Tuesday, December 7, 2010

Kerana Dia





Cuti diberi, tokoh dianugerahi, lagu Hijrah diputar sehari, ceramah dianjur di sana-sini.

Cukup sekadar itu makna Hijrah untuk dihayati?

Mahukah kita jadi umat yang menjadikan agama itu seolah-olah perhiasan mahupun pakaian, bila datangnya sambutan hari kebesaran, kita jadi orang beragama, menyarung songkok di kepala, mengikut perhimpunan bertemakan gabungan istilah yang mengujakan apabila mendengarnya.

Habis sambutan dirai, pakaian dan perhiasaan ditanggal diletak tepi, tunggu untuk dipakai bila keraian datang lagi . Hidup dijalani dengan rutin yang biasa, seolah tiada sekelumit ibrah hijrah membekas di jiwa.

Jika begitula gayanya hari-hari kebesaran Islam disambut tanpa mengambil maknanya, alangkah ruginya kita, seperti mendengar irama dan lagu, tetapi tidak faham apa seni katanya.
Sedap di telinga kanan dan kiri , tetapi tidak membekas dihati.

Bukankah Hijrah itu menuntut kita berubah dari buruk kepada baik, dari baik kepada lebih baik.
Dan yang paling penting bukan sebanyak mana nilai perubahan, tetapi sekuat mana keISTIQAMAHan.

Hidup ini satu perjalanan yang panjang, dan Allah telah berikan kita bekalan panduan buat kita melangkah. Sirah para Anbiya' dan kisah umat terdahulu yang terakam dalam Al-Quran adalah cerminan dan pita ukur buat gerak kerja dalam menuju destinasi yang dihala.

Hijrah Rasululullah dan sahabat sudah berlalu, dan menjadi saksi cinta mereka pada risalah dakwah.

Kita pula bagaimana?
Mengaku umat,
untuk berhijrah dari bangun subuh lewat
masih meliat?

Mengaku muslim,
tetapi mengamal agama seperti bermusim?

Hijrah,
menuntut usaha manusiawi,
meningkat kualiti,
menambah kuantiti,
sekudrat upaya yang dimiliki,
untuk menanam benih di bumi,
agar tuaian yang baik kita miliki,
di akhirat yang kekal abadi.

Hijrah,
membawa signifikasi yang besar dalam kehidupan seorang muslim,
hinggakan hadith berkaitan NIAT yang menjadi paksi dalam ibadat muslim dikaitkan dengan hijrah.



" Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab : إنما الأعمال بالنية) "


Oleh itu, sama-sama kita jernihkan dan betulkan niat, setiap gerak langkah kita dalam menerajui perubahan dan transformasi diri, keluarga dan masyarakat, segala-galanya kerana Allah.


Salam Maal Hijrah 1432H buat semua pengunjung MRP!!



nota:

~ Terfikir-fikir tazkirah dalam buku Orang Kaya Bertaqwa oleh Dr.Rusly Abdullah : " Semakin jauh kita berjalan, semakin kita meninggalkan pengkalan, dan kita pun semakin mendekati destinasi yang hakiki, iaitu MATI ! Justeru, kita sebenarnya bukan pergi, tetapi kembali ."

~ Rencana tuhan siapa yang tahu, di saat mendung berarak, dicurah hujan menyubur alam. Alhamdulillah. Kerja Tuhan siapa tahu? bersabar dan menunggu.

2 comments:

Anonymous said...

menjejak r0h peng0rbanan, lama tak ziarah di sini, banyak perubahan, pastinya ada peningkatan, perk0ngsian yang sangat meninggalkan kesan, m0ga terus dipermudahkan!~

Naqeb Sulaiman said...

realitinya, blog ni sudah lama bersawang. dalam proses menghidupkan semula, agak hati bersinar kembali.