Wednesday, September 2, 2009

Mentaliti


Ada yang memberi komen di shoutbox mengatakan blog saya sudah banyak menulis hal peribadi, rindu tulisan ilmiah katanya. Maaf saya pinta, sebulan dua ini masa saya agak suntuk dan padat.
Artikel yang berbentuk peribadi dan santai itu hanya sebagai catatan perjalanan saya dan proses untuk saya menghilangkan tekanan, jika ada sedikit manfaat, ambilah. Jika tidak, abaikan sahaja, izinkan saya menulis sebagai diari yang akan saya rujuk kembali sebagai mengenang memori.

Menulis itu memerlukan ruang berfikir. Sama juga untuk melakukan sesuatu perkara.
Ada sesetengah perkara memang mampu kita lakukan tanpa memerlukan kita berfikir secara kreatif dan kritis.

Mahu buat ini, buat sahaja. Memang terjadi, kerana kita sudah terbiasa.

Mahu ke majlis lewat, datang sahaja lewat setengah jam dari masa yang telah ditetapkan.
Tidak perlu berfikir panjang, janji datang.

Mahu buat program itu dan ini, buat sahaja. Rujuk sahaja program-program yang lalu, tukar sedikit itu dan ini. Janji ada, janji jadi. Lepas tanggungjawab. Fuh, lega.
Hasil tetap serupa dari tahun sebelumnya.

Itu baru bicara mahu melakukan sesuatu tanpa berfikir dalam-dalam, tajam-tajam. Bagaimana pula bila tidak mahu melakukan itu dan ini, mesti ramai yang langsung tidak mahu berfikir kenapa perlu untuk berfikir dahulu.

Fikir kenapa perlu berfikir

Bicara soal mentaliti, kita bukan bicara soal cara berfikir seorang dua, ia terangkum dalam kelompok yang ramai. Kerana pengaruh komuniti itu sendiri mampu menyerap ke dalam batang tubuh setiap anggota di dalamnya.

Cuti ini memberi saya ruang untuk menonton Cinta Sempurna, drama sempena Ramadhan. Drama ini berdiri teguh di atas idea asal Ustaz Hasrizal.

Ada perkara yang ingin saya ketengahkan, Shila, watak seorang perempuan yang kurang faham agama dan berniat untuk menyindir Islam dengan soalan-soalan tertentu kepada Ustaz Nazir, seorang pendakwah muda.

" Kenapa perlu pakai tudung ? "
" Kenapa solat lima waktu? Orang solat ada yang tak berjaya dalam hidup "

Soalan di atas tidak ada keperluan mendesak untuk menjawabnya di saat ini. Kerana satu persoalan tidak diketengahkan terlebih dahulu, apakah tujuan hidup?

Jika seseorang itu sudah faham apakah tujuan hidup, maka persoalan tidak menjadi sia-sia untuk dijawab dan diterangkan sejelas-jelasnya.

Begitu juga dengan setiap perkara yang kita cuba ubah.

Saya ingin memberikan contoh yang mudah.

Kita mahu komuniti kita bersifat menepati masa.
Tulislah sebanyak mana artikel tentang masa. Buatlah poster sebanyak mana.
Hukumlah siapa yang lewat ke majlis dan program.

Semua itu tidak akan berguna, jika kita gagal merubah sesuatu.

Apa itu?

Mentaliti.

Jika satu komuniti itu seolah-olah sudah bersetuju, setiap program itu, pasti akan lewat bermula.

Jam 9.00 pagi tertulis di tentatif.
Semua sudah yakin dan percaya, paling awal 9.30 baru bermula.

Siapa datang awal adalah mangsa keadaan.

Siapa yang datang 9.30 adalah bijak menilai keadaan.

Itu adalah mentaliti yang telah disepakati secara diam-diam bahasa, tetapi terang-terang peri lakunya.

Lalu, untuk mengubah keadaan, apa langkah pertama.
Haruskan menghukum mereka yang lewat. Atau membiarkan sahaja ia terus kukuh sebagai budaya.

Maka, bagi saya, langkah pertama adalah untuk mengajak semua yang terlibat untuk " BERFIKIR KENAPA PERLU BERFIKIR ".

Sesetengah orang membuat sesuatu kerana ikut gerak manusia di sekitarnya.
Orang lain lambat, aku lambat.
Orang lain pengkhianat, aku pengkhianat.
Pengkhianat masa!

Menembak akal manusia untuk berfikir tidak semudah menembak batang tubuhnya.
Sesetengah orang egonya tinggi melangit seperti watak Shila dalam Cinta Sempurna.

Namun, untuk mengubah mentaliti orang lain, langkah pertama adalah dengan mengubah mentaliti kita.

Ubah mentaliti agar percaya bahawa, " Tidak mustahil untuk mengubah mentaliti yang tidak membangun diri ! "

No comments: