Monday, March 2, 2009

Lakaran Dua Benua 2

Lakaran Dua Benua 1

Lakaran Dua Benua 2

Mentari sudah mencerah tanah merah dari jihat timur, bumi tandus masih dibaluti sepi lewat serangan yang bertubi-tubi yang menyimbah darah merah, lalu diresap hebat terus ke perut bumi. Tanah luas yang dulunya terbentang kota yang melindungi manusia, kini kering dengan debu dan asap yang memenuhi ruang udara.

Di sudut runtuhan bangunan yang puluhan, sekumpulan kanak-kanak mengais bangkai rumah demi mencari sisa buku dan alat sekolah. Bom dan lagu letupan itu hanya bisa meruntuhkan rumah dan sekolah mereka , namun gagal sama sekali untuk melenyap tembok jiwa mereka untuk terus berjihad di lorong yang diwariskan oleh pejuang dahulu. Mereka tidak rebah bersama timbunan sisa serangan, malah mereka bangkit menujah dada perjuangan!

Qayyim, pemuda itu menghirup udara yang berbisa. Tangannya memapah neneknya yang semakin dimakan usia dan sengsara sementara. Mereka berjalanan menyelusuri denai tanah menuju ke khemah yang dibina usai teratak mereka dilanyak hebat oleh anjing-anjing yang menyalak.

Tangan anak muda itu menyua roti ke mulut neneknya, satu-satunya keluarganya yang masih di bumi, yang lain sudah awal bertemu Ilahi dalam jalan juang yang penuh dengan jeriji dan duri.

Anak matanya pernah merakam segala-galanya, saat bagaimana abinya ditembak bertubi-tubi di check point kerana disyaki pengebom berani mati. Tidak cukup dengan itu, umminya diperkosa oleh binatang-binatang yang tiada perimanusia, dan akhirnya dijemput bertemu Abi di syurga sana. Ah, dia tidak pernah lupa. Sesekali tidak!!

" Nenek, Qayyim akan keluar sebentar lagi dan belum pasti akan pulang lagi. Ada hutang yang perlu dituntut ganti demi maruah Islam yang suci. "

" Qayyim, jangan tinggalkan nenek ya. "

" Nenek jangan bimbang. Kalau Qayyim tumbang, seribu anak kecil akan bangkit turut berjuang."

" Hati-hati. Doa nenek sentiasa mengiringi Qayyim. " Sebak.

Tangan tua yang terketar-ketar itu dikucupnya lembut. Langkahnya menyongsang arus anak-anak kecil yang pulang ke khemah. Ada jalan yang perlu dilaluinya meski jalan itu tidak menjanjikan wang yang bertaburan dan mewah yang diimpikan jutaan manusia, namun atmanya melonjak berkata itulah jalan yang wajib dipilihnya.

Lewat petang ini dia dan kumpulan pejuangnya ditaklifkan untuk menjayakan sebuah misi, mereka bertanggungjawab melancarkan serang hendap terhadap sekumpulan tentera penceroboh di bahagian selatan.

Angin tiupan petang itu dihirup bersama pesanan dan amanat pemimpinnya, tiada gentar dalam jiwanya meskipun musuh yang dihadapannya memiliki kecanggihan senjata yang tiada bandingnya. Qayyim yakin akan senjata doa yang mengirinya perjuangan mereka.

Setelah doa dipanjat, langkah mereka bermula. Mereka berselindung di balik runtuhan bangunan, mata ralit menangkap gerak tubuh musuh yang lengkap bersenjata.
Beberapa jeda kemudian, langit mula menyala dengan percikan tembakan dan dentuman yang bersalut dengan jeritan musuh dan laungan takbir pejuang yang ampuh.

Tiba-tiba..

Pang!

*****************************************************


Aduh.

Pedih menjalar ke seluruh saraf mukanya. Tona wajah berubah warna merah padam.

" Kurang ajar punya anak. Dasar tak sedar diri " suara lelaki bermisai lentik itu bergema.

" Ah, malas aku nak duduk rumah ni. Bosan!! ". Awi membentak hebat.

Dia membuka langkah lalu mencapai helmet yang sudah menunggu lama di atas rak kasut.

" Awi nak pergi mana? Jangan tinggalkan mama! "

" Mama tak payah fikir pasal Awi. Jangan harap lagi Awi nak jejak rumah ni lagi. Tension!!! "

Deruman ekzos motosikal menyelubungi suasana tegan itu lalu hilang ditelan sunyi malam. Malam itu, Puan Zahrah tidur bertemankan air mata. Tidak disangka anak tunggalnya itu terjebak dalam noda yang semakin menghantui anak muda pasca merdeka. Najis dadah yang sering menanam muda mudi dalam kubur yang digali oleh tangan mereka sendiri.

Pilu. Hati ibu mana yang tidak remuk melihatkan permatanya terpesong dari jalan kejayaan yang diidam oleh semua.

" Ah, salah aku juga kerana kurang memberi perhatian kepadanya. Dari kecil hingga besar, dia sering ditinggalkan, sedang aku dan suami sibuk membina kerjaya. Soal agama, masalah di sekolah aku tidak ambil berat. Berdosanya aku, Ya Allah "

**************************************************

" Inna lillah wa inna ilayhi raji'un "

Gugurnya seorang syahid di medan juang. Darah yang menyimbah bumi mewangi ke taman syurga.

Neneknya menerima khabar beritu itu dengan sejuta redha. Dia bangga kerana darah dagingnya tergolong dalam golongan yang dijanjikan syurga.

" Tidak !!!! "

Jeritan Puan Zahrah menyentak dengkuran suaminya. Air mata merembes lalu membasahi pipi. Awi pergi dalam satu tragedi berdarah. Motosikalnya dirempuh oleh sebuah treler dan diheret hampir 100 meter. Dia maut dalam perlumbaan haram yang menjadi medan hujung minggunya.

Dua hembusan nafas telah terlakar pada malam gelap yang sama, pada dua dunia berbeza.


-Tamat-

No comments: