Saturday, May 16, 2009

Guruku Di Kamar Itu

Dia guruku,
yang mengajar dengan tingkah laku,
biar bicara tidak seribu,
aku tahu,
dia guruku.

16 Mei

Hari Guru yang akan disambut dengan meriah di seluruh Malaysia.
Berkotak-kotak hadiah dan ratusan ucapan akan diterima mereka.
Apa yang pasti, kegembiraan insan yang kau gelar " Cikgu " itu adalah saat kau sudah jadi manusia berguna. Yang memegang nama manusia dalam segenap ruang yang kau jalan dan dalam nafas yang kau hela.


Guru Saya

Saya melihat kegigihan seorang guru dari kaca mata pandangan saya selaku anak kepada seorang guru yang banyak mengharung suka duka.

Dia ayah saya yang digelar Cikgu Leman oleh anak muridnya, penduduk kampung malahan nenek saya ( ibu kepada emak ) serta makcik-makcik saya.


Kalau di masa kecil dahulu, waktu maghrib adalah waktu yang paling saya ternanti-nanti menunggu ayah saya pulang ke rumah. Satu jam setengah perjalanan dari sekolah yang terletak di Labis ke rumah saya di Kg. Sengkang, Bukit Gambir , itulah yang ditempuhi ayah saya setiap hari. Melalui jalan estet gelap yang tidak berpenghuni, kerap kali kebocoran tayar dan bermandi hujan,pulang hingga lewat malam, mungkin inilah tarbiyah yang menjadikan ayah saya seorang yang kuat dan cekal hingga saat dia diuji kini.

Saya ingat lagi ayah saya pernah bercerita, dia dahulu mendapat tawaran menjadi pengurus Felda, namun setelah berbincang dengan atuk saya, bidang perguruan menjadi medan kerjayanya sekaligus punca utama pendapatan keluarga kami yang sederhana. Alhamdulillah.

Kini, ayah saya tidak perlu lagi menunggang motosikal berkilometer jauhnya. Kini dia mengajar di S.K. Sengkang, tempat saya dan kakak serta adik-adik yang lain menimba sekelumit ilmu demi menjadi manusia. Hanya lebih kurang dua kilometer dari rumah kami.
Alhamdulillah, Cikgu Leman itu sudah mampu memandu membawa dua orang anak lelakinya kembali ke sekolah. Lebih kurang jam 11 pagi setiap hari Selasa dan Khamis, sebuah Avanza hijau akan menyusur masuk ke perkarangan sekolah untuk menjemputnya ke pusat hemodialisis, emak saya setia melambaikan tangan sewaktu van itu bergerak pergi dengan membawa harapan cikgu ini akan cekal dalam mengharung ujian kehidupan sementara ini.

Tugasnya yang semakin bertambah selaras dengan kenaikan pangkat juga sudah berkurangan, dia kini bertanggungjawab menjaga pusat pemulihan bagi membantu anak-anak kampung yang masih gagal menguasai 3M ( membaca, mengira dan menulis ). Hujung minggunya diisi denagn kelas tambahan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Saya masih lihat semangat ayah saya untuk mendidik anak bangsa meskipun di kamar kecil itulah dia akan meneruskan khidmat baktinya. Kini, ayah saya masih lagi setia dalam khidmat baktinya dalam memimpin orang-orang kampung. Dialah ayah, dia guru terbaik bagi saya.

Jujurnya saya sendiri tidak pernah menyimpan cita-cita untuk bergelar guru.
Saya pernah menjadi pelakon hebat sewaktu ditemuduga kursus perguruan luar negara di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, saya memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik ( macam Nik Nur Madihah jugalah ;)

Pelbagai soalan mengancam dan membunuh diajukan, dan dapat saya jawab dengan tenang dan meyakinkan. Akhirnya, tuan penemuduga mengeluh kepada saya " Awak ni memang hebat ". Saya tersenyum bersalah. Saat saya dihubungi oleh pihak mereka kerana diterima, saya tolak mentah-mentah kerana sudah mendapat tawaran Timur Tengah. Malunya saya kerana tidak berjiwa seorang pendidik.

Hari ini bukanlah satu-satunya hari untuk dikumpulkan segala memori dan dikenang segala jasa insan-insan yang memegang tampuk panggilan Cikgu, Ustaz, Murabbi, Mudir dan sebagainya.
Hari ini sekadar simbolik dan pengingat, apa yang penting kita sedar akan tanggungjawab kita dalam membawa dan menyebar luaskan ilmu yang telah ditanam dalam diri kita dalam setiap gerak langkah kita di bumi Allah.

Kata-kata Imam Malik: al-'lmu yu'ta ilaihi wa la ya'ti yang bermaksud ilmu itu harus didatangi, bukan mendatangi.

Carilah kita seluas mana ilmu, muliakanlah kita guru si penyampai ilmu.

Selamat Hari Guru buat kau yang mendidik aku.

2 comments:

c's said...

Salam.. kisah yang mengharukan.. semoga keluarga dikurniakan usia yang diberkatiNnya.. ameen..


hrmm.. tak tau pun dapat fizik tuh.. btw,kre sama macam Azim ler.. berhabuk habis masa interview.. udah2 tolak.. haih~

=P

mahasiswa said...

Wasalam.
Amin. syukran.

owh, azim dapat gak. aritu saye bagi die tips2 yang berkenaan untk dilakonkan. pendebat memang pelakon yg baik ;)