Monday, August 31, 2009

Aku Anak Merdeka


Merdeka.

31 Ogos setiap tahun kalimah itu pasti bergema.
Cuti diberi kepada semua rakyat Malaysia. Sambutan diadakan di mana-mana sahaja.

Kalau mengenang zaman kanak-kanak saya, musim merdeka adalah sangat meriah. Kalau yang memiliki basikal, pasti terpacak bendera Malaysia di belakang basikal lalu meronda di sekeliling kampung. Anak kampung patriotik! Saya juga seperti mereka. Kali pertama abah belikan saya bendera yang besar, saya tidak boleh tidur malam. Tidak sabar rasanya untuk mengibarkan jalur gemilang ke sekolah. Aku anak Malaysia!!!!

Saya ingat lagi kalau di zaman sekolah menengah dahulu , malam kemerdekaan pasti meriah.
Masa di Maahad Muar dahulu, pernah satu tahun sekolah saya masuk akhbar apabila sebilangan pelajar berjaya membuat kek Jalur Gemilang gergasi, semua orang yang meraikan kemerdekaan malam itu boleh merasainya.

Kalau di KISAS dahulu, saya pernah diminta untuk membuat persembahan pidato di dewan utama kolej. Pada bulan kemerdekaan juga adalah musim pertandingan akhir Pidato Piala Di Raja peringkat kebangsaan. Saya pernah berazam untuk menyambut merdeka dengan berpidato di pentas akhir, namun hajat saya tidak kesampaian. Namun terubat di saat melihat junior-junior seterusnya kembali beraksi membawa nama KISAS di pentas pidato semula.

Itu semua kenangan saya tentang merdeka.
Kenangan saya yang tidak ada melibatkan pertumpahan darah.
Tidak melibatkan pertempuran dengan penjajah.

Merdeka??

Seminggu dua ini, saya ada membaca luahan hati pemimpin yang menyatakan rakyat Malaysia kurang bersemangat menyambut kemerdekaan negara kerana kurangnya Jalur Gemilang dikibarkan di udara.Tahun ini, sambutan kemerdekaan tidak diadakan seperti biasa, hanya dijalankan di kawan parlimen Malaysia untuk mengelakkan penyebaran H1N1.

Setiap tahun akan ada sambutan, setiap tahun bendera dikibarkan , setiap tahun pasti ada konsert yang meraikannya.

Filem-filem lama tentang merdeka ditayang semula.
Lagu popular nyanyian Allahyarham Sudirman akan bergema di corong radio.

Ya! Kita memang sudah merdeka. Itu yang tercatat dalam buku teks sejarah sekolah.
Buku yang perlu dihadam untuk lulus periksa.

Namun, adakah sambutan kemerdekaan ini hanya satu lambang untuk dikenang semata-mata.
Seperti mengenang seorang yang telah pergi.

Merdeka itu ramai yang melihatnya dari sudut fizikal. Tiada orang putih yang kacau pentadbiran kita. Yang membarisi kabinet Malaysia adalah Melayu, Cina, India dan lain-lain. Semua rakyat Malaysia. Jadi, kita sudah merdeka!!!

Merdeka itu ramai yang melihatnya apabila kita bebas ke mana-mana.
Tiada tentera mata sepet yang menghalang di jalan raya, membogelkan kita dan merampas harta benda. Tiada!

Ya, dengan merdeka, kita mampu untuk melihat bangunnya menara yang membelah awan gebu,
kita mampu menonton citrawarna Malaysia di kaca tv berwarna, anak-anak boleh bersekolah tanpa ancaman bahaya.

Sudah cukupkah merdeka itu untuk kemandirian anak-anak kita?
Adakah kita benar-benar merdeka.

Bagaimana dengan penjajah yang tidak kita nampak dengan mata.

Penjajah yang tidak menghiris daging di batang tubuh kita, tetap menghakis akidah dan jati diri kita.

Penjajah yang menghantar tenteranya melalui jalan media hiburan yang semakin bermaharajalela.
Penjajah yang menghantar tentera melalui budaya pemikiran yang memisahkan kehidupan dari agama.
Penjajah yang menghantar bisikan sengketa melalui propaganda yang menyerang agama kita.

Nampak kah kita penjajah itu, atau semua itu tidak perlu kita lawannya.

Adakah kita hanya mahu kibarkan bendera setiap masa, laungkan merdeka hingga hilang suara,
tapi beribu anak luar nikah lahir hasil meraikannya, hasil gagalnya memahami erti merdeka dan masih terjajah minda dan jiwa-jiwa manusia.

Bebaskan diri kita dari belenggu penjajah yang tidak nampak di mata.
Bebaskan kita untuk menyembah Allah semata-mata.

Benarkan aku anak merdeka?

1/3

31 Ogos.

52 tahun Malaysia sudah merdeka.

2 tahun yang lalu saya mula menjejaki kaki ke bumi Urdun.

Alhamdulillah, sudah 1/3 perjalanan saya tempuhi. Ada 4 tahun berbaki lagi untuk saya berkelana di bumi Jordan. InsyaAllah.
Kelmarin, saya telah menyempurnakan Tahun 2 perubatan saya dengan tamatnya exam yang terakhir. Ada empat tahun lagi di hadapan yang perlu saya lalui, yang perlu saya gunakan masa sebaik mungkin.

Tahun 2 bagi saya sangat mencabar. Pengenalan kepada silibus system memerlukan saya menukar cara belajar. Subjek sudah mula mencabar berbanding tahun pertama.
Tugasan dan amanah dalam persatuan semakin bertambah. Tahun 2 ini banyak peristiwa yang menukar hidup saya tanpa saya sedari. Banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Cuti saya bermula semalam.

Merdeka orang kata.

Cuti ini akan saya isi untuk asah balik minda yang tumpul, jiwa yang tandus.

Cuti ini masa untuk muhasabah.

Cuti ini masa untuk mengumpul tenaga.

Cuti kali ini akan saya korbankan sedikit masa untuk sambut pelajar baru di sini.

Tidak sabar untuk bersua muka.

Ahlan wasahlan buat kalian semua.

- ada nukilan tentang merdeka yang akan saya postkan nanti. InsyaAllah
- doakan kawan saya agar tidak putus asa, teruskan perjuangan selagi mana diberi peluang

Thursday, August 27, 2009

Politik??


Politik.

Saya bukan ahli untuk berbicara soal ini. Saya masih belum layak mengundi dan diundi bagi pilihan raya di Malaysia. Mana tahu, lagi 10 tahun akan datang, saya sudah mengundi dan boleh diundi. :)

Orang kata, kerajaan kata, pelajar tidak boleh berpolitik. Masa belajar adalah untuk belajar. Ya. Saya angguk tanda setuju. Memang zaman belajar ini harusnya ditumpukan sepenuh masa untuk menelaah nota kuliah dan bergelumang dengan exam yang mendatang.

Mana mungkin kita boleh ke sana ke mari manjadi wakli rakyat yang hanya muncul di saat wartawan datang ke kawasannya sekali sekali. Mana kita ada masa untuk berdebat di dewan parlimen dengan kata-kata yang kurang mencambah minda.

Tapi, saya tidak bersetuju seandainya mentaliti pelajar berpolitik itu dihadkan tidak kira tempatnya. Saya bangkang seandainya ada yang mengatakan mahasiswa tidak boleh berpolitik, maka kita tidak boleh ambil tahu pasal politik yang semakin haru biru, tidak boleh berbicara dan berdiskusi tentang politik, tidak boleh menilai suasa politik semasa, tidak boleh menulis artikel tentang politik yang berlegar di akhbar sehari-hari.

Jika semua itu tidak boleh, maka seolah-olah menafikan kita adalah mahasiswa, yang merupakan fatrah masa yang penuh dengan idea, yang masih segar mindanya.

Saya ingin bertanya, kenapa politik itu nampak kurang sesuai dan merbahaya buat kita?

Adakah politik itu sudah sinonim dengan rasuah?
Salah guna kuasa?
Penyelewangan dan penipuan?
Serangan peribadi dan fitnah bermaharaja lela?
Penuh dengan isu liwat dan video seks lucah?
Soal masuk syurga atau tidak?
Soal hidup mati, bunuh diri?

Adakah kerana semua ini penyebab kita kurang sesuai untuk menceburinya?
Ya, memang sesiapa pun tidak mahu masuk ke lubang najis, menyapu ke badan sendiri.

Ya, mana mungkin negara mahu mewariskan semua daki-daki dan kotoran degil ini kepada mahasiswa seawal mungkin. Mungkin jangkaan saya, kalau hendak wariskan pun tunggu kita anak-anak muda tamat belajar, baru boleh merasa semua itu.
Adakah itu yang kita mahu?

Maka, seharusnya zaman mahasiswa ini adalah zaman itu kita memerhati dan meneliti. Zaman itu kita menimba ilmu untuk membanding beza. Antara yang kaca dan permata, antara pejuang sejati atau boneka fantasi. Semoga ilmu dan pengajaran yang dimiliki, jadi bekal apabila di kancah sebenar nanti. Atau sekurang-kurangnya mampu membuat pilihan tepat dalam memangkah kertas undi.

Saya menulis soal politik kali ini bukannya kerana ingin mengajak anda memasang impian untuk terjun ke lapangan ini, tetapi mengenangakn kebelakangan ini, suasana politik negara memeningkan kepala,terlalu banyak serangan peribadi, isu agama jadi kontroversi, saya tuliskan soal ini untuk kita buka minda bersama.

Dan yang paling memeningkan kepada apabila ada pemimpin yang berkata " Jangan campurkan agama dan politik, rakyat akan pening ", lebih kurang begitu maksudnya.
Saya ingin bertanya, adakah apabila agama dan politik terpisah, maka rakyat akan hilang kepeningannya, boleh banding beza. Itu politik, ini agama. Bukankan itu sekularisme namanya?

Adakah kita sedar bahawa politik bakal menentukan halatuju negara?
Perkembangan sistem pendidikan anak-anak kita?
Pembangunan media massa yang penting dalam mendidik jutaan rakyat jelata?
Bukan sekadar berdiri megahnya puluhan bangunan melangit tinggi?
Tetapi soal bangun lahir jiwa-jiwa manusia.

Cukup sekadar ini saya menulis kali ini. Saya menulis secara umum, tiada mana-mana parti yang saya nyatakan secara terbuka. Moga kita dapat nilai bersama.

Ini ada entri oleh dikongsi " Politik Hari Ini , tentang politik juga dari Langit Ilahi.

Tuesday, August 25, 2009

JOM!

Friday, August 21, 2009

Terapi Minda

Alhamdulillah. Kuliah Natural Resources pada khamis lepas telah menutup tirai semester musim panas saya. Ahad ini ( lusa ) , peperiksaan akhir akan bermula hinggalah 29 Ogos nanti.

Malam ini, Ramadhan akan menjelma. InsyaAllah, Ramadhan ini adalah kali ketiga buat saya sejak tiba di Jordan pada 31 Disember 2007, dua tahun yang lepas.

Minggu ini saya rasakan teramat padat, saya perlu banyak bergerak dan berfikir. Memang saya akui, manusia ini terbatas, ada limitasinya. Maka, setiap yang kita lakukan haruslah bersederhana, kerana melampau itu akan memakan diri akhirnya.

Terapi Minda



Saya percaya, setiap antara kita ada cara tersendiri dalam mencari ketenangan di saat kerunsingan dan keletihan.

Ada yang suka layan marathon movie berjam lamanya.
Ada yang enak diulit mimpi jauh dari kesibukan alam realiti.

Ada yang makan bertimbun pinggannya.
Ada yang shopping berbeg-beg di kanan kiri.

Semua orang ada cara tersendiri,apa yang penting tahu setiap perkara ada batasnya.

Saya juga ada cara tersendiri yang mungkin ada turut milikinya.
Mahu tahu apa hobi saya ketika penat dan lelah serat serabut otak di kepala??

1) Berkeluarga hingga ke syurga

Setiap minggu selepas mendengar suara emak, ayah, adik-adik dan akak, semua yang terbeban di kepala akan hilang serta merta, seperti ada aura yang menyusup masuk ke lubuk jiwa.
Rindu yang bertamu, ditukar jadi semangat pemburu cita.

Kalau di Irbid ini, ahli rumah jadi pengganti. Mereka lah keluarga saya di sini. Yang setia memasak di rumah di rumah saat saya sibuk dengan urusan persatuan, dan istiqamah mengingatkan diri untuk solat berjemaah di masjid Jamiah.
Penat yang bersarang dalam diri kendur hilang saat sama-sama menikmati makan malam di dalam talam di ruang tamu rumah kami.

Semalam, kami keluar sebentar meraikan hari ke"besar"an Hamdi hari yang ke-20 tahun.
Semoga dipanjang umur dalam ketaatan dan dipendek umur dalam kemaksiatan.

Ahli Bayt Penagih Cinta Ilahi ( PECI ):


Hamdi dan Hafiz

Saya dan Anas

2) Kemas bilik di hujung minggu
Bilik. Satu komponen yang tidak boleh dipisah-pisahkan dari hidup kita ibarat irama dan lagu, ibarat isi dan kuku. Bagi saya, bilik ibarat markas operasi diri dalam berjuang di jalan yang penuh duri. Jadi, kalau bilik sudah ibarat reban ayam atau pusat longgokan bahan terpakai ataupun sampah, bagai mana mahu menikmati ketenangan di saat kepala kerunsingan.

Jadi, saya akan peruntukan pagi Jumaat dalam mengembalikan kesegaran bilik saya.
Membuang khazanah yang sudah dirasakan tidak relevan , mengubah posisi perabot bagi mengubah mood dan sesuai dengan keperluan, mevakum carpet dan membasuh koleksi pakaian tempatan dan antarabangsa ( Malaysia la :)



Seminggu sekali sudah mencukupi bagi saya. Hari-hari berikutnya hanya perlu memastikan tahap kebersihan tidak kurang dari 70%. Saya kagum dengan emak saya yang begitu pembersih dan pengemas, bermula pagi hingga hampir tengah hari, rumah akan di'kerja'kannya hingga tiada sekelumit sampah dan debu. Itulah yang diajar nenek kepada emak. Namun saya gagal praktikkannya setiap hari.hehe.

3) Menulis

Menulis memang melegakan. Melihat blog tidak bersawang dan pengunjung tidak kecewa datang, hati mulai senang. :)

Kesimpulan:

Tidak kira apa yang kita lakukan untuk mendapat ketenangan, pastikan ia benar-benar memberikan ketengan di hati, bukan sekadar lapisan dunia yang hanya mengkaburkan pandangan mata.

Apa yang utama, setiap kesusahan itu Allah yang beri, dan mengadulah dan memohonlah kepada-Nya.

Semakin saya lalui fatrah kepayahan dan kesusahan, semakin saya percaya bahawa dihujung itu adalah ruang kesenangan dan ketenangan, mungkin bukan di sini, pasti menanti di nun sana.

Jom sama-sama memasuki madrasah Ramadhan ini dengan tekad untuk menjadikan Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas.

Salam Ramadhan buat semua pembaca MRP ini. :)

Monday, August 17, 2009

Bab*

Bab* : Ibu....ibu...... ( berlari dalam keadaan tercungap-cungap )

Ibu bab* : Kenapa?? Ada apa sampai anak ibu ni menjerit-jerit.

Babi * : Fuhhh.. macam ni. Tadi masa saya ke ladang Pak Din cari sedikit makanan untuk alas
perut, saya dengar Pak Din berbual dengan Mak Melah pasal kita?

Ibu bab* : Pasal kita? Biar betul?? Kita kan dah tak kacau kebun diorang. Ish...

Bab* : Sebenarnya bukan pasal kita bu. Pasal selsema babi. H1N1 kalau tak silap bunyinya.

Ibu bab* : Owh. Kenapa? Bahaya sangat ke? Ke diorang takut sebab namanya pun ada nama kita. Yela, diorang ni kan allergic bab halal haram, babi anjing ni kan.

Bab* : Bahaya gila penyakit ni bu. Dengar cerita, anggaran 5 juta manusia Malaysia boleh dijangkiti. Sekarang ni ramai yang dah mati.

Ibu bab* : Ha.. teruk betul macam tu. Mesti manusia sekarang risau , yelah perkara melibatkan kesihatan, nyawa, ekonomi negara, sape yang tak risau kan. Tapi.....

Bab* : Tapi apa bu??

Ibu bab* : Penyakit yang tak nampak kesannya, yang makin barah dalam komuniti manusia, diorang buat tak endah, sebelah mata pun tak pandang, malah makin dibiarkan merebak.

Bab* : Penyakit apa tu bu??? Macam serious je bunyinya.

Ibu bab* : Hedonisme.

Bab* : Aiks.. pelik je bunyinya. Ada kaitan dengan spesies kita ke ni? Takutnye....

Ibu bab* : Ishh..tak kan lah semua yang tak baik tu kita jadi puncanya. Ni yang ibu nak buat demonstrasi. Macam ni, hedonisme ni budaya yang mengagung-agungkan hiburan, menjadikan hiburan sebagai matlamat hidup.

Bab* : Owh... macam rancangan tuttttttt........ yang popular ke tu bu?

Ibu bab* : Yup, dan yang sewaktu dengannya. Kalau nak tau lagi, tunggu jela merdeka nanti. Mesti banyak konsert-konsert yang ditaja. Nanti adalah manusia-manusia yang miskin bajunya berisi perut dengan janin entah dari mana asal usulnya. Yang jantan kenyang puaskan nafsu belangnya.

Bab* : Dah macam spesies binatang je kalau macam tu kan ibu?

Ibu bab* : Entahlah. Tapi itulah realiti. Harapnya manusia ini akan buka mata, biar tahu penyakit macam ni juga berbahaya. Harus tangani kedua-duanya.

Bab* : Ehh... ibu. Saya kena pergi dulu ni.

Ibu bab* : Nak pergi mane tu?

Bab* : Ada orang panggil saya. Ibu pun tahu kan, diorang ni kalau bergaduh, mesti pangil kita kan. Anjing pun kadang-kadang kena panggil juga. Minta diri dulu.

Ibu bab* : Ok. Baik-baik. Jangan sampai kena bunuh. Tak larat ibu nak pergi mahkamah, leceh!

Saturday, August 15, 2009

Pergi Tak Kembali

Pergi Tak Kembali.

Semalam semua berbicara tentang pemergiannya. Seorang yang bertungkus lumus dalam memastikan nasyid berjaya menembusi media yang dimonopoli oleh muzik yang entah ke mana.
Peribadi yang dijaga meski dihimpit oleh arus dunia artis, menjadi ikon kepada pejuang nasyid di Malaysia.
Moga anak-anak muda yang berangan ingin menempah nama dalam dunia nasyid ini mengikut jejaknya dalam menjaga imej Islam yang di bawa, tidak tenggelam dengan populariti dan julangan khalayak yang buta seni akhirat sana.

Moga rohnya yang pergi tak kembali di tempatkan di syurga Ilahi.

Al-Fatihah.

Monday, August 10, 2009

Warkah Cinta

Assalamualaikum.

Apa khabar kau jauh di sana? Yang sedang memegang penjuru dunia, untuk dikibarkan ke langit angkasa , agar bisa kau tembus syurga dengan redha-Nya.

Aku di sini baik-baik sahaja. Menanti khabar gembira yang menyala dan senyuman manis kau yang berbunga. Biar jauh di mata, aku bisa membaca gerak tari kau di kancah juang yang terlipat dengan onak dan badai menggila, yang terhambur dengan kaca dan permata.

Warkah yang sebaris kata ini hanya sekadar mahu menyapa di saat kau terleka, menghelus udara saat kau sesak antara timbunan rasa, memeluk dingin kau di saat panas kau menjamah.

Kalau kau resah dan gundah, seolah-olah mahu tumbang dan rebah,
Kau harus ingat dahulu kala, yang kau pernah memasak teguh cita-cita bersulam cinta-Nya.
Kau pernah melipat warkah kalam janji, lau kau kirim ke lembah bakti di hadapan seribu tentera sejati,
Kau pernah menghunus senjata ke udara, lalu kau bersuara memecah sunyi alam bergema.
Lalu, mengapa harus kau rasa lemah, sedang Dia yang mentakdirkan kau melangkah di jalan ini.
Jalan yang tiada masa untuk dikhianati meski seminit cuma, lorong yang tidak dihampar permaidani merah.

Aku sarankan untuk kau tenang seketika, sedut segenap udara, dengar unggas melagukan sukma di rimba,
Pejamkan mata, larikan jiwa resah jauh-jauh dari tubuh,
Masukkan kembali nyawa yang hilang dari jasad yang malang,
Biar bangkit semula kesateria yang tegar berjuang.
Bangkit!!

Sekadar ini aku coret buat kau yang bernama aku.
Lepaskan gundahmu kepada Dia.
Biar cinta-Nya jadi bekal buatmu tenang di bumi terhampar indah.

Aku lari laju dahulu. Kalau kau sudi, kejar aku.
Moga bertemu di taman itu.

Yang benar;
Sahabat yang menyintaimu demi cinta itu.

Friday, August 7, 2009

Tutup?

(i)

Pertamanya, maaf kepada yang mengikuti blog ini kerana sudah lama terhenti gerak isi tulisnya.
Maaf juga dipinta kerana blog ini hampir berubah wajah, hanya berlegar sekitar isu persatuan sahaja.

Saya ada berfikir untuk menutup blog ini buat sementara, mungkin dalam tempoh yang lama.
Mungkin setahun, mungkin selamanya.

Kenapa?

Kerana bagi saya,blog tidak boleh bersifat penulisan yang melepaskan batuk di tangga,
kerana ia adalah lambang kepada keperibadian penulisnya.

Ada realiti yang berlaku dalam trend penulisan blog jika diamati secara teliti.
Di saat kuasa blog memuncak tinggi dalam siasah politik, ramai yang terjun ke lapangan ini meskipun tidak pernah menaip langsung di papan kekunci. Memilih untuk terpilih.
Kesannya, semakin lama tulisan blognya kendur, hilang ditelan masa hingga tidak diupdate berbulan lamanya.
Bukankan itu lambang peribadi seorang pemimpin, jika blog peribadinya bersawang, seolah-olah dia tidak bijak mengurus masa.

Saya berfikir buat kali kedua.
Menutup blog ini bukan jalan penyelasaiannya.
Menutup blog ini bermakna menutup ruang untuk saya menyampaikan sesuatu walaupun sekelumit cuma.
Menutupnya hanya merencatkan latihan penulisan saya.
Memang kesibukan itu adalah "isteri" saya buat masa kini yang akan sentiasa menemani.
Saya yakin ini adalah pelajaran terbesar buat saya yang kerdil ini untuk mengurus masa.

InsyaAllah, saya akan cuba.

( ii)

Buku yang baru dibeli ketika bercuti ke Mecca Mall minggu lepas.
Sebelum ini hanya mendengar namanya, dan saya tidak pernah membaca lanjut tentang penerima anugerah nobel keamanan ini.

Seorang wanita non-muslim yang berjuang demi rakyat hingga sanggup dipenjarakan.
Amat malu jika menjadi seorang lelaki muslim yang paham akan kewajipan berjuang, tetapi hanya memeluk tubuh, lesu dan kaku.

( iii )

Beberapa hari lagi Ramadhan akan menjelma.
InsyaAllah, mengikut perancangan, saya akan berpuasa dan beraya di Jordan.
Sama-sama kita membuat persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan yang mulia.
Moga Ramadhan akan datang kita cuba lalui lebih baik dari Ramadhan yang lepas.


- Doakan situasi H1N1 terkawal di seluruh dunia.
- Mak dan abah meminang seseorang, hati gembira bukan kepalang, rupanya mimpi tanda hari dah siang. :)
- Melangkah dengan penuh gagah tidak akan berguna, jika hati tak tunduk kepada-Nya. Ya Allah, kuatkan hamba-Mu.

Tuesday, August 4, 2009

Muhasabah CInta, Memburu Impian Kita

Assalamualaikum.

Buat semua ahli PERMAI .

Sedikit pengenalan dan harapan untuk program malam ni.

Program malam ini bukan sekadar program pengenalan kepimpinan PERMAI semata-semata.

Tetapi sebagai wadah untuk kita sama-sama muhasabah cinta kita, cinta kepada Allah, Rasul, ibu bapa dan sahabat kita dalam ruang lingkup kita berpersatuan di sini , PERMAI.

Adakah kita benar-benar tahu erti sebuah persatuan, atau sekadar mahu persatuan kita hanya semata-mata atas nama persatuan??

Atau ingin kita letakkan bersama PERMAI kita satu tahap yang lebih dari itu.

Bagaimana dengan sesi kali ini?

Adakah kita mahu terus hidup dalam belenggu yang lama.

Atau mahu bergerak bersama membuka satu dimensi yang baru,

Yang menyuburkan cinta sesame kita, yang kita bersama melangkah memburu impian di dalamnya.

Sebagai pimpinan sesi ini, kami barisan AMM mahu menyuarakan sesuatu, menerangkan halatuju, ke mana yang akan kita langkahi seiring cita.

Sebagai ahli, kalian semua juga harus menyatakan sesuatu kepada semua untuk dikongsi dan dilaksanakan bersama.

Luahkah segala harapan dan segala impian, untuk kita sama-sama lakarkan dengan warna kehidupan.

Hakikatnya, kita semua adalah sama , kita adalah PERMAI. PERMAI tak akan terbina tanpa kita semua. Jadi, sama-sama kita berkongsi rasa dan jiwa agar sesuatu yang terbaik dapat dibina.

Sedarlah ada sesuatu yang penting perlu kita ubah dalam komuniti kita.

Jadi, mari sama-sama kita datang malam ini sebagai tanda cinta sesame kita, sokongan dalam memburru impian semua.

Moga denagn meluangkan masa dua jam malam ni, akan menjelaskan beberapa perkara yang disalahtafsir oleh kita selama ini.

Dengan rendah diri, saya mengajak kalian “ MUHASABAH CINTA, MEMBURU IMPIAN KITA “

Butiran Program :

Program : Majlis MUHASABAH CINTA, MEMBURU IMPIAN KITA

Tarikh : 4 Ogos 2009 ( Selasa )

Masa : 8.20 malam

Tempat : Dewan Al-Farabi, Universiti Yarmouk

Yang benar;

…………………………………………..

( MUHAMMAD NAQEB BIN SULAIMAN )

Presiden,

Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid ( PERMAI ),

Sesi 2009/2010.