Wednesday, May 27, 2009

Malanyi

" Terimalah, Warkah Cinta ".


Tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan yang berhias indah.

Tubuh kecil di atas pentas itu mula mengatur langkah mengikut irama.

Semua mata-mata penonton di bawah terpukau dengan kelunakan suaranya,

meskipun usia belum mencecah satu abad, kemampuan vokalnya setanding dengan penyanyi-penyanyi terkenal.

Lima minit berlalu, penonton semua terpaku dan terpukau dengan persembahan mantap yang sememangnya dinantikan setiap minggu.


" Baiklah, sekarang dipersilakan peserta seterusnya, adik Nabil ! "

Kanak-kanak berusia sepuluh tahun melangkah naik ke pentas. Baju putih berkot hitam menambahkan lagi ketampanannya. Ada kelibat kanak-kanak perempuan yang saling berbisik sambil menjeling ke arahnya.


" Dengarlah, Lagu Rindu. "


Saat Nabil memulakan nyanyian, hadiri mula tidak kena. Ada yang menutup telinga, ada yang menjerit " Sumbang!!! ".


" Hei, baliklah! Awak tak layak menyanyi di sini. "


" Ni menyanyi ke melalak??? "


Nabil mula serba salah, bercampur malu dan kecewa. Sepantas kilat, dia turun dari pentas dan menghilangkan diri dari dewan yang berterusan gamat dengan sorakan kanak-kanak seusianya yang setia pada program mingguan yang diadakan khas buat mereka.


Mereka adalah kanak-kanak negara Malanyi . Di negara ini, kebolehan menyanyi adalah kayu ukur utama dalam pencapaian anak-anak seusia mereka. Hampir kesemua anak-anak negara ini sudah dilatih untuk menguasai teknik kawalan nafas, pitching, dan kawalan gemuruh serta lenggang lenggok tubuh agar senada dengan rentak irama.. Ibu bapa mereka sanggup mengikat perut dan memerah keringat demi memastikan anak-anak mereka mendapat ijazah Menyanyi Seumur Hidup ( MSH ) yang akan dijadikan bekalan dalam melangkah ke alam dewasa.

* * * * * *

Langit sudah mula memerah apabila matahari sudah beransur pergi, sebentar nanti bulan pula akan menayangkan kecantikannya. Air mata dan hingus masih berjujuran di wajahnya. Nabil melangkah tidak bermaya menuju ke rumah. Langkahan kaki itu terhenti setelah telinganya menangkap suara perbualan dua orang di dalam rumah itu.


" Saya pun tak tahu nak buat macam mana lagi, saya dah laburkan banyak wang untuk melihat dia berjaya memukau sesiapa sahaja yang mendengar nyanyiannya. Berpuluh ribu, habis cincin dan rantai emas tergadai . " suara keluhan ibu menusuk hatinya.


" Ya la, saya pun pelik dengan Nabil tu. Anak saya asyik bercerita tentang suara sumbang Nabil bila menyanyi di pentas mingguan."


" Dah nasib saya. Tapi, kakak dan adiknya tak mengalami masalah macam Nabil. "


" Ermm.. Saya ada satu cadangan, tapi serba salah pula nak beritahu. "


" Apa dia? "


" Saya dapat tahu dari kawan saya di tanah seberang Libungan , dalam satu belantara ada sebuah perkampungan misteri, di dalamnya ada sebuah institusi nyanyian yang tersohor di tanah seberang. Suara yang sumbang boleh bertukar menajdi buluh perindu, yang bisu boleh terus menjadi merdu. "


Nabil menelan air liur mendengar cerita itu.


" Tapi..."


" Tapi apa? "


" Hanya seorang sahaja yang selamat keluar dari perkampungan itu. Dia menjadi terkenal hingga meraih pelbagai anugerah. Tapi lama-kelamaan, nama dia hanya jadi kenangan. Dia hilang ditelan zaman. "

* * * * * * * * * * *

Angin bertiup sepoi-sepoi. Tenang dan damai dengan alunan zikir yang bergema dari segenap ruang. Gema wahyu membuat hati yang syahdu dan jatuh rindu.


Nabil mengorak langkah dengan hati berbunga. Sembilan purnama sudah berlalu, segala-galanya telah ditempuh dan dia tetap berdiri teguh dengan misinya.

Penyanyi tegar yang tak kan pudar dengan masa dan saingan yang berjuta.


Saat tiba di satu lorong kecil yang dipenuhi ramai manusia yang sibuk berjual beli dan ada yang sedang mengaji di bangku kecil , Nabil mula mengalun suara. Berkumandang kemerduan yang jauh berbeza dari sembilan purnama yang lepas.

Tiada raut gugup dan ketar yang tertonjol dari segenap nafas yang dihela.

Lagak seorang seniman yang telah menempah nama di persada seni dunia.


" Eh..siapa tu. Melakukan perkara aneh dan kuno. "

" Aib... Apa yang budak tu buat! "


Ada suara-suara yang berbisik sambil mata-mata memandang kehairanan.

Perasaan bangga dan puas Nabil bertukar pelik dan gundah melihat dia dipandang bak tidak berpakaian.


Ah!


Tangannya ditarik oleh seseorang ke lorong kecil. Tubuhnya didakap sekuar hati.


" Nabil, ke mana kau pergi. Mak rindu.. " sayu suara ibu menusuk ke hati.


" Nabil dah berjaya mak. Nabil dah mampu menyanyi yang tiada tara bandingannya. "


"Nabil.. Sebenarnya.. "


" Sebenarnya apa Mak ?? "


" Selama sembilan purnama ini, segala-galanya sudah berubah. Kanak-kanak sudah tidak lagi bernyanyi di pentas mingguan. Malah pentas mingguan sudah berjaya dirobohkan. Kini, semua anak-anak mengikuti kelas mengaji Al-Quran. Hati kami semua aman dan tenang. Tiada gundah dan kecewa. Nabil ikut mengaji sama ya. "


Matanya tidak terkatup, lidah kelu.

Sembilan purnama hilang begitu sahaja.

Masa mengubah manusia.

6 comments:

Ainul Arina Madhiah said...

*thumbs up*

Sangat berharap keruntuhan malanyi. Tak tahan tengok drama x mahal macam selalu. Kalau buat pildacil lagi bagus dan berkesan untuk didik anak-anak.

mahasiswa said...

kalau ada pildasar ( daie besar ) best gak.
Islam tertegak atas runtuhnya jahiliyah.

guntur said...

teruskan menulis

aku tak berapa minat cerpen dan novel tapi kalau diselitkan isu-isu semasa dan fakta aku jadi minat.

bagi sesetengah orang fakta itu membosankan.tapi bila disusun dalam bentuk cerita,orang akan nampak antara kesinambungan fakta-fakta itu dan mereka akan berminat.

aku minat tulisan kau.semoga sokongan kami menaikkan kau.

mahasiswa said...

menulis itu melakar jalan liku manusia.
banyak yang pura-pura dan tak jujur sama diri sendiri, dan dalam penulisan boleh dibongkar semua itu, tapi harus hati-hati dan pandai berseni.

terima kasih kawan.
tegur aku kalau ade kesilapan. :)

rasydan said...

aku juga menyokong engkau

ingat itu

mahasiswa said...

don't worry.
aku akan ingat kau selalu. :)