Saturday, February 21, 2009

Lamakah hujan yang mencurah?


Hujan yang mencurah sehari dua kau kata lama.
Mulalah mulut hendak berungut,hati gusar dan meliar. Menyalahkan hujan atas ketandusan masa kau untuk keluar bebas di tanah. Banyak program kau terencat.

Adakah semakin lama hujan mencurah, tubuh kau semakin basah??

Itu mungkin bagi kau. Merungut.

Tidak kau fikir? Bagi mereka yang ketandusan tanah basah, yang selama ini gersang buminya, menunggu hujan selama lapan purnama. Ah! Pasti syukur melimpah dalam hati mulus mereka.

"Lama"

Ada kayu ukur?

Sejam itu sudah boleh kau kata lama?
Atau setahun baru dikitabkan sebagai senggang masa yang menyeksa jiwa?

Kalau kau bukan pembaca hipokrasi, cuba kau sedut udara. Tahan seberapa lama.
Cuba.

........................... ........... ..... ..... .. .

Ada seminit sudah mengalah.
Yang gagah sedikit, dua tiga minit no hal lah.

Lalu lama itu bagaimana boleh ditafsirkan dalam jalan cerita kita?
Adakah masa itu sifatnya analitis, bisa membuat orang jadi pesimis, atau terus optimis?

Ada bilang setahun itu terlalu lama untuk menanti jawapan risikan?
Ada yang sabar menanti jawapan.


Kau bayangkan kalau kau diberi tugasan, menjadi pelawak, alan-alan atau badut di atas pentas hiburan.
Ratusan manusia memerhati sosok tubuh kau di hadapan dan jutaan menyaksikan sejarah kau di siaran langsung dengan penuh debaran.

Kau sudah melawak dengan seribu satu lawak antarabangsa.
Lawak bodoh kau dah cuba.
Loyar buruk pun dah disogok.
Malah, lawak lucah yang jijik pun kau gadaikan demi mendapat gelak berjuta.

Lima belas minit berlalu.

Hangus.

Penonton kau masih membisu. Membatu, seolah di hadapan mereka hanyalah kayu dan bangku. Lalu kau undur diri, akhirnya kau gelakkan kedunguan kau sendiri dengan air mata menebal muka.

Lalu datang peserta seterusnya hanya berucap sepatah dua, penonton sudah berguling-guling di atas tanah. Senak perut mendengar lawak seminit cuma.

Ah, jadi bagaimana untuk dikisahkan istilah lama yang diperlukan untuk memerah hasilnya?

Nyatanya bagi kau, aku dan mereka, lama itu nyata berbeza. Dari sudut nilai harga yang kita letakkan pada masa.

Bagi manusia yang gila jawatan, pangkat dan darjat, habis penggal pentadbiran dirasakan sekejap bagi mereka. Walhal amanah dan tugasan terbengkalai masih berjela. Hati masih ingin memagut rasa untuk kembali berkuasa hingga ke tua.

Bagi yang futur di tengah jalan, " Ah, lamanya masa berjalan. Tak sabar nak lepas jawatan. "

Buat yang mencontohi sunnah dan khalifah, di hatinya bimbang masih adah amanah yang belum terlaksana.

Dalam satu fatrah masa, berjuta manusia akan melahir pelbagai nilai harga. Itulah jalur warna.

Masa itu pasti berlalu.
Jangan kau tunggu kiamat itu bila berlakunya?
Gerakkan akal, tubuh dan atma mu untuk bersedia menghadapinya.

Lalu mahu jadi pelawak dungu tadi?
Atau khalifah di muka bumi??

No comments: