Friday, January 7, 2011

Secawan teh, pengubat letih


Ingin menulis secara santai, sesantai minum-minum teh di Mandi Yaman.
Lazat dan berzat, lagi berkhasiat ( tapi harus diingat, kurangkan manis dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman :)

Tadi keluar minum-minum dengan kawan-kawan, menghirup teh sambil menyegarkan minda yang sedikit letih. Sambil menghirup, sambil teringat Abah di rumah. Abah, seorang yang kurang bercakap, diamnya ada makna, bicaranya ada saat dan ketika, menulis penuh berbahasa itu kebolehannya.

Kalau di Malaysia, dari kecil hingga meningkat dewasa, saya memang suka luangkan masa dengan Abah, ajak mengeteh di warung di kampung. Balik dari asrama di Muar, di Klang, dan juga dari Jordan, seboleh mungkin saya akan ajak abah keluar, duduk berdua di bangku meja, sambil minum-minum, bertukar cerita.

Berkongsi cerita pasal pelajaran, pencapaian kokurikulum, hal-hal peribadi, masalah adik-adik, kewangan, masyarakat kampung dan isu-isu semasa dan lain-lain lagi. Rindu sungguh keluar berdua dengan Abah, menaiki motor melalui jalan kelapa sawit gelap gelita, lalu di sebelah tanah kuburan yang dulu semasa kecil saya selalu pejamkan mata, duduk berdua berkongsi hati dan rasa. Moga abah sihat-sihat sahaja di Malaysia.

Kalau di Jordan pula, minum-minum dengan kawan itu biarpun nampak biasa, namun hasilnya boleh jadi luar biasa. Seminggu yang penat itu, bisa terubat, melihat muka kawan-kawan yang semakin sihat dan kuat. Jujurnya, saya lebih suka sembang-sembang santai dengan pelbagai topik yang dicelotehkan, daripada duduk dalam usrah yang menadah menerima satu hala.
Dari isu yang serius seperti pelajaran, perancangan masa depan, isu-isu persatuan, politik semasa hinggakan sesantai lawak jenaka, gurau mesra, percutian, dan lain-lain lagi, diadun dalam satu lepak-lepak sambil menghirup secawan teh, dan mungkin lebih.

Dengan minum secawan teh bersama kawan, kita bisa belajar erti kehidupan!

Apa lagi, jom minum-minum!


~ Ada kawan timbulkan persoalan, apakah definisi kehidupan??
~ " Kita boleh merancang pelan perlawanan tinju ataupun pelan kehidupan. Tetapi apabila tiba masa beraksi, kita bergantung kepada refleksi diri. Ketika itu gerak kerja dan latihan menunjukkan hasil. Sekiranya kita menipu ketika malam gelap, kita pasti sesat walaupun pada waktu pagi " Joe Frazier, lagenda tinju
~ Alhamdulillah, Internal Medicine sudah beroleh markah. Pembakar semangat untuk pulun surgery pula!
~ ada kawan kata blog saya skema, sebab kerana bahasanya. Maaf, saya tidak akan menggadai bahasa demi kemalasan anda untuk berskema ketika membaca :p

2 comments:

hafizquran said...

"saya tidak akan menggadai bahasa demi kemalasan anda untuk berskema ketika membaca"

mantap ayat.setuju2.:)

Naqeb Sulaiman said...

:)