Monday, August 10, 2009

Warkah Cinta

Assalamualaikum.

Apa khabar kau jauh di sana? Yang sedang memegang penjuru dunia, untuk dikibarkan ke langit angkasa , agar bisa kau tembus syurga dengan redha-Nya.

Aku di sini baik-baik sahaja. Menanti khabar gembira yang menyala dan senyuman manis kau yang berbunga. Biar jauh di mata, aku bisa membaca gerak tari kau di kancah juang yang terlipat dengan onak dan badai menggila, yang terhambur dengan kaca dan permata.

Warkah yang sebaris kata ini hanya sekadar mahu menyapa di saat kau terleka, menghelus udara saat kau sesak antara timbunan rasa, memeluk dingin kau di saat panas kau menjamah.

Kalau kau resah dan gundah, seolah-olah mahu tumbang dan rebah,
Kau harus ingat dahulu kala, yang kau pernah memasak teguh cita-cita bersulam cinta-Nya.
Kau pernah melipat warkah kalam janji, lau kau kirim ke lembah bakti di hadapan seribu tentera sejati,
Kau pernah menghunus senjata ke udara, lalu kau bersuara memecah sunyi alam bergema.
Lalu, mengapa harus kau rasa lemah, sedang Dia yang mentakdirkan kau melangkah di jalan ini.
Jalan yang tiada masa untuk dikhianati meski seminit cuma, lorong yang tidak dihampar permaidani merah.

Aku sarankan untuk kau tenang seketika, sedut segenap udara, dengar unggas melagukan sukma di rimba,
Pejamkan mata, larikan jiwa resah jauh-jauh dari tubuh,
Masukkan kembali nyawa yang hilang dari jasad yang malang,
Biar bangkit semula kesateria yang tegar berjuang.
Bangkit!!

Sekadar ini aku coret buat kau yang bernama aku.
Lepaskan gundahmu kepada Dia.
Biar cinta-Nya jadi bekal buatmu tenang di bumi terhampar indah.

Aku lari laju dahulu. Kalau kau sudi, kejar aku.
Moga bertemu di taman itu.

Yang benar;
Sahabat yang menyintaimu demi cinta itu.

Friday, August 7, 2009

Tutup?

(i)

Pertamanya, maaf kepada yang mengikuti blog ini kerana sudah lama terhenti gerak isi tulisnya.
Maaf juga dipinta kerana blog ini hampir berubah wajah, hanya berlegar sekitar isu persatuan sahaja.

Saya ada berfikir untuk menutup blog ini buat sementara, mungkin dalam tempoh yang lama.
Mungkin setahun, mungkin selamanya.

Kenapa?

Kerana bagi saya,blog tidak boleh bersifat penulisan yang melepaskan batuk di tangga,
kerana ia adalah lambang kepada keperibadian penulisnya.

Ada realiti yang berlaku dalam trend penulisan blog jika diamati secara teliti.
Di saat kuasa blog memuncak tinggi dalam siasah politik, ramai yang terjun ke lapangan ini meskipun tidak pernah menaip langsung di papan kekunci. Memilih untuk terpilih.
Kesannya, semakin lama tulisan blognya kendur, hilang ditelan masa hingga tidak diupdate berbulan lamanya.
Bukankan itu lambang peribadi seorang pemimpin, jika blog peribadinya bersawang, seolah-olah dia tidak bijak mengurus masa.

Saya berfikir buat kali kedua.
Menutup blog ini bukan jalan penyelasaiannya.
Menutup blog ini bermakna menutup ruang untuk saya menyampaikan sesuatu walaupun sekelumit cuma.
Menutupnya hanya merencatkan latihan penulisan saya.
Memang kesibukan itu adalah "isteri" saya buat masa kini yang akan sentiasa menemani.
Saya yakin ini adalah pelajaran terbesar buat saya yang kerdil ini untuk mengurus masa.

InsyaAllah, saya akan cuba.

( ii)

Buku yang baru dibeli ketika bercuti ke Mecca Mall minggu lepas.
Sebelum ini hanya mendengar namanya, dan saya tidak pernah membaca lanjut tentang penerima anugerah nobel keamanan ini.

Seorang wanita non-muslim yang berjuang demi rakyat hingga sanggup dipenjarakan.
Amat malu jika menjadi seorang lelaki muslim yang paham akan kewajipan berjuang, tetapi hanya memeluk tubuh, lesu dan kaku.

( iii )

Beberapa hari lagi Ramadhan akan menjelma.
InsyaAllah, mengikut perancangan, saya akan berpuasa dan beraya di Jordan.
Sama-sama kita membuat persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan yang mulia.
Moga Ramadhan akan datang kita cuba lalui lebih baik dari Ramadhan yang lepas.


- Doakan situasi H1N1 terkawal di seluruh dunia.
- Mak dan abah meminang seseorang, hati gembira bukan kepalang, rupanya mimpi tanda hari dah siang. :)
- Melangkah dengan penuh gagah tidak akan berguna, jika hati tak tunduk kepada-Nya. Ya Allah, kuatkan hamba-Mu.

Tuesday, August 4, 2009

Muhasabah CInta, Memburu Impian Kita

Assalamualaikum.

Buat semua ahli PERMAI .

Sedikit pengenalan dan harapan untuk program malam ni.

Program malam ini bukan sekadar program pengenalan kepimpinan PERMAI semata-semata.

Tetapi sebagai wadah untuk kita sama-sama muhasabah cinta kita, cinta kepada Allah, Rasul, ibu bapa dan sahabat kita dalam ruang lingkup kita berpersatuan di sini , PERMAI.

Adakah kita benar-benar tahu erti sebuah persatuan, atau sekadar mahu persatuan kita hanya semata-mata atas nama persatuan??

Atau ingin kita letakkan bersama PERMAI kita satu tahap yang lebih dari itu.

Bagaimana dengan sesi kali ini?

Adakah kita mahu terus hidup dalam belenggu yang lama.

Atau mahu bergerak bersama membuka satu dimensi yang baru,

Yang menyuburkan cinta sesame kita, yang kita bersama melangkah memburu impian di dalamnya.

Sebagai pimpinan sesi ini, kami barisan AMM mahu menyuarakan sesuatu, menerangkan halatuju, ke mana yang akan kita langkahi seiring cita.

Sebagai ahli, kalian semua juga harus menyatakan sesuatu kepada semua untuk dikongsi dan dilaksanakan bersama.

Luahkah segala harapan dan segala impian, untuk kita sama-sama lakarkan dengan warna kehidupan.

Hakikatnya, kita semua adalah sama , kita adalah PERMAI. PERMAI tak akan terbina tanpa kita semua. Jadi, sama-sama kita berkongsi rasa dan jiwa agar sesuatu yang terbaik dapat dibina.

Sedarlah ada sesuatu yang penting perlu kita ubah dalam komuniti kita.

Jadi, mari sama-sama kita datang malam ini sebagai tanda cinta sesame kita, sokongan dalam memburru impian semua.

Moga denagn meluangkan masa dua jam malam ni, akan menjelaskan beberapa perkara yang disalahtafsir oleh kita selama ini.

Dengan rendah diri, saya mengajak kalian “ MUHASABAH CINTA, MEMBURU IMPIAN KITA “

Butiran Program :

Program : Majlis MUHASABAH CINTA, MEMBURU IMPIAN KITA

Tarikh : 4 Ogos 2009 ( Selasa )

Masa : 8.20 malam

Tempat : Dewan Al-Farabi, Universiti Yarmouk

Yang benar;

…………………………………………..

( MUHAMMAD NAQEB BIN SULAIMAN )

Presiden,

Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid ( PERMAI ),

Sesi 2009/2010.

Friday, July 31, 2009

Santai sebentar

Alhamdulillah, baru balik dari Taj Mahal bersama YDP BKPJJ.
Sementara tunggu nasi dicerna, otak boleh sambung membaca, ada gambar ingin dikongsi dalam halaman yang banyak huruf dari gambar berwarna.


(i)

Hadiah dan cenderahati.
Pertama sekali, sorry buat yang memberi, tetapi gambar hadiah tidak muncul dalam gambar ni. Meja saya ada kapasiti. ;)
Hadiah dan cenderahati tidak perlu mahal-mahal kerana ia bukan dinilai pada mata,
tetapi pada hati, nama pun dah cenderahati kan.
Terima buat yang memberi.

(ii)
Ehem..ada muka ahli parlimen lepas terima watikah tak?
Gambar memang disengajakan tidak cerah untuk mengelakkan dicam dek penjenayah. ;)

(ii)

Gambar sebelum berpisah buat sementara.
Syihabudin, Naib Presiden merangkah Pengerusi MMY sesi 08/09 .
Maaf takde gambar kawan-kawan yang lain.
Ucapan saya, selamat berkhidmat untuk agama, masyarakat dan negara.
Moga kita bertemu di medan sana.

- Maaf buat yang pernah komen tentang gambar di blog saya yang kurang kualitinya,
almaklum hanya berkamera di hp E90 sahaja, tak mampu nak beli kamera yang besar-besar saiznya.

Thursday, July 30, 2009

Karya yang terindah

Penulis mapan.

Saya ada menyimpan cita-cita itu.
Untuk duduk sebaris dengan mereka yang berjuang dengan mata pena.
Yang menikam jahiliyah dengan sentuhan bahasa berisi fikrah.
Menulis dengan penuh jiwa dan tanpa putus asa.

Hilal.

Saya kagum dengan sahabat saya yang semakin laju dia mengorak langkah.

Saya?

Masih tersangkut dengan perancangan.
Penulisan yang semakin malap, tangan sudah kendur untuk menulis dengan jiwa bahasa.

Ah!

Saya tidak boleh tewas dengan perasaan mengalah.

Hilal pernah berbicara menyusup semangatnya.

" Orang yang hebat adalah oleh yang boleh berpersatuan, menulis, seimbang akademik. Orang yang hebat adalah orang yang bijak mengurus masa. "

Ya. Betul kata Hilal.

Saya mahu jadi begitu.
Yang hidupnya tersusun dan berhala tuju.

Dan fatrah ini memerlukan saya bermujahadah dan menumpukan mana yang lebih perlu.

Dan saya juga akan terus menulis, mungkin tidak sekerapa dahulu di halaman yang semakin lesu, saya akan terus menulis di jalan yang bakal saya dalam tahun yang satu.

Saya akan menulis jalur hidup yang saya impikan dalam sebuah persatuan.
Dan akan saya cuba terjemahkan kepada realiti kehidupan.

Kini, saya akan cuba ubah rasa kegembiraan.

Gembira apabila ada yang menawarkan diri bersama-sama menulis karya ini.
Teruja apabila ada yang sudi berkorban demi mencantikkan karya ini.
Bersedia untuk dikritik agar penulisan saya tidak tersasar dari jalan yang sepatutnya.

Akan saya dan rakan-rakan "penulis " yang lain cuba untuk memasukkan roh dalam karya ini agar mampu bangkit mengejutkan jiwa-jiwa yang alpa.

Doakan karya " PERMAI 09/10 " mencapai matlamatnya.

- menulis dengan jiwa memang berbeza dengan akal kepala

- tak sabar nak beraya di Jordan walau semua pakat nak balik M'sia ( baca dengan nada gembira ;)

Saturday, July 25, 2009

Julai

Bulan 7 yang banyak jalur warna dan sendu lagu.

Pilihan raya dan AGM telah berlalu.

3 orang ahli PERMAI telah kehilangan ayah atau ibu.

Seorang ahli kebakaran rumahnya di Malaysia minggu lalu.

Hari ini kepulangan sahabat-sahabat Iqtisod IKIP dan Abang Sipu.

Lorong tikungan yang kami tapak dalam bulan yang satu.



Ya Allah, kau kuatkan kami hamba-MU,

Tabah dan redha dengan ujian yang bertamu,

Perpisahan sementara yang diimpi kembali bertemu,

Di dalam syurga rahmat-Mu.


~muhasabah~

Tuesday, July 21, 2009

Transaksi

Alhamdulillah.

3 hari sudah AGM PERMAI kali ke-7 telah berlalu. Tahun ini adalah tahun kedua saya menyertai mesyuarat agung PERMAI, kedua-duanya saya tidak dapat menghadiri dari awal disebabkan pertembungan dengan peperiksaan. Tahun lepas saya tiba agak lewat, usai keputusan pilihan raya diumumkan, saya telah diberi amanah untuk menyertai barisan AMT PERMAI sesi 08/09.

Alhamdulillah, tahun ini saya sempat menyertai mesyuarat agung meski hanya separuh agenda mesyuarat telah berlalu. Sempat saya melihat respons dan kepekaan ahli tentang perjalanan persatuan. Tahniah saya ucapkan.

Sewaktu ucapan pembubaran oleh Presiden PERMAI 08/09, Ustaz Faiz atau nama famousnya di seantero Jordan ini, Ustaz BAHA, satu rasa lega dan syukur saya panjatkan kerana berjaya mengharungi segala cabaran dan tugasan sepanjang memegang jawatan Setiausaha Agung.


Banyak perkara yang saya belajar tentang berpersatuan. Jujur saya katakan, inilah kali pertama saya menjadi setiausaha, mengurus hal surat menyurat yang memerlukan formaliti, menyusun data ahli dan menyiapkan laporan aktiviti. Memang tidak dinafikan, tugasan saya banyak di hadapan skrin komputer, kesannya, kalau komputer buat masalah dengan saya, saya nak marah pun tiada gunanya. Sabar itu pengubat jiwa. :)

Sesi lepas juga banyak kenangan yang terindah. Menjadi pengarah Jom Korban dan dalam pada yang sama berganding bahu dengan Ikhwan dan Hilal dalam menjayakan teater sulong PERMAI berjudul ADHA adalah sesuatu yang tidak akan luput dalam lipatan kenangan.
Ada suka duka yang saya lalui sepanjang sesi lepas, ada jatuh bangkitnya. Alhamdulillah, saya punyai team yang banyak membantu saya yang muda ini, yang senantiasa memberikan sokongan dan panduan. Begitu juga kawan-kawan yang menyokong saya khusunya ahli rumah Bayt Nur yang banyak membantu di saat saya di'pinjam'kan kepada PERMAI buat setahun.

Usai majlis pembubaran oleh Presiden sesi 08/09 selesai, semua AMM kelihatan gembira , setahun sudah berlalu, akhirnya kami berjaya tiba di saat ini. Melihat PERMAI telah mengorak langkah laju di bawah pimpinan Ustaz BAHA. Alhamdulillah.

Presiden PERMAI di Hati 08/09

Di saat Pengarah SPR naik ke pentas, saya sudah mula berdebar. Belum sampai beberapa minit bergelar mantan MT PERMAI, adakah saya akan kembali semula.
Dan akhirnya, Allah telah mentakdirkan segala-galanya.

Presiden PERMAI sesi 2009/2010.

Saya menerima jawatan ini dengan redha. InshaAllah, saya akan cuba melaksanakan amanah Allah dan ahli PERMAI ini sebaiknya. Mohon kalian mendoakan saya agar diperkuatkan Allah dari segenap aspek untuk mengemudi bahtera persatuan zon terbesar di Jordan yang semakin bertambah ahlinya.

Doa dan sokongan kalian ku pinta.

Ya Allah Ya Tuhanku.

Engkau telah bebankan aku dengan

bebanan yang berat di dunia ini…

Maka Ya Allah,

ringankan bebanan aku pada hari akhirat nanti…

~Saidina Umar Al-Khattab~


-blog ini bukan blog rasmi suara Presiden PERMAI, ia masih blog peribadi saya, isu persatuan yang dikupas adalah pandangan peribadi saya
- gugup juga mula-mula nak perkenalkan diri kepada Dato' Duta dan berbual semeja, Alhamdulillah banyak yang dikongsikan kepada saya
- Ucapan Dato' Hasan Ali semalam memang mantap!