Tuesday, May 13, 2008

Tentang Pena Ini..


Assalamualaikum.

"Erti hidup pada memberi, biar pun hanya secawan kopi." Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Hasrizal, penulis Saifulislam.com.

Catatan kali ini sekadar ingin berkongsi kenapa saya menulis di blog ini.

Alhamdulillah, sudah dua bulan saya menulis dan belajar macam mana untuk menggunakan ruang blog Dari Mata Pena.. Ke Aspirasi Mahasiswa ini sebaik mungkin.Masih banyak yang perlu dipelajari. Kenapa menamakan blog ini sedemikian rupa?? Saya akan jelaskan sebentar lagi. Teruskan membaca andai mahu mengetahui..

Sekadar ingin berkongsi, saya merupakan seorang yang suka mengeluarkan pendapat melalui pidato dan debat. Penglibatan saya dalam perdebatan dan pertandingan pidato banyak memberi ruang dan peluang untuk saya membina keyakinan bagi melontarkan pendapat dan berucap di hadapan orang ramai. Namun saya sedar, kebolehan dan kemampuan berucap tidak mencukupi seandainya diri ini umpama tin kosong,bunyinya kuat tetapi tidak memberi apa-apa erti. Banyak yang masih perlu dipelajari. Namun kekurangan itu tidak menghalang untuk memberi.

Kenapa memilih menulis di blog?

Adakah kerana blog semakin popular selepas pilihan raya yang ke-12 sehinggakan diwujudkan slot khas bersama blogger di RTM?

Adakah kerana blog mudah popular apabila diselitkan dengan isu-isu panas yang menyentuh sensitiviti sesetengah pihak?

Mungkin persoalan di atas merupakan antara sebab yang mendorong seseorang menulis di blog.

Saya memilih menulis blog kerana Ruang dan Peluang. Di mana ada ruang di situ wujudnya peluang. Jika sudah mampu, mahu jadi penentu. Sebagaimana yang kita tahu, penulisan juga salah satu cabang dari dakwah. Dakwah untuk mengajak manusia kembali kepada Tuhan.


Firman Allah yang bermaksud:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah."
( Ali 'Imraan : 110)


Kenapa Dari Mata Pena..Ke Aspirasi Mahasiswa?

Dari Mata Pena.. = wadah penulisan saya
Ke Aspirasi Mahasiswa.. = cita-cita dan matlamat semasa bergelar penuntut ilmu

Setiap apa yang kita lakukan perlu ada matlamat. Jika anda seorang pelari , matlamat anda adalah untuk menuju ke garisan penamat. Anda akan terus berlari di trek dan tidak akan menyimpang ke kanan dan ke kiri. Begitu juga dengan penulisan, perlu ada matlamat kenapa menulis dan ke mana arah tujuan penulisan tersebut. Moga penulisan itu mampu memberi erti pada diri dalam menuju aspirasi.


Saya rasa cukup sekadar ini perkongsian dari insan yang baru menceburi dunia blog. Mohon tunjuk ajar dan teguran dari teman-teman. Sama-sama saling memberi dan berkongsi, moga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang tidak rugi.



-Pena ini hanya mengukir, moga kita berfikir

No comments: