Sunday, November 9, 2008

Kesenangan Yang Membunuh







Alhamdulillah.

Satu ujian sudah saya lalui. Peperiksaan Microbiology yang berlalu memberi senggang waktu sebelum peperiksaan Biostatistics berkunjung pada 11 November ini. Jika dihitung, hampir setiap minggu jadual saya diisi dengan peperiksaan.

Kesenangan
Tidak dinafikan, ramai yang mengimpikan memiliki masa lapang yang luas tanpa diterjah dengan ujian dan peperiksaan yang bertalu-talu sehingga membuat diri terasa buntu.
Namun, ramai dalam kalangan kita yang tidak sedar bahawa kesenangan dan masa lapang itu juga merupakan satu ujian. Ujian yang menilai kehambaan kita.

Kita akui, sistem nilai terhadap masa bagi setiap individu adalah berbeza. Berbeza mengikut pengetahuan, kemahuan dan kemampuan.

Bayangkan seandainya kita diberi tambahan masa satu jam dalam sehari menjadikan 25 jam, setiap individu akan memandang penggunaan satu jam itu dari sudut yang berlainan.

Seorang pelajar yang rajin akan memandang masa itu boleh digunakan untuk mengulangkaji.
Seorang pelajar yang rajin juga mungkin akan menggunakan masa untuk beriadah, menyeimbangkan kecerdasan akal dan ketangkasan fizikalnya.

Seorang ayah sibuk dengan kerjanya mungkin akan menggunakan satu jam itu untuk membayar hutang masa menemani anak-anaknya.
Seorang ayah yang sibuk juga mungkin akan menggunakan masa satu jam itu memanjangkan lagi masa kerjayanya.

Cuba bayangkan sebaliknya, seandainya masa kita berkurang menjadi 23 jam sehari.

Seorang pelajar yang tidak produktif mungkin akan mengorbankan masa ulangkaji kerana lebih senang dengan rutin harian di alam fantasi.
Seorang 'kaki study' mungkin juga akan mengorbankan masa sosialnya demi mengulangkaji.

Kita perlu berdiri di hakikat yang nyata, masa kita tidak akan berkurang dan bertambah. Apa yang boleh berkurang dan bertambah adalah nilai penggunaan masa.

PERMAI

Cuba bayangkan dalam sebuah komuniti, sebagai contoh pelajar Malaysia di Irbid ini yang jumlahnya 453 orang. Seandainya setiap hari kita membazirkan 5 minit dengan melakukan sesuatu yang tidak memberi nilai dalam sebuah kehidupan, maka jumlah yang telah dibazirkan adalah sebanyak 2265 minit bersamaan 37.75 jam ataupun 1.57 hari.

Bayangkan dalam setahun, jumlahnya akan menjadi 574 hari!. Kiraan ini hanya melibatkan pembaziran lima minit sahaja setiap seorang. Bagaimana jika ianya satu jam, dua jam dan berjam-jam. Kiralah dan muhasabahlah diri. Bukankah ini sebuah kezaliman, kezaliman kepada sebuah pengharapan, pengharapan yang diisi dengan tanggungjawab yang terpikul di bahu kita semua.

Firman Allah dalam surah Al-'Asr yang bermaksud:
[1]Demi Masa!
[2]Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
[3]Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Komuniti besar

Cuba kita nilai dalam skop komuniti yang besar. Begitu ramai ummat Islam yang dipesongkan sistem nilai masanya hinggakan menilai kehidupan seolah-olah akan hidup selamanya. Budaya lepak, menagih dadah, Mat Rempit, semuanya dimonopoli oleh orang Melayu yang beragama Islam. Inilah sebuah sebuah hakikat yang pekat untuk ditelan.

Ideologi sekularisme yang ditanam hingga ke akar umbi dalam pemikiran dangkal sesetengah orang Islam menyebabkannya menjadi hamba kepada dunia.

Jajahan budaya hedonisme juga semakin berjaya. Menjadi suatu yang aneh seandainya lagu yang memuja cinta dan wanita tidak berputar di corong radio. Inilah suasana yang melanda pemuda-pemuda Arab di sini dan juga rakyat Malaysia. Bermula dari isu pertunangan artis popular sehinggalah ke penceraian artis, semua itu menjadi santapan akal dan jiwa sehingga membenakkan pemikiran manusia.

Musuh sedang meraikan pemimpin baru mereka. Mahukah kita berpeluk tubuh tanpa keluar setitis peluh menyaksikan perubahan demi perubahan berlaku, hatta kita diam membisu dan hanya berkata " PEDULI APA AKU " !

Sedarlah wahai teman,
Setiap saat yang kita bazirkan, digunakan musuh sebaiknya.
Setiap detik yang kita abaikan, satu pembunuhan kita telah lakukan.
Pembunuhan harapan dan tanggungjawab yang disandarkan dalam memperjuangkan kebenaran.

Ayuh!

2 comments:

Anonymous said...

mabruk!
moga ia dapat mengetuk pintu hati mereka yg membaca...

boleh ana ambil artikel ini untuk keluaran artikel group ana?

Naqeb Sulaiman said...

silakan. moga bermanfaat.