" Saya baru 20 tahun. "
atau
" Saya dah 20 tahun. "
Penggunaan istilah BARU atau SUDAH akan memberi kesan dan tindakan kepada cara kita berfikir dan meletakkan langkah kita.
Saya berikan contoh perbualan yang direka:
Contoh 1 :
" Mak, saya dah buat keputusan, saya nak kahwin dalam tahun ni? "
" Sabar dulu, awak baru 20 tahun. "
" Saya dah 20 tahun mak. "
Dua sudut pandangan yang berbeza, dari seorang ibu yang menganggap anaknya BARU berusia 20 tahun dan seorang anak yang merasakan dia SUDAH 20 tahun, sudah cukup dewasa.
Contoh 2 :
" Wei, ko ni asyik-asyik main game je, study malas, pergi kelas malas, ko ape nak jadi nanti ni, ko DAH 20 tahun ko tahu! "
" Relakslah, aku BARU 20 la, zaman ni zaman nak enjoy kejap, nanti dah kerja aku berubah la "
Seorang kawan yang melihat mereka sudah 20 tahun, satu tahap untuk produktif untuk menuai kudrat, memerah keringat, manakala seorang lagi menganggap dia baru 20 tahun, maka perjalanan hidup masih panjang, tidak perlu risaukan masa mendatang, hanya perlu menikmati masa hidup sekarang, SENANG LENANG !
LETAKKAN PADA TEMPAT DAN SAAT YANG TEPAT
Hidup ini tidak semudah sifir, tidak boleh dihadkan sesuatu formula yang statik,
apatah lagi apabila bicara soal pemikiran, kita perlu sentiasa berfikir dalam melakukan sesuatu, agar fikiran kita tidak statik, sebaliknya dinamik, tetapi harus diingatkan akal dan pemikiran kita haruslah dipandu, dengan sebuah anugerah kecintaan dari Allah, iaitu Islam, sebagai cara kehidupan, menuju kematian.
Bicara soal SUDAH atau BARU, kita perlu bijak melihat dari sudut kedua-duanya.
Tidak semua keadaan kita perlu berpegang pada prinsip SUDAH, dan tidak semua keadaaan kita melihat dari perspektif BARU. Dan adakalanya keduanya perlu diadunkan agar menjadi rencah kehidupan.
Contohnya dalam perbualan yang pertama,
Seorang anak yang merasakan dirinya SUDAH 20 tahun, SUDAH merasakan sudah bersedia untuk menempuh satu alam rumahtangga, memikul amanah dan tanggungjawab yang besar.
Dalam ke'ghairah'an berbincang dengan ibu bapa, dia harus sedar dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh ibu bapa, yang meletakkan dia sebagai BARU 20 tahun, mereka bukan menganggapnya sebagai budak yang masih kecil, tetapi sebagai masih KURANG dalam beberapa sudut, ilmu, pengalaman, persediaan diri, tanggungjawab belajar dalam segala macam lagi. Dan mereka lebih tahu kerana mereka SUDAH melalui, dan merasakan onak dan duri, nasihat dan permintaan mereka harus diteliti, dan bukannya ditolak bulat-bulat kerana hanya berprinsipkan ' Saya SUDAH 20 tahun, saya SUDAH bersedia! "
Contoh kedua;
Soal umur yang masih muda,BARU 20 tahun katanya, zaman berubah nanti adalah zaman bekerja, mungkin zaman berumah tangga, mungkin zaman bergelar bapa, mungkin zaman tua bongkok tiga.
Tetapi zaman mendatang itu zaman yang diluar kawalan kita, belum pasti kita akan lalui, mungkin lepas membaca artikel ini, kita akan PERGI!
20 tahun yang ada, apa yang telah kita lakukan pada diri, bagaimana tanggungjawab kepada ibu ayah yang kita cintai, kepada keluarga yang bertakhta di hati, kepada rakan-rakan dan komuniti dan yang paling penting kepada perjuangan menegakkan Islam di muka bumi.
20 tahun, kalau sejarah dulu, mereka sudah mengangkat senjata, mengetuai barisan penjuang di medan perang, membuka kota tawan musuh.
Kita? Sekadar mengatur strategi dan menumpaskan musuh di medan maya! Tahniah!
TIMBANG TARA KEHIDUPAN

Melihat kehidupan, umpama melihat segelas minuman yang hanya ada separuh air di dalamnya.
Melihat dengan kaca mata KESYUKURAN, dengan apa yang dimiliki dan dikurniakan oleh Tuhan.
Melihat dengan kaca mata USAHA, untuk menampung kekurangan dan menambahbaik nilai kehidupan kita.
Sama-sama melihat dunia dari kaca mata akhirat, agar setiap saat dan nafas yang dihela,
adalah semata-mata mencari redha-Nya.
~ point-point diatas telah saya ulas dalam forum dan ucapan perasmian penutup API baru-baru ni, tapi saya tuliskan kembali untuk muhasabah diri dan berkongsi kepada pembaca MRP
~ tinggal satu lagi exam, OSCE internal medicine khamis ini, doakan saya dilancarkan butir kalimah semasa history taking, dan keyakinan diri membuat PE. minggu depan masuk round surgery. iAllah
~ baru habis membaca Facing Death, buku catatan dari seorang yang telah kembali menemui Ilahi, bertarung nyawa menghadapi cancer, menukilkan soal persiapan diri menempuh sebuah kematian yang pasti. Kita bagaimana?