Monday, May 11, 2009

Hari ini, Semalam, Kelmarin

( i)

Hari ini lanskap politik Malaysia semakin mengujakan apabila Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz berkata jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undi tidak percaya terhadapnya hanya boleh dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.



Hampir beberapa bulan rakyat Perak menjadi mangsa pergolakan politik, kita nantikan bagaimana pula kondusinya selepas ini, sama ada pilihan raya negeri bakal mengisi kalendar negara atau percaturan yang tiada sudahnya bermain di celahan hak rakyat yang tidak terbela.
Jika benar rakyat didahulukan, berilah ruang rakyat yang menentukan.
Sama-sama kita berdoa agar yang hak terbela, yang dusta terhalang semuanya.

( ii)

Semalam, 10 Mei merupakan hari ibu. Melihat status YM kawan-kawan yang tertera " ibu " dengan pelbagai ungkapan. Moga luahan rasa cinta kudus ini terhadap insan yang melahirkan kita tidak terhad di hari ibu sahaja, tetapi setiap masa dalam nafas yang kita hela dan langkah yang diiring dengan doanya.


Cinta ibu ajaib bukan?
Walau jahat macam mana si anak, ibu tetap menyayanginya, kerana cintanya tiada sebab, cintanya tidak bersandar balasan jasa oleh si anak. Cinta yang kudus dan luhur.

Cinta kita kepada ibu pula bagaimana? Adakah bila dikenang jasa ibu yang tidak akan terbayar hingga hujung nyawa, cinta itu berputik mekar. Saat ibu marah dan menghalang kehendak kita, cinta itu hilang disambar dan pudar. Benarkah itu cinta yang terungkap dengan kalimah?

Dalam mesej balasan Emak, Emak minta didoakan agar jadi ibu terbaik buat anak-anaknya.

Ibu sendiri mahu jadi ibu yang terbaik, kita pula bagaimana?
Cukupkah dengan sudah terbang keluarga negara mengharumkan nama keluarga sudah boleh jadi anak terbaik?
Sempurnakah jalan liku kita demi menggapai gelaran anak soleh andai mencampakkan wang barang dua tiga ratus ke kampung halaman tanpa perhatian dan peruntukan masa mendampingi mereka kelak usai bergelumang dengan tugasan kerja.

Cinta ibu ajaib bukan?

(iii)

Kelmarin, saya dan tiga orang rakan telah meronda-ronda separuh Jordan bagi mencari damai dan ketenangan, jauh dari kesibukan kota metropolitan Irbid yang penuh dengan seribu cerita, dari kesepian lorong yang dipenuhi sampah hingga kebingitan jalan yang dirajai pemandu tidak berhemah.


Bersolat di tepi laut mati dan menyedut desir angin serta menatap redup matari yang hilang di sebalik merahnya awan cukup mendamaikan hati.


Ada topik yang kami bincangkan hampir separuh perjalanan.

Bicara soal CINTA.

Rasanya topik ini akan saya karang khas buat rakan-rakan yang sedang dibelenggu dengannya.

Buat masa ini, daripada kita meletakkan cinta pada wanita yang tidak pasti kita miliki, lebih baik kita memastikan kita benar-benar cinta pada wanita yang berkorban sepenuhnya nyawanya bagi melihat kita mengenal apakah erti sebuah cinta ibu kepada anaknya.

- dapat mesej sepupu saya yang belajar di Ireland akan bernikah Jun ini, akhirnya ade rekod keluarga kahwin masa belajar
- cuti senior dapat dilanjutkan untuk beraya, nampaknya lengang juga Irbid raya tahun ni..nak balik..ke tak nak. :)

No comments: