Thursday, January 15, 2009

Nosocomial Infection

Dia membelek-belek helaian-helaian kertas yang tersusun rapi di atas mejanya.
Kanta matanya digerakkan sedikit ke atas bagi memperelok pembisaan cahaya yang membantu penglihatan anak matanya yang telah berusia lima puluh tahun.

Dr.Mahathir Iskandar, Ketua Jabatan merangkap Pakar Perunding Dermatologi menggerak-gerakkan sedikit hujung kakinya yang kekejangan usai melewati lorong-lorong wad yang menempatkan ratusan pesakit di bawah jabatannya.

Dia menghela nafas lega, matanya tertancap pada bingkai gambar yang terpamer molek di dinding kamar pejabatnya.

Seorang graduan yang bejubah biru menguntum senyum dengan segulung ijazah tersemat dijemari kanan. Foto yang diambil usai majlis graduasi kedoktoran yang melayakkan dia melibatkan diri sebagai pengamal perubatan yang dipandang tinggi status letak duduk bidang ini oleh seantero masyarakat dunia.

"Masuk". suara garaunya memecah deruan penyaman udara usai ketukan pintu kayu jati kedengaran.

Dari kaca bingkai gambar yang ditenungnya kelihatan seorang lelaki tinggi lampai melangkah masuk.

"Assalamualaikum".

"Waalaikumussalam. Oh, Dr.Anwar, silakan duduk. ". jawab Dr.Mahathir Iskandar sambil memusingkan kerusi menghadap tampang yang menjenguk masuk ke kamarnya.

Pegawai Perubatan U48 lulusan Jordan University of Science and Technology ( JUST ) menghenyakkan punggung ke kerusi dengan penuh sopan sambil menguntum senyuman di bibir mulusnya. Namun, sedikit garis resah berjalur di raut wajah doktor yang baru sahaja melaporkan diri sebulan yang lalu di jabatan itu.

" Perkara apa yang ingin Dr.Anwar maklumkan kepada saya. Ada masalah yang timbul? "
Dr.Mahathir Iskandar dapat membaca riak wajah anak muda dihadapannya.

" Dr., sebenarnya saya cuma nak maklumkan satu perkara. Saya sudah dapat laporan daripada Infection Control Commitee. Keadaan membimbangkan. Hasil laporan 2008,kadar nosocomial infection meningkat di jabatan ini. "

Dr.Anwar menerangkan kondusi kritikal yang perlu diambil tindakan segera. Nosocomial infection merupakan jangkitan yang diperolehi pesakit sepanjang keberadaan mereka di hospital berkenaan. Walhal, mereka tidak menghidapinya sebelum ditahan di wad hospital.

Kedutan di dahi Dr.Mahathir Iskandar berganda. Fikirannya ditujah hebat andaian persoalan yang bakal diajukan oleh Pengarah Hospital dalam perjumpaan bulanan ketua-ketua jabatan satu jam lagi. Dia kecut perut untuk bersemuka dengan Dr.Malik Khomini, Pangarah Hospital yang terkenal dengan misainya yang melentik tajam melawan graviti, lambang ketegasan pentadbir hospital itu.

" Apa kes nosocomial infection yang meningkat mendadak ini, urinary tract infection ( UTI ) ? Post surgical wound infection ? Lower respiratory tract infection ? Septicemia? ". Semua jenis nosocomial infection yang sering meledak diajukannya kepada Dr.Anwar, dia diburu rasa bimbang yang menusuk hatinya.

Belum sempat Dr. Anwar menjelaskan, dia kembali menyoal.

" Dalam laporan itu, apa faktor utama kes ini berlaku, adakah kerana kakitangan kita tak mengikut prosedur yang telah digariskan dalam panduan pencegahan jangkitan penyakit?? Bukankan kita baru selesai melancarkan kempen " Jom Cuci Tangan ". Tak kanlah perkara semudah ini yang diperkenalkan oleh Ignaz Semmelweis, Father of Hand Washing berat untuk dipraktikkan oleh doktor dan jururawat di sini. Ijazah sahaja menggunung tinggi, tapi tidak boleh diharap langsung. "

Dr.Mahathir Iskandar mendengus marah, dia terus membuat kesimpulan melulu tanpa menunggu jawapan dari Dr.Anwar.

" Sebenarnya bukan begitu ".

" Habis? ".

" Kes ini lebih berat dari yang tercatat dalam ilmu kedoktoran yang kita agung-agungkan tatkala ini. Mereka mengalami penyakit PADRA. "

Terbeliak bebola mata Dr.Mahathir mendengar butir bicara itu. Sepanjang dia terjun ke bidang ini, sesaat pun telinga capangnya tidak pernah menangkap nama penyakit itu.

" Awak biar betul. Penyakit mana asal usulnya ini, dari Timur Tengah ke? Jangan-jangan awak penyebarnya. "

" PADRA maksudnya ' Putus Asa Dari Rahmat Allah '. Penyakit ini lebih bahaya dari segala penyakit yang menduduki carta penyakit berbahaya yang dikeluarkan oleh WHO. " ujar Dr.Anwar.

" Kenapa berbahaya? Sudah terbuktikah ? " Dr.Mahathir kembali menduga.

" Ya, dalam tempoh seminggu ini sudah tiga kes pesakit cuba membunuh diri dek kerana tidak tertanggung kesakitan jasad mereka. Hakikatnya jiwa mereka yang menderita. "

Dr.Mahathir menelan air liur meskipun rongga mulutnya kering.

" Apa pucanya PADRA ini merebak ? "

" Hasil kajian dan penelitian, punca utama adalah pengabaian satu kewajipan yang besar. "

" Maksud kamu, prosedur membasuh tangan? ".

" Dr.Mahathir, ini bukan soal membersihkan tangan sahaja, ini soal menyucikan jasad dan rohani. Ramai dikalangan pesakita yang tidak menunaikan solat lima waktu. Mereka menyangka kewajipan solat ini gugur tatkala mereka diuji kesakitan. Apa yang merumitkan keadaan, ramai juga kakitangan jabatan ini lalai dalam menunaikan kewajipan ini. Ini punca sebenarnya! " Dr. Anwar menjelaskan dengan penuh rasa kesal.

Muka Dr.Mahathir Iskandar merah padam, telinga capangnya bertukar warna. Segala butir kalimah itu tidak bisa dinafikannya. Malah, terkena tempias di batang hidungnya yang sedikit penyek itu.

"Jadi, apa cadangan kamu untuk kita atasi kes ini? Saya perlukan cadangan segera kerana sebentar lagi saya ada meeting bersama Pengarah Hospital. Mati saya dibuatnya nanti. "

" Kempen JOM SOLAT ."

" Berapa hari? Seminggu? Dua? "

" Sampai bila-bila. Dakwah itu tiada had masa. Ini tanggungjawab kita semua. "

Dr.Anwar kembali menyambung tugasan, meninggalkannya seorang diri yang masih dihurung rasa bersalah.

Dr.Mahathir Iskandar mengemas fail-failnya dan memasukkan ke dalam beg bimbit yang diperbuat dari kulit buaya. Kakinya melangkah keluar menuju ke bilik mesyuarat dengan penuh debar.

Semua mata-mata milik ketua-ketua jabatan dan seorang lelaki bermisai lebat di hujung meja bulat merenung ke arahnya.

" Apa penjelasan kamu ? ".suara garau Dr.Malik Khomini bergema dan menyusup masuk ke gegendang telinganya, geteran itu memalu degupan jantungnya.

" Jangan bimbang, jabatan kami akan melancarkan kempen JOM SOLAT ".

Semua ahli mesyuarat memandang tepat ke arahnya, serentak ketawa terbahak-bahak sehingga mengalir air mata.

Dr.Mahathir Iskandar terpinga-pinga.

5 comments:

dan said...

salam naqeb. maaf sgt sibuk. tak sempat baca blog2 yang aku slalu pegi tiap2 hari. termasuklah blog ko.

apapun nak ucap sekali lagi: selamat hari lahir. maaf terlambat. baru 2 hari lepas kan?

moga diberkati Allah selalu. moga ditenangkan Allah selalu. dan moga diperkuatkan imanmu.

Amin.

(itu saje hadiah dariku, sori la ye)

dan said...

*oh ye, nanti insya Allah bila masa terluang aku baca balik post2 ko sblm ni..yang tak terhabis baca tu, ok?

:)

Naqeb Sulaiman said...

Wasalam.
syukran, dan.
Takpe, ko utamakan dulu apa yang perlu.
Hati ni teringin nak ziarah ko di intec. tengoklah bulan depan kalau 2 aku terpacul di kedai makan yang murah tu.
dah lama tak makan mee bandung rm2.

selamat segalanya. :)

Anonymous said...

nice cerpen...walaupun tidak memenuhi kriteria cerpen....
sungguh mendalam dan bermakna...

Naqeb Sulaiman said...

syukran.
memang cerpen ni tidak memenuhi kriteria cerpen krn tak cukup jumlah patah perkataan.
ada lagi tak yg tidak mencukupi,
sy masih baru dalam menulis cerpen ni.