Monday, December 22, 2008

Aku Jatuh Cinta..

Aku jatuh cinta.
Bukan pandang kali pertama,
walhal sudah lebih setahun ku mengenalinya.
Sebelum ini setiap kali ke kuliah,
hati kosong tidak diisi cinta.
Baru sekarang mekar berbunga.
Memang cinta hadir tanpa dipaksa.
Tidak perlu ditanam dalam-dalam dan dikambus,
Ia bisa meresap ke dalam hati,
lantas menyusup ke jiwa.

Kini hati ku terpaut,
Jiwa kosong diragut,
Ku yakin ia anugerah Ilahi,
Moga dikekalkan rasa ini,
Kerana cinta ini terkandung amanah,
Cinta ini tersemat harapan manusia,
Ikhtiar penyembuh jasad dan jiwa,
Moga cinta ini dirahmati-Nya.

Cintaku mula berputik...

Friday, December 19, 2008

Jom Debat!!



Apalagi, jom kita hangatkan debat PIALA PRESIDEN PERMAI!!!

Wednesday, December 17, 2008

Pasangan Hidup









Dalam usia meniti dewasa, saya yakin ramai yang sudah mula memikirkan soal pasangan hidup. Apatahlah lagi bagi mereka yang terkena tempias musim perkahwinan semasa belajar. Ada yang sudah mula meminati tafaquh munakahat, ada yang sudah menggenggam Aku Terima Nikahnya, di rak buku sudah tersusun Men Are From Mars Women Are From Venus. Tidak cukup dengan itu, ramai yang sudah khatam berkali Ayat-ayat Cinta dan dua jilid Ketika Cinta Bertasbih. Buku-buku panduan menuju ke mahligai perkahwinan menjadi santapan mata dan jiwa.

Ketika ini saya dalam fatrah memikirkan soal pasangan hidup. Pasangan hidup yang semakin mendekati saya dalam tidak disedari. Mendekati, memasuki jiwa dan sanubari. Anugerah dari Ilahi.

Ujian.

Itulah pasangan yang sukar dan tidak bisa dipisahkan dari sebuah kehidupan.
Mana tidaknya, bukanlah dinamakan kehidupan andai tidak diwarnai dengan ujian.
Dan kini baru saya merasakan ujian itu benar-benar menjadi pasangan hidup manusia.
Tidak kira dalam keadaan kita senang dan susah, tetap terselit ujian di mana-mana.

Ujian mematangkan kehidupan


Mendengarkan kisah-kisah para Anbiya dan sahabat semasa introspeksi iman cukup membuatkan diri terasa sungguh kerdil. Kisah Bilal yang diseksa kerana mempertahankan aqidah sepatutnya menjadikan suntikan untuk mempertahankan agama.

Kisah Nabi Nuh yang terus berdakwah beratus-ratus tahun walaupun ramai yang menolaknya seharusnya menjadi tujahan buat kita agar tidak mudah mengatakan lemah untuk menyeru manusia alpa ke jalan Allah.

Satu petikan dialog dari teater ADHA yang menyentuh rasa :

Apa yang nta katakan ni, kita yang membesar di negara ini sudah matang melebihi usia. Hasil tarbiyah derita dan air mata. Bukan seperti remaja di negara aman. Sudah berumur hampir 30-an pun, masih berperangai seperti anak-anak kecil.

Perbandingan yang memalukan

Kita sewajarnya malu andai kita mengatakan kita berasa putus asa kerana tidak punya waktu dan sibuk dengan jadual peperiksaan yang berturutan. Ujian yang menyesakkan kehidupan.

Walhal,anak-anak kecil di negara-negara tertindas tidak punya waktu untuk merasai duduk di bangku ilmu, mereka ditarbiyah dengan linangan air mata dan tumpahan darah.
Pasangan hidup mereka adalah kematian ibu, ayah dan saudara.



Kita seharusnya merasa malu jika kita memilih teman hidup hiburan yang kian bermaharajalela. Apatah lagi semasa musim sejuk ini, duduk di bawah selimut tebal bertemankan secawan kopi panas lalu jari jemari ligat mengawal pergerakan animasi yang melalaikan.

Walhal, anak-anak seusia kita kesejukan lantaran hidup di khemah perlarian. Batu-batu kecil untuk dilontarkan ke kereta kebal si zalim menjadi bahan mainan mereka.



Kita menonton animasi, mereka menyaksikan tragedi.
Kita rebah di ujian kuliah, mereka bangkit di ujian berdarah.

Saya menulis sekadar untuk memperingatkan diri yang terasa berat bila diuji. Ujian itu tanda kasih-Nya. Pasangan bagi kehidupan untuk sebuah kematangan dalam perjuangan.

'Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian).'– (Surah al-Ankabuut ;2)

Sedarlah kalian, kamu sedang diuji.

Sunday, December 14, 2008

Ingin berkeluarga....

Adha menghitung hari yang tidak pasti. Keluarga. Itu sahaja yang bermain di legar kepala. Dua orang seniornya sudah selamat mendirikan rumah tangga pada raya ketiga yang lepas. Selamat melangkah ke alam rumah tangga dan alam keluarga diucapkan.

Adha juga ingin berkeluarga. Ingin sahaja dia pulang ke Malaysia dengan segera walaupun dia tahu emak menghalangnya pulang . Emak mahu dia melunaskan dahulu tanggungjawabnya untuk menimba ilmu di sini. Soal keluarga jangan dirisaukan. Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Hatinya tidak tertahan lagi. Rindunya semakin membuak-buak. Cintanya tidak pernah pudar. Dia memohon kepada Allah agar dipertemukan dengan insan yang disayanginya, insan yang dirinduinya siang malam.

Bicara kakaknya masih lagi kedengaran. Sayup suara gadis berusia dua puluhan itu menerjah ke telinganya. Khabar itu meluluhkan hatinya. Manakan tidak, dia baru sahaja berbicara dengan emak dan ayah. Ayah dan emak merahsiakan segala-galanya dari Adha.

" Jangan risau, abah ok. Takda ape-ape. Belajar betul-betul ye ". pesan emak.

Dia menyambut panggilan ayah. Dari hujung talian kedengaran esakan emak.

Persoalan terjawab akhirnya. Kakak mengkhabarkan segala-galanya .
Ayah mengalami masalah buah pinggang. Kedua-duanya gagal berfungsi dengan baik dan memerlukan penderma. Ayah sudah dua kali tenat. Adha tidak terluah bicaranya.

Ya Allah, beratnya ujian yang Kau beri kepada kami sekeluarga.

Kakaknya meneruskan bicara. Dia mahu menjalani ujian untuk memastikan kesesuaian buah pinggangnya untuk diberi kepada ayah. Begitu mulia hatimu.

Adha mahu pulang segera namun dihalang oleh kakaknya. Dia buntu. Rasa bersalah menyelubingi dirinya. Masakan tidak, Adha anak lelaki yang paling tua, yang lain masih berhingus. Dia rasa bertanggungjawab untuk memberi sokongan kepada emak dan ayah di saat ini, namun apakan daya dia jauh terdampar di Timur Tengah.

Usai dimatikan talian, jiwanya turut mati sama. Hanya doa yang dapat dipanjatkan buat masa kini. Hari itu berubah cuaca baginya, hujan renyai-renyai membawa rasa pilu dan rindu.

Adha merenung sejenak menenangkan hati yang gundah gulana. Ini sebuah tarbiyah. Dia yakin.

Aidiladha terkandung seribu pengajaran buat hamba yang beriman.
Dia merenung kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Cinta ayah dan anak yang berpaksikan pengorbanan. Bayangkan kesanggupan Ibrahim berjauhan dengan isterinya, Siti Hajar dan puteranya, Ismail yang ditinggalkan di padang pasir yang tandus.

Sekembalinya nabi Ibrahim, diperintahkan pula untuk menyembelih Nabi Ismail. Baginda redha dengan perintah Allah. Sebuah pengorbanan yang menakjubkan.

Adha merenung pula kisah Rasul junjungan, Nabi Muhammad. Baginda bergelar yatim sedari dalam perut ibunya. Sesudah itu disusuli pemergian ibunya. Ujian yang Allah datang kepada para anbiya' begitu hebat berbanding ujian yang ditimpanya.

Ujian ini adalah juzu' warna hidupanya. Dia perlu tabah dan cekal. Masih ada lagi sahabat-sahabat yang berdamping disisinya.

Lagu Rhapsodi Perjuangan bergema dalam selingan teater ADHA .

Teman ketawa di mana-mana
Sahabat berduka sukar dicari
Entah ke mana menghilangkan diri
Pabila ujian melanda

Erti harga sebuah perjuangan
Kepahitanku dalam menegakkan
Kebenaran keadilan perubahan
Akan ku tetap teruskan jua

Kami tak rela dinoda
Lihat kezaliman melanda
Kuatkan azam di jiwa
Kebenaran dibela

Sematkanlah janji-janji
Kini yakinkanlah diri
Perjuangan suci murni
Kemenanganmu nanti

Apalah guna kau berdiam diri
Arus perubahan tak tertahan lagi
Usah dibiarkan kita dipermainkan
Kelak kan membawa seribu penyesalan


Adha tersedar dari lamunan. Dipanjatkannya doa kepada Tuhan agar Allah melindungi keluarganya. Ya, Allah, kaulah tempat ku bergantung harap. Adha harus bangkit!

Rhapsodi Perjuangan








Teman ketawa di mana-mana
Sahabat berduka sukar dicari
Entah ke mana menghilangkan diri
Pabila ujian melanda

Erti harga sebuah perjuangan
Kepahitanku dalam menegakkan
Kebenaran keadilan perubahan
Akan ku tetap teruskan jua

Kami tak rela dinoda
Lihat kezaliman melanda
Kuatkan azam di jiwa
Kebenaran dibela

Sematkanlah janji-janji
Kini yakinkanlah diri
Perjuangan suci murni
Kemenanganmu nanti

Apalah guna kau berdiam diri
Arus perubahan tak tertahan lagi
Usah dibiarkan kita dipermainkan
Kelak kan membawa seribu penyesalan

-Alarm Me

Friday, December 12, 2008

Tidak Terungkap Dengan Bicara



















Alhamdulillah.

Perasaan yang tidak terungkap dengan bicara usai ADHA berjaya dipentaskan.
Segala keletihan dan kelelahan saya terubat dan hilang usai teater sulong PERMAI melabuhkan tirai pementasan sempena Majlis Jom Korban.

Saya merasai pelbagai pengalaman sepanjang menjadi pengarah Jom Korban.
Suka duka, pahit maung akhirnya bertukar kepada sesuatu perasaan yang tidak terluah.

Pernah satu masa saya hampir ingin duduk terjatuh apabila menerima khabar dari Malaysia tentang kesihatan ayah saya. Ingin sahaja saya terbang melayang menuju ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah lantas memeluk tubuh ayah yang dirindui.

Alhamdulillah, Allah beri saya kekekuatan untuk menerima khabar itu. Dia yang Maha Meyembuh dan Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Doakan saya dan keluarga, terutama ayah dan emak saya cekal mengaharungi ujian yang Allah datangkan buat keluarga kami.

Terlalu banyak yang saya belajar sepanjang perjalanan program mulai bulan lepas.
Pengalaman meyembelih seekor kambing satu pengalaman yang baru dan memberi kesan.
Pengalaman berkampung dan berlatih bersama skuad teater di bangunan teater yang dibina pada abad ke-2 selepas Masihi sambil disaksikan pelancong-pelancong di Ummu Qais bersama skuad teater dari awal pagi hinggalah ke petang. Saya akan rindukan suasana itu.

Di kesempatan ini saya ingin menujukan ucapan khas jutaan terima kasih kepada :

- Timbalan Pengarah dan Semua AJK pelaksana Majlis Jom Korban
- Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Helwi dan semua AMM PERMAI sesi 2008/2009
- Badan-badan Kebajikan Anak Negeri yang terlibat ( BKPJJ,BKASJ,MSSJ,MPKJ dan BKAPJ)
- Saudara Ikhwan Subberi ( Pengarah teater, individu yang banyak berdampaing dengan saya sepanjang urusan korban di kedai mahupun di ladang ), Hilal Asyraf ( penulis skrip teater dan penyajak ), para pelakon yang berlatih hingga berkampung di Ummu Qais ( respect dengan kamu semua :) ), pasukan nasyid, percussion, pelukis latar dan
penyusun prop dan semua yang terlibat dalam menjayakan teater ADHA.
-sahabat-sahabat saya yang banyak membantu terutamanya ..terlalu ramai untuk disebut namanya. :)
-dan kepada semua ahli PERMAI yang menjayakan Majlis Jom Korban PERMAI.

Saya mohon maaf andai terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan sepanjang keterlibatan saya dalam program kali ini.

Moga Allah rahmati kalian semua.

-doakan kami yang akan menghadapi peperikasaan Microbiologi esok ya, :)
-sebarang maklum balas tentang teater amat dialukan untuk membaiki segala kelemahan dan kekurangan

Monday, December 8, 2008

Perjalanan Sehari Dua ( Ladang Ternakan dan Ummu Qais )








Tidak sempat mengupdate sebarang artikel, puisi mahupun cerpen setakat ini, semua entry adalah sekitar Jom Korban PERMAI. :)