Sunday, December 14, 2008

Ingin berkeluarga....

Adha menghitung hari yang tidak pasti. Keluarga. Itu sahaja yang bermain di legar kepala. Dua orang seniornya sudah selamat mendirikan rumah tangga pada raya ketiga yang lepas. Selamat melangkah ke alam rumah tangga dan alam keluarga diucapkan.

Adha juga ingin berkeluarga. Ingin sahaja dia pulang ke Malaysia dengan segera walaupun dia tahu emak menghalangnya pulang . Emak mahu dia melunaskan dahulu tanggungjawabnya untuk menimba ilmu di sini. Soal keluarga jangan dirisaukan. Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Hatinya tidak tertahan lagi. Rindunya semakin membuak-buak. Cintanya tidak pernah pudar. Dia memohon kepada Allah agar dipertemukan dengan insan yang disayanginya, insan yang dirinduinya siang malam.

Bicara kakaknya masih lagi kedengaran. Sayup suara gadis berusia dua puluhan itu menerjah ke telinganya. Khabar itu meluluhkan hatinya. Manakan tidak, dia baru sahaja berbicara dengan emak dan ayah. Ayah dan emak merahsiakan segala-galanya dari Adha.

" Jangan risau, abah ok. Takda ape-ape. Belajar betul-betul ye ". pesan emak.

Dia menyambut panggilan ayah. Dari hujung talian kedengaran esakan emak.

Persoalan terjawab akhirnya. Kakak mengkhabarkan segala-galanya .
Ayah mengalami masalah buah pinggang. Kedua-duanya gagal berfungsi dengan baik dan memerlukan penderma. Ayah sudah dua kali tenat. Adha tidak terluah bicaranya.

Ya Allah, beratnya ujian yang Kau beri kepada kami sekeluarga.

Kakaknya meneruskan bicara. Dia mahu menjalani ujian untuk memastikan kesesuaian buah pinggangnya untuk diberi kepada ayah. Begitu mulia hatimu.

Adha mahu pulang segera namun dihalang oleh kakaknya. Dia buntu. Rasa bersalah menyelubingi dirinya. Masakan tidak, Adha anak lelaki yang paling tua, yang lain masih berhingus. Dia rasa bertanggungjawab untuk memberi sokongan kepada emak dan ayah di saat ini, namun apakan daya dia jauh terdampar di Timur Tengah.

Usai dimatikan talian, jiwanya turut mati sama. Hanya doa yang dapat dipanjatkan buat masa kini. Hari itu berubah cuaca baginya, hujan renyai-renyai membawa rasa pilu dan rindu.

Adha merenung sejenak menenangkan hati yang gundah gulana. Ini sebuah tarbiyah. Dia yakin.

Aidiladha terkandung seribu pengajaran buat hamba yang beriman.
Dia merenung kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Cinta ayah dan anak yang berpaksikan pengorbanan. Bayangkan kesanggupan Ibrahim berjauhan dengan isterinya, Siti Hajar dan puteranya, Ismail yang ditinggalkan di padang pasir yang tandus.

Sekembalinya nabi Ibrahim, diperintahkan pula untuk menyembelih Nabi Ismail. Baginda redha dengan perintah Allah. Sebuah pengorbanan yang menakjubkan.

Adha merenung pula kisah Rasul junjungan, Nabi Muhammad. Baginda bergelar yatim sedari dalam perut ibunya. Sesudah itu disusuli pemergian ibunya. Ujian yang Allah datang kepada para anbiya' begitu hebat berbanding ujian yang ditimpanya.

Ujian ini adalah juzu' warna hidupanya. Dia perlu tabah dan cekal. Masih ada lagi sahabat-sahabat yang berdamping disisinya.

Lagu Rhapsodi Perjuangan bergema dalam selingan teater ADHA .

Teman ketawa di mana-mana
Sahabat berduka sukar dicari
Entah ke mana menghilangkan diri
Pabila ujian melanda

Erti harga sebuah perjuangan
Kepahitanku dalam menegakkan
Kebenaran keadilan perubahan
Akan ku tetap teruskan jua

Kami tak rela dinoda
Lihat kezaliman melanda
Kuatkan azam di jiwa
Kebenaran dibela

Sematkanlah janji-janji
Kini yakinkanlah diri
Perjuangan suci murni
Kemenanganmu nanti

Apalah guna kau berdiam diri
Arus perubahan tak tertahan lagi
Usah dibiarkan kita dipermainkan
Kelak kan membawa seribu penyesalan


Adha tersedar dari lamunan. Dipanjatkannya doa kepada Tuhan agar Allah melindungi keluarganya. Ya, Allah, kaulah tempat ku bergantung harap. Adha harus bangkit!

9 comments:

Anonymous said...

kuat smgt ye!!

Anonymous said...

Assalamu3laikumwbt.

kuatkan diri,cekalkan hati....

membaca kisah ini..terasa spt sy juga mahu menguji kesesuaian & menderma kidney..kalau ini yg sy rasa,apatah lg keluarga terdekat..

cuma,ingtlah..''la yukallifullah illa wus'3ha..'' & ingt bhw,ramai lg insan yg menerima nasib yg lebih buruk dr kita.

bykkan berdo3a pdNya,ketahuilah..Allah malu utk tidak memperkenankn permintaan hambaNya.

be & stay strong,Naqeb!!!

WSlmwbt.

cik santun said...

semoga adha ini terus kuat semangat.. yakinlah ini adalah ujian dn tarbiyah dari ilahi..

semangat naqeb yg kuat!!

Anonymous said...

salam alaik..
'Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian).'– (Surah al-Ankabuut ;2)

'..they plot and plan, and ALLAH plans too; but the best planner is ALLAH.'(Surah al-Anfal ;30)

Anonymous said...

salam alaik..
utk adik yg tabah dlm perjuangan..

"dlm derita ada bahagia..
dlm gembira mungkin terselit duka..
tak siapa tahu.
tak siapa pinta ujian bertamu..
bibir mudah mengucap sabar..
tapi hatilah yang remuk menderita..
insan memandang mempunyai pelbagai tafsiran..
segala takdir..
terimalah dgn hati terbuka..
walau terseksa ada hikmahnya..
harus ada rasa bersyukur..
di setiap kali ujian menjelma..
itu jelasnya membuktikan..
ALLAH MENGASIHIMU SETIAP MASA..
diuji tahap keimanan..
sedangkan ramai terbiar dilalaikan..
hanya yang TERPILIH sahaja..
antara berjuta mendapat rahmatNYA..
ALLAH rindu mendengarkan..
rintihanmu berpanjangan..
bersyukurlah dan tabah menghadapi..
segala ujian diberi..
maka bersyukurlah selalu.."

~rahmat ujian dari mestica~

dan said...

Al Mulk:2 ..dah menyataknnya.

'takkan terhidu harum mewangi andai tak dinyalakan setanggi.

...takkan terasa manisnya hidup

andai tak dilambung gelora'

final_fata said...

Tebar joran tengah laut,
jangan pergi waktu senja,
meski bahagia semakin surut,
ingatlah Tuhan hatikan ceria.

Masak gulai ikan pedas,
cukup masin cukup masamnya,
hati mencinta mohon dibalas,
harap dengan gadis dari-Nya.

Bukan murai menanti bulan,
tapi pungguk duduk setia,
andai kasih bercerai badan,
teruskan hidup kerana yang Esa.

kalau robeklah kainnya tuan,
izinkan saya tolong jahitkan,
kalau sedihlah hatinya tuan,
pohonlah kekuatan daripada Tuhan. .

Naqeb Sulaiman said...

Wasalam semua.

Syukran. Tak terungkap dengan bicara...

Anonymous said...

mereka yang melihat hanya mampu berkata, mereka yang merasa lebih arif hakikat dunia.

segala apa yang ada, hanya milik Dia, dipinjam atas nama nikmat dan kasih Ar Rahman Ar Rahim. Apa daya mengatakan semua milik kita sedangkan tiada melainkan hakNya.

Ujian berdasarkan jiwa setiap yang menerima.

wallahu'alam.