Thursday, November 27, 2008

Adik-adikku















Adik-adikku..
Abang merinduimu
Kamu membesar jauh di mata
Namun abang merasa gelak dan hiba
Ada yang belajar berbicara
Menutur kata hati manusia
Ada yang bijak menghitung
Sejuta itu bermula dari kosong
Mengira usia menginjak dewasa
Moga menjadi manusia berguna.

Adik-adikku..
Realiti dan fantasi berbeza
Sin Chan yang kamu minati
Tak kan bisa nakal dewasa nanti
Ultraman yang dikagumi
Pasti tewas dengan serangan realiti
Moga kau membesar dengan keazaman
Membesar dalam kehidupan
Melakar warna kejayaan
Mengukir bait senyuman.

Adik-adikku..
Abang merinduimu..

Wednesday, November 26, 2008

Menjejak Roh Pengorbanan: Buat Warga PERMAI

Ayuh sahabatku,
Kita pusatkan tenaga yang satu,
Biar melonjak menjadi ribu,
Kita alirkan rasa dan jiwa,
Tertanam dalam tampang perwira,
Agar hati yang berkumpul tunduk,
Rela berkorban apa sahaja.

Ayuh sahabatku,
Kita renung kisah yang satu,
Terakam dalam lembaran lalu,
Pengorbanan agung yang wajar direnung,
Agar kita tak sombong,
Sejenak masa diluangkan,
Menjejak roh pengorbanan.

JOM KORBAN!



Bersama Ikhwan dan Sheikh Adnan
( pemilik kedai dan ladang ) di kedai dagingnya.









Pertamanya, blog ini bukanlah blog Program JOM KORBAN yang bakal diadakan pada Aidiladha akan datang, saya menulis cuma untuk berkongsi perkembangan terkini buat semua ahli PERMAI khasnya.

Alhamdulillah, setelah tempoh tamat tempahan buat semua warga PERMAI yang berniat untuk berkorban melalui program JOM KORBAN anjuran PERMAI, jumlah korban tahun ini ialah : Seekor unta, 6 ekor lembu dan 11 ekor kambing. Satu jumlah yang besar buat warga PERMAI yang hanya berjumlah 458 orang. Jumlah ini juga menunjukkan peningkatan lebih kurang lima kali ganda berbanding tahun lepas. Alhamdulillah, segala kesyukuran dan pujian hanya layak bagi Allah.

Cukupkah tenaga???

Hasil respons daripada ahli-ahli yang bertanyakan saya tentang perkembangan jumlah korban , rata-rata menganggap jumlah itu banyak dan bimbang tenaga kerja tidak mencukupi hasil perbandingan situasi tahun lepas.

Ya, bilangan korban memang meningkat, namun perlu diingat bilangan ahli juga meningkat. Kemasukan ahli baru sahaja sudah melebihi seratus orang pada penghujung Ogos lalu . Seharusnya bilangan tenaga tidak menjadi persoalan yang membimbangkan.

Tingkatkan kepekaan dan sensitiviti berpersatuan

Kita perlu akui dan berpijak pada bumi realiti, seandainya kualiti sahaja yang meningkat meloncat-loncat, tetapi kepekaan ahli dalam berpersatuan masih terencat, fenomena ini tidak mampu untuk membangunkan sebuah persatuan sekaligus merencatkan segala aktiviti yang dirancang.

Persatuan bukan milik Ahli Majlis Tertinggi, tetapi milik semua ahli,malah pemimpin juga merupakan ahli. Barisan kepimpinan ditaklifkan untuk memimpin ahli dalam persatuan, hakikatnya setiap ahli berperanan dalam menjayakan setiap aktiviti yang dirancang.

Firman Allah:












" Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah". Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur "

Aidiladha membawa seribu pengertian yang perlu direnung dan dihayati. Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sewajarnya dicontohi agar kita hidup dalam jiwa kehambaan yang menuntut ketaatan. Di samping itu, ayuh kita sama-sama menyematkan niat untuk menyahut seruan menyempurnakan rukun Islam kelima, menunaikan fardu haji di Mekah.

Moga sambutan yang dirancang pada kali ini bukan sekadar mengisi taqwim persatuan, tetapi seharusnya sambutan kali ini adalah untuk menjejak roh pengorbanan yang semakin ditinggalkan oleh manusia yang kelekaan di akhir zaman.

JOM KORBAN. MENJEJAK ROH PENGORBANAN!

Monday, November 24, 2008

Aku lelah..

Aku lelah dan lemah
Atmaku penat dan tenat
Ingin ku lapangkan masa
Menghirup udara segar bugar
Tanpa halangan timbunan tugas
Namun Dia banyak memberi nikmat
Wajarkah aku berehat.

Aku rasa masaku suntuk
Masa berputar dengan pantas
Membuatku tandus dan lemas
Ingin ku lapangkan masaku
Menghiburkan hati berlagu
Namun ketenangan itu milik-Nya
Wajarkah aku membuang masa.

Ku rasa tanggungjawab terlaksana
Ku banding dengan yang terleka
Namun ku silap jua
Dia yang menilai segala
Tanggungjawab melebihi masa yang ada
Wajarkah aku terkorban kerana dunia.

Saturday, November 22, 2008

Harga Terkini Korban Aidiladha PERMAI









Alhamdulillah, selesai exam makmal Genetic, saya bersama dua orang rakan sekuliah bergerak menuju ke balad ( pusat bandar Irbid ) untuk bertemu dengan pemilik sebuah ladang ternakan untuk korban Aidiladha akan datang. Memandangkan majoriti pengunjung blog ini warga PERMAI, sedikit perkongsian buat anda.

Berita gembira buat semua ahli PERMAI!

Berikut merupakan harga terkini bagi binatang korban setelah perundingan dilakukan. Terdapat penurunan harga dan pertambahan pilihan binatang korban. InsyaAllah, harga tidak akan naik.

1) Lembu : Satu bahagian ( 123 JD )
2) Kambing : a) kambing Baladi ( Jordan ): Seekor ( 130 JD )
b) kambing bukan Baladi : Seekor ( 150 JD )
3) Unta : Satu bahagian ( 215 JD )


Apa beza dua jenis kambing tu ya?

Bezanya ialah kambing Baladi tu kecil sedikit dan dagingnya kurang berbanding kambing satu lagi. Terpulang kepada anda untuk memilih yang mana mengikut kemampuan yang ada.

Tempahan dan pertanyaan boleh diajukan kepada:

Muhammad Naqeb bin Sulaiman ( Syabab ) : 0779838950
Soleha Azwa binti Karim ( Akhawat ) : 0779833836

Tarikh akhir tempahan ialah pada 25 November 2008 ( Selasa ini )
Apa tunggu lagi?????
JOM KORBAN! MENJEJAK ROH PENGORBANAN.

-rasa kekenyangan kebab balad masih terasa..:)

Thursday, November 20, 2008

JOM KORBAN!!!



Iklan khas buat
semua warga PERMAI!











Saya takut. Ya, saya takut dengan darah. Rasa mual dan loya pasti ada apabila berhadapan dengan darah. Entah apa yang ditakutkan pun saya tidak pasti.

Pernah satu ketika saya berhadapan dengan seorang pesakit kanak-kanak di bahagian kecemasan. Dia duduk berhadapan dengan saya semasa menunggu urusan pendaftaran selesai. Wajahnya yang dipenuhi luka dan berlumurah darah cukup membuatkan saya tegar dengan kondusi itu.

Korban

Menjelang Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi, saya teringat saat kali terakhir menyambut Aidiladha di Malaysia. Saya bersama-sama orang kampung menumbangkan satu persatu haiwan korban menyembah bumi. Ada satu ketika saya diminta memegang bahagian kepala lembu yang agak liat untuk disembelih. Saat parang melepasi bahagian leher lembu, darah memancut-mancut dan mengenai seluar saya. Hampir demam saya dibuatnya.

Tuntutan

" DAN BAGI TIAP-TIAP UMAT TELAH KAMI SYARIATKAN PENYEMBELIHAN(KORBAN), SUPAYA MEREKA MENYEBUT NAMA ALLAH TERHADAP BINATANG TERNAK YANG TELAH DIREZEKIKAN ALLAH KEPADA MEREKA, MAKA TUHANMU IALAH TUHAN YANG MAHA ESA, KERANA ITU BERSERAH DIRILAH KAMU KEPADA-NYA. DAN BERILAH KHABAR GEMBIRA KEPADA ORANG-ORANG YANG TUNDUK PATUH (KEPADA ALLAH)”
-AL-HAJJ:34-


Namun disebalik darah yang saya takuti dahulu , terselit sebuah tuntutan yang disyariatkan oleh Allah, erti sebuah pengorbanan.
Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang menunjukkan kesanggupan untuk berkorban demi manifestasi sebuah ketaatan kepada perintah Allah cukup menyentuh jiwa bagi siapa yang cuba mengambil pengajaran dari kisah tersebut. Bayangkan seorang ayah dan anak yang sudah lama terpisah, sanggup untuk memenuhi perintah Allah agar Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Sebuah pengorbanan yang cukup menginsafkan.


Oleh itu, sama-sama kita menanamkan niat untuk berkorban apabila kita berkemampuan.
Ibadat korban yang disyariatkan ini bisa diterjemah dalam pengaplikasian kehidupan yang sememangnya menuntut kita berkorban dalam pelbagai medan dan lapangan.

Berkorban di dunia, sebelum menjadi korban dunia.

Nilai Yang Sukar Dicari

Hampir seminggu blog ini tidak dikemaskini. Jikalau diikutkan hati, setiap hari saya mahu menghiasi blog ini dengan jalur hidup yang ingin dikongsi. Apakan daya, jadual yang padat menyebabkan saya tidak mampu melekat lama di hadapan komputer.

Sabtu lepas saya meluangkan masa ke Amman menziarahi seorang senior yang dimasukkan ke hospital. Saya bersama dua orang sahabat menemani ayah kepada senior berkenaan dari Irbid ke Hospital Islam, Amman. Selepas menziarahi senior berkenaan, kami bergegas mahu menunaikan solat di masjid bersebelahan.

Biah

Kondusi tempat wudu' yang berkunci di masjid memaksa kami untuk mencari tandas di dalam hospital. Sementara menunggu giliran, berbekalkan bahasa Ammiyah yang ala kadar, saya berbasa basi dengan pak cik cleaner di hospital tersebut. Wajahnya bersih dihiasi jambang yang bersisir kemas mengalu-alukan kedatangan kami.

Berhampiran tempat kami berdiri terdapat deretan incubator yang digunakan untuk menempatkan bayi pramatang.

" Shu hai ya mua3alim? ". saya bertanya sekadar mahu tahu lebih lanjut.

Dia menerangkan serba sedikit tentang alat tersebut dan fungsinya.

" Semuanya dari Allah. Sakit dan ubat dari Allah ".ujar pak cik.

Dia tidak putus-putus mengingatkan saya akan kebesaran Allah, segala-galanya dari Allah. Seorang lelaki bersama anaknya turut menghampiri kami bertujuan ingin mendengar tazkirah ringkas dari pak cik tersebut. Kagum saya melihat peribadinya.

Dia bukan seorang doktor yang memegang stetoskop dan ke hulu-hilir menyarung kot putih, dia hanya memegang mop lantai bersama baldinya, namun dia tetap menjalankan amanah mengingatkan manusia bahawa sakit dan ubat itu datangnya dari Allah. Sungguh malang seandainya seorang doktor memikirkan rawatannya yang menyembuhkan tanpa kebergantungan kepada-Nya. Doktor yang hilang kebergantungan, ibarat layang-layang terbang tanpa tujuan, terbang di awangan, akhirnya menjunam tersangkut di dahan.

Bangunan hospital tersebut tidaklah semewah hospital swasta mahupun hospital kerajaan di Malaysia, namun lokasinya yang bersebelahan dengan masjid membolehkan laungan Azan kedengaran setiap masa waktu solat tiba, ditambah dengan pemakaian doktor dan jururawat muslimah yang mengikut syariat mampu memberi kondusi ketenangan kepada para pesakit.

Nilai sebuah kemanusian

Sejurus menunaikan solat, kami menemani ayah kepada senior tersebut ke sebuah cawangan syarikat penerbangan untuk membeli tiket penerbangan pulang senior tersebut.
Rasa kesal timbul dengan karenah pegawai cawangan tersebut dan peraturan yang tidak bertimbang rasa serta berperikemanusian terhadap kondusi penumpang yang sakit.

Harga tiket yang tidak munasabah dikenakan dan ketidak selesaan kepada penumpang yang sakit menggambarkan syarikat terbabit lebih mementingkan nilai wang dari erti sebuah kemanusian. Cukup mengecewakan!














Nilai sekilogram rambutan di Carefour,Amman adalah 21.75JD ( lebih kurang RM105 ). Adakah ia bernilai??


Sebuah nilai apabila disalahtafsirkan dan dipandang dari sudut yang songsang, kebatilan dipuja dan dijulang, keindahan dan kebaikan dipandang ganjil dan sedaya upaya dihalang. Dunia semakin tua...

Friday, November 14, 2008

Menjulang Tadhiah

Dia mengurut-ngurut dadanya. Nafasnya turun naik keletihan,lalu disandarkan badannya ke tiang khemah sambil anak matanya memerhatikan ruang legar dari celah bukaan perteduhan itu.

Angin musim sejuk menghembus masuk, berlegar-legar dan melemparkan kedinginan ke segenap rongga kulit tubuhnya. Dia menghembuskan nafas bersama kegusaran yang bersarang di hatinya. Hembusan itu terkumpul dan berjalin membentuk asap yang mengujakan. Dia tersenyum seketika mengenangkan gelagat ahli baru yang ghairah melihat kepulan asap keluar ketika berbicara.

" Bonda, doakan pemergiaan Adiputra ya. Adiputra minta maaf atas segala dosa. InsyaAllah, Adiputra akan pulang sebagai pembela ".

Bonda hanya mengangguk lalu melepaskannya dengan linangan air mata. Melepaskan seorang putera untuk pergi berjuang itu adalah lebih berat dari melepaskan apa yang dimilikinya. Putera yang dikandung lebih sembilan purnama, akan bermusafir dalam kembara yang jauh di hujung sana. Negara Malapetaka bakal ditinggalkan puteranya bertemankan ratusan anak-anak muda yang memiliki matlamat yang sama.

Adiputra mencapai kendali kuda lalu melambai kasih kepada bonda tercinta. Kuda gagah mereka menderu laju memasuki belantara lalu hilang bersama doa kudus bonda.

" Adiputra, bangun. Kau dah solat asar ke belum ? ". Sharkawi menggerakkan tubuh yang keletihan itu.

" Astaghfirullah. Aku tertidur. Terima kasih kejutkan aku, kalau tidak pasti aku terlajak dalam lena."

Adiputra bergegas mencari air untuk berwuduk lantas ruku' dan sujud kepada Yang Maha Esa. Dia sedar walau sepenat dan sesibuk mana sekalipun urusannya, tanggungjawab yang satu itu haram baginya untuk ditinggalkan.

Sepuluh minit lagi langit akan bernyala merah, Asar akan berlalu dan Maghrib akan menjadi tetamu. Adiputra keluar dari perteduhan lalu memerhatikan pemandangan sekitar lembah itu. Lokasi khemahnya yang terletak tinggi sedikit di atas bukit membolehkan dia menyaksikan puluhan khemah tentera yang lain. Kelihatan tentera Adam masih berlegar-legar di lorong-lorong lembah melaksanakan tugasan yang belum selesai .

Kebiasaanya tentera Hawa sudah memasuki khemah masing-masing di waktu ini, jarang sekali kelihatan mereka merayau-rayau di lorong dan celahan khemah tanpa urusan yang munasabah , itulah yang sewajarnya. Biarpun kawasan khemah tentera Adam dan Hawa dipisahkan oleh sempadan, mereka tetap saling memerlukan. Segala bentuk kerjasama terurus dalam ruang lingkup syariat meskipun ada yang cuba mencabar hukum Tuhan.

" Allahuakbar Allahuakbar."

Gema seruan itu bertebaran ke seluruh langit, di bawa angin menyusup ke bawah bukit, lalu di telan tanah tanih Lembah Tadhiah. Seruan itu disahut oleh tentera Adam, mereka bergegas ke tanah lapang untuk mendirikan solat berjemaah. Ada juga yang memilih solat di khemah yang lebih selesa bagi mereka sedang mereka tahu kepentingan berjemaah lebih-lebih lagi semasa berjuang ini.

" Inilah kekuatan kita. Jika solat berjemaah kita tidak teguh, kekuatan kita akan roboh, kebersamaan kita bisa runtuh. " . pesanan Panglima Tentera Adam terngiang-ngiang di cuping telinganya.

Malam yang panjang di lembah itu memberi ruang masa yang cukup lapang buat sekalian tentera. Ada yang menghabiskan masa dengan mengulangkaji aspek-aspek latihan yang telah ditimba di Jamiah Tadhiah dan ada juga yang hanyut terleka.

Usai solat, Adiputra membelek-belek surat yang diterimanya dari bonda tercinta. Baru sebentar dia menerima kunjungan merpati putih yang terbang bersama surat itu.

Dia menghayati bait demi bait bicara huruf bondanya. Lega rasanya mendengar kesihatan bonda yang kian pulih sediakala dan adik-adiknya yang rajin bertalaqi di desa tercinta. Dia rindu akan aliran air sungai yang damai, dan tanaman yang menghijau serta pepohon yang membuahkan hasilnya.

Dalam warkah itu, bonda juga menceritakan perihal Malapetaka. Negara itu semakin berkrisis moral dan budaya, segala-galanya berpunca apabila meninggalkan agama.
Sudah ramai anak muda yang tidak berjemaah solat mereka, hatta ada juga yang sudah lupa cara menunaikannya. Seandainya tiang yang satu ini tidak perkuatkan, pasti bencana mudarat bakal menyusul tiba.

Adiputra menghela nafas gusar memikirkan kondusi tanah kelahirannya. Tanah yang seharusnya dibaja dengan ruh pengorbanan, agar tertanam jiwa perjuangan untuk membebaskan cengkaman serangan pemikiran.

Realiti di lembah itu pun apa kurangnya. Banyak perkara berlaku menyimpang dari matlamat mereka. Burung merpati yang seharusnya digunakan sebagai wasilah murni, dimanipulasi sebagai medium menjalin cinta buta. Masa yang seharusnya digunakan semaksima mungkin untuk mengaut segala macam ilmu dan kemahiran di lembah ini, ramai yang mengkhianatinya.

Adiputra memejam mata, fikirannya jauh melayang dan menjulang lantas menggapai bayangan suasana yang permai, jauh dari penderhakaan terhadap amanah dan tanggungjawab.

bersambung..

Wednesday, November 12, 2008

Menjejak Ruh Pengorbanan

Ku jejak ruh itu,
Satu titisan darah,
Menyalur sejuta warna,
Lambang manifestasi cinta,
Bukan hamba rantaian dunia,
Puas dalam ketaatan,
Lepas dari belenggu syaitan.

Ku gali sirah itu,
Meluput sebagai adat,
Pulangkan zahir ibadat,
Agar bisa menjerit batinnya,
Akulah seorang hamba.

Korban bukan terkorban,
Hilang berganti sayang,
Cinta yang kian pudar,
Dibaja darah mekar,
Terbang jiwa yang satu,
Menuju ruh itu.

Tuesday, November 11, 2008

Rajawali

Jangan disangka kami lemah,
Bara kecil disimbah bah,
Bisa menjulang nyala memamah,
Menabrak fitnah dan dusta,
Jahiliyah yang bermaharajalela.

Sepi kami diam rajawali,
Tenang berisi fikrah azali,
Disentak tidak menyalak,
Ditindas sukar tertumpas,
Lemas dalam kekuatan,
Kiriman kasih Tuhan.

Dari utara bertemu selatan,
Timur barat mara kehadapan,
Memusat tanpa perbatasan,
Berbeza bukan halangan,
Demi rintisan serbuah perjuangan,
Kebatilan harus dilenyapkan,
Mendaulatkan agama Tuhan.

Sunday, November 9, 2008

Apalah yang dicari ?

Saya agak terlewat hari ini.
Mengambil teksi untuk ke Mujamma' Amman adalah pilihan yang lebih baik berbanding kelewatan masuk ke kelas Microbiology.

Saya menahan teksi kuning yang mudah didapati.
Setelah mengucap salam, saya menyatakan destinasi tujuan.

Saya berbasa basi dengan pak cik teksi berkenaan dan kemudian mendiamkan diri memerhati pemandangan yang jarang dilalui.

Tiba-tiba pak cik itu gelisah seperti kera kena belacan. Ada sesuatu menggangu tumpuannya. Di meraba-raba ke bawah tempat duduknya dari sudut hadapan sambil memandu.

Tidak cukup dengan itu, dia menyelukkan ke kanan dan kiri tetapi tidak membuahkan hasil.
Setibanya di persimpangan lampu isyarat, dia bergegas keluar dari kereta dan membuka pintu belakang, menyelongkar sesuatu dengan penuh fokus. Lampu isyarat dari merah telah bertukar hijau, dia masih belum kembali ke kerusi pemandu sedangkan kenderaan di belakang berderetan menunggu.

Saya hanya menoleh memerhati. Pak cik itu semakin gelisah dan gundah. Terus mencari sambil memandu. Gerun juga saya melihat perilakunya. Baik-baik hendak ke dewan kuliah, ada juga yang menuju ke Hospital Raja Abdullah. Nauzubillah.

Kami tiba di lampu isyarat kedua, dia keluar sekali lagi dari kereta dengan tekad dan membuka pintu belakang. Dimasukkannya tangannya dalam-dalam hingga bertemu apa yang dicari-cari sepanjang perjalanan kami. Mungkin dia berpegang dengan peribahasa Melayu, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Dia masuk dengan senyuman yang terukir, kelegaan jelas di wajahnya.

Dia menunjukkan sesuatu kepada saya.

Pemetik api!

Lantas dia mengambil sebatang rokok dan menyalakannya. Dia kembali memandu dengan sedikit ketenangan setelah apa yang dirisaukannya telah dipertemukan.

Tanda tanya yang bersarang di kepala saya terjawab akhirnya. Dia sanggup memandu dalam keadaan merbahaya semata-mata kerana sebatang pemetik api.

Cerita ini dikongsi untuk sekadar renungan.

Sepenuh Hati

Begitulah sikap manusia, melakukan sesuatu perkara yang diminati dengan sepenuh hati.
Jika kita meminati sesuatu, kita akan melakukannya bersungguh-sungguh hingga menghasilkan natijah yang dikehendaki.

Namun nilailah dahulu adakah minat dan tabiat itu memberi manfaat, ataupun sebaliknya membawa mudarat.

Renung-renungkan.

Kesenangan Yang Membunuh







Alhamdulillah.

Satu ujian sudah saya lalui. Peperiksaan Microbiology yang berlalu memberi senggang waktu sebelum peperiksaan Biostatistics berkunjung pada 11 November ini. Jika dihitung, hampir setiap minggu jadual saya diisi dengan peperiksaan.

Kesenangan
Tidak dinafikan, ramai yang mengimpikan memiliki masa lapang yang luas tanpa diterjah dengan ujian dan peperiksaan yang bertalu-talu sehingga membuat diri terasa buntu.
Namun, ramai dalam kalangan kita yang tidak sedar bahawa kesenangan dan masa lapang itu juga merupakan satu ujian. Ujian yang menilai kehambaan kita.

Kita akui, sistem nilai terhadap masa bagi setiap individu adalah berbeza. Berbeza mengikut pengetahuan, kemahuan dan kemampuan.

Bayangkan seandainya kita diberi tambahan masa satu jam dalam sehari menjadikan 25 jam, setiap individu akan memandang penggunaan satu jam itu dari sudut yang berlainan.

Seorang pelajar yang rajin akan memandang masa itu boleh digunakan untuk mengulangkaji.
Seorang pelajar yang rajin juga mungkin akan menggunakan masa untuk beriadah, menyeimbangkan kecerdasan akal dan ketangkasan fizikalnya.

Seorang ayah sibuk dengan kerjanya mungkin akan menggunakan satu jam itu untuk membayar hutang masa menemani anak-anaknya.
Seorang ayah yang sibuk juga mungkin akan menggunakan masa satu jam itu memanjangkan lagi masa kerjayanya.

Cuba bayangkan sebaliknya, seandainya masa kita berkurang menjadi 23 jam sehari.

Seorang pelajar yang tidak produktif mungkin akan mengorbankan masa ulangkaji kerana lebih senang dengan rutin harian di alam fantasi.
Seorang 'kaki study' mungkin juga akan mengorbankan masa sosialnya demi mengulangkaji.

Kita perlu berdiri di hakikat yang nyata, masa kita tidak akan berkurang dan bertambah. Apa yang boleh berkurang dan bertambah adalah nilai penggunaan masa.

PERMAI

Cuba bayangkan dalam sebuah komuniti, sebagai contoh pelajar Malaysia di Irbid ini yang jumlahnya 453 orang. Seandainya setiap hari kita membazirkan 5 minit dengan melakukan sesuatu yang tidak memberi nilai dalam sebuah kehidupan, maka jumlah yang telah dibazirkan adalah sebanyak 2265 minit bersamaan 37.75 jam ataupun 1.57 hari.

Bayangkan dalam setahun, jumlahnya akan menjadi 574 hari!. Kiraan ini hanya melibatkan pembaziran lima minit sahaja setiap seorang. Bagaimana jika ianya satu jam, dua jam dan berjam-jam. Kiralah dan muhasabahlah diri. Bukankah ini sebuah kezaliman, kezaliman kepada sebuah pengharapan, pengharapan yang diisi dengan tanggungjawab yang terpikul di bahu kita semua.

Firman Allah dalam surah Al-'Asr yang bermaksud:
[1]Demi Masa!
[2]Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
[3]Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Komuniti besar

Cuba kita nilai dalam skop komuniti yang besar. Begitu ramai ummat Islam yang dipesongkan sistem nilai masanya hinggakan menilai kehidupan seolah-olah akan hidup selamanya. Budaya lepak, menagih dadah, Mat Rempit, semuanya dimonopoli oleh orang Melayu yang beragama Islam. Inilah sebuah sebuah hakikat yang pekat untuk ditelan.

Ideologi sekularisme yang ditanam hingga ke akar umbi dalam pemikiran dangkal sesetengah orang Islam menyebabkannya menjadi hamba kepada dunia.

Jajahan budaya hedonisme juga semakin berjaya. Menjadi suatu yang aneh seandainya lagu yang memuja cinta dan wanita tidak berputar di corong radio. Inilah suasana yang melanda pemuda-pemuda Arab di sini dan juga rakyat Malaysia. Bermula dari isu pertunangan artis popular sehinggalah ke penceraian artis, semua itu menjadi santapan akal dan jiwa sehingga membenakkan pemikiran manusia.

Musuh sedang meraikan pemimpin baru mereka. Mahukah kita berpeluk tubuh tanpa keluar setitis peluh menyaksikan perubahan demi perubahan berlaku, hatta kita diam membisu dan hanya berkata " PEDULI APA AKU " !

Sedarlah wahai teman,
Setiap saat yang kita bazirkan, digunakan musuh sebaiknya.
Setiap detik yang kita abaikan, satu pembunuhan kita telah lakukan.
Pembunuhan harapan dan tanggungjawab yang disandarkan dalam memperjuangkan kebenaran.

Ayuh!

Friday, November 7, 2008

Baccillus Anthracis










Jutaan bacteria dan kawanannya menari di mata saya. Esok exam microbiology bakal menghiasi diari hidup kami.

Berehat sebentar sambil berfikir, moga membawa kepada zikir.

" Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak "

Begitulah pepatah datuk nenek kita, yang mengungkap seribu makna.
Pepatah yang membawa maksud kesalahan orang lain mudah nampak dan diwar-warkan, tetapi kesalahan diri sendiri sukar diperhati dan dikoreksi.

Al Bazar meriwayatkan hadis dari Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : " Berbahagialah bagi siapa yang sibuk memperhatikan ( mengoreksi ) kekurangan sendiri daripada kekurangan orang lain."

Ini bukan bermakna kita tidak mengambil tahu hal orang lain, menjadi kera sumbang yang tidak menyumbang. Intipatinya adalah kita tidak boleh mencari-cari kesalahan orang dan apatah lagi menyebarkannya bertebaran di sekeliling ecosystem kita.

Kalau melihat realiti, ada sahaja kesalahan, masing-masing menuding jari.
Lihat sahaja dunia artis dan politik yang dipenuhi gosip yang belum pasti kesahihannya, habis dicanang satu negara.

Tidak usah pergi terlalu jauh, nilailah semula hubungan kita sesama rakan serumah, teman sekuliah dan ahli dalam persatuan. Sejauh mana kita ingin menyumbang, atau sekadar bersuara ' sumbang '.

Oleh itu, sama-sama muhasabah diri, sejauh mana kita duduk bertaraf hamba kepada Ilahi.
Wallahua3alam.

Thursday, November 6, 2008

Ego

Ku bernafas lelah. Setelah berkejaran, akhirnya dapat juga aku menaiki kereta api komuter itu. Aku menghenyakkan punggung ke kerusi lalu menyandarkan tubuh sambil mengelap peluh.

Kedinginan penghawa dingin membaluti rongga kulitku lantas menghadiahkan sedikit ketenangan. Ketenangan yang sukar dicari akibat tekanan yang tidak putus-putus dan bederaian menghinggapi aku yang bernama pelajar.

Seperti kebiasaan, telingaku disumbati earphone yang bersambung ke Nokia E90, lalu ku telan dan hadam butir-butir lirik lagu yang berderu-deru menggegarkan gegendang telinga lantas membawa ku ke dunia khayalan.

Tiba-tiba alunan damai itu lenyap berganti suara manusia dan deruan penghawa dingin yang memenuhi ruang udara.

Mata aku terpana melihat seorang kanak-kanak lelaki berbaju biru yang tercegat, sambil tangannya mengenggam earphone erat-erat. Umurnya lima tahun barangakali.
Mata bundarnya yang galak dengan lesung pipit yang bercalit sedikit coklat cukup memikat.

Aku hanya tersenyum dengan tangan kanan menadah, isyarat meminta semula.

" Zap ."
Wayar itu terputus dua.

Aku terpana, tenang atmaku terputus sama, bertukar amarah, wajahku berubah rona.
Aku menekan butang 'pause' seketika. Menarik nafas dalam-dalam dan beristighfar di dalam dada. Jikalau diikut kata hati yang membara, mahu sahaja dilayangkan satu tamparan ke pipi gebunya.

"Budak kecil memang begini. Sabar je la."

Budak itu berlalu pergi diekori mataku yang masih lagi merenung tajam ke arahnya.

Dia berlari-lari anak tanpa gentar sedang kereta api komuter itu menderu laju.
Sambil melompat-lompat ala Spiderman, die menjerit-jerit kepuasan.
Gerabak itu hingar dengan suaranya yang bertebaran ke segenap udara.

Aku tidak dapat memejamkan mata tatkala itu. Marahku belum sepenuhnya beransur pergi.

Kelibat tubuh kecil itu melintas lagi, mendekati seorang pak cik tua yang sedang terlena bersama sebatang tongkat tersandar di tepinya.

Belum sempat aku menghalangnya, tangan kecilnya terlebih dahulu menggapai tongkat itu lalu mengetuk kepala pak cik tua tanpa sekelumit rasa bersalah.

" Aduh! " pak cik terjaga lalu mengaduh kesakitan.
Dia meraba-raba tongkatnya. Baru ku sedar si pak cik bertongkat itu adalah buta.

Geramku melepasi sabar yang cuba membatasi, lantas aku merampas sekuat hati tongkat tersebut dan memberikannya kepada pak cik buta.

Anak kecil itu lari ketakutan mendakap ayahnya yang sedari awal khusyuk membaca akhbar. Entah apa yang dibacanya pun aku tidak mengerti hinggakan perlakuan anak sendiri yang menyakitkan hati pun tidak ditegurnya.

" Ayah jenis apa pak cik ni ! " hatiku berbisik geram bercampur kecewa.

" Pak cik, tolong jaga sikit perangai anak pak cik ni. Kecil-kecil dah nakal macam ni, dah besar tak tahulah apa nak jadi. Penyangak agaknya dia nanti. "

Aku menghamburkan kata-kata itu bertunjangkan api yang menyala-nyala.

" Pak cik minta maaf, pak cik pun tak tahu nak buat apa. Kami baru pulang dari hospital, ibunya baru sahaja meninggal dunia ." pak cik bersuara dalam nada berduka dan hiba membuatkan aku ingin rebah.

Tanpa dipinta, rasa hiba dan simpati bertamu dalam hati lantas merangsang air mata mengalir membasahi pipi. Aku berasa amat bersalah kepada mereka berdua.

Begitu mudah aku meletakkan persepsi anak kecil itu memang budak nakal yang perlu diajar dan pak cik itu tidak layak bergelar bapa. Begitu mudah aku meghukum mereka. Ah, kejamnya aku.

Aku memeluk anak kecil itu erat-erat dengan linangan air mata. Ku buang ego seeorang lelaki yang susah untuk menangis apatah lagi di khalayak ramai.
Semua mata tertumpu ke arahku, mata mereka juga menurut rasa hiba. Ruang legar bertugar sepi dan sunyi.

Aku kembali ke kerusi dan melayan seribu satu rasa yang bersulam gundah.

Ummi!

Hatiku tersentak terkenang nama itu.
Aku segera membuka handphone ku, membaca kembali bait-bait pesanan ringkas yang dihantar oleh Ummi seawal pagi tadi.

" Assalamualaikum. Mi apa kabar? Kalau Mi free,balikla kampung ya, Ummi rindu sangat dengan Mi. "

Ku buka kiriman yang telah dihantar.

" Wasalam. Baik. Mi sibuk sikit. Nanti Mi balik bila free. "

Suara Kak Long terngiang-ngiang memintaku segera pulang. Ummi tidak sihat katanya. Hatiku dihuni rasa bimbang dan bersalah.

Aku segera melangkah pulang dengan hati penuh doa.

" Ya Allah, berikanlah kesempatan untuk ku mohon keampunan dari Ummi."

Lagu Lafaz Yang Tersimpan menyusup ke dalam jiwa. Aku lemas dalam pengharapan.

TAMAT.

Wednesday, November 5, 2008

Kami Memang Cemerlang










Seorang pengetua memanggil tiga orang guru ke biliknya.

" Untuk pengetahuan kamu bertiga, setelah dibuat penilaian, pihak pentadbir mendapati kamu bertiga merupakan guru yang paling cemerlang. Tahniah. "

Ketiga-tiga guru berkenaan terkejut dengan makluman itu dan hati mereka berbunga-bunga.

" Oleh itu, sebagai ganjaran, saya telah memilih 90 pelajar terbaik di sekolah ini untuk diletakkan di bawah kamu bertiga. Enjoy your teaching. "

Mereka bertiga begitu gembira dan bersemangat untuk memulakan tugasan itu.
Begitu juga dengan 90 pelajar tersebut apabila dimaklumkan mereka adalah pelajar terpilih dan diletakkan di bawah guru terpilih.

Setelah keputusan ujian keluar, hasilnya cukup memberangsangkan apabila keputusan mereka 30 hingga 40 peratus lebih baik berbanding purata pencapaian pelajar-pelajar lain.

Sejurus itu, pengetua tersebut bertemu dengan guru-guru tersebut dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan itu.

" Tahniah saya ucapkan atas pencapaian anak didik kamu semua. Tapi saya ingin berterus terang, sebenarnya 90 orang pelajar itu bukanlah yang terbaik, tetapi mereka dipilih secara rawak. "

Guru-guru berkenaan terkejut.
" Kalau begitu, kami memang cemerlang kerana dapat pelajar yang tidak terbaik pun, mereka tetap cemerlang. "

" Dan satu lagi saya nak jelaskan, kamu bertiga bukanlah guru yang terbaik di sekolah ini. Kami mencabut nama di dalam kotak, dan nama kamu bertiga yang naik."


Hijrah

Kepercayaan dan keyakinan diri akan diterjemah menjadi tingkah laku yang akan dipandu oleh persepsi terhadap diri. Persepsi yang penuh dengan matlamat dan kemahuan tanpa desakan dan paksaan. Jika kita yakin bahawa kita merupakan pelajar yang cemerlang, maka segala tindakan kita akan menjurus ke arah penambah baikan dan membawa kepada hasil yang optimum.

Hidup ini ibarat sebuah perjalanan yang berliku dan berbukit. Ada suatu ketika kita perlu mempercepatkan langkah, ada ketika kita perlu memperlahankannya dan ada masa kita perlu meningkatkan waspada.

Sedikit perkongsian, saya meminati acara merentas desa dan larian jarak jauh kerana di dalamnya banyak tersemat perkara yang menguji diri.

Pertama, kita tahu destinasi kita. Mana mungkin untuk kita berhenti di tengah jalan andai destinasi masih jauh dihdapan.

Kedua, rasa mengalah dan lemah pasti timbul di tengah jalan, oleh itu keazaman dan kemahuan menjadi penentuan, tersungkur di tegah jalan atau terus mara berlandaskan laluan yang telah ditetapkan matlamat.

Ketiga, strategi larian juga perlu diambil perhatian. Seandainya di permulaan lagi kita dah mengerah tenaga sepenuhnya, belum satu kilometer kita pasti longlai di tengah jalan. Momentum dan simpanan tenaga amat diperlukan kerana kita akan melalui perjalanan yang panjang. Di kala ini, istiqamah amat diperlukan.

Begitulah sebuah kehidupan seorang hamba, Allah matlamat kita. Teruskan berjalan dalam kehidupan, agar tidak mati di tengah persimpangan.

Percayalah, kita mampu untuk berubah. InsyaAllah.

Monday, November 3, 2008

Kembara Di Tanah Jajahan ( Akhir )

Kala itu, tiada suara yang terlontar dari anak tekakku dan hanya diam seribu bahasa membaluti diri. Seribu persoalan datang bertalu-talu ke mindaku yang celaru.

" Sebelum beta khabarkan syaratnya, kau harus tahu seperkara. Sejak kalimah yang terucap di mulutmu didengari rakyat jelataku, mereka hilang upaya untuk berdansa dan meloncat-loncat mengikut irama. Mereka ibarat hilang akal dan punca, ada yang menangis teresak-esak dan ada yang pitam sehari semalam.
Beta khuatir kerajaan beta akan tergugat disebabkan hal ini "

Hatiku takjub akan hal yang berlaku sambil akalku ligat memikirkan jalan dan lorong pilihan yang bakal diajukan sebentar lagi.

" Katakan apa syaratnya? "

" Beta tahu kau orang beragama. Gunakan agamamu untuk memulihkan mereka."

Maksud kau?

"Kau terangkan akan perihal agamu itu, tapi kau perlu juzukkannya. Ambil yang sesuai dan buang yang dirasakan sudah ketinggalan. Putar belitkan dan pastikan ia menjauhkan mereka dari hakikat yang nyata. Kemudian, kau letakkanlah apa-apa jenama baru pada agamamu, biar nampak cantik agar mereka tertarik. Kemudian, kau akan dapat habuan yang beta janjikan."

Aku kaget mendengar tawarannya. Memang sudah dijangka, ada helah yang terselit disebalik perubahan sikapnya.

" Baiklah, aku mahukan kebebasan. Itu sahaja yang aku pinta. "

" Bagus. Beginilah yang beta inginkan dan idamkan. Usai mentari menjengah esok hari, kau akan berpidato di hadapan jutaan rakyat jelata, bertempat di Stadium Halusinasi Lagha. "

*****************

Mata-mata itu merenung dalam-dalam ke arah susuk tubuhku yang terpacak di pentas siasah. Aku berdiri sebaris dengan kerabat kepala mereka. Debar dan gundah hatiku hanya Tuhan yang tahu.

"Bismillah.."

Arghh !!

Ada yang menggelepar, menjerit terketar-ketar dan ada juga yang terkencing sedari aku mula berbicara. Sunyi !

" Aku adalah manusia bertaraf hamba, duduk matiku di bawah naungan Allah. Aku menyeru kamu semua kembali kepada-Nya, dia Maha Pengasih dan Maha Berkuasa. Tiada kekuasan melebihinya."

" Tinggalkanlah kalian ideologi memisahkan agama dan kehidupan dunia, jauhilah kalian hidup berkiblatkan hiburan nafsu.."

"Jahanam!!! Tangkap dan pancung kepala si pendusta bedebah ini." Tuan Penguasa Fana, Yang Disanjung, Raja Sekularisme murka.

Hatiku kecut melihatkan kilauan tajaman pedang yang tersemat di jemari lembaga bertubuh sasa di kananku. Namun, takut lagi atmaku andai menuruti kehendak si iblis itu.

Zapp!!!

Ya Allah!

Rasa sakit menjalar di segenap laluan saraf kepala.

Astaghfirullah.

Aku menggosok-gosok dahiku yang berdenyut akibat terhantuk ke tempat duduk hadapan. Pemandu bas menekan brek kecemasan barangkali. Istighfar ku panjangkan di lidah lantas turun ke sanubari mengenangkan mimpi yang menyelinap masuk ke lenaku sebentar tadi.

" Abdullah Ali, jaga solat ya, itu sahaja pesan ummi. " suara umminya sewaktu di stesen bas ketika melepaskan pemergiannya ke ibu kota metropolitan untuk menyambung pelajaran masih terngiang-ngiang.

Dia tahu pesanan yang ringkas itu membawa sejuta makna yang akan membentuk jalur kehidupan seorang hamba. Dalam ibadah itu terkandung pelbagai perintah yang akan diterjemah menjadi prinsip dan amalan sepanjang perjalanannya di tanah jajahan.

Ya, di tanah jajahan yang perlu dimerdekakan!

Sunday, November 2, 2008

Kembara Di Tanah Jajahan 2

"Celaka, siapa gerangan kau? "

"Err.. Aku manusia bertaraf hamba. Hamba kepada Yang Maha Berkuasa. Siapa gerangan kalian semua??

"Kau tidak layak bertanya kerana kau penceroboh, kau telah merosakkan perhimpunan suci ini.
Selayaknya kau dihukum tanpa bicara."

"Ini zalim! Mana ada undang-undang yang menghukumi tanpa bicara. Aku mahu keadilan kerana aku tidak melakukan apa-apa kesalahan."

"Sudah! Tangkap durjana ini dan sumbatkan ke dalam tahanan di Jeriji Neraka.
Biar dia tahu langit itu tinggi atau rendah. Hahaha..."


Bang!! Aku rebah.

*****************

Malam itu aku ditemani jeriji besi yang memisahkan aku dari dunia yang menakutkan itu.
Dunia yang memuja Raja Sekularisme dan Pemaisuri Hedonisme. Ku bernafas dalam kedinginan yang menggigit tulang hitam sambil cuping telingaku menangkap teriakan dan esakan yang bergempita.
Tangisan banduan lain yang disiksa barangkali.

Selang beberapa ketika, mataku lelap dalam sedar, memikir seribu satu kemungkinan yang bakal berlaku.

Tiba-tiba, tidur ayamku termati mendengarkan kuakan pintu besi.

"Bangun kau dan ikut aku. Cepat !"

Dengan langkahan longlai dan tangan yang bergari, ku gagahi diri menuruti pengawal itu ke suatu bilik kecil.

"Silakan duduk wahai manusia yang beragama. Maafkan atas kekasaran beta siang hari tadi."

Aku seakan tidak percaya. Susuk dihadapan kini berubah 360 darjah perilakunya. Ku duga pasti ada udang di sebalik batu, manakan boleh berlaku sesuatu jika tidak mempunyai punca. Namun, aku cuba berbaik sangka. Ku diamkan diri tanpa sebarang bicara.

"Wahai pemuda , beta ingin menawarkan apa sahaja yang kamu hajati. Sebut sahaja apa yang terlintas di benak nafsumu. Hatta, anakanda kesayangan beta, Puteri Jelita Feminisme pun beta sanggup berikan. Tapi dengan satu syarat..."

..bersambung

Kembara di Tanah Jajahan

"Woi, bangun kau dari pembaringan! Perhimpunan akan bermula. Lekas! "

Aku cuba membuka mata, berat yang teramat dan atmaku tidak terdaya. Cahaya samar-samar menembusi kornea lantas memperlihatkan lembaga yang asing bagi aku.

Aduh! Rasa sakit menjalar disegap saraf lantas menggegar sedar manusia.
Aku tersentak hasil sepak terajang lembaga itu ke tulang belakangku. Satu. Dua. Tiga. Arghh..

" Siapa kau? " Aku memberanikan diri walau kecut bertaut erat di hati. Suara lelaki kutinggikan untuk mengusir kebimbangan. Ku cuba bangkit sedaya upaya bertemankan sedikit tenaga yang ada.

Bang!!

Kaget. Tubuhku longlai menyembah bumi yang asing bagiku. Aku tersungkur dan kudratku lebur dengan tembakan itu. Tembakan yang menembusi dadaku, menyalurkan semacam jenis virus yang menyebabkan pancainderaku kehilangan fungsi buat beberapa detik masa. Aku diheret ke satu dataran agam. Datarannya sungguh luas ibarat lautan yang tidak bertepi.

Di sana terdapat lautan lembaga pelik sedang berpesta, menghayun segala-galanya mengikut pekikan yang tidak menentu, sekejap berirama sayu, bertukar gegar gempita . Muzik hitam dan bingar berselang seli membingitkan gegendang telingaku. Tampang mereka seakan-akan manusia, namun wajah nyata berbeza. Sukar untuk menafsirkan siapakah gerangan mereka. Mahkhluk hamba atau si pendurjana.

"Wahai sekalian rakyat jelata. Tunduk kalian kepada Tuan Penguasa Fana, Yang Disanjung, Raja Sekularisme."

Semua tampang itu tunduk menyembah susuk tubuh yang berdiri di sebuah puncak menara. Ada yang menangis dan meronta-ronta, seakan tergila-gilakan susuk itu.

Di sampingnya, muncul seseorang yang seakan-akan wanita berparas indah dengan rona ayu mengalunkan suara merdu gemersik lagu yang menikam batin dan kalbu.
Lautan lembaga menyahutnya dengan jeritan bertalu-talu. Mereka hanyut dibuai keasyikan suara itu.

"Berikan tepukan gemuruh dan hormat bersungguh buat Pemaisuri Penyejuk Maya, Yang Dipuja, Pemaisuri Hedonisme." seekor lembaga berteriakan memberi kata dua, mengajak sekalian jelata memuja mereka.

" Wahai sekalian rakyat jelata, kalian memang mengagumkan beta. Beta bangga dengan kesetian kalian. " suara Tuan Penguasa Fana, Yang Disanjung, Raja Sekularisme bergema.

Aku hanya memandang dengan rasa gerun dan pegun.
" Di manakah aku kini? ".
" Ya Allah." kalimat itu terpacul dari mulutku.

Mereka semua memandang tajam ke arahku. Memandang dengan adunan rasa terkejut, marah, geram dan sedikit riak ketakutan terpampang di wajah pelik mereka.

" Kau!! "

..bersambung