Monday, December 29, 2008

Sekeras Batu

" Siapa kau ?". aku memandang tepat si anak kecil yang berpipi gebu. Umurnya lapan tahun barangkali.

" Ana Mujahid. " batu kecil masih digenggamnya erat-erat. Ada luka-luka yang masih berdarah merah di lengannya.

" Kau dari mana? Apa yang kau buat di sini? "

" Palestin. Ana pun tidak pasti kenapa ana ada di bumi mewah ini. "

" Palestin?? Ceruk kampung mana tu. Aku tidak pernah mendengarnya. "

Aku berdusta walhal baru sebentar aku terlihat bait nama itu didada akhbar,namun aku lebih tertarik dengan perkembangan dunia sukan dan artis. Itu lebih menghiburkan berbanding cerita yang menyedihkan, hidup ini sekali, untuk apa perlu bersedihan andai mahu merasai nikmat kehidupan.


" Mustahil anta tidak tahu. Palestin itu tanah ummat Islam yang dirampas Israel laknatullah. Mustahil! "

" Argh!! Aku peduli apa , yang penting negara aku aman merdeka. "

Aku sangsi akan kewujudan budak hingusan itu. Dia pencuri kecil jalanan barangkali. Aku gengam erat-erat handphone Nokia E90 yang baru aku beli sebentar tadi. Budak kecil zaman sekarang bukan boleh dipercayai.

" Ana dahaga, boleh berikan seteguk air. " matanya bundar sambil merenung sayu ke arah ku.

Aku semakin pasti inilah si peminta jalanan, selalu mengemis simpati manusia yang serba cukup seperti aku. Aku rimas dengan golongan seperti ini, mahu sahaja aku layangkan sepakan ke tubuh kecilnya. Namun, aku amsih lagi berhati manusia. Aku tidak sekejam..Iss..Isreal.. lebih kurang begitulah nama si durjana itu. Aku pun bukan tahu menahu.

Dia meminta lagi dengan simpati,luka ditangannya masih belum berhenti.
Aku berlari anak meninggalkannya. Manakan tidaknya, pasti sukar untuk menghilangkan kotoran di bajuku andai terkena najis darahnya. Argh..budak kecil yang merimaskan.

Jalan raya berturap dan memiliki empat lorong dua hala terbentang di hadapan ku. Aku melangkah laju menyeberanginya demi meninggalkan jauh si peminta itu. Aku puas kerana tidak rimas dengan isu-isu basi yang tidak berkaitan dengan nafas hidupku.

" Argggghhhhhh ".

Aduh. Sakit menjalar ke seluruh saraf tubuhku. Aku merasakan panas darah melumuri tampang tubuhku. Rasa sakit itu beransur hilang dalam kegelapan hitam...

************************************************************************************

" Alhamdulillah anta sudah sedar ".

Ku cuba sedaya upaya mengangkat kelopak mataku. Sinar cahaya menyusup masuk lalu menampakkan satu wajah yang seakan pernah ku bersua dengannya.

" Ya akhi, bersyukur ke hadrat Allah, walau anta sudah terkena dua das tembakan, nyawa anta kental, jiwa anta cekal. Kita pasti bangkit semula."

Ya, aku pasti tanpa ragu. Dialah manusia yang menyebabkan aku ditabrak oleh pemandu gila sebentar tadi. Aku menghirup suasana hospital itu. Aneh sekali.

" ............ "

Aku cuba lagi sepenuh hati.

"..............................."

Sunyi sepi.

Tiada kalam bicara yang bisa keluar dari kerongkongku.
Ya Allah, apakah ini ujian besar yang Kau timpakan kepada ku.

" Doktor, ayuh segera, ada mangsa yang terkena serpihan peluru berpandu di ruang kecemasan saya. Nyawanya di hujung tanduk! ". teriak seorang jururawat dari muka pintu kayu.

" Ya Allah, kamu bantulah kami! ". esakan seorang ibu dari kiri katil berhadapan dengan aku.

Aku melirik anak mataku lagi, mataku tertancap pada tolakan troli yang diatasnya terkulai sekujur tubuh yang bermandikan darah diiringi kaum keluarga yang dibasahi air mata derita.

Siapa mereka??

Aku di mana??

Kau siapa wahai budak jalanan??

Ingin sahaja kau berteriak gempita , namun ku tahu itu hanya tindakan dungu kerana kini hidupku bisu.

Aku hanya bergelar pemerhati dari jauh, aku orang asing barangkali. Aku tiada apa-apa perhubungan dengan mereka, aku adalah aku dan mereka bukan sesiapa.

Gelap!!!

Suasana riuh, ada yang menangis dan ada yang terus berzikir.

Allah. Allah. Allah.

Bekalan elektrik terputus, aku lega kerana rawatan ku tidak bergantung kepada sistem janakuasa itu. Namun telinga ku menangkap kekalutan yang berlaku.

Mesin sokongan hayat!
Wad bersalin dan kanak-kanak!

Berbekalkan ilmu yang aku miliki selaku pelajar perubatan, tiada harapan buat mereka andai bekalan elektrik terus tergendala. Aku tersenyum mengenangkan ilmu yang aku miliki . Memang ilmu itu satu keperluan.

Dalam kegelapan itu aku dipapah oleh Mujahid menuju ke ruang lain.
Aku hanya akur kerana aku takut tersungkur. Langkahan lemah ku berseli dengan hidu darah yang membasahi tubuh-tubuh manusia yang tidak ku kenali.

Tiba-tiba..!!!

Runtuh dan musnah. Kepulan asap bertebaran di udara, segala-galanya sepi dan ditangisi wajah-wajah tidak berdosa. Hospital itu dibedil tanpa peri manusia.
Aku tidak merasa sakit walau sedikit, cuma hatiku tersentuh rasa tanpa ku pinta.

Tangan Mujahid menggegamku. Suara-suaranya tersekat-sekat, pegangannya kian erat.

" Wahai saudaraku, mungkin kau tidak merasa apa yang terbuku di hati kami. Kau ditarbiyah di kuliah, kami ditarbiyah dengan air mata. Kau hidup selesa dalam kepanasan cuaca, kami kedinginan dalam kesejukan derita.

Wahai saudara ku, kita seaqidah, kita bertuhankan Yang Esa, ketahuilah kita bersaudara. Aku tidak meminta kau terkorban di medan berdarah seperti kami, aku tidak meminta kau merasa tarbiyah peluru berpandu, namun bantulah kami sedaya yang kau mampu.

Kamu semua adalah SAUDARA ku! "

Kalimah syahadah meniti di bibirnya sebelum tubuh kecil itu kaku tanpa nyawa pemuda.


" Mujahid !!!!!"

Aku bangkit dari pembaringan.

Mata-mata di sekeliling merenungku dengan seribu tanda tanya.

Aku berada di sebuah hospital yang canggih dan serba indah. Hospital swasta barangkali.

Bebola mataku tertancap pada satu objek di atas meja bersebelahan katil ku.

Sebiji batu yang bertompok darah.

Batu itu lambang perjuangan anak kecil yang hilang entah ke mana.

Perjuangan yang kini wajib ku jejak bersama. Aku harus jadi pembela!

No comments: