Friday, February 20, 2009

Rindu Melangit





Hujan petang tadi memang sejuk.

Kalau di Malaysia, pasti mulut mak cik-mak cik kampung atau datin-datin metropolitan akan menggelar gila atau tiada kerja bagi sekawan manusia yang bermain sukaneka ketika hujan mencurah-mencurah.

Namun, aku rasa ia satu kepuasan melihat rakan-rakan yang jarang tertawa tidak malu menguntum senyum, yang tidak berlaga bahu mampu untuk bersatu. Hujan itu rahmat.

Galah panjang.

Aku yakin tidak semua pernah mendengar nama itu, apatah cara perilaku permainannya. Meski kalah petang tadi, permainan yang membariskan penyerang dan pertahanan itu mengingatkan aku letak duduknya zaman kanak-kanak aku. Aku kanak-kanak desa, membesar dengan kotoran tanah.

Rindu melangit aku pada zaman sekolah, saat kawan-kawan perempuan ralit menngunyah bekal dan beratur merebut makanan, kami berlari ke gelanggang badminton beradu kesepakatan pasukan dalam arena galah panjang.

Sementara menunggu cikgu masuk membimbit buku latihan yang sudah ditanda, ada yang sempat bertarung cepe di lantai belakang bilk darjah.

Tidak cukup dengan itu, balik dari sekolah agama petang, gasing pangkah pula jadi penghubung sesama taulan. Bagi yang perempuan, batu seremban dan ting ting lebih menjadi pilihan. Lelaki juga turut tidak ketinggalan.

Saat angin kian menghembus kuat, langit desa pasti dibintangi dengan layang-layang yang menari di ruang angkasa. Indah.

Rindu.

Itu zaman yang sudah berlalu. Zaman itu kini diwarisi oleh adik-adik aku meski kian berkurang dek penangan modenisasi yang semakin menghidang alternatif yang tidak memerlukan anak-anak milineum untuk berkaki ayam, calar di badan, berkumpul ramai-ramai di bangsal kayu, yang perlu hanya duduk berteleku di skrin maya, berfantasi dengan sejuta selesa. Aduh! Bertuah !

Kalau aku sudah bergelar bapa ( calon isteri pun masih tercari-cari :) , aku rela mewasiatkan mereka agar berguling di tanah, sapulah lumpur di muka sebanyak mana, asalkan tidak menconteng arang ke muka orang tua kelak.

Pergilah kalian berkejar-kejaran, kumpullah kalian wang saku sekolah untuk membeli sebiji gasing di kedai Ah Seng, asal kalian mampu belajar dari warisan yang datuk moyang kalian berikan.

Aku tahu kanak-kanak yang bermain itu jujur persis geraknya, jika ada yang cuba berbohong, pasti ada yang membantah. Mereka belajar disiplin biar tiada kertas kerja yang terbentang dalam arena mereka. Tiada rasuah, dendam mendalam hingga tujuh keturunan, perebuatan kuasa. Itu adalah haram bagi kanak-kanak ini. Mereka mencari suka dan gembira, pada masa yang sama sedang meniti arus belajar di luar silibus bilik darjah. Jika bersengketa, itu hanya fitrah yang harus disusuli dengan rindu untuk beradu tenaga semua bila matahari menjelma semula.

Permainan ini mengingatkan aku pernah berpijak di bumi mana, agar aku tak lupa bau tanah yang pernah ku tumpah keringat mencari bahagia di usia muda, agar aku tidak lupa udara desa yang pernah mengeringkan peluh saat mentahari mengundurkan dirinya. Warisan ini ada nilai jati diri.

10 tahun.
20 tahun.
100 tahun.

Jika bumi ini masih bersisa nyawa, aku bimbang permainan ini bakal terabadi dalam buku koleksi sejarah. Menjadi monumen untuk anak-anak kau dan aku sebagai bahan kalian gulungan ijazah mereka.

Kita hanya memerhati di hari tua, mana mungkin kau mahu melompat dengan batuk-batuk lelah kau sambil berkata.." Ha cu, macam ni main ting ting. "

Tak kan nak berlari termegah-megah sedangkan kau tersadai di kerusi roda untuk berkata .. " Ni baru betul cara nak main galah panjang cu ".

Malu.

Barangkali, mereka pula yang mengajar kau bermain permainan maya yang tidak terjangkau akal budi manusia.

Mahu?

Ah, biarlah hujan ini mencurah, asalkan manusia di bawahnya tahu apa yang dicari dalam sekelumit masa.

Jangan jadi kurang akal, manusia ini bukan robot buatan yang perlu diberi arahan dan penjelasan, kenapa perlu berkumpul, kenapa ia boleh mengeratkan hubungan, kenapa? bagaimana? pastikah?

Kalau sudah pasti aku dan kau itu manusia, tanya saja hati adakah gembira jika berdamping dengan teman di sisi, atau lebih rasa hidup nikmat meggunung gila andai terperap di ceruk gua yang dibina dengan tangan sendiri??

Bak kata Nabil " Lu pikirlah sendiri ! ".

4 comments:

dan said...

hmm.

aku....



tak reti main galah panjang.

dan tak penah main seumur hidup.

lawak kan? apelah.

gelak.

Naqeb Sulaiman said...

takpe,

walau kaki tak pernah berpijak di garisan galah panjang,
cukup sudah berjejak di bumi jati yang kian menghilang.

hehe.

Amalina Ismail said...

saya pn membesar dengan segala bentuk permainan itu...tp, bila meningkat remaja, mula mendekati permainan2 moden...namun, rasa beruntung sebab dapat melalui zaman peralihan..jd x lah buta sgt permainan tradisional n dungu sgt permainan moden...
Namun, pd zaman sekarg untuk mempraktikkan permainan2 tradisional di bandar adalah sesuatu yang hampir mustahil, namun bg bdk2 kg, ia masih menjadi rutin harian mereka...

-paling suka 'round' satu kg. ramai-ramai sambil cari 'port' utk bt markaz serta panjat bukit dan tangguk ikan keli dalam parit...

Naqeb Sulaiman said...

yup, hidup di bandar dan kampung memng tak sama, saya tak bertujuan membanding beza. Di bawah bumi berpijak, di situ ada asal usulnya.
dunia memang sedang transaksi.
yang penting macam mana manusia mengimbangi, maju kehadapan dengan berpaksi jati diri.

-best kan tangguk ikan keli, bukan smua minat buat keje tu, nak senang pergi pasar, order sekilo sudah.
rasa sama, cuma pengalaman berbeza. :)