Monday, January 19, 2009

Akademi Realiti : Air Liur Basi di Pipi


Israel mengumum gencatan senjata. Berbekalkan muka yang tidak malu dan hati batu setelah meranap lebih seribu nyawa, mereka mengumumkan kemenangan milik mereka.

Menang dan merasa hebat menumbangkan tubuh-tubuh kecil yang masih berhingus tetapi berjiwa lebih besar dan membara dari kelumit tentera mereka.
Bangga dan bongkak lewat mengerjakan ibu-ibu tua yang lebih kental dan berani atma berbanding si pengecut pemimpin-pemimpin dunia.

Biarkanlah mereka berfantasi, anak-anak Palestin tidak ketagih dilabel sebagai pemenang kerana mereka yakin janji Allah memberi kemenangan di alam sana.

Israel berfantasi , kita, si manusia yang tidak mengangkat senjata ini bagaimana?
Adakah terus bertemankan air liur basi yang menyejat di pipi?
Ingin terus berguling dengan mimipi melihat isu ini surut dan tenggelam apabila segala-galanya sudah memainkan peranan keji masing-masing.

Apabila media sudah kembali kepada tabiat asal, menghidang selera manusia dengan timbunan kisah artis yang menjaja tubuh dan nama.
Apabila pihak yang berdekah-dekah mengatakan kesungguhan membantu isu ini kembali kepada tampok dan tompok hitam yang sebenar, menyuap batang tubuh anak-anak dengan virus yang dibekalkan sendiri oleh si perogol Palestin.

Maka, kita kembali kepada dunia yang lalu. Isu ini ditiup bayu,
"ah..itu kisah lama" , adakah perkara ini yang bakal meniti di mulut kita usai tiada lagi gambar-gambar adik-adik putus dua, ibu hilang nyawa. Mahu begitu??

Ya.

Berbanggalah kita kerana kita punya ramai pemuda.
Buktinya?

Lebih kurang 2000 orang membanjiri stadium besar di negara kita untuk pergi berjuang di medan realiti. Ini baru lokasi sulong, jika dijumlah sehingga lokasi bongsu, betapa ramai anak muda kita menyerah diri untuk terjun ke dunia realiti yang hakikat ditunjang fantasi.

Berasak-asak menerobos diri ke ruangan terhad berbekal suara sumbang dan tidak seberapa untuk melaungkan lagu wajid dan lagu alternatif, siap bersyarat wajib hendaknya. Janji yang terpasak di pemikiran mereka, kehidupan mesti diubah. Mereka sudah ada idola yang berbaris di persada industri 'tarbiyah' songsang tanah air kita. Bangga kalian?

Jangan terlalu obses melabelkan orang lain, kita pula bagaimana? Penonton yang berkaca mata hitam dengan tangan kanan ligat menjunjung alat kawalan dan kiri setia men'sms ' pejuang pilihan.

Adakah kita rela menyambut isu pencabulan Gaza ini sama persis sambutan rancangan realiti yang berderet di televisyen kita.

Ramai manusia membanjiri dewan sebelum siaran langsung ke udara, mengangkat sepanduk lima meter lebar, meyokong peserta pilihan mereka dengan pelbagai slogan dan teriakan.

Bagi yang sensitif pula, dengan mudah mengalirkan air mata meyaksikan sejarah hitam tepalit pada batang tubuh peseta undian mereka tatkala nama diumum si pengacara malam sebagai pemilik troli yang bakal diusung keluar dari medan juang.

Usai musim satu,dua,tiga dan seterusnya tamat, tiada siapa yang mengenali mereka, hanya tinggal nama, andai yang masih bernafas cuma sekerat dua, yang berbaki ibarat habuk hitam dan debu tanah yang ditiup udara.

Jangan salah anggap, bukan niat untuk menyamakan isu ini dengan isu Palestin, isu ummat Islam sejagat.
Cuma apa yang membimbangkan seandaianya sambutan dan keprihatianan manusia yang kononnya mengaku saudara sepercaya dengan syuhada' Gaza terhadap isu ini sekadar melepaskan batuk di tangga, hangat-hangat tahi ayam, hingga baunya juga hilang diresap nafas sorakan hedonisme.

Adakah dengan gencatan senjata yang tidak pasti bertahan berapa lama, ini bermakna kita tidak wajib lagi mengangkat tangan kaku kita untuk mengitip doa buat saudara kita.

Kita sudah boleh kembali menyuntik dan membantu perkembangan Hollywood, menanti saat pelancaran filem-filem baru lakonan pelakon-pelakon terkenal Yahudi, mengikat diri di bangku penonton sambil menghirup Cola-cola dan mengunyah Kit Kat.

Sudah puas menikmati filem itu, kita mencari ruang menyelit untuk menyaksikan lagu mana yang dinobatkan sebagai Juara Lagu. Inilah maju, kononnya.

Jika dua tiga minggu ini kita rela memilih seluar tidak berjenama,jangan kita kembali menunding jari pilhan kepada abang si penjual untuk membalut dua kaki dangkal kita dengan Levis.
Jika sebelum ini kita berusaha untuk mengelak menyumbang memberi makan kepada anjing-anjing dunia, jangan kita kembali menghulur simpati kepada mereka.

Dua hari lepas baru saya menyaksikan beberapa minit saat akhir dua perlawanan bola sepak antar dua negara Arab. Pemimpin dan pemain pasti bangga dengan sokongan padu tidak kira lapisan umur , bercorakkan bendera negara di muka dan rambut mengurai di balik kerudung, masing-masing menitis air mata tatkala pasukan mereka tumpas di tangan lawan. Sokongan padu yang tidak berbelah bagi, di saat ada yang lebih memerlukan sokongan itu.

Jangan kita jadi penonton yang menepuk gemuruh dan akhirnya berdengkur di tilam empuk usai penat menyaksikan realiti yang mencelah di lipatan dunia kala ini.

Jangan relakan.

-tinggal tiga paper lagi sebelum berangkat pulang ke tanah air
-bittaufiq buat semua
-PERTAMA kali ketiga bakal menyusul tiba, tapi 'mahasiswa' tidak dapat join..huhu. selamat mematangkan ideologi mahasiswa muslim

2 comments:

Khaulah_tsabit said...

Assalamu3laikumwbt.

Betul,kadang2 terdetik kat hati,bila isu ini berterusan,dan semakin hari,pemuda2 semakin 'biasa' dan menganggap tiada apa2 yg berlaku.

Takut.
Bila memikirkan,bumi Palestin 'gembira' atas genatan senjata,dan umat Islam semuanya yg sebelum ini berkobar2 m'boikot,gembira juga kerana sudah boleh kembali membeli barang @ makanan kegemaran.

Risau.
Bila merasakan isu ini semakin terhakis dan ditelan dgn pelbagai2 propaganda baru Barat & Yahudi bg memesongkan kita & mengalih tumpuan kita dr isu Gaza.

Na3uzubillah..

Semoga kita terus istiqamah dlm setiap apa yg kita lakukan.Bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.


..bittaufiq exam..
..selamat pulang ke M'sia..
..btw,bagaimana keadaan ayah Naqeb?..


Wallahua3lam.
Wslmwbt.

mahasiswa said...

Wasalam.

moga kita istiqamah.

syukran.
Alhamdulillah, semakin baik setelah
dialisis. seminggu tiga kali prosedurnya.

teruskan berdoa untuk saudara kita di seluruh dunia.

wasalam.