Friday, June 27, 2008

RM 1 juta

Duit!
Item paling famous di dunia, hingga mampu memasuki ke dalam mimpi orang yang lena dan juga jaga. Peralihan sistem batter ke arah penggunaan mata wang dalam proses jual beli barang telah membawa satu revolusi dalam peradaban dunia. Lihat sahaja buktinya, jika dulu makanan,hasil tenunan, rempah ratus dan tembikar diperdagangkan sewaktu zaman kesultanan Melayu Melaka, kini, maruah dan tubuh badan juga turut menjadi barang dagangan dalam era pemerintahan Putrajaya. Segalanya berubah..

RM 1 juta..

'RM1 juta insentif atlet negara menang emas di Olimpik '.
Memang satu tawaran yang menarik, namun dikhuatiri akan jadi terbalik. Mampukah kuasa ganjaran tinggi mampu meningkatkan kesungguhan dalam latihan, ataupun semakin mengkaburkan pandangan. Semudah itu habuan dari RM160,000 dinaikkan ke angka yang mampu membawa gelaran jutawan sedangkan rakyat kini menjadi mangsa kenaikan harga minyak yang mendadak. Renungkan..

RM 1 juta..

" Along, belajar rajin-rajin ye, nanti dah besar boleh jadi doktor. Gaji besar, boleh beli rumah besar, macam-macam lagi. ". pesan seorang ibu kepada anaknya. Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dan hidup senang, mereka tidak mahu anak-anak mewarisi kesusahan yang ditanggung selama ini. Positif.


Namun, dari satu sudut lain, kita perlu sedar bahawa wujud trend mengejar materialistik sedari kanak-kanak melangkah ke bahu sekolah hinggakan menuju ke liang lahad. Segala-galanya duit..


Pantang ada saja ruang, buat duit pasti berlegar-legar dalam kepala.

Sunday, June 22, 2008

2008..

2oo8. Tahun yang menyaksikan begitu banyak perubahan telah berlaku di tanah air Malaysia. 8 Mac lalu mengukir sejarah apabila parti pembangkang berjaya menawan 5 buah negeri. Sejurus selepas itu, penubuhan Pakatan Rakyat diisytiharkan. Tidak dilupakan, barisan kabinet telah berjaya dibentuk oleh Barisan Nasional walaupun dengan saiz yang kecil sedikit. Blog juga berjaya meraih tempat di barisan jentera media massa berikutan ia memainkan peranan dalam pilihanraya yang lalu.

Hari demi hari,semakin banyak perubahan berlaku. Laungan ramai pihak untuk mengkaji dan memansuh akta-akta yang tidak relevan seperti AUKU dan ISA semakin bergema, namun kini masih dipandang sebelah mata. Isu tatacara pemakaian pelajar perempuan Islam yang dibangkitkan oleh PKPIM kini masih menyepi.

Nun di hujung selatan Semenanjung Malaysia, Pulau Batu Puteh kini berada dalam lipatan sejarah Singapura. Isu projek khinzir di Selangor juga pernah mencetus kontroversi beberapa bulan yang lalu. Kini, kenaikan harga petrol sebanyak 40% ,dari RM1.92 meningkat kepada RM2.70 juga mengukir sejarah kenaikan harga bahan bakar tersebut yang tertinggi di negara kita sejak sekian lama. Meninjau lingkungan minggu ini, Parti Maju Sabah (SAPP) , satu parti dari komponen Barisan Nasional mencuri perhatian apabila menyuarakan rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Pak Lah.

Berfikir..

Lambakan fakta dan senario di atas bukan untuk menyalahkan sesiapa dan menyebelahi mana-mana pihak. Fakta itu sebahagian dari ilmu yang bermanfaat, dan ilmu yang bermanfaat berhak dimiliki oleh sesiapa. Apa kaitan politik dengan kita??

Saya tidak berniat untuk menulis tentang politik, saya bukan ahlinya. Namun selaku pewaris mata rantai perjuangan kepimpinan masa hadapan,ada beberapa perkara yang perlu kita cari dan gali,walau kita masih digari.

Kita sering menunding jari ke arah sesiapa apabila berlaku itu dan ini. Tidak kira di atas mahupun di bawah. Malangnya, ramai yang kurang berminat dan muhasabah diri. Begitu juga dalam aspek kepimpinan, ianya bukannya sesuatu yang datang secara semula jadi. Mana mungkin seseorang mampu menjadi pemimpin yang baik sekiranya dia terus memegang jawatan tertinggi tanpa melalui berberapa proses iaitu menimba pengetahuan dan pengalaman.

Leaders are made, they are not born. They are made by hard effort,which is the price which all of us must pay to achieve any goal that is worthwhile. - Vince Lombardi

Pengetahuan

Lambakan isu semasa di atas termasuk dalam aspek pengetahuan. Pengetahuan semasa.
Mungkin ada yang berkata, " Alaa, aku belajar kat luar negara. Tak de kaitan sangat dengan aku. ". Kita perlu sedar, kepimpinan bukan persoalan beberapa hari , namun ia membawa kesan jangka masa yang lama. Kita akan pulang juga ke tanah air, dan masing-masing berperanan sebagai pemimpin,tak kira di bawah,mahupun di atas, tetap memimpin.

"Kamu sekalian lebih memerlukan seorang pemimpin yang adil daripada seorang pemimpin yang banyak berbicara. " kata-kata Saidina Uthman bin 'Affan.

ADIL. Adil bukan sama rata. Adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya mengikut syariat agama Allah. Adil lawannya zalim. Zalim adalah mungkar, dan perlu dicegah. Untuk berlaku adil, ilmu menjadi teras. Ilmu yang membawa kita mengenal Yang Maha Menghisab. Ramai pemimpin yang tidak berilmu, maka hasilnya haru biru, celaru..

Pengalaman

"Bagaimana aku dapat memerhatikan keadaan rakyatku jika aku tidak merasakan apa yang mereka deritai ". - Saidina 'Umar Al-Khattab.

Barangsiapa menginginkan jerih payah & kerja yang serius daripada pengikutnya, maka ia harus menjadi contoh pertama dalam bekerja. - Qanun Pemimpin Islam.

Pengalaman itu satu bekalan. Bagaimana seorang itu boleh melintas sungai yang besar andai dia tidak tahu berenang. Bolehkah kita mengiktiraf seseorang itu tahu berenang sekiranya dia tidak pernah berenang. Seandainya sampan tersedia, belum tentu dia berjaya ke seberang sana.

Begitu juga dengan kita, banyak situasi yang bakal kita harungi memerlukan untuk kita bertindak selaku pemimpin. Daripada sekecil-kecil urusan diri kepada sebesar-besar urusan yang melibatkan komuniti. Oleh itu, sifat seorang pemimpin perlu diasah dan digilap mulai awal. Alam mahasiswa belum lagi dikatakan terlewat untuk membina potensi untuk menjadi pemimpin. Banyak ruang dan peluang yang tersedia, yang menjadi penentu adalah mahu.

Rasulullah Pemimpin Terulung

Firman Allah bermaksud :
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." ( Al Ahzab : 21 )

Salam dan selawat buat baginda Rasulullah, utusan Allah yang bersusah payah dan banyak berkorban demi menegakkan dan mencambahkan benih Islam ke segenap pelusuk dunia. Baginda merupakan tauladan yang terbaik dalam memacu pentadbiran negara. Penubuhan negara Islam Madinah dan hikmah di sebalik perjanjian Hudaibiyah menjadi bukti kebijaksanaan Rasulullah.

"Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." bisik Rasulullah kepada Saidina Ali sebelum kembali bertemu Allah.

Moga kita mampu mencontohi kepimpinan Rasulullah. InsyaAllah..

Wednesday, June 4, 2008

Kalau nak kahwin..


"Kalau nak kahwin, banyak benda nak kena fikir. " saya mengusik.

"Kahwin awal sekarang ni bukan satu trend, tapi keperluan." sahabat saya pula mengutarakan pandangan.

Seorang sahabat tersenyum sambil otaknya ligat berfikir....

Kami bertiga bersembang santai, meluangkan masa bersama selepas selesai menghadapi final exam bagi semester kedua kami. Saya tidak berniat untuk mengulas lanjut tentang perbualan di atas, cuma saya suka untuk berkongsi sedikit tentang aspek pencerahan.

Sedar atau tidak, kita tidak dapat lari dari berkomunikasi dengan insan yang melengkapi erti sebuah kehidupan di sekeliling kita. Kita sering bersembang dengan rakan-rakan tidak kira di mana jua kita berada, ditambah pula dengan kecanggihan teknologi yang mampu menghubungkan dua jiwa yang terpisah antara dua benua.

Berbincang untuk mencerah

Pernahkah anda menghadiri seminar ataupun forum yang pengisiannya dipenuhi dengan fakta-fakta dan teori-teori sehinggakan membuatkan diri anda dibuai ke alam mimpi? Atau..

Pernahkah fikiran anda terbuka dan keyakinan diri untuk mencuba sesuatu bertambah setelah menghadiri program atau ceramah yang bersifat mencerah dan membuka jalan.

Kita akui setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza tentang sesuatu perkara. Ada yang mengatakan warna hitam itu tidak cantik, ada pula yang mengatakan ianya cantik. Memang ramai yang berbeza..

Jika dipertemukan si A ( berpendirian hitam itu cantik ) dan si B ( berpendirian hitam itu tidak cantik ), mereka pasti mengeluarkan pendapat dan hujah masing-masing. Ada banyak kemungkinan akan berlaku, sama ada salah seorang akan berubah pendirian atau kedua-duanya tetap dengan pandangan masing-masing tetapi menghormati pandangan orang lain, atau timbul perseteruan antara kedua-dua pihak.

Sedar atau tidak, banyak medium yang bertindak sebagai agen perbincangan kita dari aspek seharian hingga kepada tahunan. Bersembang dengan ahli rumah, rakan-rakan, diskusi di dalam usrah, mesyuarat bulanan dan tahunan. Pasti akan wujud percanggahan.

Debat

Dunia perdebatan memang sesuatu yang menarik, dan kadang-kadang kala boleh jadi terbalik.

Saya berpeluang menceburi arena perdebatan setelah menjejakkan kaki di Bumi Waqafan. Pandangan orang lain terhadap debat juga berbeza, ada yang mengatakannya bagus dan ada pula yang melabelkan sebagai membuang masa. Jika di dalam pertandingan debat, usul akan disokong oleh pihak kerajaan dan dibantah oleh pembangkang. Natijahnya, ada yang menang,ada yang kecundang. Resolusi tiada! Memang membuang masa. Tapi tunggu dulu, bagi saya ia akan jadi sia-sia jika kita tidak cuba menjadikan perdebatan itu sebagai agen pencerahan tentang sesuatu isu.

Teringat saya tentang perdebatan yang bertajuk Perkahwinan Sejenis Hanya Peluh ( sia-sia ) sewaktu debat 100jam tanpa henti dalam usaha mecipta rekod dunia. Tajuk ini agak kontroversi bagi saya apatah lagi hujah akal digunakan semata-semata. Antara hujah akal yang dangkal mengatakan perkahwinan sejenis bukanlah sia-sia ialah lebih baik lelaki "lembut" berkahwin dengan lelaki berbanding dengan perempuan kerana ia akan menyusahkan kehidupannya dan perempuan tersebut. Hati saya agak tidak tenteram mendengar sesi perdebatan ini kerana ia melibatkan prinsip agama. Namun, apa yang saya cuba ambil dari sesi debat ini ialah pencerahan pemikiran tentang isu ini. Memang ada perkara yang bertentangan dengan prinsip kita, namun tidak bermakna kita perlu mengabaikan perkara tersebut. Apa yang penting kita perlu berpegang teguh dengan ayat Allah yang bermaksud:

“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”
Surah An-Nisa’ [4:59],



Gajah..oh.gajah

Teringat saya tentang cerita 7 orang buta dan seekor gajah tatkala membaca blog seorang sahabat saya. Masing-masing mahu menafsir bentuk gajah, lantas meraba bahagian anggota gajah.



" Wah, gajah ni macam tali la..". kata si buta yang memegang belalai gajah.
" Mane ade, aku yakin gajah ni macam talam. Lebar betul.. ". seorang lagi buta begitu optimis dengan pandangannya, diikuti oleh pandangan 5 orang lagi yang meraba-raba bahagian gajah yang lain.

Percanggahan itu timbul kerana tidak semua orang memandang sesuatu dari sudut yang sama. Mungkin ada berberapa perkara yang saya tulis anda kurang bersetuju, masih ada ruang diskusi, moga penglihatan dan pandangan kita semakin cerah hari demi hari..

Berbalik kepada perbualan kami bertiga di atas, sahabat saya yang ligat berfikir bersuara, " Aku dah tak nak fikir lagi dah.."
" Ada kalanya kita tidak boleh terlalu berfikir sahaja, yang penting ia diikuti dengan zikir..". balas saya.

Wallahua'lam..