Hujung minggu yang ada warna warni, setelah hujan yang membasah itu pergi.
Matahari muncul kembali.
Sudah hampir seminggu aku tidak bernafsu untuk menaip di lorong ini.
Manusia adakah memang begitu, bila jatuh perlu mangambil masa untuk bangkit menyambung tingkah.
Memang apa yang dipesan Tuhan itu benar, sederhana itu terbaik buat manusia.
Alhamdulillah.
Nukilan yang lima rangkap ini mendapat tempat pertama dalam
Pertandingan Mengarang Sajak sempena Maulid Ar Rasul 1430H Anjuran PERMAI dengan kerjasama MPKJ, BKPJJ, BKASJ, BKAPJ, MSSJ, PUTRA & KMKJ. Namun apa yang lebih aku gembiraa, melihat penyertaan yang agak menggalakkan.Aku harap makin ramai yang mencuba, jalan puisi yang ada tikungan tersendiri memang berpotensi
menghidupkan hati-hati yang mati.
Lagukan Cintamu Ke Angkasa
Ku lagukan puisi buatmu,
Masihkah kau lihat dan ingat,
Cahaya lahirnya dari jihat Makkah,
Menerang ,memadam api sembah berkurun lama.
Dalam belitan debu pasir yang tandus,
Bangsa hina itu melonjak mulia,
Bumi yang gersang dihujan rahmah,
Lahirnya dia Al-Amin ummah.
Kau ummat baginda,
Cintamu melangit dunia?
Pernah kau dakap sosok itu?
Lalu bagaimana cinta bertamu,
Rindu mendalam ini menjulang?
Ini kisah cinta nan aneh menitip jiwa,
Dalam kidung yang bergema.
Sepanjang jejak yang berliku,
Tidak terpudar dengan masa dan debu.
Setuju?
Ayuh.
Jika menyusur tikungan langit terbuka,
Anak-anak buih yang terapung berjuta,
Gelodak, gelembung, pecah!
Dek memesong dari sirah.
Penyair sumbang bergigi emas,
bertakhta di hati-hati yang lemas.
Sepanduk dijulang sehari,
Habis keraian lupa pesanan nabi.
Zikir sunnah hilang ke mana,
Lalu bagaimana untuk bergelar ummat mulia.
Masih kau bau segar tanah sejarah itu ?
Bumi lahirnya qudwah memimpin ummah,
Luka darahnya disapu dengan redha,
Maki hina beratus dibalas doa kudus,
Jika benar jatuh cinta akan tampang itu,
Mengapa perlu sengketa di takhta,
Menjarah tampuk kuasa menyulam haloba.
Aslikah tema cinta yang dijaja?
Ah!
Cinta ini ajaib,
Tiada warkah cinta dengan tinta emas,
SMS buta tidak menghias,
Tautan hanya dengan selawat dan doa,
Dibaja warkah hadith berbau syurga,
Kisah cinta yang tak terungkap dengan kalimah,
Bukan cinta jalanan, apatah lagi cinta monyet picisan,
Lagukan cintamu ke angkasa,
Tarikan tubuhmu mengikut sirah.
-mahasiswa pena-
-4 Mac 2009-

Sahabatku yang mendeklamasikan sajak di luar dewan . syukran
Ceramah " Memenatkan "Semalam juga ada program yang 'memenatkan' bagi aku. Ceramah
Maulid Ar Rasul yang disampaikan Ustaz Fakhrurrazi dari Amman yang aku kira berbeza dari ceramah yang lain.
Kalau ceramah biasa, kebanyakannya akan memberi fakta dan sejarah buat renungan. Maka adalah segelintir yang rasakan dirinya sudah kenyang dengan fakta-fakta akan dibuai lena, tunduk akur tanpa membantah.
Angguk-anguk.
Ceramah semalam aku rasakan "penat" tetapi terlalu berharga kerana ia satu perkongsian rasa.
Tubuh dan jiwa yang duduk bersila bukan sekadar menadah telinga, tetapi perlu usaha untuk mendapatkan rasa yang cuba dikongsi dan dikembalikan kepada hati yang begitu memerlukannya.
Memanggil Allah.
Allah siapa?
Allah aku!
Berzikir bukan sahaja di minda, tetapi cuba diturunkan ke hati.
Berberbicara dengan Dia.
Mengumpul dosa lalu memanggil yang Maha Pengampun.
Merindu Rasulullah.
Rasa rindu hingga tidak sabar bertemu.
Selawat buat junjungan kita.
Tahu dimana letak duduk cinta kepada Allah.
Hati yang tiada hadnya.
Moga hati ini terus dibaja.
-
Kagum dengan Sasterawan Negara yang berjuang mempertahankan kemandirian bahasa ibunda
- Adakah rakyat tidak boleh bersuara, jangan pula kemudian hari pena dibataskan gerak tarinya