Friday, July 22, 2011

BICARA AWAM : MITOS


Budaya Membaca.

Ingat lagi, ini tajuk pidato pertama dalam hidup saya.
Pakai baju kemeja putih, tali leher panjang warna biru, naik ke pentas pidato kanak-kanak Tadika.
Masih terimbas kalimah-kalimah teks yang dibuat oleh Abah, antaranya,
" kalau selalu membaca Gila-Gila, lama-lama kita boleh jadi orang gila ".

15 belas tahun sudah berlalu. Kenangan yang saya simpan hingga sekarang, yang mungkin akan dikisahkan semula buat anak-anak saya satu hari nanti.

Baru-baru ini dapat peluang untuk berkongsi tentang Pengucapan Awam dengan peserta Akademi Al-Fateh anjuran PINTAR Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid ( PERMAI ) . Saya ambil peluang 1 jam setengah tersebut untuk berkongsi perkara yang sama saya kongsikan dalam Bengkel Pengucapan Awam anjuran Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu'tah ( PERMATA ) pada bulan April yang lepas. PERMAI dan PERMATA adalah persatuan zon di bawah naungan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ ).

PECAHKAN MITOS

Mitos, satu perkara yang dipercayai oleh kebanyakan orang dan ditanam dalam kepala, disampaikan turun temurun hinga orang mudah percaya tanpa usul periksa.
Saya mulakan perkongsian dengan memecahkan beberapa mitos tentang pengucapan awam, dengan harapan apabila dipecahkannya, maka mudahlah untuk minda menerima.

1) Sesuatu yang SKEMA

Ada sesetengah orang agak allergic dengan program-program yang berbentuk skema, apatah lagi yang di dalamnya ada slot pengucapan awam. Sesiapa yang 'bernasih baik', akan dipanggil ke hadapan untuk berucap tajuk spontan. Bagi yang tidak pernah atau selalu menjauhkan diri untuk ke hadapan, hari itu akan jadi episod hitam dalam hidupnya. Kalau sekadar itu yang dinamakan pengucapan awam, tidak hairanlah ramai tidak 'mesra' dengannya.

2) Hanya orang tertentu dan ter'PILIH'

Sepanjang pemerhatian saya, label orang yang 'pandai bercakap' ini akan diberikan kepada individu tertentu, yang banyak bercakap dan menonjol di khalayak, pandai berhujah dan berdebat, sering kali menjadi pengerusi majlis mahupun ahli panel. Kesannya, muka yang sama akan silih berulang, yang lain menghilang. Seolah-olah sudah terlepas kewajipan fardu kifayah apabila sudah ada dua tiga orang mengisi kekosongan untuk tampil ke hadapan.

3) Perlukan BAKAT semata-semata

" Aku takde bakatla.. "
" Dia sejak kecil dah berbakat, lahir-lair dah boleh bercakap. "
Sangat mudah mencipta alasan sebegini untuk melarikan diri.
Tanpa mencuba dan memberikan ruang dan peluang kepada diri, kita dengan mudah memetik alasan tidak memiliki bakat.

4) Hanya NILAI TAMBAH

Dengan bahasa mudahnya, nilai tambah kalau tiada, tidak apa-apa. Kalau ada, lebih baik.
Tidak semua perlu memilikinya.

Betulkah pengucapan awam ini adalah nilai tambah. Hanya untuk orang tertentu, kalau aku tak mahu, maka aku tak perlu?


Menilai semua MITOS


Apa sebenarnya pengucapan awam?
Bahasa mudah bagi saya adalah bercakap di hadapan orang ramai.
Kalau cakap sorang-sorang pula boleh dikategorikan sebagai orang gila :)

Apabila disoal, apa bentuk pengucapan awam?
Berikut adalah senarainya, mungkin ada lagi yang tidak tersenarai:



¡PIDATO
¡KHUTBAH
¡CERAMAH
¡FORUM
¡DEBAT
¡SAJAK
¡PENGERUSI MAJLIS
¡MOTIVASI
¡PEMBENTANGAN KERTAS KERJA
¡TEMUDUGA
¡WAWANCARA/ SIDANG MEDIA
¡PEMBUKTIAN MAHKAMAH
¡MENGAJAR
¡ NAQIB USRAH/ FASILITATOR


Kalau disemak senarai di atas, saya yakin tidak dapat tidak kita akan terlibat dalam perkara-perkara di atas, kalau tidak satu, dua.

Jadi, bagi saya pengucapan awam bukan lagi soal nilai tambah, ia sudah jadi KEPERLUAN, sebagai JALAN memenuhi TUNTUAN dan TUJUAN kehidupan.

Apabila sedar ia adalah keperluan, maka alasan tidak mempunyai bakat tidak boleh dijadikan pilihan, dan diganti dengan ruang mencuba dan berlatih, moga dengan usaha gigih, kebolehan dan kemampuan itu bisa diraih.

Begitu juga dengan persepsi ianya adalah untuk insan terpilih, akan menukar kepercayaan untuk kita yang MEMILIH.


Saya percaya, ramai antara kita sudah lalui perkara-perkara di atas, persoalannya sudahkah kita melakukan yang terbaik atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Saya sendiri, sangat kecewa dan agak tidak berminat dengan penceramah yang meleret-leret dalam ceramah, point tidak tersusun, bicaranya kurang jelas dan tidak meletakan jiwa. Bukan niat hendak memperlekehkan golongan penyampai sedemikian, tetapi cuma berharap agar lahir golongan yang bukan sahaja tinggi kefaqihan ilmunya, malah itqan dan bersungguh dalam memberikan yang terbaik dalam proses bicara ilmunya kepada khalayak pendengar setia.

Umpama bahan masakan yang berkualiti, ikan mahal yang dibeli, rempah ratus sudah tersedia rapi, tetapi dimasak sesuka hati, tanpa resepi dan dimasak cincai tanpa menjiwai. Masakan siap juga akhirnya, tetapi sekadar menghilangkan lapar sementara, dan mungkin boleh masuk dan keluar semula.

Moga kita bergerak melangkah, memperbaiki mutu bicara, dan yang lebih penting beramal dengan anggota!

~ menghitung hari pulang ~


No comments: