Sunday, March 29, 2009

Yang Terpilih Di Hujung Minggu

Gambar Hujung Minggu

Pertandingan Menggosok Tudung.
Family Day BKPJJ 2009


Menjahit butang??


Aqabah.



Kemenangan yang tak disangka.


SMS hujung minggu

-mesej dari Mak :"... Mak betul2 berkenan dengan dia.. "
-saya balas dengan confident : " naqeb nak tumpu study dulu. soal jodoh di tangan Tuhan. "
-yang di simpan dalam hati,: " mak jangan risau, nanti naqeb carikan menantu yang terbaik buat mak k. " :)


Panggilan hujung minggu

-Mak Ngah : " Awak tu pun sama, kalau dah cukup syarat-syarat, jangan tunggu lama-lama. Mak Ngah dan Abah dah tak sihat. Nanti tak sempat."
-Saya balas : " Mak Ngah jangan cakap macam tu. InsyaAllah. "
-yang disimpan dalam hati: " kalau mak ngah nak support kenduri, ok je. hehe.. "

Nota:
- Entri ni macam tak de manfaat, sekadar coretan hujung minggu dan yang di hujung2 tu hanya gurauan pengubat rindu ye.
- Tahniah buat penganjur ceramah " Kenapa Palestin? " terutama Tuan Pengarah. :)
Moga terus istiqamah dalam memperjuangkan isu ini.

Saturday, March 28, 2009

Kau Yang Bernama Pelakon


Sehari dua ini ada suatu kalimah yang sangat aku fikirkan.
Aku sendiri tidak tahu apa asbabnya. Namun, itu yang cuba aku renungkan dan percakan lalu cuba ku cantumkan semula.

WATAK

Kau kenal Kasim Selamat dengan saksofonnya.
Mr. Bean dengan muka tidak bersalah.
Rahul yang membawa hati yang duka jauh dari ibu bapa dalam KKKG.
Harry Potter yang digilai ramai manusia.
Ultraman yang butangnya sudah berkelip-kelip merah mampu bangkit semula.

Mereka itu watak ciptaan di layar yang di tangan pelakonnya ada skrip bacaan. Jika tersasul, tuan pengarah walau dengan hati membengkak tetap memberi ruang mengulang semula. Watak mereka lekat di ingatan. Lalu apa puncanya, adakah kerana si penonton itu berminda kelas rendah, mudah ditipu daya dengan lakonan air mata dan magic maya, atau si pelakon memang benar-benar ada kelas tersendiri dalam berwatak di dunia yang dicipta.

Itu watak yang direka, mungkin berdasarkan realiti, ada juga bertunjangkan fantasi.

Lalu, watak nyata yang kita sedang menerajuinya dalam sisi lorong yang penuh dengan skrip palsu dan sorot lampu gelap ini pula bagaimana perjalanannya?
Adakah kita benar-benar berwatak ataupun hanya memasang topeng murah untuk dilihat tampan dan jelita di pentas singgah sahaja.

Aku bukan sesiapa yang layak menulis tentang watak kerana aku bukan pembawa jalan cerita hero yang berjaya. Cuma aku ada cenderung untuk memerhati watak manusia yang berada dalam ruang lingkup pandangan aku.

Masa aku di sekolah menengah dahulu, stesen bas adalah tempat yang aku bertemu berbagai karenah manusia di atas bau sesaknya. Bermacam-macam watak boleh ditangkap dengan pancaindera, ada yang sedang khusyuk memainkan bab pengenalan dengan dunia cinta papa dan mama, ada yang sedang diupah untuk berlakon tambahan dalam bab gengster remaja, ada yang dalam klimaks umur yang lanjut usia namun masih berwatak mengutip hasil sisa buangan di sini sana, dan aku di hujung bangku dengan berbaju batik berbunga, memegang watak budak sekolah yang ingin pulang ke rumah.

Mudahkah membawa watak?

Adakah semudah cerita seorang pelacur yang akhirnya kembali ke pangkal jalan apabila bertemu lelaki yang baik menawarkan kehidupan yang jauh dari sarang nafsu si jantan?
Setangkas hero Hindustan yang berjaya menumpaskan puluhan musuh walau telah nyawa-nyawa ikan sebelum itu, lalu berjaya menyelamatkan si gadis dari ketua mafia yang berhasrat mengahwininya?
Atau seindah Fahri yang dicintai tiga wanita dalam masa yang sama, lalu memilih Aisyah yang akhirnya berkorban untuk dimadukan dengan Maria?

Jika benar membawa watak semudah yang ditayang di skrin kaca, maka tidak usah risau kenapa kita tidak berubah baik di masa muda, kerana hujung 60 an nanti akan juga berkopiah dan duduk di tikar sejadah.
Kalau sekarang asyik berfoya-foya di lorong gelap, lepas bernikah akan buka buku baru membina istana bahagia.
Namun, jalan cerita di bumi nyata bukan begitu indahnya.

Watak yang kita bawa sekarang memberi kesan pada watak yang bakal dilangsungkan di usia mendatang kelak. Pokoknya, jika mahu menghirup teh manis di petang hari, ke kedai dahulu membeli gula di awal pagi.

Celaru watak?

Jika diberi pilihan menerajui filem antarabangsa yang melonjak kau dari khemah setinggan ke pentas kemasyhuran, kau pilih watak yang mana?

Watak lelaki yang sasa yang menjadi teraju utama dalam menyelamatkan dunia, atau si lembut yang terkinja-kinja mencari pelanggan di lorong gelap gelita.

Si Puteri Jelita yang dikahwini Putera Raja lalu hidup bahagia, atau si dayang yang menuang teh lalu tumpah ke meja Raja ,akhirnya disumbat ke dalam penjara.

Watak-watak itu semua ada pasangan sifat dan nasibnya.

Ada yang duduk di atas pada rupa paras wajah dan timbunan harta, tapi miskin jiwa dan tenang hidupnya.
Ada yang hartanya cuma sebidang tanah, namun syukurnya seluas tidak terkira.

Namun, yang aku sedar bahawa watak-watak realiti yamg berbeza ini, saat sujudnya di kala solat jumaat yang jumlah safnya paling banyak dalam seminggu, semuanya berwatak sama. Watak HAMBA.

Tidak kira semegah mana membina empayar emas bersulam kaca, sedalam mana rasa haloba, saat susah dan sakit menimpa, Dia juga yang disebut-sebut sebagai tempai meminta.

Hamba itu tidak punya apa-apa. Kita sedang memegang watak yang sedang dinilai tidak kira masa.

Aku seru diri aku, mari berwatak HAMBA.
Tidak kira dilangit setinggi mana berterbangan, didasar laut dalam selaman, kita tetap di paras watak itu. Berwataklah wahai aku dan kamu.

Alhamdulillah,hari ini berwatak gangsa trio dan perak single untuk 2009 BKASJ BOWLING TOURNAMENT. terima kasih buat ahli team yang best. :)
dari kiri: Apai, Naqeb dan Mukhlis

Thursday, March 26, 2009

Kau Jantungku


Hati.
Ramai yang berbicara soal hati.
Jatuh hati, lalu mandi tak basah tidur tak lena.
Sakit hati, seperti mahu menampar-nampar muka yang dibenci berkali-kali.
" Ee...sakit hati aku dibuatnya. !!!! ".
Alahai.
Kecil hati, bila ada yang menegur dengan tona yang sedikit lain dari biasa, mulalah mulut muncung berjela, muka berpaling 360 darjah.

Warna hidup kita memang terasa dekat yang amat sangat dengan gabungan bilah huruf ini.
" HATI "

Lalu, aku rasa aku mahu bicara soal jantung pula. Alkisah, Cardio Vascular System kini ku hadap dalam sebulan yang mendatang.

Jantung itu bagaimana pula dengan budaya masyarakat kita??

Kecil jantung, jatuh jantung ?? Pelik bunyinya.

Sakit jantung. Ha, yang ini ada dan semakin kerap melanda selepas zaman pascamerdeka.
Almaklumlah, ulam-ulaman dan ubi kayu bukanlah jadi santapan utama di gerai-gerai ibu kota.

Jantung, Aku dan Kau

Organ ini setia sepanjang masa, terus berdegup. Dup..dup..dup
Tidak kira masa, saat kau tidur lena hingga terlajak subuh gajah, ketawa melihat telatah pelawak yang entah apa-apa, melakukan dosa yang sering diulang-ulang meski berjanji meninggalkannya, ia tetap mejalankan kerja tanpa merungut atau meminta.
Mengepam darah agar seluruh anggota kau segar bugar.

Lalu bagaimana dengan kita yang juga ada fungsinya?

Jadi manusia yang berakal apalah gunanya andainya akal itu ditinggal bersepah-sepah di jalan dan sisi lorong haiwan ternakan.
Kerja bertimbunan, tangguh jadi pilihan hingga memberi kesan kepada komuniti di sekeliling yang nyata saling memerlukan.

Andai jantung itu sifatnya bertangguh seperti kita..

Kepala : Jantung, cepatlah sikit! Aku dah lemas ni.
Jantung : Ala, rilekslah. Masa banyak lagi.

Tut............... Mati.

Jantung itu aku letakkan persisnya pada kitar hidup kita.
Bagaimana?

Jantung itu adalah kita ditengah memusat, dihubungkan oleh salur darah, arteri, vena, kapilari ke anggota seluruhnya.
Ada ransangan untuk berdegup kencang, boleh jadi kurang denyutan.
Menerima darah dari peparu, lalu diberi sebaik mungkin kepada rakan anggota.

Manusia juga begitu jalurnya.
Menerima dan memberi itu memberi erti, biarpun ada yang membenci.
Wajarkah diputuskan salur darah yang mengikat kau dan si dia yang membenci semata-mata untuk memuaskan hati yang sekelumit cuma.
Bukankah lebih bijak jika memberi itu mengikut kadarnya.
Jika dia kesejukan, kau alirkan sebanyak mana darah, jika panas, lakukan sebaliknya.

Jika penat, cukup sekadar rehat. Namun bukan berhenti dari memainkan fungsi.

Aku mahu jadi si jantung hati, buat si dia yang sudi memberi dan menerima diriku ini. ( jiwang pulak ayat ini. ke tak ? : )

Jantung oh jantung. :)

- sakit jantung melihat keputusan perhimpunan
- sakit jantung naik pesawat picisan di bawah ini

Wednesday, March 25, 2009

Pesawat Picisan

Dingin malam sejuk itu menghembus senyap-senyap hingga buat manusia-manusia yang tersadai di lapangan itu terlena dibuai mahligai cinta, tanah kuasa jauh dari pohon rendang, wang disuap ulang-ulangan.

Ada juga mata-mata terpejam yang terigaukan asap dari daerah mana yang datang bebondong-bondong masuk membutakan mata saat mereka hanya berkumpul belajar membaca, suara teriakan dari jendela besi dan esakan anak isteri.

Uyal hanya memerhati dari sudut kiri bangunan bertingkat itu. Sebentar lagi mereka akan berangkat terbang ke langit tinggi, meski tidak pasti bintang mana yang bakal digapai sedang ramai yang mengimpikan bertemu bulan.

Dia tersenyum keseorangan meski hati dirudum bimbang yang memekat.

Mana tidaknya, dua minit lagi akan berlepas, masing-masing terkial mencari nama untuk diberikan kepada anak pinak, mencari baju fesyen terkini dari butik di lorong sana sini, menukar wang kecil untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yang berair liur basi demi menjadi pak turut di atas nanti. Kecoh!

Selang beberapa jeritan manusia " Mari beli. Mari beli. Beli satu, percuma dua. Puas hati punya! ", kapal terbang yang berjenama gah tetapi sebenarnya picisan sahaja itu menderu laju ke udara.

Ada yang mengangkat tanah berdoa, ada yang terus melelapkan mata, ada yang sibuk melirik mata. Semua berbeza.

Pesawat berjenama palsu itu menderu laju, sekejap turun menjunam, kemudian haru biru.

Anak mata Uyal memerhati dari bingkai kaca kecil, dihilatnya awan melambai-lambai seolah gembira melihat gerombolan manusia menziarahi halaman mereka. Jika diturutkan kata hati, mahu sahaja dia terjun dari kapal yang melemaskan itu untuk bermain-main dengan anak-anak awan yang lembut dan menenangkan. Tiada prejudis dalam bermain dengan titik-titik air, sorok-sorok dengan Suria, bernyanyi riang bersama petir dan menangkap cahaya kilat yang bersabung di rumah mereka.

" Awan, bisakah kau menjemput ku ?"

" Tidak!!!!"

Sepi dalam perut pesawat itu dihanyut pergi, dengkur Pak Hal yang banyak buat hal sejak dari mula dia membeli tiket itu termati, nyanyian budak kurang suiman yang bergincu merah dan baju terbelah lenyap dari telinga.

Semua mata-mata menoleh ke arah jihat suara yang bergema. Berpusu-pusu manusia prihatin mendekati sambil menunjuk simpati.

Si ibu yang bersanggul kepala sedang meriba kucingnya yang sudah putih mata.

" Kenapa ni kak, dalam sehari dua ni kucing akak ada perubahan apa-apa ke, dia ade buat benda-benda yang pelik tak. Mengidam nak makan apa-apa ke? Akak ade mimpi apa-apa tak yang pelik-pelik ". seorang lelaki berbibir merah bertemankan buku nota terkinja-kinja menyoal Cik Sanggul.

" Ah, dasar wartawan picisan, saat si kucing pergi akibat tersedak susu basi, dia sibuk mengorek cerita perca untuk ditampal di dada akhbar nanti. Lebih baik kau tulis macam mana nak jaga kucing dengan baik ke, daripada menyumbat khalayak pembaca dengan cerita stereotaip kau tu ". getus hati kecil Uyal.

Dia malas dan bosan dengan perilaku umpama itu, lalu langkahannya kembali menuju ke kerusi dan dikeluarnnya akhbar yang lebih layak dan hak untuk dibaca.

Dibuka satu persatu, satu, dua, tiga.

Zap..!!

" Hoi, akhbar ini tak boleh baca. Ini salah kau tahu. Kau tengok faktanya, bercanggah dari hukum asal yang digariskan oleh juruterbang pesawat ini. Faham."

Uyal hanya menahan geram, mujurlah dia masih ada akal waras, jika ikutkan hati dan perasaan mahu sahaja dilayangkan kakinya ke muka pemuda itu. Dia bukannya takut akan gas pemedih mata, cuma dia sudah lali dengan semua ini. Mual.

" Nah, kau baca akhbar ni. Aku bagi percuma. Cuma kau bayar dengan katakan YA sahaja ok? "

Senyap.

Tuesday, March 24, 2009

Akan Datang..


Apa yang menarik??
Nantikan kemunculannya. :)

Monday, March 23, 2009

Kembara ke PETRA

Alhamdulillah.

HLS telah sudah berlalu exam pertengahannya.
Sudah dua hari kuliah CVS sudah bermula meski hari ini hari pertama buat aku dan dua belas geng kembara.
Catatan kali ini sekadar berkongsi cerita dan sebagai terapi aku untuk meringankan kepala.
Menulis sesuatu yang menenangkan. Kalau tidak percaya dan belum pernah rasa, apa kata kau cuba. Ok ? :)

Kembara ke PETRA

Peserta : 13 orang pelajar Perubatan Tahun 2 Just
Penganjur : Dirahsiakan namanya demi tujuan keselamatan
Durasi : Satu hari
Kenderaan : 3 Lancer

Gambar 1

Muka rakan-rakan yang keriangan melihat pak cik Arab mengisi minyak yang berharga 7 Jd untuk 8 Liter. Kalau di stesen minyak, boleh dapat 20 JD. Alkisah, minyak tidak mencukupi di tengah jalan dan akhirnya terpaksa beralah membeli minyak yang mahal.

Bila sudah naik kenderaan dan menyambung perjalanan, kawan aku bersuara.

" Kalau depan ni ada stesen minyak, rugi kita isi minyak tadi. "

Aku memikirkan mesej disebaliknya.
Memang kita manusia yang terbatas jangkauan, terpaksa membuat keputusan kerana kita tidak tahu samaada peluang itu ada atau tidak dihadapan.

Gambar 2





Aku lalu sambil melemparkan senyuman dan salam kepada pak cik ini yang menjaga di pintu gerbang.
Terdetik dalam hati kesanggupannya berdiri di bawah mentari sambil mengenakan kostum ala-ala panglima sambil menyambut kedatangan pengunjung dari serata dunia.
Di raut wajahnya, aku hanya membaca bahawa dia bangga dengan warisan sejarah yang tidak ternilai harga di tanah airnya. Itu hanya bacaan aku.

Gambar 3

" Donkey?" pelawa ramai pemilik haiwan yang tidak sebesar mana ini.

Aku nampak seorang budak lelaki turun dari keldainya, mencapai sebiji batu bersaiz penumbuk, lalu dihentakkan ke kepala kedainya demi memaksa haiwan itu berjalan.

Aku terfikir kenapa orang selalu kata , " Bodoh macam keldai ".
Aku rasa tuannya yang zalim lebih bodoh dari makhluk yang berkhidmat senantiasa.


Gambar 4


Ini gambar cenderahati yang dijual oleh peniaga-peniaga di sini, dari serendah-rendah kawasan terik, hingga menggunung tinggi di atas bukit. Di atas puncak yang tinggi pun ada yang sanggup mendaki demi mencari rezeki.

Gambar 5

Lereng bukit untuk ke Al-Dayr. Perjalanan dari bawah untuk ke sana mengambil masa hampir 45 minit tanpa keldai, maksudnya berjalan kaki. Ketika sedang berehat mengumpul tenaga, seorang lelaki yang sudah berusia menegur saya.

" Hai, kamu orang muda! " tegur warga Belanda itu.
Kagum juga dengan semangatnya walau sudah berusia.

Lalu saya berjalan bersamanya sebentar sebelum meninggalkannya usai isterinya muncul tidak beberapa lama.

Gambar 6
11 daripada 13 telah berjaya menamatkan misi ke sini . Al-Dayr adalah monumen terbesar yang terdapat di Petra.

Gambar 7

Boria padang pasir. Nasib baik keldai dan unta tidak berminat warna merah..:)

Gambar 8


Manusia adalah sebahagian dari sejarah.
Monumen khas dari Malaysia :)

Gambar 9

Bakal doktor yang merenung masa hadapan.
Teringatkan kawan-kawan di Science Hall 2. :)

Gambar 10


Di atas tikar sejarah,
Batu bisu beribu berteleku rebah,
Debu-debu kisah terpalit di dedaun rasa.
Semilir halus memahat tubuh jiwa,




Wednesday, March 18, 2009

Owh. Si Polan ini berprinsip orangnya!


Situasi 1

Apa pilihan awak?

A?
B?

Emmm. A.
Eh..macam B je.
Takde C ke?

Mana satu ni?

Jap, orang lain ramai pilih mana ye?

Mana-mana lah. ( muka selamba sambil menghembus asap busuk ke ruang udara )


Situasi 2

Helo kawan, kau tak tulis pasal isu Palestin ke, sekarang kan tengah hangat?
Helo member, lu tak pergi konsert kat dataran ke malam ni, ramai pergi beb?
Assalamualaikum. Anta tau tak isu terhangat pasal ikhtilat. Sekarang ni heboh didiskusikan hal ini ?
Helo Encik, tak nak bagi apa-apa ke kat best student tu ke? Ramai dah bagi dah.
Ehem.Ehem. Result dah mantap ni nak sambung belajar kat mana? Ramai yang plan nak pergi Timur Tengah.

Eh! Ye ke?? Boleh juga. ( dengan senyum tersengih menampakkan sepasang gigi arnabnya )

Lalang

Manusia itu beraneka ragam dan rentak tarinya bila diberi ransangan terhadap sesuatu perkara.
Rumitnya, semakin menjadi trend membiaknya spesies yang tidak berpendirian dalam bertingkah langkah, hanya tahu menyorot di jalan yang sudah dijejak ramai orang tanpa usul periksa. Tidak tahu dihujung apa, pangkalnya mana, lalu hanya tahu mengekor, janji manusia-manusia nampak " Owh, si polan ini berprinsip orangnya "

Saat dunia berbicara tentang adegan Israel mencabul maruah dan hak rakyat Palestin, ramai yang turut serta ikut gelombang arus raksasa. Apabila media sudah kembali ke wajah asalnya, maka ramai yang duduk kembali di bangku meja sambil meneguk Coca Cola dan menonton adegan realiti yang hiba saat ada yang tersingkir seawal konsert pertama.

Malu.

Usai keputusan berderetan A1 sudah berderetan di tangan meski ada satu dua yang berbeza bentuknya, ada yang terpinga-pinga ke mana harus dilangsung jalan liku untuk menjala ilmu.
Ada ibu ayah yang memaksa, anak yang baik menurut kata.
Ada rakan sebaya memujuk sama, diekor demi janji setia.
Ada senior berkampung di sana, " Ah, aku tak risau kalau macam nilah. "

Saat langkah sudah bermula, debu tanah singgah dan salji Barat dunia sudah terpalit di tubuh,
baru terpinga-pinga merasakan tidak sesuai dengan hati kecilnya. Memujuk dalam diam, akhirnya bungkam.

Jangan jadikan kita yang sempurna akal ini letak duduknya setaraf dengan peribadi lalang di sawah Pak Ali, ditiup ke kanan ia turuti, dihembus ke kiri ia ikuti.

Ada apa dalam diri??

Helo kawan.
Jangan ingat aku ini sempurna bila aku tulis sebegini rupa. Lorong-lorong itu aku sendiri pernah lalu dan jejak di tikungannya. Manusia ada jatuh dan bangun, yang menentu di dahan mana kita berpahut.

Aku hanya ajak kita kenal dua perkara dalam hal ini. Hanya Dua dalam entri ini. Kalau banyak-banyak pun tidak guna kalau habis aku dan kau baca coretan budak kecil ini, terus lupa.

1) Bersifat proaktif.

- selalu disebut-sebut dalam ceramah motivasi yang buat kau segar bugar, lepas makan malam kembali meng'ular' .

-Jom rujuk Kamus Dewan ( alang-alang sudah ada di rak, baik aku kongsikannya ) :
sikap positif ( individu, institusi dll ) merangka atau melakukan sesuatu tindakan ( setelah difikirkan masak-masak ) jauh lebih awal daripada berlakunya sesuatu perkara yang sememangnya memerlukan tindakan yang berkenaan ( tindakan tidak dilakukan hanya setelah sesuatu hal itu berlaku ) ( jangan terlelap pula membaca difinisi ini )

-Aku bagi contoh permata. Tanpa disangka-sangka pada satu saat sedang hangat orang berbicara pasal pokok, satu permata berkilau timbul di permukaan air, setelah ia bersusah payah naik ke atas dengan berpuasa dan mujahadah. Saat itu berpusu-pusu delegasi menawar harga dan hadiah, dan memujanya.
Mengapa sesudah munculnya ia, kenapa tidak turun mencari didasar lautan,membantunya menjulang ke udara. Kesannya, kita akan lihat satu dua sahaja yang bersinar, sedang potensi untuk melihat ribuan mutiara masih ada. Silapnya, ramai yang sibuk menunggu untuk bersorak, daripada membantu untuk memberi hak.

Ok. Seterusnya.

2) Kenal potensi diri

- Aku dulu pernah cuba menulis, tapi orang kata tak best. Bosan.
- Lari 100 m?? Eh, tak pela. Tak pernah cuba lagi.
- Ana asyik gagal sahaja takdim akhawat yang ana rasa sesuai untuk ana. Membujang sampai ke tua la nampaknya.

Kenapa perlu cepat menafikan hak diri untuk mengecap sesuatu yang bernama potensi.
Potensi itu bukan diukur sama ada kau berjaya atau gagal.
Gagal kita adalah potensi untuk berjaya.

Potensi itu dasarnya bukan kemampuan, tapi kesanggupan.
Kesanggupan untuk kau mencari apa yang yang kau cita, menggapai apa yang kau rangka, biar setinggi bintang di langit angkasa.

Lalu, kenapa harus kau padamkannya dengan secubit rasa alah.
Tiupkanlah ia dengan angin ikhlas kerana Yang Maha Esa.

Ok.
Rasa cukup sekadar ini celoteh di pagi hari, sekadar pengingat diri yang sedang ditiup dari kanan dan kiri.

A atau B?

Pilihlah sendiri. :)

- HLS semakin menghampiri. Doakan ya. :)
- Jangan lupa keluar mengundi esok ya warga Just.

Saturday, March 14, 2009

Timur Tengah Baguskah??


Dua hari sudah berlalu buat adik-adik penganggur yang sabar menunggu.
Keputusan sudah di tangan lalu ke mana langkah tuju seterusnya dihalakan. Sudah ada perancangan, atau masih lagi dalam dilema bayangan.

Alhamdulillah. Mendengar khabar berita dari maya, kolej yang sudah lebih dua tahun jasad aku tinggalkannya menduduki tangga kedua dalam kalangan SBP dengan gred purata 1.68. Syabas diucapkan buat semua.

Lalu dengan belasan A1 ditangan itu , mahu dijadikan batu loncatan ke medan mana?

Terbang ke Timur Tengah lalu menambahkan muka-muka ex-kisas di sini sana?
Sabar berpersiapan setahun setengah untuk menjejak Eropah?
Menghirup udara ilmu di tanah tercinta?
Meneruskan pengajian di bumi waqafan untuk dua tahun seterusnya?

Menghitung-hitung hari yang menanti, keputusan itu harus bijak diteliti. Masa itu bersifat datang dan pergi, manusia itu sifatnya bukan statik berdiri.

Timur Tengah baguskah??

Aku tidak pernah berjejak di tanah Amerika, Jerman, Perancis, Jepun dan lain-lain lagi.
Lalu aku kira selayaknya aku bermonolog dengan batang tubuh sendiri yang hampir dua tahun berpeleseran di bumi anbiya' ini.

Saat aku mulai meluah rasa mahu menyambung ke Timur Tengah, nenek merupakan insan paling gembira. Belum ada dalam sejarah keturunannya terbang ke mari. Semuanya memilih untuk ke Ireland dan London.

" Balik nanti jadi Ustaz ya. " pesan nenek yang mengharap.

.......... Diam.......................

Ya, memang tidak dapat disangkal bumi Kinanah ini penuh berkat, banyak mutiara ( istilah bumi waqafan ) yang boleh dikutip. Bumi lahirnya para nabi dan sahabat yang berjuang menegakkan agama Allah. Kisah Ashabul Kahfi , lambang pemuda imannya yang tinggi.

Itu sirah yang kita tidak lupa, namun berapa ramai mahu mencontohinya??

Eh!

Jangan buat-buat lupa, di tanah ini juga ada tempat yang mana penduduknya dilaknat oleh Allah.
Laut Mati, kisah kaum nabi Luth yang berperilaku jijik di luar tabii.
Kisah kota Petra , lambang kemusnahan atas bongkaknya manusia-manusia yang derhaka.

Merungut!

Ramai yang merungut sikap masyarakat Arab yang kurang disenangi, kasar, confirm lewat kalau berjanji, sepuluh minit itu satu jam hakikatnya, pengotor, kuat merokok.

Lalu, apa gunanya kalau hijrah ke mari jika sikap Melayu yang tidak kurang jengkelnya masih dikekalkan, malah menambah gaya hidup jahiliyah yang meloyakan. Gelanggang kawan sejantina dan bukan disama ratakan, budaya ilmu dikatakan klise, hidup dalam ruang yang dicipta dengan imaginasi dan khayalan.

Owh. Aku berkira-kira sesiapa yang tidak mengambil peluang mengaut segala ilmu dan pengalaman berguna di sini ibarat kera dapat bunga. Diberi mawar harum yang elok, di buang tangkainya satu persatu hingga jadi abu.
Lagak ibarat ayam yang dihadapannya sebukit gandum, bongkak untuk memagut, melarikan diri mencari najis hanyut.

Tempat itu hanya menyedia, yang memilih itu adalah kita.
Ingin mengikut jejak Nabi, atau menyimpang ke gaung sunyi.

Wahai aku,
di mana jasad berada sekalipun, kalau jiwa itu tidak mencari apa yang seharusnya diisi sebermula pengembaraan ini, lebih baik duduk di kampung menolong ibu dapur memotong cili dan bawang untuk sarapan perut sendiri.


dulu..nak tido pun tak selesa :)


sekarang..fuhhh..


- sekadar monolog diri
- kalau hujung tahun ni bertambah lagi ahli, bumi Irbid semakin ramai..lalu..

Thursday, March 12, 2009

Anak

Semalam aku pulang ke kampung halaman.
Ada majlis keraian, aku pun tidak pasti apa yang disambut oleh keluargaku.
Mahu dikatakan majlis perkahwinan, tiada ku lihat raja sehari yang tersenyum simpul di pipi.
Aku duduk bersila di hadapan emak sambil melihat wajahnya dalam-dalam.
Seolah aku bermimpi saat itu. Aku mahu kepastian, ku capai sudu di hadapan lalu ku suap hidangan ke mulutku. Ku kunyah sepenuh jiwa dan telan. Memang terasa masakan Emak. Memang bukan mimpi. Aku pasti!

Bip..bip..

Nama sahabat tertera di skrin handphone, mengejutkan aku dari peraduan beberapa minit sebelum iqamat masjid bergema.

Mimpi rupanya.

................ ............ ........ ........ .... .. .


Ibu.

Siapa yang tidak rindu esak tangisnya melepaskan kau dari dakapan, saat jauh meninggalkan keluarga menerjah langit udara.

Ayah.

Manusia mana yang lupa melihat raut ayah yang tenang dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

Ziarah Anak-anak Yatim



Hari ini ada lawatan istimewa, majlis berbuka puasa dan ramah mesra bersama bersama beberapa anak-anak yatim di Markaz Aitam Irbid. Memandang wajah mereka mengingatkan aku akan adik-adik di rumah yang masih punyai ibu bapa.


Aku kagum dengan mudir markaz ini yang menghidupkan suasana amal islami dan tarbiyah buat anak-anak kecil yang masih putih warna jiwa dan akal mereka. Fasih bacaan Al-Quran, sudah mula menghafaz, berbakat dalam nasyid yang menyentuh hati. Moga anak-anak ini bakal menjadi ibu bapa yang menurunkan tarbiah buat generasi mereka.


Tak sabar tengok Ayuni besar begini..

Warna kulit yang berbeza.. ( ade bakat jadi ayah : )


Mereka yang lengkap ibu bapanya pula bagaimana perihal duduk bangun jiwa mereka?

Apa guna kalau anak itu punya bapa yang mampu menghulur wang tanpa diminta, ibu yang berdamping sekadar setengah tahun pertama, gelodak jiwa dan haus rohnya dengan agama tidak diambil endah.

Anak-anak itu adalah rezeki yang tidak ternilai harganya, bukan boleh dijual beli dengan riba dan demi peroleh untung berlipat kali ganda.

Lalu mengapa perlu dipertaruhkan sistem pendidikan anak-anak demi mengejar kemajuan yang tidak tahu hujung pangkalnya. Isu PPSMI masih lagi dibelenggu kemelut biar rakyat sudah berpadu suara meski dibalas dengan gas pemedih mata.

Hari ini calon SPM 2008 sudah lega nafasnya meski dalam nada berbeza.
Tahniah aku ucapkan buat semua. Kalian anak-anak yang akan terus menapak untuk mencari ruang mengaut ilmu di peringkat seterusnya. Akan ada yang akan kehilangan dakapan ayah dan ibu buat beberapa tahun demi terbang ke serata dunia.

Jangan dibalas rindu ayah itu dengan perilaku dan lagak haiwan.
Sendu ibu itu harus ditebus dengan ilmu yang dikaut sebermula pencarian.

Jalan-jalan rimba selepas SPM..

- Alhamdulillah, junior debat dapat straight A1s, kalau ke Timur Tengah, alamatnya berlaku lambakan ex-pendebat yang hilang rentak di meja ;)

Monday, March 9, 2009

MEKAP

Cuaca dan udara nyaman hari ini. 12 Rabiul' Awal. Hari kelahiran Rasulullah S.A.W.
Selawat dan salam atas junjungan baginda.

Hari ini juga hari MEKAP sePERMAI.
MEKAP tu apa?
Majlis Kaunseling Pelajar yang dianjurkan oleh PERMAI.
atau nama arabnya: usrah.

Rasa damai hari ini buat jari jemari rasa mahu menukil sesuatu tentang aktiviti hari ini.

Pasar meriah di balad

Lewat pagi aku melangkah menuju ke balad. Mencari barang dapur ( mesti Emak bangga kalau tahu anak lelakinya turun pasar.. ;)
Seperti biasa, ruang niaga meriah dengan suara manusia yang bermuamalat. Aku akui memang orang di sini pandai berniaga.
Dari sekecil-kecil juzuk barang yang boleh diperdagang hingga ke sebesar-besarnya.
Aku beli sebiji kobis, dihadiahkan satu percuma. Pak cik yang baik, minggu depan saya datang balik. Tunggu ya :)

Menu malam ini:
1. Nasi himpit ( ok, yang ini memang segera ya kawan-kawan )
2. Rendang Maulud ( masakan timbalan naqib )
3. Kuah lodeh Abu Ain ( masakan orang Johor :)


Banjir....!


Tunjuk ajar senior dari Muo :)

Alhamdulillah, 10 orang hadir kesemuanya. Memang aku akui sukar untuk mengatur temu ahli-ahli MEKAP, jadual yang padat, peperiksaan makin mendekat. Namun sukar itu banyaknya padah salah diri yang kurang bijak mengurus masa. InsyaAllah akan ku cuba.

Melazimi sunnah Rasulullah ini buat hati rasa tenang. Hati yang berkocak dengan pelbagai masalah remeh yang disangka sudah menggunung tinggi, kembali tenang apabila bertemu sahabat-sahabat sambil berdiskusi mendekatkan diri kepada Ilahi.

Jangan sombong, kita manusia yang punya sifat lemah. Memang kadang kita rasa kita mampu melangkah laju tanpa perlu dibantu. Namun akhirnya kita pasti mencari teman tempat mengadu. Bagi aku,usrah itu bukan sekadar menambah ilmu hingga tepu, malah fungsinya jauh dari itu.
Mengikat jiwa dalam menderap langkah.
Menyubur cinta dalam membentuk ummah.

Kurma cinta dari Markaz Anak Yatim Taqwa

Akhir kalam, jom kita luangkan sedikit masa hayati video ini dalam mengenang pengorbanan Rasul tercinta.


Saturday, March 7, 2009

Lagukan Cintamu Ke Angkasa

Hujung minggu yang ada warna warni, setelah hujan yang membasah itu pergi.
Matahari muncul kembali.

Sudah hampir seminggu aku tidak bernafsu untuk menaip di lorong ini.
Manusia adakah memang begitu, bila jatuh perlu mangambil masa untuk bangkit menyambung tingkah.
Memang apa yang dipesan Tuhan itu benar, sederhana itu terbaik buat manusia.

Alhamdulillah.

Nukilan yang lima rangkap ini mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Mengarang Sajak sempena Maulid Ar Rasul 1430H Anjuran PERMAI dengan kerjasama MPKJ, BKPJJ, BKASJ, BKAPJ, MSSJ, PUTRA & KMKJ.

Namun apa yang lebih aku gembiraa, melihat penyertaan yang agak menggalakkan.Aku harap makin ramai yang mencuba, jalan puisi yang ada tikungan tersendiri memang berpotensi
menghidupkan hati-hati yang mati.

Lagukan Cintamu Ke Angkasa


Ku lagukan puisi buatmu,

Masihkah kau lihat dan ingat,

Cahaya lahirnya dari jihat Makkah,

Menerang ,memadam api sembah berkurun lama.

Dalam belitan debu pasir yang tandus,

Bangsa hina itu melonjak mulia,

Bumi yang gersang dihujan rahmah,

Lahirnya dia Al-Amin ummah.


Kau ummat baginda,

Cintamu melangit dunia?

Pernah kau dakap sosok itu?

Lalu bagaimana cinta bertamu,

Rindu mendalam ini menjulang?

Ini kisah cinta nan aneh menitip jiwa,

Dalam kidung yang bergema.

Sepanjang jejak yang berliku,

Tidak terpudar dengan masa dan debu.

Setuju?


Ayuh.

Jika menyusur tikungan langit terbuka,

Anak-anak buih yang terapung berjuta,

Gelodak, gelembung, pecah!

Dek memesong dari sirah.

Penyair sumbang bergigi emas,

bertakhta di hati-hati yang lemas.

Sepanduk dijulang sehari,

Habis keraian lupa pesanan nabi.

Zikir sunnah hilang ke mana,

Lalu bagaimana untuk bergelar ummat mulia.


Masih kau bau segar tanah sejarah itu ?

Bumi lahirnya qudwah memimpin ummah,

Luka darahnya disapu dengan redha,

Maki hina beratus dibalas doa kudus,

Jika benar jatuh cinta akan tampang itu,

Mengapa perlu sengketa di takhta,

Menjarah tampuk kuasa menyulam haloba.

Aslikah tema cinta yang dijaja?


Ah!

Cinta ini ajaib,

Tiada warkah cinta dengan tinta emas,

SMS buta tidak menghias,

Tautan hanya dengan selawat dan doa,

Dibaja warkah hadith berbau syurga,

Kisah cinta yang tak terungkap dengan kalimah,

Bukan cinta jalanan, apatah lagi cinta monyet picisan,

Lagukan cintamu ke angkasa,

Tarikan tubuhmu mengikut sirah.

-mahasiswa pena-

-4 Mac 2009-


Sahabatku yang mendeklamasikan sajak di luar dewan . syukran

Ceramah " Memenatkan "

Semalam juga ada program yang 'memenatkan' bagi aku. Ceramah Maulid Ar Rasul yang disampaikan Ustaz Fakhrurrazi dari Amman yang aku kira berbeza dari ceramah yang lain.

Kalau ceramah biasa, kebanyakannya akan memberi fakta dan sejarah buat renungan. Maka adalah segelintir yang rasakan dirinya sudah kenyang dengan fakta-fakta akan dibuai lena, tunduk akur tanpa membantah.
Angguk-anguk.

Ceramah semalam aku rasakan "penat" tetapi terlalu berharga kerana ia satu perkongsian rasa.
Tubuh dan jiwa yang duduk bersila bukan sekadar menadah telinga, tetapi perlu usaha untuk mendapatkan rasa yang cuba dikongsi dan dikembalikan kepada hati yang begitu memerlukannya.

Memanggil Allah.
Allah siapa?
Allah aku!

Berzikir bukan sahaja di minda, tetapi cuba diturunkan ke hati.
Berberbicara dengan Dia.
Mengumpul dosa lalu memanggil yang Maha Pengampun.

Merindu Rasulullah.
Rasa rindu hingga tidak sabar bertemu.
Selawat buat junjungan kita.

Tahu dimana letak duduk cinta kepada Allah.
Hati yang tiada hadnya.

Moga hati ini terus dibaja.

- Kagum dengan Sasterawan Negara yang berjuang mempertahankan kemandirian bahasa ibunda
- Adakah rakyat tidak boleh bersuara, jangan pula kemudian hari pena dibataskan gerak tarinya

Thursday, March 5, 2009

Road to Maulid Ar Rasul

Wednesday, March 4, 2009

Ku Rasa Nadi Mu



Selamat Hari Lahir buat rakan-rakan semua.
Aku sayang kalian, dari hati kecil ini aku lakarkan rindu bertaut ke nadi yang berdegup.

MAGABI.
( Majlis Gabungan Birthday ).

Bukan sekadar menyambut umur yang semakin lanjut, namun cuba kembali menghubungkan hati-hati agar kembali bertaut.

Maaf ya kawan-kawan kerana melepas gian berpuisi freesytle dalam gelap tanpa diundang, ada sumbang dan caca merba. Hanya ingin berkongsi rasa yang terbuku, bahawa rindu ini terpendam untuk melihat aku, kau dan kita kembali bersatu dalam jalan juang yang sedang diredah, dalam jurang yang direntas benua.



Degup kencang saat pelukan kau masih aku rasa.
Hangat.
Nadi ini berbicara pimpinlah aku,
mari melangkah di titian yang diwariskan junjungan kita,
telah kita lakarkan janji di malam ini
agar sama-sama menuju ke syurga,
andai langkahmu susut, tangan ku memaut,
andai ku jatuh, lenganmu membantu ampuh.


Di sebalik tabir.. chef kita :)

Tauke samosa Irbid..:)

First time buat kerja dapur..inilah hasilnya ( yela, orang yang tunjukkan ) :)

Monday, March 2, 2009

Lakaran Dua Benua 2

Lakaran Dua Benua 1

Lakaran Dua Benua 2

Mentari sudah mencerah tanah merah dari jihat timur, bumi tandus masih dibaluti sepi lewat serangan yang bertubi-tubi yang menyimbah darah merah, lalu diresap hebat terus ke perut bumi. Tanah luas yang dulunya terbentang kota yang melindungi manusia, kini kering dengan debu dan asap yang memenuhi ruang udara.

Di sudut runtuhan bangunan yang puluhan, sekumpulan kanak-kanak mengais bangkai rumah demi mencari sisa buku dan alat sekolah. Bom dan lagu letupan itu hanya bisa meruntuhkan rumah dan sekolah mereka , namun gagal sama sekali untuk melenyap tembok jiwa mereka untuk terus berjihad di lorong yang diwariskan oleh pejuang dahulu. Mereka tidak rebah bersama timbunan sisa serangan, malah mereka bangkit menujah dada perjuangan!

Qayyim, pemuda itu menghirup udara yang berbisa. Tangannya memapah neneknya yang semakin dimakan usia dan sengsara sementara. Mereka berjalanan menyelusuri denai tanah menuju ke khemah yang dibina usai teratak mereka dilanyak hebat oleh anjing-anjing yang menyalak.

Tangan anak muda itu menyua roti ke mulut neneknya, satu-satunya keluarganya yang masih di bumi, yang lain sudah awal bertemu Ilahi dalam jalan juang yang penuh dengan jeriji dan duri.

Anak matanya pernah merakam segala-galanya, saat bagaimana abinya ditembak bertubi-tubi di check point kerana disyaki pengebom berani mati. Tidak cukup dengan itu, umminya diperkosa oleh binatang-binatang yang tiada perimanusia, dan akhirnya dijemput bertemu Abi di syurga sana. Ah, dia tidak pernah lupa. Sesekali tidak!!

" Nenek, Qayyim akan keluar sebentar lagi dan belum pasti akan pulang lagi. Ada hutang yang perlu dituntut ganti demi maruah Islam yang suci. "

" Qayyim, jangan tinggalkan nenek ya. "

" Nenek jangan bimbang. Kalau Qayyim tumbang, seribu anak kecil akan bangkit turut berjuang."

" Hati-hati. Doa nenek sentiasa mengiringi Qayyim. " Sebak.

Tangan tua yang terketar-ketar itu dikucupnya lembut. Langkahnya menyongsang arus anak-anak kecil yang pulang ke khemah. Ada jalan yang perlu dilaluinya meski jalan itu tidak menjanjikan wang yang bertaburan dan mewah yang diimpikan jutaan manusia, namun atmanya melonjak berkata itulah jalan yang wajib dipilihnya.

Lewat petang ini dia dan kumpulan pejuangnya ditaklifkan untuk menjayakan sebuah misi, mereka bertanggungjawab melancarkan serang hendap terhadap sekumpulan tentera penceroboh di bahagian selatan.

Angin tiupan petang itu dihirup bersama pesanan dan amanat pemimpinnya, tiada gentar dalam jiwanya meskipun musuh yang dihadapannya memiliki kecanggihan senjata yang tiada bandingnya. Qayyim yakin akan senjata doa yang mengirinya perjuangan mereka.

Setelah doa dipanjat, langkah mereka bermula. Mereka berselindung di balik runtuhan bangunan, mata ralit menangkap gerak tubuh musuh yang lengkap bersenjata.
Beberapa jeda kemudian, langit mula menyala dengan percikan tembakan dan dentuman yang bersalut dengan jeritan musuh dan laungan takbir pejuang yang ampuh.

Tiba-tiba..

Pang!

*****************************************************


Aduh.

Pedih menjalar ke seluruh saraf mukanya. Tona wajah berubah warna merah padam.

" Kurang ajar punya anak. Dasar tak sedar diri " suara lelaki bermisai lentik itu bergema.

" Ah, malas aku nak duduk rumah ni. Bosan!! ". Awi membentak hebat.

Dia membuka langkah lalu mencapai helmet yang sudah menunggu lama di atas rak kasut.

" Awi nak pergi mana? Jangan tinggalkan mama! "

" Mama tak payah fikir pasal Awi. Jangan harap lagi Awi nak jejak rumah ni lagi. Tension!!! "

Deruman ekzos motosikal menyelubungi suasana tegan itu lalu hilang ditelan sunyi malam. Malam itu, Puan Zahrah tidur bertemankan air mata. Tidak disangka anak tunggalnya itu terjebak dalam noda yang semakin menghantui anak muda pasca merdeka. Najis dadah yang sering menanam muda mudi dalam kubur yang digali oleh tangan mereka sendiri.

Pilu. Hati ibu mana yang tidak remuk melihatkan permatanya terpesong dari jalan kejayaan yang diidam oleh semua.

" Ah, salah aku juga kerana kurang memberi perhatian kepadanya. Dari kecil hingga besar, dia sering ditinggalkan, sedang aku dan suami sibuk membina kerjaya. Soal agama, masalah di sekolah aku tidak ambil berat. Berdosanya aku, Ya Allah "

**************************************************

" Inna lillah wa inna ilayhi raji'un "

Gugurnya seorang syahid di medan juang. Darah yang menyimbah bumi mewangi ke taman syurga.

Neneknya menerima khabar beritu itu dengan sejuta redha. Dia bangga kerana darah dagingnya tergolong dalam golongan yang dijanjikan syurga.

" Tidak !!!! "

Jeritan Puan Zahrah menyentak dengkuran suaminya. Air mata merembes lalu membasahi pipi. Awi pergi dalam satu tragedi berdarah. Motosikalnya dirempuh oleh sebuah treler dan diheret hampir 100 meter. Dia maut dalam perlumbaan haram yang menjadi medan hujung minggunya.

Dua hembusan nafas telah terlakar pada malam gelap yang sama, pada dua dunia berbeza.


-Tamat-