Tuesday, December 28, 2010

Baru VS Sudah

Bila ditanya soal umur, agaknya apa jawapan kita?

" Saya baru 20 tahun. "

atau

" Saya dah 20 tahun. "

Penggunaan istilah BARU atau SUDAH akan memberi kesan dan tindakan kepada cara kita berfikir dan meletakkan langkah kita.

Saya berikan contoh perbualan yang direka:

Contoh 1 :

" Mak, saya dah buat keputusan, saya nak kahwin dalam tahun ni? "

" Sabar dulu, awak baru 20 tahun. "

" Saya dah 20 tahun mak. "


Dua sudut pandangan yang berbeza, dari seorang ibu yang menganggap anaknya BARU berusia 20 tahun dan seorang anak yang merasakan dia SUDAH 20 tahun, sudah cukup dewasa.

Contoh 2 :

" Wei, ko ni asyik-asyik main game je, study malas, pergi kelas malas, ko ape nak jadi nanti ni, ko DAH 20 tahun ko tahu! "

" Relakslah, aku BARU 20 la, zaman ni zaman nak enjoy kejap, nanti dah kerja aku berubah la "

Seorang kawan yang melihat mereka sudah 20 tahun, satu tahap untuk produktif untuk menuai kudrat, memerah keringat, manakala seorang lagi menganggap dia baru 20 tahun, maka perjalanan hidup masih panjang, tidak perlu risaukan masa mendatang, hanya perlu menikmati masa hidup sekarang, SENANG LENANG !

LETAKKAN PADA TEMPAT DAN SAAT YANG TEPAT

Hidup ini tidak semudah sifir, tidak boleh dihadkan sesuatu formula yang statik,
apatah lagi apabila bicara soal pemikiran, kita perlu sentiasa berfikir dalam melakukan sesuatu, agar fikiran kita tidak statik, sebaliknya dinamik, tetapi harus diingatkan akal dan pemikiran kita haruslah dipandu, dengan sebuah anugerah kecintaan dari Allah, iaitu Islam, sebagai cara kehidupan, menuju kematian.

Bicara soal SUDAH atau BARU, kita perlu bijak melihat dari sudut kedua-duanya.
Tidak semua keadaan kita perlu berpegang pada prinsip SUDAH, dan tidak semua keadaaan kita melihat dari perspektif BARU. Dan adakalanya keduanya perlu diadunkan agar menjadi rencah kehidupan.

Contohnya dalam perbualan yang pertama,

Seorang anak yang merasakan dirinya SUDAH 20 tahun, SUDAH merasakan sudah bersedia untuk menempuh satu alam rumahtangga, memikul amanah dan tanggungjawab yang besar.

Dalam ke'ghairah'an berbincang dengan ibu bapa, dia harus sedar dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh ibu bapa, yang meletakkan dia sebagai BARU 20 tahun, mereka bukan menganggapnya sebagai budak yang masih kecil, tetapi sebagai masih KURANG dalam beberapa sudut, ilmu, pengalaman, persediaan diri, tanggungjawab belajar dalam segala macam lagi. Dan mereka lebih tahu kerana mereka SUDAH melalui, dan merasakan onak dan duri, nasihat dan permintaan mereka harus diteliti, dan bukannya ditolak bulat-bulat kerana hanya berprinsipkan ' Saya SUDAH 20 tahun, saya SUDAH bersedia! "

Contoh kedua;

Soal umur yang masih muda,BARU 20 tahun katanya, zaman berubah nanti adalah zaman bekerja, mungkin zaman berumah tangga, mungkin zaman bergelar bapa, mungkin zaman tua bongkok tiga.

Tetapi zaman mendatang itu zaman yang diluar kawalan kita, belum pasti kita akan lalui, mungkin lepas membaca artikel ini, kita akan PERGI!

20 tahun yang ada, apa yang telah kita lakukan pada diri, bagaimana tanggungjawab kepada ibu ayah yang kita cintai, kepada keluarga yang bertakhta di hati, kepada rakan-rakan dan komuniti dan yang paling penting kepada perjuangan menegakkan Islam di muka bumi.

20 tahun, kalau sejarah dulu, mereka sudah mengangkat senjata, mengetuai barisan penjuang di medan perang, membuka kota tawan musuh.

Kita? Sekadar mengatur strategi dan menumpaskan musuh di medan maya! Tahniah!

TIMBANG TARA KEHIDUPAN


Melihat kehidupan, umpama melihat segelas minuman yang hanya ada separuh air di dalamnya.

Melihat dengan kaca mata KESYUKURAN, dengan apa yang dimiliki dan dikurniakan oleh Tuhan.

Melihat dengan kaca mata USAHA, untuk menampung kekurangan dan menambahbaik nilai kehidupan kita.

Sama-sama melihat dunia dari kaca mata akhirat, agar setiap saat dan nafas yang dihela,
adalah semata-mata mencari redha-Nya.

~ point-point diatas telah saya ulas dalam forum dan ucapan perasmian penutup API baru-baru ni, tapi saya tuliskan kembali untuk muhasabah diri dan berkongsi kepada pembaca MRP
~ tinggal satu lagi exam, OSCE internal medicine khamis ini, doakan saya dilancarkan butir kalimah semasa history taking, dan keyakinan diri membuat PE. minggu depan masuk round surgery. iAllah
~ baru habis membaca Facing Death, buku catatan dari seorang yang telah kembali menemui Ilahi, bertarung nyawa menghadapi cancer, menukilkan soal persiapan diri menempuh sebuah kematian yang pasti. Kita bagaimana?

6 comments:

syah said...

ehem2 ehem2..

birthday dekat said...

tau la birthday dah dekat

mahasiswa said...

syah :
ehem..

birthday dekat:
sesungguhnya mati itu lagi dekat.

confetteria said...

"20 tahun yang ada, apa yang telah kita lakukan pada diri, bagaimana tanggungjawab kepada ibu ayah yang kita cintai, kepada keluarga yang bertakhta di hati, kepada rakan-rakan dan komuniti dan yang paling penting kepada perjuangan menegakkan Islam di muka bumi."

saya tertarik dengan ayat di atas..

saya pernah terdengar luahan hati seorang ibu,

"sekurang-kurangnya seorang anak yang masih belajar, lelaki terutamanya untuk mengutamakan keluarga, ibu bapa dan adik-beradik, sempurnakan tanggungjawab sebagai seorang anak (yakni sempurnakan pelajarannya dengan cemerlang dan berikan hadiah kejayaan kepada kedua orang tua) dan bukan sekadar fikir untuk 'menyempurnakan agama'..

Ini sekadar satu contoh situasi bagaimana seorang ibu berfikir untuk si anak.

Perbincangan 'sudah' dan 'baru' memang panjang, terutamanya apabila bertembung dua pendapat antara mak ayah dan si anak.
Perbincangan dan perbahasan begini banyak berkisar dan berputar di sebalik perbezaan pemikiran manusia yang dinamik.

Sekadar untuk berkongsi, saya juga seorang anak. Sekiranya berbincang dengan ibu ayah,kita tidak boleh sekadar merasionalkan pendapat..soal hati dan perasaan mereka perlu menjadi keutamaan, kerana di situ lah kita cium bau syurga. Kita sebagai anak sering dilihat tergesa-gesa membuat keputusan, tapi mereka sebenarnya berfikir dan gusar lebih kerana sayangkan si anak.

Pada setiap ketaatan si anak kepada ibubapa, adanya keredhaan & keberkatan Tuhan..

Setiap kesabaran berlandaskan iman dan keikhlasan niat, Tuhan ambil kira mudah-mudahan ganjarannya besar di akhirat kelak. Insya'allah


(sekadar pendapat terhadap artikel yang sangat memberi manfaat ini)

mahasiswa said...

confetteria :
terima kasih atas perkongsian dan pendapat.
sama-sama berusaha menjadi anak yang taat.

syafiQah said...

Assalammualaikum,

Saya juga setuju dgn confetteria.
Selalunya hal begini terjadi kepada mereka atau anak-anak yang merasakan ini sudah tiba masanya.

Sekadar berkongsi pendapat dan pengalaman saya mempunyai 5 orang adik perempuan dan masih ada yang bersekolah.Apabila ada yang masih bersekolah dan masuk sahaja sekolah menengah sudah mahu dibelikan handphone dan minta untuk keluar bersama rakan-rakan pada hujung minggu.Kadang-kadang saya terpaksa mencari cara untuk memberikan penerangan yag jelas supaya mereka faham bahawa umur bukan ukuran mereka sudah boleh memiliki sesuatu atau bergerak secara bebas.
Walaupun payah tetapi Alhamdullillah saya mempunyai adik-adik yang sangat memahami.

Kerana perkara mereka sudah mereka merasakan mereka sudah dewasa dan memasuki era matang maka mereka berhak meminta dan apabila ditegah mereka bertindak untuk memberontak.
Saya tidak tahu dari mana asalnya istilah apabila mencapai umur 21 tahun maka kunci kebebasan sudah menjadi hak mutlak.

Pada pendapat saya,kerana hal-hal sebegini lah maka akhir ini pelbagai kes sosial seperi zina terutamanya sangat berleluasa bukan di kalangan orang dewasa yang berumur 20-an tetapi mereka yang di kalangan pelajar sekolah semuda 12 tahun lagi.

Perkara begini amat ketara dan membimbangkan apakah akan menjadi lagi teruk kerana seperti zaman ini sudah berpatah balik ke zaman jahiliah dulu.

Semoga kita semua dan keluarga sentiasa diberi perlindungan dari Allah.
InsyaAllah.