Saturday, January 2, 2010

2010


Saya tidak ada buku diari untuk ditulis di malam hari, yang disimpan di laci dan dicuri oleh kawan-kawan untuk membongkar siapa yang kita sukai.
zaman sekolah dulu pernah mencuba, tapi gagal acap kali. Menulis di atas kertas satu perkara yang agak melecehkan bagi saya.
Dan akhirnya bila sudah tidak buta teknologi, saya jadikan blog ini sebagai catatan perjalanan
untuk dikongsi, mudah juga buat saya untuk dijadikan rujukan peristiwa.

Jalur Warna 2009

2009. Tahun yang agak mencabar buat saya. Tahun yang saya kira sebagai tahun ketika usia di hujung belasan. Banyak perkara yang terjadi yang saya rakamkan dalam alam maya ini.

1. Awal tahun lepas, blog ini agak aktif. Namun, semakin meningkat bulan, semakin menyusut jumlah entri yang ada. Tulisan saya semakin kendur, minat sastera saya kian kendur dek kerana masa lebih menuntut untuk saya menulis di alam nyata.

2. Bulan Januari 2009, saya pulang ke Malaysia untuk melihat kondusi abah. Oleh kerana sudah sekali pulang ke Malaysia buat tahun itu, cuti raya saya dihabiskan di bumi Irbid, menguruskan kedatangan adik-adik bersama skuad tabah Irbid yang lain. :)

3. Bulan 7 yang lalu, taklifan Presiden PERMAI yang jumlah ahlinya kini melebihi 600 orang telah menukar banyak corak hidup saya. Jujurnya, menjadi pemimpin ini bukan semudah berkata-kata, banyak yang perlu dibuktikan dengan amal anggota.

4. 2009 juga telah membawa saya kembali ke pentas debat. Alhamdulillah, pasukan kami meraih dua kejohanan peringkat se-Jordan. Tahun lepas juga gerak kerja Kelab Orator PERMAI
mula diperkemaskan dengan bantuan rakan-rakan, dan azam saya untuk melahirkan lebih ramai individu yang berfikiran dan mampu menyampaikan. 2010, tahun untuk saya berhenti untuk beraski di pentas.

5. 2009, saya akhiri tahun itu dengan tongkat masih di sisi. 31hb yang lepas, saya merasai masuk ke dalam mesin MRI hampir 20 minit. Menanti seminggu lagi result, satu perkara yang menguji kesabaran. Mujur bayarannya jauh murah berbanding kos asal. Dan 2010 saya mulakan dengan tongkat yang tetap di sisi, saya tidak pasti berapa lama lagi, mungkin seminggu, mungkin sebulan lagi. Namun, masa tetap menuntut untuk saya terus berlari.

2010M/1431 H
Tahun ini tahun bermulanya fatrah 20-an buat saya.
Ini bukan lesen untuk nampak lebih berusia, agar boleh dijadikan alasan agar diizinkan emak abah untuk melayari bahtera rumah tangga.

Tahun ini tahun muhasabah, setelah dua dekad nyawa ini dipinjamkan, apa yang telah kembali disumbangkan.

Tahun ini tahun untuk mencipta.
Tahun yang membina sebelum ini menuntut hasilnya.

~Muhasabah~

No comments: