Saturday, March 28, 2009

Kau Yang Bernama Pelakon


Sehari dua ini ada suatu kalimah yang sangat aku fikirkan.
Aku sendiri tidak tahu apa asbabnya. Namun, itu yang cuba aku renungkan dan percakan lalu cuba ku cantumkan semula.

WATAK

Kau kenal Kasim Selamat dengan saksofonnya.
Mr. Bean dengan muka tidak bersalah.
Rahul yang membawa hati yang duka jauh dari ibu bapa dalam KKKG.
Harry Potter yang digilai ramai manusia.
Ultraman yang butangnya sudah berkelip-kelip merah mampu bangkit semula.

Mereka itu watak ciptaan di layar yang di tangan pelakonnya ada skrip bacaan. Jika tersasul, tuan pengarah walau dengan hati membengkak tetap memberi ruang mengulang semula. Watak mereka lekat di ingatan. Lalu apa puncanya, adakah kerana si penonton itu berminda kelas rendah, mudah ditipu daya dengan lakonan air mata dan magic maya, atau si pelakon memang benar-benar ada kelas tersendiri dalam berwatak di dunia yang dicipta.

Itu watak yang direka, mungkin berdasarkan realiti, ada juga bertunjangkan fantasi.

Lalu, watak nyata yang kita sedang menerajuinya dalam sisi lorong yang penuh dengan skrip palsu dan sorot lampu gelap ini pula bagaimana perjalanannya?
Adakah kita benar-benar berwatak ataupun hanya memasang topeng murah untuk dilihat tampan dan jelita di pentas singgah sahaja.

Aku bukan sesiapa yang layak menulis tentang watak kerana aku bukan pembawa jalan cerita hero yang berjaya. Cuma aku ada cenderung untuk memerhati watak manusia yang berada dalam ruang lingkup pandangan aku.

Masa aku di sekolah menengah dahulu, stesen bas adalah tempat yang aku bertemu berbagai karenah manusia di atas bau sesaknya. Bermacam-macam watak boleh ditangkap dengan pancaindera, ada yang sedang khusyuk memainkan bab pengenalan dengan dunia cinta papa dan mama, ada yang sedang diupah untuk berlakon tambahan dalam bab gengster remaja, ada yang dalam klimaks umur yang lanjut usia namun masih berwatak mengutip hasil sisa buangan di sini sana, dan aku di hujung bangku dengan berbaju batik berbunga, memegang watak budak sekolah yang ingin pulang ke rumah.

Mudahkah membawa watak?

Adakah semudah cerita seorang pelacur yang akhirnya kembali ke pangkal jalan apabila bertemu lelaki yang baik menawarkan kehidupan yang jauh dari sarang nafsu si jantan?
Setangkas hero Hindustan yang berjaya menumpaskan puluhan musuh walau telah nyawa-nyawa ikan sebelum itu, lalu berjaya menyelamatkan si gadis dari ketua mafia yang berhasrat mengahwininya?
Atau seindah Fahri yang dicintai tiga wanita dalam masa yang sama, lalu memilih Aisyah yang akhirnya berkorban untuk dimadukan dengan Maria?

Jika benar membawa watak semudah yang ditayang di skrin kaca, maka tidak usah risau kenapa kita tidak berubah baik di masa muda, kerana hujung 60 an nanti akan juga berkopiah dan duduk di tikar sejadah.
Kalau sekarang asyik berfoya-foya di lorong gelap, lepas bernikah akan buka buku baru membina istana bahagia.
Namun, jalan cerita di bumi nyata bukan begitu indahnya.

Watak yang kita bawa sekarang memberi kesan pada watak yang bakal dilangsungkan di usia mendatang kelak. Pokoknya, jika mahu menghirup teh manis di petang hari, ke kedai dahulu membeli gula di awal pagi.

Celaru watak?

Jika diberi pilihan menerajui filem antarabangsa yang melonjak kau dari khemah setinggan ke pentas kemasyhuran, kau pilih watak yang mana?

Watak lelaki yang sasa yang menjadi teraju utama dalam menyelamatkan dunia, atau si lembut yang terkinja-kinja mencari pelanggan di lorong gelap gelita.

Si Puteri Jelita yang dikahwini Putera Raja lalu hidup bahagia, atau si dayang yang menuang teh lalu tumpah ke meja Raja ,akhirnya disumbat ke dalam penjara.

Watak-watak itu semua ada pasangan sifat dan nasibnya.

Ada yang duduk di atas pada rupa paras wajah dan timbunan harta, tapi miskin jiwa dan tenang hidupnya.
Ada yang hartanya cuma sebidang tanah, namun syukurnya seluas tidak terkira.

Namun, yang aku sedar bahawa watak-watak realiti yamg berbeza ini, saat sujudnya di kala solat jumaat yang jumlah safnya paling banyak dalam seminggu, semuanya berwatak sama. Watak HAMBA.

Tidak kira semegah mana membina empayar emas bersulam kaca, sedalam mana rasa haloba, saat susah dan sakit menimpa, Dia juga yang disebut-sebut sebagai tempai meminta.

Hamba itu tidak punya apa-apa. Kita sedang memegang watak yang sedang dinilai tidak kira masa.

Aku seru diri aku, mari berwatak HAMBA.
Tidak kira dilangit setinggi mana berterbangan, didasar laut dalam selaman, kita tetap di paras watak itu. Berwataklah wahai aku dan kamu.

Alhamdulillah,hari ini berwatak gangsa trio dan perak single untuk 2009 BKASJ BOWLING TOURNAMENT. terima kasih buat ahli team yang best. :)
dari kiri: Apai, Naqeb dan Mukhlis

2 comments:

Dr Zahau said...

salam..
weit naqeb..watak sin chan x de ke?..hah..

btw..manusia ad bnyk watak..
nk cr watak yg ikut skrip Islam..
itu yg payah..wallahualam

Naqeb Sulaiman said...

wasalam.
sin chan?? dah lame tak tengokla. :)

yup. dalam filem pun susah, dan dalam realiti pun sama. jom kita bewatak mengikut skrip islam. :)