Friday, November 14, 2008

Menjulang Tadhiah

Dia mengurut-ngurut dadanya. Nafasnya turun naik keletihan,lalu disandarkan badannya ke tiang khemah sambil anak matanya memerhatikan ruang legar dari celah bukaan perteduhan itu.

Angin musim sejuk menghembus masuk, berlegar-legar dan melemparkan kedinginan ke segenap rongga kulit tubuhnya. Dia menghembuskan nafas bersama kegusaran yang bersarang di hatinya. Hembusan itu terkumpul dan berjalin membentuk asap yang mengujakan. Dia tersenyum seketika mengenangkan gelagat ahli baru yang ghairah melihat kepulan asap keluar ketika berbicara.

" Bonda, doakan pemergiaan Adiputra ya. Adiputra minta maaf atas segala dosa. InsyaAllah, Adiputra akan pulang sebagai pembela ".

Bonda hanya mengangguk lalu melepaskannya dengan linangan air mata. Melepaskan seorang putera untuk pergi berjuang itu adalah lebih berat dari melepaskan apa yang dimilikinya. Putera yang dikandung lebih sembilan purnama, akan bermusafir dalam kembara yang jauh di hujung sana. Negara Malapetaka bakal ditinggalkan puteranya bertemankan ratusan anak-anak muda yang memiliki matlamat yang sama.

Adiputra mencapai kendali kuda lalu melambai kasih kepada bonda tercinta. Kuda gagah mereka menderu laju memasuki belantara lalu hilang bersama doa kudus bonda.

" Adiputra, bangun. Kau dah solat asar ke belum ? ". Sharkawi menggerakkan tubuh yang keletihan itu.

" Astaghfirullah. Aku tertidur. Terima kasih kejutkan aku, kalau tidak pasti aku terlajak dalam lena."

Adiputra bergegas mencari air untuk berwuduk lantas ruku' dan sujud kepada Yang Maha Esa. Dia sedar walau sepenat dan sesibuk mana sekalipun urusannya, tanggungjawab yang satu itu haram baginya untuk ditinggalkan.

Sepuluh minit lagi langit akan bernyala merah, Asar akan berlalu dan Maghrib akan menjadi tetamu. Adiputra keluar dari perteduhan lalu memerhatikan pemandangan sekitar lembah itu. Lokasi khemahnya yang terletak tinggi sedikit di atas bukit membolehkan dia menyaksikan puluhan khemah tentera yang lain. Kelihatan tentera Adam masih berlegar-legar di lorong-lorong lembah melaksanakan tugasan yang belum selesai .

Kebiasaanya tentera Hawa sudah memasuki khemah masing-masing di waktu ini, jarang sekali kelihatan mereka merayau-rayau di lorong dan celahan khemah tanpa urusan yang munasabah , itulah yang sewajarnya. Biarpun kawasan khemah tentera Adam dan Hawa dipisahkan oleh sempadan, mereka tetap saling memerlukan. Segala bentuk kerjasama terurus dalam ruang lingkup syariat meskipun ada yang cuba mencabar hukum Tuhan.

" Allahuakbar Allahuakbar."

Gema seruan itu bertebaran ke seluruh langit, di bawa angin menyusup ke bawah bukit, lalu di telan tanah tanih Lembah Tadhiah. Seruan itu disahut oleh tentera Adam, mereka bergegas ke tanah lapang untuk mendirikan solat berjemaah. Ada juga yang memilih solat di khemah yang lebih selesa bagi mereka sedang mereka tahu kepentingan berjemaah lebih-lebih lagi semasa berjuang ini.

" Inilah kekuatan kita. Jika solat berjemaah kita tidak teguh, kekuatan kita akan roboh, kebersamaan kita bisa runtuh. " . pesanan Panglima Tentera Adam terngiang-ngiang di cuping telinganya.

Malam yang panjang di lembah itu memberi ruang masa yang cukup lapang buat sekalian tentera. Ada yang menghabiskan masa dengan mengulangkaji aspek-aspek latihan yang telah ditimba di Jamiah Tadhiah dan ada juga yang hanyut terleka.

Usai solat, Adiputra membelek-belek surat yang diterimanya dari bonda tercinta. Baru sebentar dia menerima kunjungan merpati putih yang terbang bersama surat itu.

Dia menghayati bait demi bait bicara huruf bondanya. Lega rasanya mendengar kesihatan bonda yang kian pulih sediakala dan adik-adiknya yang rajin bertalaqi di desa tercinta. Dia rindu akan aliran air sungai yang damai, dan tanaman yang menghijau serta pepohon yang membuahkan hasilnya.

Dalam warkah itu, bonda juga menceritakan perihal Malapetaka. Negara itu semakin berkrisis moral dan budaya, segala-galanya berpunca apabila meninggalkan agama.
Sudah ramai anak muda yang tidak berjemaah solat mereka, hatta ada juga yang sudah lupa cara menunaikannya. Seandainya tiang yang satu ini tidak perkuatkan, pasti bencana mudarat bakal menyusul tiba.

Adiputra menghela nafas gusar memikirkan kondusi tanah kelahirannya. Tanah yang seharusnya dibaja dengan ruh pengorbanan, agar tertanam jiwa perjuangan untuk membebaskan cengkaman serangan pemikiran.

Realiti di lembah itu pun apa kurangnya. Banyak perkara berlaku menyimpang dari matlamat mereka. Burung merpati yang seharusnya digunakan sebagai wasilah murni, dimanipulasi sebagai medium menjalin cinta buta. Masa yang seharusnya digunakan semaksima mungkin untuk mengaut segala macam ilmu dan kemahiran di lembah ini, ramai yang mengkhianatinya.

Adiputra memejam mata, fikirannya jauh melayang dan menjulang lantas menggapai bayangan suasana yang permai, jauh dari penderhakaan terhadap amanah dan tanggungjawab.

bersambung..

4 comments:

dan said...

wah cant wait to read the next one.
suka sgt guna latar yg macam ni...ade burung merpati sume.

kenapa tak update ni? busy eh

Naqeb Sulaiman said...

wah, dah dah kemabli. dah abis exam ke?

bz ckit, banyak perkara nak wat minggu ni. dan perkara tu yang akan diterjemahkan dalam cerita ni. :)

Abdul Rasyiid Mustafa said...

salam ya naqeb..saje singgh sbntr..cuma sdkt trtanya2, mengapa di guna adiputra, mengapa tidak di guna naqeb sahaja..hehe

Naqeb Sulaiman said...

wasalam ya akhi, kenapa guna nama Abdullah, bukan Rasyid?? hehe..

Jawapannya kerana naqeb tidak berutusan menggunakan merpati, tetapi adiputra. :)