Monday, December 29, 2008

Hijrah : Sekadar Sambutan?












Alhamdulillah. 1430 hijrah telah berlalu. Setiap kali Maal Hijrah memenuhi kalendar manusia yang rata-rata terfokus kepada sambutan tahun baru, masih wujud lagi kesedaran pelbagai pihak untuk mengangkat martabat taqwim ummat Islam yang berpaksi peristiwa hijrah Rasulullah ke Madinah.

Dalam keadaan ramai yang memikirkan di mana untuk menyambut Tahun Baru, siapa artis terkenal yang bakal mengisi hati mereka sebelum azam baru 2009 ditanam di jiwa, ummat Islam seharusnya membuka mata seluas-luasnya tentang kesedihan dan derita air mata saudara-saudara seaqidah di Palestin yang menyambut Maal Hijrah dengan ledakan bom dan peluru berpandu Israel . Mereka syahid di jalan Allah.

Pemuda dan Pemudi : Hijrah Songsang

Jangan berasa malu untuk kita akui, apalah sangat sumbangan kita untuk Islam jika diri asyik berasa lemah dan tewas di ujian kuliah, tandus di lubuk cinta " papa dan mama", terperangkap dalam dunia maya hingga kita hilang jiwa pemuda, fizikal sahaja besar namun lagak dan gaya ibarat anak kecil yang hilang botol susunya. Kita harus malu.

Wahai diriku dan dirimu semua, contohilah mereka.

Umar R.A tidak gentar dengan pendiriannya. Di saat ingin berhijrah ke Madinah di melaungkan suara kepada kaum Musyrikin ,"Sesiapa yang mahu ibu kehilangan anaknya, esok tunggu aku di tengah wadi ini." Namun tiada seorang pun berani keluar menyahut cabarannya.

Itulah Umar R.A, zaman muda yang diisi dengan berani berjuang, bukan seperti kita sekarang yang berani temberang. Kita mengaku kita pejuang agama Allah, namun sekadar halangan hujan dan kesejukan untuk ke kuliah pun kita sudah rebah.

Ali R.A. Umurnya masih muda ketika peristiwa hijrah. Mudanya bukan beerti dia lemah, malah jiwa mudanya tidak gentar untuk menggantikan Rasulullah di tempat tidur baginda. Bukan Ali R.A tidak tahu dia menanggung risiko akan dibunuh musuh, manun demi Islam dan kecintaan terhadap Rasulullah, nyawa menjadi taruhannya.

Itulah Ali R.A. Manakala inilah kita pemuda zaman sekarang, bukan sahaja tidak mengamalkan sunnah, malah sensitiviti tatkala musuh menghina Rasulullah kita juga rendah. Malulah kita kepada Ali.

Hawa

Owh! Buat kaum Hawa, jangan lupa kalian juga adalah penyumbang kepada kejayaan hijrah ini. Namun itu Hawa 1430 tahun yang dahulu.

Anak-anak perempuan Abu Bakar,Aishah dan Asma'.
Mereka berperanan menyediakan bekalan untuk Rasulullah dan Abu Bakar. Asma' telah
memotong sebahagian daripada tali ikat pinggangnya, lalu mengikat mulut karung makanan tersebut. Daripada peristiwa itu, dia digelar: "Zat an-Nitoqain" (Perempuan yang mempunyai dua tali ikat pinggang). Lihatlah betapa kaum hawa juga bereperanan dalam kejayaan Islam, begitu mulia Islam menaikkan darjat kaum yang sering tertindas di zaman jahiliyah.

Itulah Aishah dan Asma'. Namun lihat realiti kini, usai Islam bangkit dan wanita terbela, masih ada dalam kalangan mereka yang kembali dahagakan jahiliyah. Berpakaian tetapi 'berbogel', membiarkan diri dieksploitasi , mudah termakan pujuk rayu lelaki.
Memang bukan semua begini, namun bagi yang telah kembali kepada firah mulia mu, serulah yang lain agar kita tidak jadi seperti buih.

Mengingati Hari-hari Allah














" Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah". Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur "

Hari-hari Allah merupakan hari-hari dimana ada kegembiraan kepada umat Islam dan juga termasuk hari-hari ummat Islam berduka cita.

Kini kita berada pada dua titik yang sama. Hijrah telah berkunjung dalam keadaan ramai mayat syuhada' Palestin diusung.

Ke mana hijrah kita wahai diri dan sahabat pembaca. Adakah kita meletakkan niat hijrah kita hanya berlegar kepada manfaat diri sendiri, sedangkan itu pun ramai yang gagal melakukannya.

Memang segala-galanya bermula pada diri, bukan bermakna manfaat hijrah itu tidak untuk semua. Hijrahkanlah dirimu dari rebah dipintu neraka, menuju ke pintu syurga.

Jejaklah roh penghijrahan , jangan jadikan Maal Hijrah ini sekadar sambutan yang akan berlalu tidak meninggalkan kesan.

Hijrahlah wahai hatiku!

No comments: