Thursday, August 5, 2010

Memaknakan kejayaan


Beberapa hari lepas, saya meluangkan masa bersama beberapa junior saya,
kami bersembang-bersembang ringan, sekadar mengisi masa malam yang tenang.

Saya selitkan topik kejayaan untuk sama-sama kami bualkan dan renungkan.
Saya tanya seorang demi seorang apa definisi kejayaan buat mereka?

" Kejayaan bagi ana ada kaitan dengan ketenangan. Ada orang berjaya, kaya, semua ada, tapi hati tak tenang. Jiwa kacau! " lebih kurang begitulah respons adik yang pertama.

" Bagi saya pula, apa yang kita ingini, kita dapat. Itulah berjaya. " ujar yang kedua pula.

" Saya pula, kejayaan yang sebenar adalah kejayaan di hujung sana, apabila lepas dari seksaan api neraka. " ujar yang ketiga.


Saya kagum dengan pendapat mereka, masing-masing adalah nilai pandangan yang berbeza,
dan saya bersetuju dengan pendapat mereka, dengan sedikit penjelasan dan perharmonian.

1) Kejayaan dan kebahagian

" Tanda bahagia apabila adanya tenang " petikan ayat Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Selalu-selalu kan diri kita bertanya pada diri, tenangkah hati kita hingga membuahkan bunga-bunga bahagia.

Ada orang kaya, tapi risaukan hilang hartanya, bagaimana mahu dikumpul lagi sebukit emas berkati-kati, sedekah tidak terlintas di fikiran, apatah zakat harta mahu ditunaikan .
Ada orang tinggi pangkatnya, tapi berjalan senantiasa perlu pengawasan, musuh ada dimana-mana, setiap hari menghitung bagaimana mahu mengekalkan kuasa, ada sedikit pencabar, tidurnya tidak lena.

Jika wang dan harta jadi kayu ukur kejayaan, adakah kita akan mendambakan untuk menjadi seperti Qarun yang berbukit-bukit hartanya, tapi akhirnya dibenamkan oleh Allah segelanya ke dasar bumi.
Jika pangkat dan kekuasan jadi ukuran kejayaan, adakah kita meletakkan Firaun sebagai idola,
yang melampaui syaitan hingga mengaku Tuhan , akhirnya mati dalam nafas kesyirikan.

Lihat sahaja para Rasul dan sahabat , meskipun ramai yang tidak dikurniakan harta yang melimpah, malah sering ditimpa susah, mereka berjalan di bumi Allah dengan hati dan jiwa yang besar, malah mampu menggoncang dunia dengan Islam yang dikurniakan Allah, berbekalkan apa?? Sekeping hati yang sentiasa dicuci dan dibersihkan dari noda, yang disiram dengan zikrullah. Itulah kejayaan, apabila ada ketenangan di lubuk hati seorang insan, meskipun dilanda kesusahan.

Kita kaya jiwa, dan mulia harga diri, dengan berpegang pada tali Allah. Percayalah !

2 ) Kemahuan, usaha, dan keberhasilan

Ada orang yang beranggapan, setiap yang diingini, harus diusahakan hingga berada dalam gengaman, itulah petanda kejayaan.
Ya, saya setuju dengan konsep usaha sehabis baik, Islam memang mengajar kita untuk melakukan dengan itqan, bersungguh-sungguh,yang terbaik.

Namun, soal keberhasilan usaha itu bukanlah bidang kuasa kita, kerana natijah itu adalah di bawah pengawasan dan ketentuan Allah. Jadi, mengapa harus berputus asa dan menganggap kita adalah golongan yang gagal andai kejayaan dan doa-doa kita sebenarnya Allah tangguhkan atau berikan natijah dalam bentuk yang kita tidak sangka-sangka. Jika tidak di hamparan dunia, pasti di lapangan akhirat sana.

Firman Allah: “Berdoalah kepada-Ku nescaya aku (Allah) akan perkenankan.” (Surah Ghafir : 60 )


Saya ingat lagi pesan senior saya " berusaha melakukan sunnah Rasulullah juga mendapat pahala, meskipun tidak dapat melakukannya. "

Jadi, mengapa perlu kecewa seandainya kita sudah melakukan yang terbaik.
Jika mahu memuhasabah, bukan natijahnya yang kita persoalkan!
Tapi persoalkan usaha dan mujahadah kita, sudah cukupkah atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Rasulullah dan para sahabat sendiri mengatur strategi dalam peperangan sehabis baik, dan menghidupkan malam dengan qiam dan doa,
kita pula bagaimana, layakah untuk mempersoal natijah Allah seandainya solat jemaah pun dileceh dan dipandang leka???

Ingat, kita hamba, yang bersifat dimiliki, bukan memiliki!


3 ) Kejayaan di hujung sana

Ya, itulah yang membezakan kita dengan mereka yang menjadi dunia sebagai matlamat.
Kita menjadikan dunia sebagai alat, kerana yakin dan percaya apa yang kita lakukan pada setiap saat dan ketika, akan menentukan keberjayaan kita di sana.

Kalau pemimpin non-muslim seperti Mahatma Ghandi yang dikenang sebagai pejuang kemerdekaan India sanggup bermogok lapar bagi melihat negara dan anak bangsanya bebas dari cengkaman penjajah, Aung San Suu Kyi pula rela dipenjara puluhan tahu demi memperjuangkan kebebesan suara di Myanmar,
pemimpin Islam perjuangannya tidak terhad kepada soal kemanusia dan kebebasan negara,
tetapi soal pembebasan rakyatnya dari belenggu jahiliyah yang bermaharajalela, untuk sama-sama menuju ke syurga Allah.

Kejayaan itu tidak akan ada nilainya andai kita gagal berusaha untuk bersama-sama membawa insan-insan disekeliling kita untuk mengecap manisnya syurga Allah.

Definisikan kejayaan untuk mengatur langkah perjalanan

Pesan saya buat mereka sebelum menangguhkan sembang-sembang kami,
definisikanlah erti dan makna kejayaan untuk fatrah keberadaan di bumi Jordan ini, sebagai kayu ukur dan guideline untuk melangkah dan memuhasabah.

Adakah kejayaan di sini sekadar menggengam segulung ijazah?
Ataupun berpangkat dalam persatuan namun culas di bilik darjah ?

Sama-sama definisikan kejayaan, dan berusaha memaknakannya dalam setiap nafas yang dihela.

3 comments:

Shah Batman said...

Belajar sungguh2 qeb,

moga hang berjaya akademik dan persatuan, dunia dan akhirat.

p/s: Muaddal jgn sekadar lepas batuk di tangga gak

mahasiswa said...

shah batman,

iAllah.
moga sama2 berjaya :)

tepianmuara said...

oho.

ingat nak tulis gak tentang nh.

sedang kisah gajah tu pun boleh jadi lain...

...maksud sama, pandang berbeza.