraba-raba bahagian gajah yang lain.

Percanggahan itu timbul kerana tidak semua orang memandang sesuatu dari sudut yang sama. Mungkin ada berberapa perkara yang saya tulis anda kurang bersetuju, masih ada ruang diskusi, moga penglihatan dan pandangan kita semakin cerah hari demi hari.

Berbalik kepada perbualan kami bertiga di atas, sahabat saya yang ligat berfikir bersuara, " Aku dah tak nak fikir lagi dah."


" Ada kalanya kita tidak boleh terlalu berfikir sahaja, yang penting fikir itu membawa kepada zikir."

Wallahua'lam.

Monday, April 27, 2009

Kun Fayakuun


Kun Fayakuun

Sepotong kalimah dari surah Yaasin telah dijadikan judul filem terbaru produksi karyawan Indonesia untuk mengangkat mesej mengajak manusia kepada pergantungan kepada Allah.

Semalam, saya dan beberapa orang sahabat mengambil waktu senggang usai tamat imtihan untuk menonton filem ini. Sudah seminggu saya tahan diri untuk menontonnya demi mengulangkaji. Alhamdulillah, saya rasa kaya usai menonton hasil kerja sutradara yang berusaha menjadikan filem sebagai wadah dakwah.

Jalan cerita yang ringkas tetapi dikuatkan dengan plot yang baik serta pembawaan watak yang cukup berjaya menjadikan filem ini sarat dengan seribu pengajaran.

Segala-gala pergantungan diletakkan kepada Tuhan dengan ikhtiar siang dan malam.

Latar kemiskinan yang ditonjolkan cukup menginsafkan. Bapak si penjual kaca yang berusaha mencari sedikit wang buat mengisi perut anak-anak mereka.
Si anak yang menapak ke masjid yang jauh semata-mata mahu mencari kekhusyukan demi berdoa buat ayahnya.
Isteri yang setia bersama suami saat susah dan senang.

Adegan yang paling saya tersentuh, saat Ibu mengaut baki nasi dari bekas lalu menjamahnya demi mengalas perut usai menuangkan nasi semuanya ke pinggan anak-anaknya.

Sememangnya filem sebegini selayaknya diangkat dan dicontohi demi memastikan industri perfileman tidak menjadi medan untuk mengaut keuntungan dan menabur keseronokan.

Bagi saya, Islam bukan subjek tempelan bagi meraih perhatian dalam filem sebegini, tetapi adalah asas dalam menghidupkannya demi mengajak manusia kembali kepada Allah.

Filem Kita


Industri filem kita diakui memang berkembang dari sudut bilangan. Bagi saya, kita masih lagi ketandusan mesej untuk membina manusia.

Adegan berpelukan, ala-ala berciuman dan di ranjang semakin berani ditayangkan.
Adakah tanpa adegan sedemikian, filem itu akan jadi cacat, tempang.

Wajibkah untuk menunjukkan dua orang itu suami isteri, maka seharunsya baring satu katil dan berselimutkan yang sama, merangkul mesra. Walhal, mereka hanya suami isteri di lokasi sahaja.

Dalam filem Kun Fayakuun, Bapak dan Ibu berjaya menghidupkan watak sebagai suami isteri meski tidak bersentuhan, tetapi sebaliknya dengan menunjukkan tanggunjawab dan kesetiaan serta kesatuan dalam membina rumah tangga yang diredhai Allah.

Renung-renungkan dan selamat menonton ya bapak-bapak dan ibu-ibu semua.

Saturday, April 25, 2009

Warna-warni

24 jam.

Masa yang dirasakan semakin tidak mencukupi. Sebelum melangkah ke alam lena, saya akan mengunci alarm di handphone sambil memerhati tarikh yang baru sahaja bertambah angka di hadapannya. Akan tetap bertambah meski kita tidak membajai jiwa.

25 April telah saya lepasi. Alhamdulillah, peperiksaan CVS sudah saya lalui.
Mulai esok saya akan mendalami satu lagi cabang sistem yang melengkapi tubuh kita, Respiratory System.

Hari ini saya rasakan imuniti badan saya di tahap yang lemah, lutut saya sedikit cedera dek terlalu ghairah merebut bola. Memang diri ini kerdil dan tiada upaya.

SUSU RATU HATIKU



Sekalung tahniah buat Badan-badan Kebajikan yang menganjurkan seminar ini. Banyak yang saya perolehi tentang kepentingan penyusuan ibu. Pengetahuan ini untuk diaplikasi buat bakal ibu dan bapa, doktor dan juga buat si anak untuk mengenang rasa cinta si ibu saat menyusukan kita.

Cumanya, sewaktu panelis membentang topik-topik dengan mengalih bahasa ke dalam bahasa Melayu dan mengalami beberapa kesukaran, terasa sedang belajar perubatan dalam bahasa Melayu. Agak feel :)

KARISMA


Tinggal beberapa hari lagi KARISMA yang akan menemukan wakil-wakil dari setiap mantiqah akan membuka gelanggangnya. Bola sepak Piala Duta, bola tampar, ping pong, badminton, bola jaring bakal menjadi medan merealisasikan tema KARISMA kali ini, " KAMI DATANG KERANA UKHUWAH ".

Saya agak terkilan kerana tidak dapat berukhuwah dalam acara balapan kerana tidak dipertandingkan pada temasya kali ini. Jadi, fokus kali ini untuk membantu team bola Irbid menggenggam Piala Duta buat tahun ini.

Tahun ini KARISMA akan diadakan di Mu'tah. Seingat saya, saya baru sekali menjejak kaki ke sana semasa Minggu Haluan Siswa dua minggu selepas ketibaan di bumi Urdun ini.
Sambil berukhuwah, boleh saya menghirup udara Mu'tah kali ini.

Moga laungan " Kami Datang Bukan Sekadar Tetamu " oleh kontijen Irbid akan memeriahkan temasya kali ini.

Mesej


Ladang Hati Mustika ini saya baca apabila sudah tepu membaca nota CVS. Jalan ceritanya tidak kompleks dan wataknya adalah watak manusia biasa, yang ada jatuh bangunnya dalam menjalani liku-liku tikungan sebagai manusia. Tidak menjadi watak yang terlalu sempurna. ;)

Ada satu mesej yang saya peroleh dari novel ini. Mustika ,graduan Jabatan Media Dakwah akhirnya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Fleksibiliti.

Saya ada memikirkan tentang diri saya untuk dua puluh tahun akan datang jika masih bernyawa. Di mana saya.

Namun, semuanya adalah bermula di sini. Pelajar perubatan di Jordan University of Science and Technology, universiti yang dipilih Nik Nur Madihah untuk menyambung pelajarannya.
Famous juga universiti saya. :)

Saya dalam proses mempercepat apa yang perlu disegerakan.
24 jam boleh jadi 48 jam jika diurus dengan baik.
Batu besar, batu kecil, pasir dan air jika diisi secara teratur pasti akan berjaya memenuhi sebuah bekas. Itulah masa kita.

Doakan saya diperkuatkan dengan iman.
Saya doakan kalian.

- tinggal 3 bulan lagi sesi pentadbiran PERMAI 08/09, sedar tak sedar nak dekat setahun
- insyaAllah, blog ini akan "hidup" semula, selaras dengan projek yang akan saya usahakan
- hari ini hari kedua debat piala UIAM, siapakah juara kali ini agaknya. :)

Wednesday, April 22, 2009

Bangkitkan Jiwa Juangku

Rasa lemah setakat mahu menghabiskan nota.
Takut gagal dek malasnya untuk berusaha.
Ah, malulah wahai manusia.

Sedang di hadapan sana ada perjuangan yang tidak akan terhenti.
Yang menanti untuk disambung sepenuh hati,
Meski ramai degup jantung terhenti selamanya,
Jiwa juang mereka masih menghunus senjata .

Ya Allah, bangkitkanlah jiwa juangku.
Hidupkanlah roh pengorbanan ummat Rasul ku.


Tuesday, April 21, 2009

Tangkai Hati


Layakkah ku rindu bulan di pagar bintang,
Sedang manis berjaga malam dibuang,
Mengimpi sayap yang utuh dan ampuh,
Buat bantu kental berkayuh.

Dungukah aku menolak bunga,
Demi madu yang pasti manisnya,
Menutup diri dari dedahan mimpi,
Agar terbina mahligai suci.

Mampukah memetik mawar berduri,
Dengan kotoran tegar masih dijari,
Mencium harum mekar mewangi,
Tak kan sama memegang di tangkai hati.

Monday, April 20, 2009

" COLORS OF MALAYSIA "



" COLORS OF MALAYSIA "

Itu adalah tema skuad duta kecil Malaysia untuk Maarad JUST pada tahun ini.
Memang sesuai dengan seni hiasan dan latar belakang ruang legar pameran yang mengagumkan kali ini diserikan dengan tersergam kukuhnya sepasang replika Menara Berkembar Petronas.

Semalam saya bertugas sebagai penjaga booth untuk tempoh satu jam setengah. Saya banyak menerangkan tentang replika yang diperbuat dari sususan tin, sedikit pengenalan universiti di Malaysia, kepelbagaian bangsa di negara kita dan permainan tradisional yang menjadi tarikan di situ, congkak. Bayangkan, ada dua pemuda Arab yang bermain congkak di booth Malaysia lebih kurang satu jam setengah. Ok juga, sekurang-kurangnya ada petugas jemputan untuk menunjukkan cara bermain congkak kepada pengunjung lain.

Di Sebalik Tabir

Ya, memang tidak dinafikan, kita mampu menonjolkan Malaysia dari sudut pembangunan bangunan raksasa dan kayanya kita dengan warisan dan budaya. Dari gumpalan wawasan yang digagas sejak belasan tahun dahulu sehingga terbinanya mahligai pentadbiran yang membuka mata dunia akan hebatnya negara kita. Namun, ada perkara yang pastinya tidak akan kita relevankan untuk dipamerkan kepada rakan-rakan kita dari negara luar.


Bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
Air laut juga ada pasang surutnya.
Dalam makanan enak dan mahal yang terhidang di atas meja santapan, pasti ada juga sekelumit bakteria yang menempel di atasnya.

Sejauh manakah kita cakna akan lompang-lompang yang perlu ditampung dan dicegah dari merebaknya ia ke segenap ceruk tanah Malaysia.

Membaca berita-berita di akhbar sahaja sudah mengorek rasa leka tentang sakitnya negara kita.
Setiap hari, ada sahaja berita yang kurang menyenangkan hati dan jiwa manusia, dari isu sekecil-kecil perkara hingga yang melibatkan sensitiviti masyarakat ammnya, segalanya berada dalam zon yang menggusarkan kepala bagi orang yang tidak memikirkan poket dan perut sendiri semata-mata.

Barah

Dalam artikel Aib Juvana Remaja yang disiarkan di Berita Harian, menurut
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.


Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.


Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh. !

Salahnya dimana? Adakah sistem pendidikan kita lemah kualitinya dalam melahirkan produk anak bangsa yang berkualiti bukan sahaja mindanya, malah emosi dan syahksiah?
Atau puncanya kerana pengaruh hedonisme yang semakin melonjak ke segenap udara?
Atau kurangnya individu atau kumpulan yang sedar akan tanggunjwab dakwah dalam hidup yang sekelumit cuma masanya?
Anda jawab.

Komuniti Kita

Alhamdulillah, di Jordan ini, belum pernah lagi kedengaran kes bunuh, rogol, samun, rempit berlaku dalam kalangan pelajar Malaysia. Nauzubillah.

Namun, adakah ini menghalalkan tubuh dan jiwa kita untuk duduk selesa kerana tidak dikelilingi masalah sedemikian rupa? Anda jawab .
Kalau setakat masalah pengurusan dalam program, ikhtilat yang haram, sensitiviti dalam hidup bermasyarakat, ketandusan di dewan kuliah, kita sudah rebah dan malas untuk ambil kesah, bagaimana agaknya tingkah dan perilaku kita apabila terjun dalam komuniti sesudah pulang ke Malaysia kelak.

Adakah apabila anak kita ditangkap kerana merogol rakan sekuliah, adik kita dipenjara hasil serbuah dadah, kakak kita gila kerana kemurungan yang berpanjangan setelah mengasingkan diri dari masyarakat, baru kita buka mata bak sudah terhantuk, baru terngadah?

Anda dan saya jawab. Ya, kita jawab dengan respons jiwa dan tingkah kita sekarang, bukan sesudah musibah kelak mendatang.

-bila ada artis yang terbuat salah dan mengatakan tidak menyesal, ramai yang cuba membersihkan namanya, namun apabila kata-kata ulama' dieksploitasi, lain pula halnya. apa kes?

Saturday, April 18, 2009

Satukan

KLIBF09 telah mula berlansung. Saya tumpang gembira dengan sahabat saya Hilal Asyraf yang telah mejejak langit, hasil pelancaran buku motivasi Langit Ilahi dan VT hasil karangannya.

Buat warga Irbid, Hari ini Mini Clinic JUST anjuran MMJ masih lagi berlangsung.
Malam ini ada forum yang menarik tajuknya, sebagai persedia menghadapi medan realiti yang bakal ditempuhi yang pastinya berbeza dengan zaman kini yang kadang-kadang penuh dengan keanak-anakan rentaknya.



Fatrah minggu ulangkaji untuk Cardiovascular System saya sudah bermula. Alamatnya, blog ini akan bersawang buat sementara. Maaf kepada yang setia menjengah MRP ini meski tiada entri yang dikemaskini.
Setelah puas mendaki di PETRA, berkeluarga di Aqabah, berboling di Amman, berlari di trek JUST dan tewas di meja pingpong, kini saya perlu fokus pada exam yang bakal tiba 25 April ini.

Zikir dan Tafakur




Semalam, Ustaz Wan Yusrizal ada menerangkan cara untuk rasa dekat dengan ALLAH semasa pengisian tafaquh hadis kedua dalam turutan hadit 40 menggunakan kitab Al-Wafi Fi Syarhi al-Arba'ina An-Nawawi karangan Doktor Mustafa Al-Bugho.

1) Zikir:
Menurut Ustaz Wan Yusrizal, dia pernah terjumpa seorang yang berzikir nama Allah hanya sekali, lalu mengalir air mata. Apabila disoal bagaimana dia mampu menangis sedimikian rupa, dijawabnya,
" Aku yang sebegitu hina ini, masih diizinkan untuk bibir aku menyebut nama-Nya yang Maha Suci. "




2) Tafaqur:
" Kalian yang amik medik ini sewajarnya banyak tafaqur. " lebih kurang begitu kata-kata ustaz.
Apa sahaja yang dilihat dan dikagumi di dunia ini, kita kembalikan rasa kagum itu kepada kekuasaan Allah. Dia Maha Pencipta.


Ilmu Yang Memahamkan.


Alhamdulillah, meneroka CVS kali ini membuatkan saya bersemangat untuk mendalami ilmu perubatan yang serba menakjubkan ini. Banyak yang saya tidak ketahui, mula difahami.

Selama ini hanya melihat ayah saya yang diukur tahap tekanan darahnya usai selesai hemodialisis, melihat ubat itu dan ini, darah yang mengalir lesu menerobosi mesin lalu dipulangkan kembali.

Melihat doktor yang ke hulu hilir berjuntai stetoscope di leher dan menggunakan sphygmomanometer untuk mengukur tahap hypertension pesakit.

Dulu saya hanya melihat, kini Alhamdulillah, saya mampu memahami serba sedikit tentang system yang menyalur darah segenap ceruk urat darah kita.

Saya juga mula faham tentang manusia. Kita ini sebaik-baik kejadian, namun ada batasan yang telah diletakkan Tuhan.
Jangan kita terlalu bongkak mendongak kepala ke langit dunia, kerana sampai satu saat nanti ajal pasti menjemput juga dengan pelbagai cara.

Sudden Cardiac Death.
Acute Myocardial Infarction.
Chronic Ischemic Heart Disease.




Merasakan hidup di kala muda ini adalah masa untuk enjoy, lalu makan mengikut nafsu semata, merokok hingga tak ingat dunia( walhal pada 23 Mac 1995, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-37 telah meluluskan FATWA PENGHARAMAN ROKOK ), malas untuk menjadikan diri sebagai pejuang agama Allah yang sihat tubuhnya dengan hanya berselimut di hujung minggu, kesannya pelbagai penyakit datang yang sememangnya diundang.

Akhir kalam, sayangi tubuh dan jiwa kita, agar kita mampu menyumbang secara maksimum di jalan ALLAH.

- bila ada isu yang mendapat perhatian, meski ada yang berbeza pandangan, itu menunujukkan masih ada sensitiviti terhadap persatuan. yang tak ambil cakna , bagaimana kalian? ;)
- " Satu Muslim Sedunia " !

Wednesday, April 15, 2009

ADAPTASI

" Filem Adaptasi Novel Mengungguli Anugerah "


Mat Yu menatap tajuk utama di dada akhbar, matanya bersinar mekar dan bibir tersenyum lebar. Ada suatu akal sedang menari ligat di paksi mindanya. Tangan kanannya mencapai pena hitam lalu mencoret sesuatu di atas helaian putih.Sudah seminggu dia duduk terperuk di kamar pejabatnya.


Lengang.


Tiada projek yang masuk meski sudah puas pihak yang dipujuk, barangkali mereka sudah makruf dengan produk yang dihasilkan oleh syarikat Mat Yu, kos menelan jutaan ringgit, publisiti mengalahkan Hollywood, namun hasilnya mengecewakan. Jalan cerita klise, pelakon yang lebih sudu dari kuah dan sambutan yang dingin dari peminat filem tempatan.


Persaingan dalam industri yang diceburinya menuntut untuk menghasilkan sesuatu yang relevan dan segar. Masing-masing berlumba-lumba untuk memenangi hati masyarakat dengan pelbagai cara, hingga ada yang terlupa bahawa khalayak adalah manusia, yang ada akal dan dijiwa, yang perlu diisi dan disubur, bukannya hanya ditabur dengan hiburan picisan yang membenak kepala dan menyesakkan kerongkong nafas selaku hamba.


" Ishh..! Tak boleh jadi kalau macam ni, gulung tikar nampaknya aku akhir tahun ni."

Tut.


Punat di telefon ditekannya lalu dipanggilnya setiausaha yang setia menanti di sudut meja meski kerja pengurusan tiada sisa dek ketiadaan projek yang sudi bertamu ke syarikat mereka. Bulan ini sudah masuk bulan kelima periuk nasi mereka tidak berasap.


Tuk. Tuk.


" Masuk."


" Ya, bos. Ada apa yang boleh saya tolong. Bos nak kopi ke? "


" Eh, awak ni. Ingat kerja saya asyik minum sahaja ke dekat pejabat ni."


" Maaf, bos. Kalau macam tu, apa halnya? Ada projek baru ke? Ke ada pekerja baru yang kena pecat? "


" Perli saya nampaknya. Macam ni, saya ada cadangan bernas,saya nak buat filem hasil adaptasi novel yang popular. Awak tengok Hollywood, mereka boleh kaya raya dengan cara macam ni. Kita juga boleh. "


" Macam menarik idea ni. Tapi, novel apa yang bos nak adaptasikan?


" Eh.. awak Tanya saya pula. Awak kan peminat novel, mestila awak tahu novel apa yang sedang meletup sekarang ini kan. "



" Hah! Yang tenagh meletup sekarang ni novel MERDEKA, Dari Penjara ke Singgahsana. "


Mat Yu mengerutkan dahi, pelik benar judul novel yang terhangat itu, fikirnya anak-anak kini terkinja-kinja merebut novel yang mengangkat tema cinta, paling kurang menggilai novel seram yang berpasakkan kepercayaan karut masyarakatnya.

Dia menghidu kejanggalan tentang apa dicadangkan Yati.


" Awak biar betul Yati. Macam kurang menarik sahaja. "


" Betul bos. Novel ni dah jadi betseller. Saya pun tidak pasti kenapa ia digilai oleh ramai anak muda khususnya. Mungkin kerana mereka sudah muak dijajah dengan cinta murahan, hiburan picisan yang meloyakan dan dadah ideologi songsang yang membenakkan akal segar mereka. Novel ni mengangkat tema kebebasan dari segala yang tidak berhak menguasai kita, merangsang pembaca untuk merasai kelazatan terbang ke langit udara. ".


Yati menerangkan tentang kekuatan novel yang semakin laris di pasaran.


" Wah, tinggi bahasa awak ya. Baiklah, carikan saya cara untuk menghubungi penulisnya. Saya mahu projek ini disegerakan. "


" Biasalah bos, terkesan dengan suntikan bahasa yang merdeka dari anasir penjajah . Ok. "


bersambung....

-blog dah bersawang, sedang mencari ruang untuk seimbang

Saturday, April 11, 2009

Pucuk Pisang


Alhamdulillah.

PERMAI OPEN SPORTS DAY 2009 telah melabuhkan tirainya petang tadi. Bertemakan " SYABAB PERKASA, AKHAWAT BERTENAGA, HARAPAN AGAMA!!", hari sukan kali ini merupakan flatform terbaik bagi mengasah bakat ahli dalam bidang sukan yang mengisi kejohanan kali ini sekaligus mengerat hubungan sesama ahli.

Ucapan Ustaz Arman, Pegawai Atase Pendidikan JPM tadi memang benar, sukan sepatutnya menjadikan landasan untuk menjadi kita semua sebagai " KITA ", memecahkan tembok yang terbina dengan mewujudkan semangat kesukanan tanpa mengira jurusan, negeri dan apa jua yang bisa memisahkan kita. Semangat kesukanan yang tinggi dapat mengelakkan kita dari tercetusnya rasa tidak puas hati dan perbalahan yang menunjukkan ketidak matangan dalam arena kesukanan seperti yang berlaku di sebuah negeri baru-baru ini.

Syabas saya ucapkan kepada AJK Pelaksana dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan kali ini.
Tahniah kepada semua ahli yang memberikan komitmen di lapangan juang dan medan sokongan.

**********************************************************************************

Macam laporan sukan sekolah pula tulisan saya di atas. :)

Alhamdulillah.

Sasaran saya untuk kejohanan kali ini tercapai. Dua emas untuk acara 1500m dan 4x400 m.
Saya memang meminati dua acara ini kerana ada falsafah di sebaliknya. Saya ingin kongsikan apa yang saya pelajari dari dua acara ini.


1500 m

Memang tidak dapat dinafikan, ini acara paling meletihkan, silap hari bulan boleh pengsan di tengah jalan. Hampir empat pusingan perlu dihabiskan dengan jumlah peserta yang ramai merupakan satu cabaran.

" Macam mana stamina anta boleh kuat? " tanya seorang senior saya ketika kami sedang berjogging di sekitar Universiti Yarmouk.

" Stamina saya tak kuat, cuma saya letakkan aim je. "

Saya ibaratkan perjalanan 1500 m itu sebagai lorong perjalanan yang saya lalui. Ada matlamat yang jelas yang tersedia di hujung garisan seawal kaki mengorak langkah memulakan larian.
Strategi yang terancang perlu digunakan, bagi saya siapa yang terlalu menggunakan tenaganya secara melampau di awal perlumbaan, dia akan pancit di tengah jalan. Apa yang penting, kosisten.

Hari ini, baru dua pusingan saya sudah terfikir hendak menghentikan larian. Memikirkan badan yang sudah kehabisan tenaga, hati menjerit supaya berhenti. Saya suka melawan perasaan ini, bila rasa percaya itu ada dalam hati, tubuh ia pasti mampu memenangi rasa ingin mengundur diri.

4x400 m

Hidup ini memerlukan sinergi antara kita dan komuniti. Begitulah yang saya rasai saat menyempurnakan larian berganti-ganti. Melihat rakan sepasukan yang telah sedaya upaya meletakkan larian kami di kedudukan selesa, mana mungkin saya akan sambil lewa untuk menamatkan larian yang hanya sepusingan sahaja. Alhamdulillah, sejak dari form4 hingga sekarang, saya berjaya menyempurnakan larian untuk merangkul emas bagi acara ini.
Namun itu bukan kerana larian saya, tetapi kerana kesungguhan mereka yang berlari dahulu sebelum saya. Berkerja sepasukan itu lebih menyeronokkan, mengecapi kejayaan bersama hasil usaha yang digembleng dengan sedaya upaya.

Alhamdulillah. Kumpulan kami, " PUCUK PISANG " akhirnya dinobatkan sebagai juara.
Pucuk yang terkuncup akhirnya telah dituai hasilnya hasil usaha bersama. Tahniah buat semua.

- sedih sedikit kerana tiada acara balapan untuk KARISMA 09 :(

Friday, April 10, 2009

April

Jumaat yang damai.

Menerima mesej dari cikgu di KISAS yang sudah menimang cahaya mata ketiga, sedang anak keduanya belum sempat saya cubit pipinya.

Kata cikgu, cepat sungguh masa berlalu.
Ya, memang pantas dan cepat.
Kalau dua, tiga tahun lepas, bulan April adalah bulan saya berkampung bersama-sama keluarga debat semasa bergelar pelajar KISAS.

April

2005.

saya baru mula mengenal dunia debat dan menyertai buat kali pertama Pertandingan Debat UIAM. Tewas di octo-final, namun cukup memberi pengalaman. Team kami dibarisi oleh saya, kak Syafaf Jumiran ( Mesir ) , abg Faris Husaini ( United Kidgdom ) dan Radin Rahmah ( Mesir ). Kami menggalas cabaran team kedua, melengkapkan barisan perjuang abang Aiman Roslim( Indonesia ), abang Amir Najmi ( Mesir ), Nuratiqah Nazeri ( Jordan ) dan Umair ( UTP ). Mereka tewas di tangan juara , SAS pada suku akhir, namun yang membanggakan abang Aiman mendapat tempat kedua dan abang Amir Najmi ketiga bagi kategori pendebatt terbaik keseluruhan pertandingan yang bagi saya cukup mencabar. Saya rindui saat tergagap-gagap sewaktu ucap utama selaku Perdana Menteri.

2006.

Tahun ini saya menggalas tugas pendebat ketiga. Mungkin kerana mulut agak laser dan tidak mahu beralah. Sejujurnya, itu bukan saya. Hehe.
Hanya satu team yang berjuang kali ini, dibarisi Radin, Umair, Azam( Jordan ) dan saya. Setelah bertungkus lumus, nasib tidak menyebelahi dek tumpasnya kami di octo-final. Memang kekalahan suatu perkara yang menyedihkan. Apatah lagi, saya baru sahaja berdukacita atas kekalahan Pidato Piala Di-Raja peringkat negeri Selangor, tumpas di tangan wanita. Impian beraksi di peringkat kebangsaan punah, saya redha.
Alhamdulillah, meski hanya menduduki tangga keenam pendebat terbaik keseluruhan bagi kejohanan kali ini, ia cukup memberi inspirasi buat saya untuk terus mengorak langkah ke PPM 2006. Alkisah, kami tewas di peringkat suku akhir kedua di tangan naib johan tahun itu, Shah Pekan. Cerita perjalanan debat dan pidato saya di zaman sekolah menengah sekadar itu sahaja.
Cukup mengajar pelbagai erti yang akan saya ungkai dalam perjalanan saya yang akan datang.

PPM 2006. Bersama Abg Nizam ( trainer ), Ustaz Abdullah ( Pengetua Kisas ketika itu ) dan
Cikgu Norisah dan Cikgu Rosnita.

2007.

Cerita debat saya bertukar sedikit warna, dari duduk di meja perdebatan, saya menjadi rakan pembimbing buat adik-adik tersayang. Habis SPM, saya bekerja sebulan menimba pengalaman meski hanya di kilang membuat biskut. Duit gaji yang diterima jadi modal buat saya turun padang menyelinap ke KISAS, menginap di bilik junior yang bermacam ragam di floor yang saya pernah bertugas sebagai KP di sana. Kalau dihitung, lebih sebulan juga saya berumahkan KISAS meski sudah bergelar ex. Cikgu-cikgu yang sporting dan caring membuat saya seolah-olah mahu menyambung pelajaran di situ semula.

Team debat tahun itu berjaya dibentuk selepas ada pasang surut dalam usaha memilih yang terbaik. Rekod baru berjaya dicipta dengan membariskan semua teruna. Gabungan Azam, Azim, Hamizi dan Irham meski ada sedikit masalah pada awalnya berjaya menguasai perdebatan dengan baik dan bersahaja. Mereka memang barisan pelakon yang baik. Sayangnya mereka tumpas di double octo. Namun, saya cukup bangga dengan mereka.

Dari kiri, Hamizi yang tengah sakit kaki, Azam yang menggelikan hati dan Azim pencetus kontroversi.


Bulan April ini banyak kenangan yang tercipta, yang mendewasakan dalam menuju sebuah perjalanan.

Mesej Cikgu yang selalu bertanya khabar dan perihal pelajaran yang diterima usai solat Jumaat cukup mengimbau nostalgia lama.
Akan saya kenang kalian semua.
Saya doakan KISAS akan berjaya menggilap kembali namanya di persada debat sekolah se-Malaysia.

Ada masa? Jom lihat video pidato di bawah ini, moga-moga boleh dijadikan contoh dalam memberi ucapan di khalayak ramai dengan jayanya.

- esok Hari Sukan PERMAI, selamat memburu kejuaraan di samping mengerat persaudaraan.
target esok: 2 emas. :)

Wednesday, April 8, 2009

Rumah

Di antara dua tiang utuh,
Terasa mahu pilih yang ketiga,
Memilih ini lalu meninggalkan itu,
Menggapai itu lalu mengabai ini,
Antara semua,
Ku tersepit dalam mahu dan mampu,
Bantulah aku.

Kesemuanya,
Ku cuba menjadi sempurna,
Memilih dan terpilih,
Merancang dan menjulang,
Mencari yang terbaik,
Biar dipanas terik.

Di dalam rumah itu
Aku cuba berdiri tinggi,
Memahat bait-bait jiwa,
Mewarna dinding lesu,
Dengan darah cinta dan air mata,
Agar bisa ku bernaung di bawah nipahnya,
Dari hujan neraka yang menyala.

Monday, April 6, 2009

DIRI atau ISI dingati??

Mafraq, 4 April 2009

Alhamdulillah, kelmarin saya berpeluang menyertai Bengkel Teori Pengucapan Awam 2009 bertempat di Universiti Al' Al-Bayt. Tahniah diucapkan kepada PRISMA dan BKAN-BKAN yang terlibat dalam menganjurkan program yang bagi saya amat penting dalam melahirkan mahasiswa yang mampu tampil ke hadapan untuk menyuarakan pandangan secara berketerampilan dan tidak kecelaruan.

Pada pandangan saya, apabila sudah berada di level pelajar universiti, ilmu bukan jadi persoalan untuk dikongsi kerana tahap pembelajaran kita di dalam kuliah dan di luar akan semakin meningkat, walaubagaimanapun segala-galanya bergantung kepada kesedaran diri. Namun, yang menjadi kelemahan ramai di kalangan mahasiswa adalah ketidak upayaan dalam berucap di khalayak ramai dengan berkesan.

Cabar Diri.

Alhamdulillah, dalam bengkel kelmarin, saya dan ahli kumpulan berpeluang berkongsi pengalaman dan tips pengucapan awam yang berkesan.
Percayalah, masing-masing punyai potensi selagi mana meletakkan kemahuan di hati.


Lalu, saya cabar ahli kumpulan saya untuk berucap spontan dengan tajuk yang diundi.

Ayat-ayat Cinta.
Batu.
Mawi.
Dakwat.
Jam tangan.
Rempit.

Tajuk yang diberikan itu saya minta mereka olah agar mampu menaikkan ia sebagai satu topik yang berada pada level yang relevan untuk dibincangkan.

Saya berikan contoh KASUT.


Kalau zaman sekolah rendah dulu, dapat perkataan kasut, bolehlah kita bicara soal kasut sekolah putih yang dibeli ayah sebelum tahun baru menjelma, kasut raya yang dibeli oleh emak di pasar malam. Kasut itu jenamanya itu dan ini.

Apa salahnya di saat ini, kita bukakan topik kasut itu menjadi simbolik keberanian.
Lihat sahaja wartawan Iraq , Muntazer al Zaidi yang dihukum penjara kerana balingan kasutnya ke arah bekan Presiden George W Bush. Kasut itu diabadikan dalam bentuk ukiran besar di Iraq dan menjadi satu isu yang diperkatakan di seluruh dunia.


Itu sekadar contoh, banyak lagi yang boleh diolah dengan secebis kalimah.

Saya berikan ahli kumpulan masa seminit setengah untuk bersedia, dan empat minit untuk berucap di hadapan. Alhamdulillah, semua mampu berucap dengan pelbagai gaya dalam empat minit yang diperuntukkan. Syabas buat kalian. :)

Sebelum menutup sesi mencabar diri, saya minta setiap ahli berikan sepatah perkataan yang muncul dari hati tentang apa yang mereka telah lakukan sebentar tadi.

Sedar
Nilai tambah

Ubah diri
Bakat
Baiki
Asah


Moga sama-sama kita kita sedar untuk mengubah diri untuk memberikan nilai tambah dengan membaiki kelemahan serta mengasah bakat yang terpendam dalam diri.


DIRI atau ISI dingati??

Pernah kalian menonton ceramah sesiapa yang hebat di pentas , berapi-api ucapannya.
Kemudian selang beberapa bulan kalian ternampak kelibatnya.

" Eh, aku macam kenal je dia ni. Betullah, dia yang bagi ceramah umum kat kampung aku tiga bulan lepas "
" Betulke? Dia bagi pasal apa? Apa isi ceramahnya? "

" Erk. aku lupalah. Tapi yang penting, best. "


Kita dihadapan bukan untuk diingati dan dikenang-kenang gaya dan penampilan kita serta lawak jenaka yang memecah perut khalayak penonton. Itu hanya bonus untuk menarik perhatian penonton untuk turut serta menghayati apa yang ingin dibawakan.

Bagi saya, apa yang penting adalah point yang diberikan itu jelas dan nyata.
Kekaburan hanya merugikan sedangkan itu yang selaku dilakukan.

Kali ini,saya mengajak kita mengaplikasikan dua perkara dalam pengucapan kita.

1) Pertama, jom kita guna teknik PERNOMBORAN dalam menyampaikan isi.

Biarlah ceramah kita yang dua jam itu hanya ada isi Satu dan Dua, daripada panjang berjela dan berapi, tapi pendengar hanya hangat-hangat tahi ayam menghayati, balik rumah lupa apa isinya kerana sukar membezakan antara isi utama dan jenaka serta huraian yang menyimpang hingga ke mana-mana.

2) RAIKAN MANUSIA di hadapan.

Kita berbicara di hadapan manusia yang punya hati dan perasaan, serta fokus tumpuan dan beberapa kelamahan. Perkara yang penting adalah soal eye contact.
Kita berpidato di hadpan ratusan orang, tetapi mata melilau ke atas mencari bidadari turun dari kayangan barangkali. Lalu, bagaimana pendengar di hadapan, bukankah mereka adalah sebahagian dari ucapan kita. Begitu juga dengan nada ucapan, mereka bukanlah tunggul yang tiada perasaan, mampu mendengar alunan suara mendatar atau senada selama dua tiga jam.
Raikan manusia mengikut kadarnya.

Itu sahaja untuk dikongsi buat kali ini dari insan yang masih belajar untuk berkongsi.
Ikhlaskan niat dan perbaiki teknikaliti dalam berucap, moga apa yang kita sampaikan memberi manfaat buat kita selaku yang ingin berkongsi dan pendengar yang sedia menanti. InsyaAllah.

-insyaAllah,aktiviti kelab pengucapan awam di Irbid akan dimulakan tidak lama lagi, sama-sama kita giatkan usaha melahirkan mahasiswa berdedikasi
- saya minat kelantangan DSAI berucap dan ketenangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberi ceramah

- sama-sama doakan kemenangan pihak yang memperjuangkan kebenaran dan rakyat dalam pilihan raya esok.

Saturday, April 4, 2009

Ali Baba!

Hari ini ada jalur indah yang tercalit dalam hari saya.
Berkunjung ke Mafraq mengimbau sedikit nostalgia lama dan semangat yang hampir terkubur suatu masa.

Lewat jam 11 pagi, saya dan seorang teman ada misi untuk ditunaikan, lalu perjalanan dimulakan. Menaiki bas adalah suatu perkara yang mengasyikkan bagi saya jika di Malaysia kerana saya adalah penumpang bas ekspress tegar dari Muar ke Kuala Lumpur.


Begitu juga halnya apabila menerjah ke langit biru, saya lebih gemar mengisi masa duduk berdua di bangku bersama penumpang sebelah untuk berkenalan dan berkongsi pendapat dan idea walau baru pertama kali bersua. Tidur itu agak merugikan kerana masa itu boleh digunakan untuk belajar mengenal karektor manusia.

Saya pernah duduk di sebelah seorang pemuda berbangsa Cina, berbual tentang Islam dan budaya masyarakat kita. Juga soal politik yang melanda.
Berbual bersama seorang mak cik yang bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi, berkongsi kisah ayah saya dan suaminya yang sakit sewaktu perjalanan pulang ke Malaysia di langit dunia.
Juga bertukar pendapat tentang kerjaya.
Bersembang dengan penuntu di sebuah universiti Malaysia yang nampak sedikit bermasalah, namun masih menyimpan cita-cita untuk berubah.
Dan banyak lagi manusia yang saya berkongsi kisah mereka di bangku bas dan pesawat.

Hari ini saya berpeluang lagi dalam perjalanan ke Mafraq. Duduk bersebelahan lelaki arab berusia 31 tahun, Atif namanya. Berkongsi sedikit kisah hidup dan negara.
Dia masih belum berumah tangga kerana kesempitan hidup katanya.

Sedang kami berborak, ada suara sumbang kedengaran dari belakang.

" Ali baba! Ali Baba "
" Sinni. Sinni "

Atif menoleh dan bersuara.
" Dia bukan Sinni. Dia Malizi, Muslim. Dia solat. Dia lebih baik dari kamu semua. "

Seorang pak cik yang berdiri di hadapan sedikit, menoleh lalu turut bersuara,
" Dia Muslim. Dia lebih baik dari kita. "

Saya hanya tersenyum.

Mereka terus ketawa.

Tiba di persimpangan, Atif dan pak cik tadi turun dari perut bas.
Tiada yang menyebelahi saya nampaknya.

Seorang dari mereka duduk di sebelah saya sambil merokok .
Yang lain di belakang terus berkata " Ali Baba, Sinni "

Bengang juga dibuatnya.

Dia mula bertanya. " Awak Cina? "

Saya menjawab, " Saya Malaysia . Awak Muslim ? "

" Muslim "

Saya mengajak dia menghayati potongan ayat 13 surah Al-Hujurat:

" Hai manusia ! sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa , supaya kamu berkenal-kenalan . Sesungguhnya orang yang termulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa. "

Dia diam seketika. Berubah wajah sedikit malu dan mengangguk setuju.

Dia tanya nama saya dan nama sahabat saya yang sedang lena.
Saya tanya namanya.

" Husni. "

" Husni Mubarak? " saya bercanda.

Dia tergelak dan menepuk tangan saya.

Mereka semua adalah askar pelatih, namun meletihkan saya melayan karenah manusia yang tidak pernah berjumpa dengan wajah Melayu yang kami miliki.

Manusia memang banyak karenah, meski hanya di bangku bas, kita bisa melihat sejuta warna.

- tangan terasa mahu menulis tentang bengkel pengucapan awam tadi, tapi rasenye sudah panjang entri ini. lecture note masih banyak menanti . esok akan saya nukilkan. InsyaAllah
-rindukan adik-adik debat , moga kalian sihat walau di mana berada

-dalam bengkel pengucapan tadi, ada yang berkongsi ayat ini semasa berucap topik Ayat-ayat Cinta," kita bukan mencari isteri, tapi ibu kepada anak-anak. Kita bukan mencari suami, tetapi ketua yang memimpin isteri dan anak-anak ".