Thursday, December 25, 2008

Dedikasi buat Hawa














Wanita..

Saya tidak pernah menulis tentang kaum hawa sebelum ini. Insan yang tercipta untuk Adam, menemani di syurga, mendampingi di dunia , saling melengkapi hidup manusia.

Mereka makhluk istimewa. Biar air mata sering dikaitkan dengan naluri mereka, namun hakikatnya air mata itu yang menguatkan jiwa, menebar jalur warna dalam setiap bucu peranan yang digalas mereka dari seorang hamba-Nya hinggalah hubungan sesama manusia.

Kita harus yakin tidak ada satu pun agama di dunia , kecuali ad-din Islam, yang memuliakan wanita, mengasihinya, mengangkat darjatnya, memberikan haknya dan tidak merendahkan-rendah sifat fitrah mereka.

Islam memuliakan mereka sebagai hamba Allah tanpa banding beza,
Islam memuliakan mereka sebagai isteri yang mendampingi perjuangan suami,
Islam memuliakan mereka sebagai ibu yang mengandungkan zuriat sembilan purnama,
Islam memuliakan mereka sebagai pasangan Adam di akhirat dan dunia.

Keadilan Islam

Dalam satu peristiwa, Asma' binti Yazid as-Sakan al-Anshariyah telah mengetuai kaum wanita bagi menyuarakan pengaduan mengenai hak mereka kepada Rasulullah.

Dengan penuh sopan, Asma mengadu tentang kelebihan kaum lelaki yang boleh melakukan solat jumaat, solat jemaah di masjid, mengerjakan haji berkali-kali dan yang utama boleh keluar berjihad ke jalan Allah, berbanding dengan kaum wanita terbatas dalam gerak-geri , sentiasa di rumah dan menjaga harta benda , menjahit pakaian dan menjaga zuriat tatkala suami mereka keluar berjihad. Dia bertanyakan bagaimana wanita boleh berkongsi pahala dengan kaum Adam.

Baginda kagum mendengar bicara wanita itu malah sahabat-sahabat yang bersama Rasulullah turut menganggumi kepandaiannya membawakan masalah agama.

Rasulullah berkata kepadanya, " Ketahuilah wahai wanita dan sampaikanlah juga kepada teman-teman wanitamu yang lain. Sesungguhnya seorang wanita yang menjaga suaminya, mencari keredhaan suami dan melakukan segala yang disukai suami, adalah menyamai semua yang dilakukan suaminya."

Begitulah kemulian Islam yang mengangkat darjat kaum wanita.

Islam tidak pernah menolak pandangan wanita. Peranan wanita dalam memberikan pandangan tidak pernah dinafikan. Pernah ada seorang wanita menyangkal pendapat Umar ketika khalifah yang terkenal dengan ketegasan itu sedang berpidato di atas mimbar.
Umar tidak menolak sanggahan itu malah mengakui kebenaran apa yang disuarakan wanita itu sambil berkata, " Semua orang ( bisa ) lebih mengerti daripada Umar. "

Malu VS Maju

Ledakan perkembangan teknologi sejajar dengan penjajahan budaya telah merubah corak kehidupan manusia sekaligus menyebabkan kaum wanita yang tidak beriltizam dengan
agama terpalit lumpur jahiliyah yang kian menabrak cara hidup beragama.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda : " الحياء من الأيمان "
maksudnya: " Malu itu sebahagian daripada iman "

Sifat malu yang menghiasi wanita sudah terhakis sedikit demi sedikit kesan meninggalkan agama dalam kehidupan. Kesan hilangnya sifat malu dan hasil muntahan kemajuan, mereka dieksploitasi habis-habisan oleh sesetengah pihak yang mencari keuntungan dengan menggadaikan maruah dan hak wanita.


Hiburan, pengiklanan,nyanyian, perfileman,fesyen semuanya menjadi wadah untuk menyebar fikrah kebebasan wanita untuk menonjol di khalayak dunia dengan meninggalkan rasa malu yang sewajarnya menghiasi diri mereka.




Kembali kepada fitrah

Saya dedikasi bait-bait lagu ini buat semua wanita agar kembali kepada fitrah yang suci. Anda semua adalah insan yang dimuliakan Allah.
WANITA - deHEARTY

Kau digelar sebagai penyeri dunia
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa

Akalmu senipis bilahan rambut
Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
Jua hatimu bak kaca yang rapuh
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh

Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat di bahu untuk dilindung

Dekat jua di hati untuk dikasihi
Engkaulah wanita hiasan duniawi
Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
Jika datangnya dari kayu yang bengkok
Begitulah peribadi yang dibentuk

Didiklah wanita dengan keimanan
Bukannya harta ataupun pujian
Kelak tidak derita mengharap pada yang binasa
Engkaulah wanita istimewa

Sedarilah insan istimewa
Bahwa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan.

7 comments:

aleeya_nlr said...

A nice compliment for all ladies, i'm touched as watever u've said is true. Terima kasih memperingati wanita2..Salam

c's radin said...

salam

nampaknya fokus mahasiswa sedikit berubah. =P

ini pun isu mahasiswa.. kadang terlalu memikir peringkat dunia, asas pembinaan individu n keluarga pun terlepas pandang..

semoga selamat semuanya..

final_fata said...

menguli tepung di dapur istana,
buat cucur udang sumbat,
harap berbahagia kita di dunia,
jua sampai ke kampung akhirat.


menyarung gadis kerudung putih,
jangan lupa kemas aturkan,
hidup muslimah putih bersih
mengabdi diri pada Tuhan


menyusun seroja sebelah-sebelah,
bukan sekadar membina sanggul,
terus berdiri menjulang ummah,
kerana itulah gelaran terunggul.


duduk bersimpuh di tepi sawah,
jangan sampai jatuh tertampan
diri muslimah tak pernah lemah,
andai kendiri dihiasi iman.


Bukan murai menanti bulan,
tapi pungguk duduk setia,
bukan wanita melainkan insan,
hidup menambah seri dunia.

Khaulah_tsabit said...

Assalamu3laikumwbt.

lagi --- nama 'rahim' diberi salah satu organ wanita,sedangkan 'ar-Rahim' merupakan ant. nama Allah. Begitu sekali Allah & Islam memuliakan wanita.

Jadinya,kaum hawa sekalian,silalah kembali kepada fitrah & syariatNya :). Kamu semua istimewa--



p/s : Naqeb,how's your dad condition?


Wslmwbt.

Adam bin Abu Bakar said...

Hawa itu lahirnya mulia
mulia hanya kerana agamanya
apabila dia sendiri mecabut mahkota kemuliannya
maka tiada lagi kemulian baginya..
berjaga-jagalah wahai Hawa
takut rebah di pintu neraka..

"jikalau ada Adam, pastilah tercipta Hawanya"

mahasiswa said...

wasalam.

aleeya_nlr
same2. moga diambil manfaat, agar bersyukur dengan segala nikmat.

c's radin,
fokus berubah? :)
yup, segala-galanya bermula dari diri.
semoga selamat juga buatmu, hawa.

final_fata,
izzul bermadah pujangga, ku terkelu seribu bahasa. :)

mahasiswa said...

wasalam,

khaulah_tsabit,
betul, Allah memang memuliakan wanita.

Alhamdulillah, stabil. Tapi masih lagi berumahkan hospital.

doakan ye.

Adam bin Abu Bakar,
Macam kenal je sape ni.
Ni watak dalam drama Rebah Di Pintu Neraka kan?
sedap ayat. :)