Monday, February 16, 2009

Lakaran Dua Benua

“ Tengah hari nanti Mama yang jemput Awi ye. Papa ada meeting tengah hari ni. Jangan nakal-nakal kat kelas.”

BMW biru meluncur laju, meninggalkan tampang kerdil berkemeja putih bersih di bahu jalan. Mentari masih malu-malu menjengah bumi, embun masih menitik dari dedaun hijau di saat bayang rembulan sudah berlalu pergi, segala-galanya menyempurnakan kitaran yang saling melengkapi demi menghidupkan suasana permai di tanah pertiwi. Malangnya semua fitrah indah itu terpalit dengan segala macam noda pencemaran yang menghiasi langit dunia dan hamparan tanah.

Awi melangkah kecil memasuki pintu pagar sekolah, jemarinya sekuat upaya menarik beg troli berlambangkan Spiderman, hero sanjungannya. Ketangkasan dan kelincahan makhluk aneh itu mengikat tali minatnya. Peti hati kosong dan lopong miliknya diwarnai cahaya ceria tatkala menyaksikan idolanya berpahut dan bergayutan di celahan bangunan pencakar langit. Kagum.

Pagi itu adalah pagi yang sama seperti pagi yang telah berlalu, tiada beza bagi anak kecil itu. Datang kelas adalah satu rutin agar dia tidak sunyi di rumah, supaya batang tubuhnya tidak bertemankan dinding bisu dan sepi pagi yang terlalu memeritkan jiwa kanak-kanak mentah seusianya. Papa dan Mama sudah terbang ke dunia mereka , masing-masing berlumba-lumba menerjah ke alam kerjaya bagi melakar pelangi indah . Lewat petang baru mereka pulang, namun salah seorang pasti ada yang menghilang.

Kaki comelnya melangkah masuk ke kelas yang dihiasi pelbagai warna.

Mata bundarnya memerhati rakan-rakan sekelasnya, ada yang gemuk gedempol sedang ralit mengunyah sandwich berintikan ikan tuna, ada juga yang tekun menekan alat permainan eletronik yang semakin digilai kanak-kanak pascamoden , semuanya bermacam ragam dan bersifat sempurna material serta fizikal, hakikatnya ada yang menderita jiwa dan akal.

“Assalamualaikum. ” suara seorang gadis memecah suasana.

Salam itu disambut oleh kegirangan murid-murid Tahun 1 Laksamana . Cikgu Kartini meletakkan buku dan tas tangan di atas meja lalu memandang anak didiknya . Sebaris senyuman manis dihadiahkan , disambut dengan senyuman lebar yang menampakkan barisan gigi rongak sesetengah kanak-kanak comel di hadapannya. Guru Pendidikan Seni itu cukup disenangi kerana watak ramahnya dan senyuman manis yang mencairkan hati nakal murid-muridnya.

“Baiklah murid-murid. Pagi ni Cikgu nak kamu semua keluarkan kertas lukisan dan letak atas meja. Kemudian, semua kena pejamkan mata dan bayangkan apa yang kamu semua impikan dalam hidup. Sesuatu yang istimewa untuk dilukiskan.” terang dan pinta Cikgu Kartini.

“Kalau saya nak lukis puteri cantik macam Sharmila dekat istana boleh Cikgu?” Nubhan yang selalu menyakat murid-murid perempuan menyoal sambil memandang kepada Sharmila yang duduk di jihat kirinya. Kawan-kawan lain tertawa lalu memecah kesunyian pagi.

“ Saya nak lukis Ultraman, tak pun Power Rangers. Eh..tak jadilah, saya nak lukis Batman”. Kamil pula bersuara.

“ Cikgu tak kisah kamu semua nak lukis apa sahaja. Yang penting, sebelum habis kelas, Cikgu nak tengok. Paham semua?”

“ Paham Cikgu!” teriak murid-murid sambil memejamkan mata masing-masing.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Kornea matanya masih tertancap pada kertas putih , pada jemarinya terselit sebatang pensil kontot. Saat itu. tubuhnya ibarat tidak bernyawa, kaku membisu buat seketika waktu. Rona mukanya berubah tatkala diminta oleh gurunya untuk melakar apa yang sering terngiang-ngiang di halaman mindanya. Matanya dipejam erat, raut mukanya mencengkam atma sesiapa yang melihat, seolah-olah membayangkan terlalu banyak liku yang bersarang di benak igaunya, atau yang tepatnya terlalu banyak peristiwa yang berperang dengan kelembutan jiwa anak kecil sebarisnya.

Beberapa jeda kemudian, jari comel itu mula melakar sesuatu meski penuh berat bak dihempap bebanan perasaan. Hamparan putih itu mula dihiasi coretan dan garisan yang akhirnya bercantum membentuk satu lukisan yang sudah pasti mewakili biasan potret lensa jiwanya.

Langit luas dihiasi dengan pesawat udara, di bawahnya berpuluh runtuhan bangunan dan rumah melengkapkan saujana. Ada ketulan-ketulan kecil yang bersepah di tanah. Barangkali ketulan-ketulan itu adalah tubuh-tubuh merah syuhada’. Itulah rakaman yang terpancar dari corong luahan hati kecilnya.

Tiba-tiba, lakaran itu merebak, dibasahi oleh titik-titik jernih yang mengalir deras. Bahu kanak-kanak itu terhenjut-henjut menahan hiba. Tiba-tiba dia berlari meninggalkan gurunya yang setia menemani sedari awal tadi. Itulah badai yang semakin melanda kanak-kanak seusianya. Trauma!

Qayyim, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu baru melepasi satu ujian dan tarbiyah air mata. Abi dan Umi masih belum pulang lagi walau puas dia menanti. Realitinya, mereka sudah pulang ke pangkuan Ilahi. Serangan berpadu dan melulu oleh tentera syaitan selama dua puluh hari di langit angkasa, tanah dunia dan lautan benua menghancurkan tanah airnya dan telah meragut hampir 1,300 saudaranya termasuk Abi dan Umi. Hampir 300 rakan-rakan sepermainannya turut dijemput ke firdausi dalam acara yang dinanti-nanti oleh rejim Zionis .

Peperangan yang disaksikan oleh ramai penonton bisu di segenap ceruk benua memberi impak kepada kanak-kanak seusia Qayyim. Program Kesihatan Mental Gaza dilancarkan bagi mengesan dan membantu kanak-kanak yang mengalami trauma kesan melalui ujian getir tatkala bergelut dengan hujan peluru dan udara gas fosforus yang bisa menghiris litupan epidermis manusia.

Melukis.

Lakaran yang sering menggambarkan apa yang terbuku di hati mereka bagi membantu petugas menilai perilaku mangsa kekejaman tentera tanpa perimanusia. Kanak-kanak yang mencoret lakaran bunga dan rama-rama tidak bermakna mereka gembira, lukisan itu boleh menggambarkan apa yang mereka impikan, keindahan dan kedamaian yang diragut dalam padang hidup mereka.

Qayyim dan rakan-rakannya bukan kanak-kanak luar biasa dan ajaib yang mampu tersenyum dan ketawa girang tatkala letupan bom singgah di taman permainan mereka. Mereka bukannya manusia yang tiada seketul darah yang bernama hati yang mampu gembira tatkala melihat tubuh Abi mereka ditembak bertalu-talu hingga tubuh terjelupuk menyembah bumi, roh kembali ke alam suci. Mereka hanya kanak-kanak biasa, insan kerdil yang ditarbiyah dengan limpahan darah.

* * * * * * * * * * * * * * * * *

“Mama, cantik tak lukisan ni? Awi yang lukis pagi tadi. Mama, cantik tak?”

“ Cantik.”

“ Ala, Mama tak tengok pun. Mama, tengoklah..”

“ Kan Mama dah cakap cantik, Mama tengah drive ni, jangan ganggu boleh.”

Awi hampa. Nafsu untuk bercerita tentang lukisan itu kepada ibunya termati serta-merta. Hanya deruan penyaman udara yang berpadu dengan gema suara juruhebah radio yang asyik berceloteh tentang gosip artis tanah air menemani perjalanan mereka ke rumah.

Proton Perdana hitam membelok masuk ke sebuah banglo agam, sekitar halamannya dihiasi pelbagai jenis orkid seperti Phalaenopsis Timothy Christopher, Bulbophyllum Meen Garuda, Phalaenopsis bellina, yang memukau saujana mata yang memandang. Pintu kereta di buka, lalu kelihatan langkahan kecewa anak kecil menuju ke dalam banglo berkenaan lalu ditelan kesunyian. Puan Zahrah membiarkan sahaja perilaku anaknya, di mindanya tertepu dengan urusan kerja yang berselirat di selaput pemikirannya.

Lewat petang, deruman enjin kereta mematahkan kesepian banglo mewah itu. Puan Zahrah menyambut suaminya pulang meski jarang dilakukannya. Maklumlah, banglo berkenaan ibarat rumah nombor dua bagi suaminya.

Segelas jus oren dihidang di atas meja kecil yang diperbuat dari kayu jati. Suaminya meneguk sedikit jus lalu mencapai akhbar, Puan Zahrah masih menemani di sisi.

"Mana Awi?"

"Ada kat atas, dia merajuk tadi?"

"Why?"

"Entahlah, budak-budak bang."jawabnya Puan Zahrah sambil membelek-belek sisipan akhbar yang berbaki di atas meja.

" Banyak sangat kes bunuh sekarang ni kan bang. Takut I dibuatnya. "

" You nak takut apa? Tu bukan kat Malaysia, jauh sangat dari sini ."

" Eh, macam pernah nampak je ni! "

Dia terkesima.

Puan Zahrah bergegas mencapai kunci kereta lalu menuju ke keretanya. Suaminya hanya memerhati lalu menyambung pembacaannya. Sejurus kemudian, dia kembali ke posisi asal, membelek-belek akhbar tadi.

Bang, sama!

Memang lukisan Awi yang diambilnya tadi menyerupai apa yang terpampang di dada akhbar. Runtuhan bangunan dan mayat yang bergelimpangan dihalaman kolum luar negara saling tidak tumpah dengan apa yang dilukis oleh anak tunggalnya. Bezanya, ada dua lukisan mayat yang bersaiz besar mencuti pandangan mata. Satu lukisan mayat terputus kepala manakala satu lagi terbelah dua!

Mata Puan Zahrah tertangkap pada tulisan kecil beranak panah yang tertuju pada dua tubuh kecil mayat yang dilukis anaknya.

Mama!

Papa!

Puan Zahrah terkesima. Jernihan panas mengalir deras. Suaminya hanya membulatkan mata dengan penuh tanda tanya.

4 comments:

dan said...

hmmm. masih tak faham.

kenapa ya?

silentreader said...

hrmm..
jln cerita yg menarik..
mabruk!

tp..xfhmla ending dia..
mmg tergntung smpai situ saja ke atau ada sambungan..?
sgt berharap ada sambungannya...=)

mahasiswa said...

maaflah atas kekaburan di akhirnya.
kalau difikir dalam, mesti dapat tangkap dengan jelas.

InsyaAllah, saya akan buat sambungan untuk menjelaskan.

terima kasih atas komentar.

silentreader said...

wah...ade sambungan rupanya..
tak sabar nak baca...=)