Thursday, November 6, 2008

Ego

Ku bernafas lelah. Setelah berkejaran, akhirnya dapat juga aku menaiki kereta api komuter itu. Aku menghenyakkan punggung ke kerusi lalu menyandarkan tubuh sambil mengelap peluh.

Kedinginan penghawa dingin membaluti rongga kulitku lantas menghadiahkan sedikit ketenangan. Ketenangan yang sukar dicari akibat tekanan yang tidak putus-putus dan bederaian menghinggapi aku yang bernama pelajar.

Seperti kebiasaan, telingaku disumbati earphone yang bersambung ke Nokia E90, lalu ku telan dan hadam butir-butir lirik lagu yang berderu-deru menggegarkan gegendang telinga lantas membawa ku ke dunia khayalan.

Tiba-tiba alunan damai itu lenyap berganti suara manusia dan deruan penghawa dingin yang memenuhi ruang udara.

Mata aku terpana melihat seorang kanak-kanak lelaki berbaju biru yang tercegat, sambil tangannya mengenggam earphone erat-erat. Umurnya lima tahun barangakali.
Mata bundarnya yang galak dengan lesung pipit yang bercalit sedikit coklat cukup memikat.

Aku hanya tersenyum dengan tangan kanan menadah, isyarat meminta semula.

" Zap ."
Wayar itu terputus dua.

Aku terpana, tenang atmaku terputus sama, bertukar amarah, wajahku berubah rona.
Aku menekan butang 'pause' seketika. Menarik nafas dalam-dalam dan beristighfar di dalam dada. Jikalau diikut kata hati yang membara, mahu sahaja dilayangkan satu tamparan ke pipi gebunya.

"Budak kecil memang begini. Sabar je la."

Budak itu berlalu pergi diekori mataku yang masih lagi merenung tajam ke arahnya.

Dia berlari-lari anak tanpa gentar sedang kereta api komuter itu menderu laju.
Sambil melompat-lompat ala Spiderman, die menjerit-jerit kepuasan.
Gerabak itu hingar dengan suaranya yang bertebaran ke segenap udara.

Aku tidak dapat memejamkan mata tatkala itu. Marahku belum sepenuhnya beransur pergi.

Kelibat tubuh kecil itu melintas lagi, mendekati seorang pak cik tua yang sedang terlena bersama sebatang tongkat tersandar di tepinya.

Belum sempat aku menghalangnya, tangan kecilnya terlebih dahulu menggapai tongkat itu lalu mengetuk kepala pak cik tua tanpa sekelumit rasa bersalah.

" Aduh! " pak cik terjaga lalu mengaduh kesakitan.
Dia meraba-raba tongkatnya. Baru ku sedar si pak cik bertongkat itu adalah buta.

Geramku melepasi sabar yang cuba membatasi, lantas aku merampas sekuat hati tongkat tersebut dan memberikannya kepada pak cik buta.

Anak kecil itu lari ketakutan mendakap ayahnya yang sedari awal khusyuk membaca akhbar. Entah apa yang dibacanya pun aku tidak mengerti hinggakan perlakuan anak sendiri yang menyakitkan hati pun tidak ditegurnya.

" Ayah jenis apa pak cik ni ! " hatiku berbisik geram bercampur kecewa.

" Pak cik, tolong jaga sikit perangai anak pak cik ni. Kecil-kecil dah nakal macam ni, dah besar tak tahulah apa nak jadi. Penyangak agaknya dia nanti. "

Aku menghamburkan kata-kata itu bertunjangkan api yang menyala-nyala.

" Pak cik minta maaf, pak cik pun tak tahu nak buat apa. Kami baru pulang dari hospital, ibunya baru sahaja meninggal dunia ." pak cik bersuara dalam nada berduka dan hiba membuatkan aku ingin rebah.

Tanpa dipinta, rasa hiba dan simpati bertamu dalam hati lantas merangsang air mata mengalir membasahi pipi. Aku berasa amat bersalah kepada mereka berdua.

Begitu mudah aku meletakkan persepsi anak kecil itu memang budak nakal yang perlu diajar dan pak cik itu tidak layak bergelar bapa. Begitu mudah aku meghukum mereka. Ah, kejamnya aku.

Aku memeluk anak kecil itu erat-erat dengan linangan air mata. Ku buang ego seeorang lelaki yang susah untuk menangis apatah lagi di khalayak ramai.
Semua mata tertumpu ke arahku, mata mereka juga menurut rasa hiba. Ruang legar bertugar sepi dan sunyi.

Aku kembali ke kerusi dan melayan seribu satu rasa yang bersulam gundah.

Ummi!

Hatiku tersentak terkenang nama itu.
Aku segera membuka handphone ku, membaca kembali bait-bait pesanan ringkas yang dihantar oleh Ummi seawal pagi tadi.

" Assalamualaikum. Mi apa kabar? Kalau Mi free,balikla kampung ya, Ummi rindu sangat dengan Mi. "

Ku buka kiriman yang telah dihantar.

" Wasalam. Baik. Mi sibuk sikit. Nanti Mi balik bila free. "

Suara Kak Long terngiang-ngiang memintaku segera pulang. Ummi tidak sihat katanya. Hatiku dihuni rasa bimbang dan bersalah.

Aku segera melangkah pulang dengan hati penuh doa.

" Ya Allah, berikanlah kesempatan untuk ku mohon keampunan dari Ummi."

Lagu Lafaz Yang Tersimpan menyusup ke dalam jiwa. Aku lemas dalam pengharapan.

TAMAT.

4 comments:

dan said...

ah...

lemas. dalam cerpen-cerpenmu.

Ainul Arina Madhiah said...

eh, bahagian awal ni macam pernah dah selalu baca.. kalau tak silap dalam tazkirah selalu je ada kan? erm, sori ya tanya.. ini peng'update'an semula ke atau memang cerpen baru?

mahasiswa said...
This comment has been removed by the author.
mahasiswa said...

salam,
dan lemas? rajin2lah berenang mcm paie. :)

ainul arina madhiah,
ni tazkirah yang dicerpenkan.
sekadar peringatan.
syukran ats pertanyaan.