Monday, October 13, 2008

Cinta Dua Adam 3..

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun..


Terbit titisan jernih dari anak matanya. Hatinya dihurung rasa sedih bercampur redha.
Kasihnya tidak setanding tuhan yang Mencipta dan Maha Pengasih. Dialah tempat kita kembali.

Suasana sekeliling kamarnya seolah-olah bisa membaca liku rasa hatinya. Turut menangis sama. Bungkam dan suram. Tangisan itu bukan tangisan berdukacita, itu tangisan fitrah. Fitrah manusia yang tidak senang akan perpisahan, sedang pertemuan di alam yang satu itu adalah sebuah janji Tuhan buat orang-orang beriman.

Ibrahim pergi buat selama-lamanya dari dunia yang sementara menuju alam yang abadi. Mesej dari ummi Ibrahim mengungkap segalanya.

Hampir setahun syabab itu bertarung dengan brain cancer. Tidak pernah sekalipun Anwar dimaklum tentang derita yang ditanggunnya.

"Ibrahim, Kau sungguh kejam. Tergamak kau tak mahu berkongsi kesakitan kau dengan aku." monolog hati Anwar. Redha.

**************************************************************

Mentari mula mengintai alam. Kabus berlalu pergi meninggalkan jalan sekitar Universiti Yarmouk yang sepi. Pintu kedai-kedai sepanjang syari' jamiah masih terkunci. Anwar melangkah melintasi jalan, menapak kesunyian seorang diri.

Nyaman. Kebisingan dan kesibukan belum menjengah di jalan itu. Rata-rata masih tidur dibuai mimpi manusiawi dan duniawi. Langkahannya yang diiringi bacaan Mathurat diperlahan tatkala menuruni lorong menuju ke rumahnya.

" Ibrahim! ". terpacul dari mulutnya nama nabi Allah Ibrahim, nabi yang pernah cuba dibakar dan tergolong dalam kelompok rasul ulul azmi.

"Aku tidak bermimpi." hatinya menjerit.

Jubahnya diangkat, dia mula berlari mengejar kelibat itu. Hilang!

Peluh mericik di dahi, termengah-mengah dirinya menyedut udara melangsaikan hutang oksigen dari tubuhnya. Lelah.
Jiwa Anwar tampak keriangan berseli kebingungan. Ibrahim sebentar tadi di hadapan matanya.
Ya, itu Ibrahim!

"Astagfirullah".
"Bukankah dia sudah pergi menemui Ilahi?". Kewarasan akalnya menghentak keriangannya.
Dia dihuni rasa bersalah, seolah-olah dia tidak mempercayai takdir Yang Esa.

Al-Fatihah.

*******************************************************************************

Wahab bin Munabbih menceritakan tentang keegoaan seorang raja yang ingin berpergiaan dengan menaiki kenderaan. Maka diarah suruhannya mempersiagakan pakaiannya,namun ditolak kerana tidak disukainya. Lalu berkali-kali arahannya diulang sama. Akhirnya dipilih sendiri olehnya. Begitu juga dengan pemilihan kuda yang akan ditungganginya.

Kemudian muncul si Iblis datang meniupkan ke dalam rongga hidungya api kesombongan dan kemegahan. Lalu berangkatlah si raja yang bongkak bersama rombongan berkudanya. Langsung tidak dipandangnya rakyat jelata.

"Assalamualaikum." salam diberi oleh seorang lelaki yang buruk rupanya.

Si raja tidak mengendahkan lelaki itu. Kendali kenderaanya dipegang lelaki itu.

"Lepaskan kendali itu! Kau telah melakukan perbuatan yang besar."

"Aku ada keperluan denganmu."

" Sebutkan keperluanmu."

"Ini rahsia". Raja mendekatkan kepalanya.
"Aku adalah malaikat maut".

Maka berubahlah warna paras raja dan gementar lidahnya menuturkan kata.
"Biarkan aku hingga aku kembali ke rumahkudan memenuhi keperluanku serta minta diri dengan mereka".

Malaikat maut berkata: " Demi Allah,engkau tidak akan melihat keluarga dan kerajaanmu sama sekali." Kemudian nyawanya dicabut lalu rebah tubuh yang dihuni jiwa sombong itu.

*****************************************************************************

Anwar menghela nafas. Jiwanya bergetar hebat. Terkesan. Dibeleknya lagi buku itu.

Friday, October 10, 2008

Ku cari tenaga..

Hijrah dari zon selesa kepada memaksa, sebelum terpaksa.

Hidup dalam keadaaan selesa boleh membunuh potensi yang ada. Jiwa lumpuh. Kebolehan runtuh, akibat meletakkan diri dalam keadaan yang tiada tekanan untuk menuju kearah kecemerlangan.

Ibarat sebatang tebu, mana mungkin terhasil perahan tebu asli yang pekat andai tidak diperah dan menerima tekanan yang tinggi.


Tetapi tekanan itu harus bijak di manipulasi. Untuk menghasilkan produk yang berkualiti.



Pertengahan

Hendaklah engkau menjaga pertengahan
dalam segala urusan mu,
Kerana pertengahan itu
jalan yang paling baik menuju kejayaan,
Maka janganlah engkau berlebihan
atau kurang kerana kedua-duanya adalah tercela.

( Syair Arab )





" Apabila KEPERLUAN mengatasi KEMAMPUAN, STRES pasti berlaku "

Oleh itu, jom sama-sama kita tingkatkan kemampuan untuk memenuhi keperluan!

- menaip sekadar peringatan buat diri. Bila diri terasa lemah, ingatlah kita punya Allah. Bila diri terasa hebat ,ingatlah kita tidak memiliki apa-apa, segala-galanya milik Allah.

Saturday, October 4, 2008

Cinta Dua Adam 2

Kau syabab musafir Syam,
Hilangnya kelibatmu dinanti,
Biar rinduku berputik mati,
Mekar cintaku tidak berbelah bagi.

Kau syabab mujahid,
Nafasmu semilir bayu,
Genggamanmu padu,
Hidup jiwamu tegal,
Onak kau rempuh,
Sendi budimu teguh.

Kau syabab cahaya,
Kepulanganmu dinanti,
Moga islah kau bawa,
Sua kita pasti jua,
Andai tidak di sini,
Pasti di sana jua.

Anwar tersenyum sendirian menampakkan lesung pipit di pipi kirinya yang manis usai membaca bait-bait itu. Ibrahim. Sahabatnya yang sudah hampir tiga tahun tidak bersua wajah, namun hati mereka sering bertemu dalam rabitah yang dihubungkan kasih dua saudara kerana Tuhan Yang Maha Pengasih kepada hamba-Nya. Rindu itu datang kembali, mencengkam sanubari.Ah, indahnya rindu kerana Illahi.

Indahnya sebuah persahabatan. Dia yakin janji Tuhan.


*********************
Ya Allah,dahsyat teramat sangat maut ini,timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku,jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin,kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Saidina Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uusiikum bis salati,wa maa malakat aimanukum,peliharalah solat dan peliharalah orang- orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan,sahabat saling berpelukan.Saidatina
Fatimah az-Zahra' menutupkan tangan di wajahnya, dan Saidina Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii,ummatii,ummatiii" - "Umatku, umatku, umatku"

Begitulah bukti cinta Rasulullah kepada ummat baginda. Jauh mengalahkan simbolik cinta agung Shah Jahan kepada Mumtaz Mahal yang mendirikan Taj Mahal,apatah lagi cinta Romeo dan Juliet yang hanya sekadar hiasan dunia.

Selawat ke atas junjungan Pesuruh Allah terbit dari bibir mulus Anwar. Dia tidak mahu tergolong dalam kalangan golongan yang bakhil dan rugi.

" Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada nabi. Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam perhormatan kepadanya ". al-Ahzab ayat 56.

"Ya Allah, Kau jadikanlah akhlak ku sebagaimana akhlak Rasulullah. Kau kuatkanlah hatiku dan temanku meneruskan perjuangan baginda". titipan doa dari hati kudus seorang perantau di bumi Kinanah.

Gambaran wajah seorang anak muda, berwajah bersih berserta senyuman yang tidak lekang dari bibirnya muncul dari celah pandangannya.

" Anwar, kau jangan lupakan aku bila tiba di sana. Aku sentiasa doakan kau berjaya mengutip segala mutiara yang ada. Kita pasti bersua."

Bip..bip

Anwar tersedar dari tidurnya. Matanya cuba dibuka sedaya upaya. Butiran penghantar sistem pesanan ringkas yang tertera pada layar handphonenya cuba dibaca walau tidak dicapainya kaca mata terlebih dahulu.

Ibrahim



Hatinya berbunga menerima pesanan itu. Namun timbul sedikit ragu memandangkan waktu Malaysia baru mengjangkau jam 3 pagi. Apakah hal yang begitu mustahak sehingga mesej itu bertamu dalam tidurnya.

Ditekannya kekunci lantas diamati baris demi baris yang tertulis rapi.
" Ya Allah! "

Monday, September 29, 2008

Cinta Dua Adam

Dari jendela kamarnya, Anwar memandang tepat seorang kanak-kanak perempuan Arab yang leka bermain dengan saudaranya, comel. Segera fikirannya dilayangkan pulang ke tanah air tercinta, sebuah bumi hijau yang subur dan penuh dengan pelbagai warna.

Jalur-jalur kenangan sebulan lalu menari di anak matanya. Rindu pada ibu, ayah dan saudara sedarah dagingnya mencengkam, apatah lagi menjelang Syawal yang bakal tiba. Tampang mereka jelas di mata.

Kakinya melangkah meninggalkan jendela yang memberikan ruang cahaya masuk ke kamarnya yang sederhana. Langkahannya menuju ke meja komputer yang dibelinya untuk kegunaan belajar dan kerja-kerja persatuan.

Melihatkan komputernya, Anwar terkenangkan sikap rakan-rakannya yang menghabiskan ratusan dinar untuk membeli keperluan dan tidak kurang yang menuruti kehendak dan kemahuan nafsu. Maklumlah, peningkatan biasiswa sedikit sebanyak mengubah cara hidup mereka.

"Klik".

Anwar menekan tetikus dan jemarinya pantas menari di papan kekunci. Paparan akhbar elektronik tertera. Dia menyoroti isu-isu semasa di negaranya walaupun kadang-kadang dia berasa jelek dan mual dengan berita yang tidak menjana pemikiran masyarakat di negaranya.

Lirikan matanya tertarik kepada satu artikel tentang persiapan orang ramai menyambut hari raya. Meriah dan mewah. Memang menjadi budaya masyarakat yang berkemampuan di negaranya, semuanya baru menjelang tibanya Syawal.

"Anwar, hidup ni kene berjimat. Apa guna hidup bergaya kalau kedana." terngiang pesanan arwah nenek di cuping telinganya.
"Dan apa guna kiranya kaya berharta, tapi miskin akhlaknya". suara itu bergema lagi.

Bibirnya basah menghadiahkan Al-Fatihah buat insan yang banyak menyuntik sentuhan hati manusiawi di dalam dirinya. Disudahkannya bacaan Ummu Kitab itu sambil dipasakkan hatinya untuk mengikut pesanan azimat arwah neneknya.

Tangannya menggerakkan tetikus, ruangan Dunia menjadi fokusnya pula.

SEBAK.

Hatinya tersentuh dan dihuni rasa yang bercampur sedih, geram dan pilu melihatkan gambar sekumpulan saudara seaqidahnya yag dihalang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa. Mereka menjadi pelarian di tanah kelahiran sendiri. Perjanjian damai yang berjela-jela tidak menyebelahi mereka, bahkan semakin menghakis hak mereka.Sudah ribuan jiwa terkorban, sudah jenuh linangan air mata si ibu menangisi pemergian anaknya, sudah hilang suara anak kecil atas teriakan mereka.

Lontaran walau hanya seketul batu ke arah kereta besi yang menggila oleh si anak belasan tahun cukup menggambarkan perjuangan mereka. Namun masih ada negara-negara yang kononnya melaungkan negara seaqidah mereka, tapi hanya mengisi perut masing-masing, memilih mendiamkan diri berbanding bersuara.

Cukup berbeza dengan situasi di negara Anwar. Syawal di negaranya disambut dengan dentuman meriam dan mercun walaupun dilarang oleh pihak berkuasa, namun di Palestin, dentuman bom dan senjata silih berganti memburu mereka.

Tanpa di sedari, butir-butir jernih mengalir dari hujung korneanya. Doa dipanjat kepada Yang Maha Berkuasa untuk melindungi saudara-saudara dan memberikan kemenangan kepada yang hak!

Buzz!!!

Gegaran gelombang bunyi itu menyentak lamunan perasaannya.

- sekadar mevariasikan penulisan blog ini. sekadar mencuba. maaf andai ada terguris rasa.kalau berkesempatan,ada sambungannya.

Saturday, September 27, 2008

Syawal Menjelang



Assalamualaikum.

Syawal menjelang tiba. Ramadhan telah berlalu pergi meninggalkan kita. Andai ini Ramadhan Terakhirku. Begitulah tema program Ihya' Ramadhan PERMAI kali ini. Ramadhan dan Syawal di bumi Irbid ini menyaksikan pertambahan ahli PERMAI yang mendadak. Empat ratus lebih jumlah kesemuanya. Alhamdulillah, nikmat peluang yang diberi Allah untuk menghirup aliran keilmuaan di Universiti Yarmouk mahupun JUST terbentang luas seharusnya digunakan sebaik mungkin di sini.

Kuantiti dan kualiti tidak dapat dipisahkan. Perlu berjalan seiring untuk mewujudkan ke arah suatu kapasiti, yang mampu menjalankan tugas yang ditaklifkan kepada insan yang begelar hamba. Maka, hidup dalam berpersatuan merupakan aspek penting bagi mewujudkan iklim dini yang membantu menyuburkan sanubari.

Gol!!

Gol! Satu jaringan yang dijaringkan oleh seorang pemain pasti disambut oleh pelukan dan ucapan tahniah dari rakan-rakan lain.
Kesilapan. Rakan sepasukan tidak akan menyalahkannya, malah memberi motivasi untuk melakukan memperbaiki dan melakukan yang terbaik.
Inilah kebersamaan!

Begitu juga dengan hidup dalam persatuan. Kebersamaan perlu ada dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli persatuan.

Oleh itu, ayuh kita sama-sama mengeratkan lagi kesatuan dan kebersamaan sempena Syawal ini. Moga ziarah dan rumah terbuka yang banyak dianjurkan dapat mengeratkan ukhuwah di kalangan warga PERMAI.

Di kesempatan ini saya mengucapkan Kullu 'am wa antum bikhair kepada semua pengunjung blog ini. Mohon maaf andai sepanjang penulisan saya telah melakukan kesilapan. Moga kita mampu beristiqamah berpegang dalam tali Allah melalui bulan-bulan mendatang.

Friday, September 26, 2008

Terbang kembali..

Alhamdulillah.

Kuwait menjadi destinasi persinggahan kami sebelum meneruskan penerbangan ke bumi Urdun, sebahagian daripada dataran Syam yang turut merangkumi Syria, Palestin dan Lubnan. Turut bersama kami dalam penerbangan tadi adalah bakal doktor-doktor yang akan memasuki tahun pertama di Alexandria. Selamat berjuang buat mereka. Alhamdulillah, bertambah ramai anak Malaysia melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Biar jauh di mata keluarga dan tidak berkesempatan beraya di Malaysia, namun keberangkatan dengan niat jihad menuntut ilmu akan diganjari dengan kebahagiaan yang baik di sisi Allah. Sementara menunggu penerbangan ke Amman..sedikit catatan untuk pengunjung blog ini yang sudah lama tidak di update..

Timur Tengah..

Baromkeh..matamu di mataku, Salju Sakinah, Syabab Musafir Kasih adalah antara novel-novel yang saya sempat miliki tatkala bercuti di Malaysia. Latar belakang Jordan dan Syria ditambah dengan plot berkisar kehidupan mahasiswa timur tengah dengan budaya ilmu yang sedikit berbeza dengan di Malaysia menarik perhatian saya. Terdapat juga plot yang menggambarkan kehidupan dan integriti masyarakat Arab yang pasang surut, tidak lupa diselitkan juga sikap pelajar Melayu yang terkenal dengan kesopanan tetapi memiliki juga beberapa aspek kekurangan.Apa yang dapat disimpulkan, sesuatu kaum itu dimuliakan Allah bukan kerana keturunan dan kekayaan, namun apa yang yang menjadi kayu ukur adalah sejauh mana penghayatan dan pegangan terhadap Islam .

Budaya..

Meriah.. perkataan yang dapat digambarkan tentang suasana masyarakat Malaysia menjalani ibadah di bulan Ramadhan. Mana tidaknya, kemunculan pasar dan bazar Ramadan yang bercambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan beserta penglibatan barisan artis, ditambah dengan peratusan penurunan harga yang kadang kala tidak masuk dek akal murahnya menjadi identiti suasana menjelang raya di Malaysia. Dalam senario kenaikan harga barang dan minyak di Malaysia, masyarakat kita masih mampu lagi berbelanja dan adakalanya belebih-lebihan pula. Tidak dilupakan, kaca televisyen dan corong radio turut dihiasi dengan slot-slot keagamaan sempena menghormati bulan puasa, tidak seperti bulan-bulan lain yang menyajikan hiburan melampau. Turut meningkat populariti ialah golongan koperat dan pihak-pihak yang memberikan sumbangan kepada yang memerlukan. Alangkah bagusnya sekiranya usaha meningkatkan program mendidik masyarakat agar kembali kepada Islam dan membantu golongan yang memerlukan ini tidak terhad dalam ramadhan semata-mata, harapannya agar ia diistiqamahkan ke bulan-bulan yang seterusnya.

Setakat ini coretan dari Kuwait sebelum tiba di bumi Urdun

Wednesday, September 10, 2008

Ramadhan ini..

Ramadhan ini..
Aku berpijak disini..
Tanah ku dibesarkan..
Meriah dan mewah..
Dengan pembangunan lahiriah..
Namun, kontang isinya..

Ramadhan ini..
Aku rindui bumi Anbiya'..
Walau gersang tanahnya..
Tumbuh jiwa-jiwanya..
Menghitung hari-hari bertemu..

Ramadhan ini..
Moga terisi walau dimana..
Moga merdeka dari kekalutan durjana..
Moga islah segala-galanya..
Moga bukan harapan sia-sia..

Ramadhan ini...