Saturday, July 30, 2011

SUPAYA


2 hari lagi Ramadhan menghampiri.

Ramadhan, bicara soal bulan ini, ada suatu perkataan yang sangat mudah terlekat di minda, Hari Raya.

Cuba sesekali kita tangguhkan, lupakan sebentar soal Syawal yang belum tentu menjelma buat kita. Kita betulkan lensa dan kaca mata kita melihat anugerah Ramadhan kepada kita yang duduk letaknya sebagai seorang hamba.

Cuba bertanya kepada diri, sepanjang setahun yang sudah, perut kita mudah sangat meronta apabila jam penggera luch,dinner membunyikan isyarat, perut yang kosong tidak boleh diisi lewat. Solat jemaah lima waktu susah sangat nak mencukupkannya. Tapi di bulan Ramadhan, kita mampu menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam mentari di ufuk barat, solat sunat terawih boleh ditunai hingga 20 rakaat.

Masjid yang dulu saf solatnya hanya sebaris dua, meningkat mendadak di hari pertama berpuasa, meskipun akan melalui pasang surutnya, dan kembali bertambah di hujung bulan sebelum Syawal menjelma.

Yang susah untuk menghulur sedekah, di bulan ini diwajibkan membayar zakat fitrah.
Media pula berubah sedikit wajah, program-program bertemakan Islam mula diberi tempat,
pengacaranya pula berubah sedikit penampilan, sekurang-sekuranya berbaju kurung sopan.

Di negeri tertentu pula, pusat hiburan dilarang kemasukannya kepada umat Islam meskipun ada negeri lain yang memanjangkan tempoh perniagaannya tanpa sebarang sekatan dan larangan.

Banyak yang akan berubah dalam fatrah sebulan ini.
Seawal hari pertama hingga yang terakhir, Ramadhan ini menjadi pesta ibadah bulan yang menekuni dan mematuhi seruan Allah.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183:


“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”

TAQWA

Mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa.

Terjemahan bahasa mudah-mudahan itu tidak bermaksud ia adalah mudah.

Ia adalah sebuah syarat, bahawa bulan Ramadhan perlu digunakan sebaik mungkin dengan menjadikannya sebuah madrasah dalam mendidik jiwa dan tubuh mematuhi perintah Allah, dan mengenal Allah dalam setiap ibadat yang dilakukan dalam bulan yang satu ini, SUPAYA kita beroleh TAQWA.


Bicara soal taqwa, apa itu taqwa?

Profesor Dr.Mohamad Al-Zuhaili, dalam buku karangnya Hakikat Taqwa, antara takrifan taqwa yang disebut adalah merujuk kata-kata Saidina Ali :

" Taqwa adalah ketakutan kepada Allah, beramal dengan Al-Quran, redha dengan sesuatu yang sedikit dan persiapan untuk Hari Kiamat. "

" Taqwa adalah apabila Allah mendapati kamu ketika Dia memerintahkan kamu dan Dia tidak mendapati kamu ketika dia melarang kamu. "


Profesor Dr.Mohamad Al-Zuhaili dalam mukadimah kitabnya menulis,
taqwa adalah cita-cita yang diinginkan oleh golangan islah, dituju oleh para da'ie, dicari oleh golongan yang jujur da diiltizam oleh golongan muqarrabun.

Persoalannya, sejauh mana kita serius meletakan matlamat beroleh taqwa?
Dan sejauh mana kita menyakini hakikat taqwa akan memberikan kebaikan dunia dan akhirat buat pemiliknya.

Firman Allah :

" Dan bertaqwalah kamu sekalian kepada Allah agar kamu sekalian berjaya. "
(Al-Baqarah : 189 )


Justeru, sama-sama kita meletakan matlamat TAQWA dalam sepencarian kembara kita dalam bulan yang mulia ini.

Hadiah dari Allah buat hamba-Nya, sebuah bulan yang di dalam terkandung jualan mega ibadah yang menguntungkan, harus direbut oleh kita selaku hamba yang miskin, yang tidak memiliki apa-apa.

Moga Allah pertemukan kita dengan Ramadhan.
Moga Allah mengupayakan dan menganugerahkan kita dengan taqwa.
Moga Allah menatijahkan kekuatan Ramadhan untuk dibawa keluar meneruskan helaan nafas mencari kasih-Nya.

Amin..




No comments: