Saturday, December 11, 2010

Rindu Melangit





Hujan petang tadi memang sejuk.

Kalau di Malaysia, pasti mulut mak cik-mak cik kampung atau datin-datin metropolitan akan menggelar gila atau tiada kerja bagi sekawan manusia yang bermain sukaneka ketika hujan mencurah-mencurah.

Namun, aku rasa ia satu kepuasan melihat rakan-rakan yang jarang tertawa tidak malu menguntum senyum, yang tidak berlaga bahu mampu untuk bersatu. Hujan itu rahmat.

Galah panjang.

Aku yakin tidak semua pernah mendengar nama itu, apatah cara perilaku permainannya. Meski kalah petang tadi, permainan yang membariskan penyerang dan pertahanan itu mengingatkan aku letak duduknya zaman kanak-kanak aku. Aku kanak-kanak desa, membesar dengan kotoran tanah.

Rindu melangit aku pada zaman sekolah, saat kawan-kawan perempuan ralit menngunyah bekal dan beratur merebut makanan, kami berlari ke gelanggang badminton beradu kesepakatan pasukan dalam arena galah panjang.

Sementara menunggu cikgu masuk membimbit buku latihan yang sudah ditanda, ada yang sempat bertarung cepe di lantai belakang bilk darjah.

Tidak cukup dengan itu, balik dari sekolah agama petang, gasing pangkah pula jadi penghubung sesama taulan. Bagi yang perempuan, batu seremban dan ting ting lebih menjadi pilihan. Lelaki juga turut tidak ketinggalan.

Saat angin kian menghembus kuat, langit desa pasti dibintangi dengan layang-layang yang menari di ruang angkasa. Indah.

Rindu.

Itu zaman yang sudah berlalu. Zaman itu kini diwarisi oleh adik-adik aku meski kian berkurang dek penangan modenisasi yang semakin menghidang alternatif yang tidak memerlukan anak-anak milineum untuk berkaki ayam, calar di badan, berkumpul ramai-ramai di bangsal kayu, yang perlu hanya duduk berteleku di skrin maya, berfantasi dengan sejuta selesa. Aduh! Bertuah !

Kalau aku sudah bergelar bapa , aku rela mewasiatkan mereka agar berguling di tanah, sapulah lumpur di muka sebanyak mana, asalkan tidak menconteng arang ke muka orang tua kelak.

Pergilah kalian berkejar-kejaran, kumpullah kalian wang saku sekolah untuk membeli sebiji gasing di kedai Ah Seng, asal kalian mampu belajar dari warisan yang datuk moyang kalian berikan.

Aku tahu kanak-kanak yang bermain itu jujur persis geraknya, jika ada yang cuba berbohong, pasti ada yang membantah. Mereka belajar disiplin biar tiada kertas kerja yang terbentang dalam arena mereka. Tiada rasuah, dendam mendalam hingga tujuh keturunan, perebuatan kuasa. Itu adalah haram bagi kanak-kanak ini. Mereka mencari suka dan gembira, pada masa yang sama sedang meniti arus belajar di luar silibus bilik darjah. Jika bersengketa, itu hanya fitrah yang harus disusuli dengan rindu untuk beradu tenaga semua bila matahari menjelma semula.

Permainan ini mengingatkan aku pernah berpijak di bumi mana, agar aku tak lupa bau tanah yang pernah ku tumpah keringat mencari bahagia di usia muda, agar aku tidak lupa udara desa yang pernah mengeringkan peluh saat mentahari mengundurkan dirinya. Warisan ini ada nilai jati diri.

10 tahun.
20 tahun.
100 tahun.

Jika bumi ini masih bersisa nyawa, aku bimbang permainan ini bakal terabadi dalam buku koleksi sejarah. Menjadi monumen untuk anak-anak kau dan aku sebagai bahan kalian gulungan ijazah mereka.

Kita hanya memerhati di hari tua, mana mungkin kau mahu melompat dengan batuk-batuk lelah kau sambil berkata.." Ha cu, macam ni main ting ting. "

Tak kan nak berlari termegah-megah sedangkan kau tersadai di kerusi roda untuk berkata .. " Ni baru betul cara nak main galah panjang cu ".

Malu.

Barangkali, mereka pula yang mengajar kau bermain permainan maya yang tidak terjangkau akal budi manusia.

Mahu?

Ah, biarlah hujan ini mencurah, asalkan manusia di bawahnya tahu apa yang dicari dalam sekelumit masa.

Jangan jadi kurang akal, manusia ini bukan robot buatan yang perlu diberi arahan dan penjelasan, kenapa perlu berkumpul, kenapa ia boleh mengeratkan hubungan, kenapa? bagaimana? pastikah?

Kalau sudah pasti aku dan kau itu manusia, tanya saja hati adakah gembira jika berdamping dengan teman di sisi, atau lebih rasa hidup nikmat meggunung gila andai terperap di ceruk gua yang dibina dengan tangan sendiri??

Bak kata Nabil " Lu pikirlah sendiri ! ".

~ membelek-belek tulisan lepas, teringin nak post semula tulisan ni. 20 februari 2009
~ masa ni syabab lebih kurang seratus lebih je, hubungan rapat dan erat, kini harus usaha kuat!

~ hujan, memang nostalgia, banyak menyimpan kisah suka dan duka
~ dah bertahun lamanya tak berkubang di sungai belakang dan memancing belut masa hujan2, kawan se'kubang' baru melangsungkan perkahwinan. Mabruk !

2 comments:

syah said...

haha lame ak xjenguk blog ko..bese bace dari reader je..

weh bape weekend dah ni xgerak projek weh..

naqeb budak bandar, poyo je maen2 tanah :p

mahasiswa said...

pasni boleh jenguk selalu,
tetibe dapat semangat baru nak update selalu.

tula,try cari masa hujung minggu ni.

aku budak bandar since aku jejak sekolah menengah sampai la ni :p