Wednesday, March 25, 2009

Pesawat Picisan

Dingin malam sejuk itu menghembus senyap-senyap hingga buat manusia-manusia yang tersadai di lapangan itu terlena dibuai mahligai cinta, tanah kuasa jauh dari pohon rendang, wang disuap ulang-ulangan.

Ada juga mata-mata terpejam yang terigaukan asap dari daerah mana yang datang bebondong-bondong masuk membutakan mata saat mereka hanya berkumpul belajar membaca, suara teriakan dari jendela besi dan esakan anak isteri.

Uyal hanya memerhati dari sudut kiri bangunan bertingkat itu. Sebentar lagi mereka akan berangkat terbang ke langit tinggi, meski tidak pasti bintang mana yang bakal digapai sedang ramai yang mengimpikan bertemu bulan.

Dia tersenyum keseorangan meski hati dirudum bimbang yang memekat.

Mana tidaknya, dua minit lagi akan berlepas, masing-masing terkial mencari nama untuk diberikan kepada anak pinak, mencari baju fesyen terkini dari butik di lorong sana sini, menukar wang kecil untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yang berair liur basi demi menjadi pak turut di atas nanti. Kecoh!

Selang beberapa jeritan manusia " Mari beli. Mari beli. Beli satu, percuma dua. Puas hati punya! ", kapal terbang yang berjenama gah tetapi sebenarnya picisan sahaja itu menderu laju ke udara.

Ada yang mengangkat tanah berdoa, ada yang terus melelapkan mata, ada yang sibuk melirik mata. Semua berbeza.

Pesawat berjenama palsu itu menderu laju, sekejap turun menjunam, kemudian haru biru.

Anak mata Uyal memerhati dari bingkai kaca kecil, dihilatnya awan melambai-lambai seolah gembira melihat gerombolan manusia menziarahi halaman mereka. Jika diturutkan kata hati, mahu sahaja dia terjun dari kapal yang melemaskan itu untuk bermain-main dengan anak-anak awan yang lembut dan menenangkan. Tiada prejudis dalam bermain dengan titik-titik air, sorok-sorok dengan Suria, bernyanyi riang bersama petir dan menangkap cahaya kilat yang bersabung di rumah mereka.

" Awan, bisakah kau menjemput ku ?"

" Tidak!!!!"

Sepi dalam perut pesawat itu dihanyut pergi, dengkur Pak Hal yang banyak buat hal sejak dari mula dia membeli tiket itu termati, nyanyian budak kurang suiman yang bergincu merah dan baju terbelah lenyap dari telinga.

Semua mata-mata menoleh ke arah jihat suara yang bergema. Berpusu-pusu manusia prihatin mendekati sambil menunjuk simpati.

Si ibu yang bersanggul kepala sedang meriba kucingnya yang sudah putih mata.

" Kenapa ni kak, dalam sehari dua ni kucing akak ada perubahan apa-apa ke, dia ade buat benda-benda yang pelik tak. Mengidam nak makan apa-apa ke? Akak ade mimpi apa-apa tak yang pelik-pelik ". seorang lelaki berbibir merah bertemankan buku nota terkinja-kinja menyoal Cik Sanggul.

" Ah, dasar wartawan picisan, saat si kucing pergi akibat tersedak susu basi, dia sibuk mengorek cerita perca untuk ditampal di dada akhbar nanti. Lebih baik kau tulis macam mana nak jaga kucing dengan baik ke, daripada menyumbat khalayak pembaca dengan cerita stereotaip kau tu ". getus hati kecil Uyal.

Dia malas dan bosan dengan perilaku umpama itu, lalu langkahannya kembali menuju ke kerusi dan dikeluarnnya akhbar yang lebih layak dan hak untuk dibaca.

Dibuka satu persatu, satu, dua, tiga.

Zap..!!

" Hoi, akhbar ini tak boleh baca. Ini salah kau tahu. Kau tengok faktanya, bercanggah dari hukum asal yang digariskan oleh juruterbang pesawat ini. Faham."

Uyal hanya menahan geram, mujurlah dia masih ada akal waras, jika ikutkan hati dan perasaan mahu sahaja dilayangkan kakinya ke muka pemuda itu. Dia bukannya takut akan gas pemedih mata, cuma dia sudah lali dengan semua ini. Mual.

" Nah, kau baca akhbar ni. Aku bagi percuma. Cuma kau bayar dengan katakan YA sahaja ok? "

Senyap.

2 comments:

Ain Mardhiah said...

salam

fuh... berdas-das peluru dijumpai dalam pesawat ciptaan anda. seronok2.. boleh buat jantung kena arrythmia.. ;)

Naqeb Sulaiman said...

wasalam.
kalau pesawat terus begini,
bikin pecah jantung dibuatnya. ;)