Friday, December 10, 2010

Torehan

Terasa malu, dengan usia 20 tahun, dengan ujian dan kesusahan yang tidak seberapa, terasa mudah ingin berputus asa.

Apabila kita terasa diri dibelenggu urusan-urusan harian, yang mata kasar kita nampak ianya sebagai bebanan, tekanlah butang 'pause' dalam kehidupan.

Helakan nafas.
Berikan ruang buat diri refresh niat di hati, berfikir dengan kotak kewarasan, belenggu emosi dengan helaan ketenangan.

Yakinlah,
setiap amalan yang kita lakukan, diniatkan kerana Allah, dan selari dengan peraturan yang diberikan, ianya akan jadi buah-buah amalan, yang akan menenagkan hati pemiliknya di dunia untuk terus beramal dengan kebaikan, dan menjadi bekalan dan ganjaran apabila berlabuh di akhirat kelak.

Bersabarlah,
Dalam melakukan amalan atau modus operandi sesuatu misi, jangan terlalu cepat inginkan hasilnya tumbuh. Apatah lagi jangan cepat berpuas hati andai usaha tidak bersungguh.

Pemilik ladang getah, mengambil masa yang lama untuk merasa hasil torehannya.
Membuka tanah, menanam anak pokok, membaja, dan menunggu beberapa tahun, apabila sudah matang, baru boleh menoreh lantas melihat susu putih mengalir hasil usaha dan penantian dengan penuh kesabaran , dan pulangannya, lebih kurang RM5 sekilogram getah menanti apabila dijual nanti.

Tetapi, harus diingat, dalam usaha dan penantian, adanya cabaran-cabaran yang melanda, pokok diserang penyakit, kekurangan wang untuk membeli baja, cuaca yang tidak menentu hinggakan susu yang sudah terkumpul di cawah mengalir keluar atas limpahan hujan, sakit-sakit badan kerana kerap membongkok, dan seribu satu macam menhah.

Itu baru berurusan dengan ratusan pokok, yang diam menurut kata, ditoreh tidak melawan, ditebang tersungkur terhumban.

Jika berurusan dengan manusia pula bagaimana?
Manusia yang dikurniakan akal, nafsu, perasaan.
Setiap tindakan kita akan memberi kesan pada diri dan orang di sekeliling.
Manusia itu hidup dalam komuniti, saling menerima dan memberi.

Justeru, harus bersabar.
Jika dakwah yang kita seru, dakwah itu perlu dituju pada diri, dan disebar pada yang lain.
Kerja-kerja yang nampak teknikal pada luaran, hakikatnya ia ibarat bilah-bilah pedang, melengkap senjata yang akan memancung musuh-musuh jahiliyah.

Lihatlah gigihnya Salahudin Ayubi dalam merencana strategi dalam usaha menawan kota Jurusalem, hingga terbukanya kota itu dari cengkaman tentera Salib tanpa pertumpahan darah pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Bukan sesuatu yang mudah perjuangan membebaskan bumi itu, segalanya bermula sedikit demi sedikit, hinggakan pasukan tentera Islam menjadi pasukan yang digeruni malah turut disegani lawan.


Kita pula bagaimana, yang tidak perlu mengangkat senjata barangkali.
Hanya perlu membangkitkan diri dari lena dibuai mimpi.
Mengangkat pena dan mencoret dibuku nota.
Melawan nafsu, menyubur ilmu.
Menebar kebaikan,menyekat kemungkaran.

Apabila tibanya satu fasa untuk kita melakukan pengorbanan yang lebih besar,
yang menuntut sebuah kesabaran dan tak terjangka?
Adakah kita akan jadi pengecut yang menyorong di dalam kelambu,
atau memegang panji berdiri dengan penuh azam yang jitu?

Tanya pada diri,
jangan mudah berputus asa.
Jalan masih jauh,
bersabar,
dan teruskan melangkah,
hingga kau rasa ,
erti sebuah pengorbanan.

2 comments:

Unknown said...

kan?kita kdg2 mudah lupa yg kita byk hdup dlm kesenangan...zon selesa...

terima kasih utk peringatan ini...;)

best kn movie Salahuddin Al-Ayubi dlm arab?;)

kirim slm pd bumi Jordan ye...

Naqeb Sulaiman said...

sama2.
moga sama-sama keluar dari zon selesa.
iAllah.